16 April 2012

PAS pakar demonstrasi, jamin Bersih 3.0 aman

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 April: PAS meletakkan objektif 'aman' dalam setiap himpunan yang dianjurkan dan disertai.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, PAS sangat berpengalaman dalam menganjurkan dan mengawal perhimpunan tanpa menyebabkan kacau bilau.

"PAS bersama Pakatan Rakyat bukan sekali menganjurkan dan menyertai perhimpunan tapi kita sangat berpengalaman dan berkepakaran dalam perkara ini.

"Objektif utama kita dalam setiap perhimpunan ialah keamanan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa peserta 'Duduk Bantah' mesti memastikan perhimpunan tidak menyusahkan orang ramai.

Nasrudin juga berkata, sekiranya Pakatan Rakyat berniat membuat huru-hara, mereka tidak akan menuntut penambahbaikan pilihan raya.

"Bersih 3.0 merupakan kemuncak kepada tuntutan reformasi pilihan raya.

"Kalau kita mahu mencetuskan huru-hara, kita tak akan tuntut reformasi pilihan raya. Tapi kita menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Itu termasuk dalam demokrasi," katanya.

Beliau memberi jaminan 'Duduk Bantah' kan berlangsung aman sekiranya tiada sebarang provokasi daripada pihak polis dan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Seperti himpunan Mansuhkan PTPTN anjuran mahasiswa, ia berjalan aman sebab tiada siap mengganggu," katanya.

Justeru katanya, pemuda PAS akan bertemu dengan pihak polis beberapa hari sebelum 'Duduk Bantah' bagi meminta kerjasama mereka.

"Beberapa hari sebelum perhimpunan pada 28 April, pemuda akan bertemu dengan pihak polis meminta mereka menjaga keamanan," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: