09 Mei 2012

Mayat kembung ditemui

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan kembung di sebuah lombong di Batu 4 Jalan Ipoh, tengah hari semalam.

Mayat dalam keadaan bogel itu ditemui orang awam yang hendak memancing di kawasan lombong itu, kira-kira jam 12 tengah hari.

Terkejut dengan penemuan itu, lelaki terbabit membatalkan hasrat memancing dan terus melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki itu mati sejak tiga atau empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung dan hampir reput.

“Tiada butir pengenalan diri dijumpai pada mayat lelaki India berusia dalam lingkungan 30-an itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah, kes itu diklasifikasi mati mengejut. Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Bekas MP Pasir Puteh meninggal dunia

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH: Mantan anggota parlimen (MP) Pasir Puteh penggal 1999-2004, Ustaz Alwi Jusoh, 63 meninggal dunia di rumahnya jam 1.55 pagi tadi akibat serangan angin ahmar sejak tiga tahun lalu.

Keadaan kesihatan tambah serius beberapa minggu lalu akibat terjatuh di rumahnya.

Allahyarham juga bekas Adun Gaal penggal 1995-1999 dan merupakan bekas Yang Dipertua PAS Pasir Puteh selama 10 tahun bermula 1995. Bagaimanapun disebabkan keuzuran beliau tidak lagi aktif dalam politik.

Sebelum terbabit secara langsung dalam politik beliau pernah berkhidmat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Perdana Menteri dan pernah menjadi imam di Masjid Negara.

Bagaimanapun Allahyarham meletak jawatan kerana khidmat dan tenaga lebih diperlukan di Kelantan.

Setiausaha Penerangan PAS Pasir Puteh, Abdul Shakur Sharrie memberitahu jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Abrar, Banggol Kerian bersebelahan rumahnya kira-kira jam 10.30 pagi ini. Jenazahnya akan dikebumikan di Kampung Surau.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Mariam Junoh dan 10 anak. Anak sulungnya Zaiem, seorang pendidik kini bertugas di Tanah Merah.

Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, kematian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada PAS Pasir Puteh memandangkan jasa dan khidmat beliau sebelum ini begitu besar sekali.

“Arwah seorang pemimpin yang istiqomah, mudah mesra dan senang didekati. Sepanjang kepimpinannya PAS Pasir Puteh terus berkembang sehingga berjaya memilik bangunan sendiri di tengah-tengah bandar ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka bersabar menghadapi segala dugaan dalam menusuri arus perjuangan mendaulatkan Islam. Al Fatihah.

Harakah Daily

Dari mana Felda ambil wang bayar durian runtuh?

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan di Felda Jengka 8 seramai 112,635 peneroka Felda akan mendapat durian runtuh RM5,000 setiap orang. Isteri mereka – dibayar kemudian – akan juga mendapat RM5,000 se orang. Kemudian, anak-anak mereka akan mendapat RM5,000. Kalau keluarga peneroka mempunyai 5 orang anak, anak-anak mereka akan mendapat RM1,000 se orang. Jumlah kesemuanya RM15,000 bagi se tiap keluarga peneroka. Kalau setiap keluarga mempunyai ahli seramai 7 orang (ayah, ibu dan lima orang anak), maka secara puratanya, mereka akan mendapat RM2,143 seorang. Satu jumlah yang biasa sahaja, tidak memeranjatkan.

Dengan membayar durian runtuh RM15,000 bagi setiap keluarga, Felda akan membelanjakan RM1.69 bilion. Ini bayaran “one-off” yang boleh meringankan beban kewangan peneroka sekadar sementara. Wang itu bolehlah digunakan untuk menampung belanja kenduri kendara, melupuskan hutang atau belanja pergi umrah untuk dua orang. Bagi peneroka yang cermat, bolehlah meningkatkan tabungan. Namun, majoriti peneroka yang menerima bayaran “one-off” ini akan membelanjakan wang ini untuk penggunaan, bukan pelaburan. Maklumlah, ini “rezeki terpijak.”

Tentu rasa sayang peneroka kepada kerajaan UMNO-BN terus bersemarak, maklumlah ini kali pertama dalam 55 tahun sejarah Felda, peneroka mendapat wang tunai yang begitu besar, walaupun pada hakikatnya, nilai wang ini tidak seberapa dalam ukuran sekarang. Satu ekar tanah di Felda sekarang sudah berpuluh ribu malah dalam ratusan ribu harganya. Undi mereka sudah dibeli dengan harga murah (demolition price) dan Perdana Menteri cukup yakin, majoriti peneroka akan terus mengundi UMNO-BN di dalam PRU13 yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja sekarang, besar kemungkinan dalam bulan Jun ini. Dengan bayaran ini, UMNO-BN mengharapkan 58 kerusi yang menjadi simpanan tetapnya akan terselamat dari disambar Pakatan Rakyat.

Dari manakah datangnya wang sebanyak RM1.69 bilion yang akan ditaburkan kepada peneroka itu?

Felda Global Ventures Holdings Berhad akan mengapungkan 2,188,890,900 unit saham di Bursa Malaysia pada harga Tawaran Awam Awal - TAA (Initial Public Offer – IPO) RM4.65 se saham. Ini bermakana, ia akan menjana RM10.18 bilion. Dari jumlah ini, Felda akan mendapat RM5.62 billion. Ini kerana sebahagian besar, iaitu, 1,208,890,900 unit saham adalah milik Felda. FGVHB akan hanya menjana RM4.56 bilion dari pengapongkan saham ini. Jumlah ini relatif kecil untuk bercatur di dalam perniagaan peringkat global. Lagi pun, sebahagian besarnya akan diguna untuk membayar hutang dan kos penanaman semula.

Dengan melupuskan kesemua kepentingannya kepada FGVHB, Felda Badan Berkanun hanya mendapat RM5.65 bilion. Dari jumlah ini, RM1.69 bilion akan dibelanjakan untuk membayar RM15,000 durian runtuh kepada setiap keluarga peneroka. Baki yang ada pada Felda BB hanyalah RM3.96 bilion. Harus diingat bahawa Felda BB berbelanja kira-kira RM2 bilion setahun. Wang yang baki itu hanya cukup untuk menampong perbelanjaan 2 tahun. Selepas itu, wang pembayar cukai perlu disuntikkan kembali kepada Felda BB.

Harta yang dilupuskan kepada FGVHB adalah harta peneroka. Ia akhirnya akan dipindah milik, melalui jual beli saham di pasaran, kepada pelabur-pelabur bukan peneroka termasuklah taukeh-taukeh besar dan pelabur-pelabur asing yang memang sudah sedia kaya. Maknanya, yang dijual adalah harta peneroka. Oleh itu, wang yang dikatakan durian runtuh itu sebenarnya adalah hak peneroka. Tidak ada durian runtuh sebenarnya. Felda menjual hak peneroka kepada orang lain, dan sebahagian kecil dari wang itu diberikan kepada peneroka. Peneroka menerima wang yang dijana dari titik peluh mereka sendiri.

Siapakah yang sebenarnya mendapat untung besar dari pengapongan saham FGVHB?

Pada awalnya, harga TAA ditetapkan pada RM5.85 se saham. Di dalam prospektus yang dipaparkan dalam sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, harga TAA diturunkan kepada RM4.65 se saham, iaitu, penurunan sebanyak RM1.20 se saham atau diskaun sebanyak 20.5%. Ini bermakna, sebelum diapongkan, Felda BB telah rugi RM1.45 bilion. Penurunan harga ini bakal menguntungkan pelabur-pelabur dalam negera dan asing yang membeli saham FGVHB ini pada harga lebih murah, iaitu, diskaun 20.5%. Bila saham FGVHB mula dijual beli di pasaran nanti, akan ada pelabur-pelabur kaya tunai yang akan mengutip setiap unit saham yang dijual oleh pelabur runcit dan juga pelabur institusi sehingga mereka berjaya menguasai 30% daripada jumlah saham. Ketika itu, mereka akan berkuasa ke atas FGVHB dan kepentingan peneroka akan mengambil tempat duduk belakang.

Pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, majoritinya kroni pemerintah dan penama UMNO, bakal mengaut untung besar. Golongan pelabur terpilih ini diperuntukkan 419,537,000 unit saham atau 11.5% dari jumlah saham yang diapongkan. Mereka, sebagai satu kumpulan, membeli saham ini pada harga RM1,950,847,050 (pada harga RM4.65 se saham). Jika harga naik ke RM5.85 sesaham (+RM1.20), mereka sudah mendapat untung RM503 juta. Kalau harga naik sebanyak RM2.40 (ke RM7.05 sesaham), golongan pelabur Bumiputera terpilih ini akan untung RM1 bilion. Ini tidak mustahil. Pembiayaan tidak menjadi masalah kepada mereka kerana disediakan oleh bank-bank. Pembeli saham pun tidak menjadi masalah kerana badan kerajaan kaya tunai seperti Tabung Haji, KWSP, PNB dan lain-lain sudah sedia untuk membeli dari mereka. Inilah dana PRU13 untuk UMNO.

Bila saham FGVHB yang aset utamanya tanah diapongkan, harta peneroka – tanah ladang dan kilang-kilang pemprosesan sawit – akan bertukar tangan secepat putaran jual beli saham di pasaran saham. Tiada siapa boleh menjamin harta bernilai peneroka ini tidak akan terlepas kepada pelabur asing yang rakus dan tamak. Peluang untuk memiliki tanah tidak ternilai ini dan menguasai minyak sawit, komoditi makanan yang amat penting di dunia hari ini, yang selama ini mereka intai, sudah sedia untuk digenggam.

Harakah Daily

Antara Dataran Merdeka dengan Dataran Tahrir

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berpendiran bahawa tanggapan perhimpunan Bersih 3.0 adalah untuk menggulingkan kerajaan adalah suatu manipulasi fakta yang sangat menghina kematangan rakyat.

Adakah terdapat perbezaan antara niat perhimpunan rakyat di Dataran Tahrir dan Dataran Merdeka?

Secara inti jelas tidak banyak beda. Iaitu intisarinya adalah untuk menuntut perubahan dari kezaliman regim yang menindas kebebasan rakyat kepada pemerintahan yang adil dari pemerintah yang terus mahu memegang kuasa dengan cara penipuan dan menekan rakyat secara mengguna kuasa polis dan tentera kepada sistem yang demokratik dari kepincangan salah guna kuasa untuk memperkayakan pemimpin dan kerabatnya kepada keadilan sosial untuk rakyat. Dari menyalahguna undang-undang untuk kelompok elit politik yang gila kuasa kepada mengembalikan kuasa rakyat untuk memileh pemimpin yang lebih beramanah.

Atas dasar itulah ulama di Mesir termasuk ulama berwibawa Dr Yusuf Qaradhawi menyertai perhimpunan. Adakah ulama tidak tahu bahawa mereka yang turun bersama jutaan rakyat di Dataran Tahrir bercambur baur antara pelbagai golongan yaitu yang Islamis yang sekular yang ateis yang kafir yang liberal ?

Kenapakah ulama-ulama di Mesir bergabung tenaga dan suara dengan pelbagai kelompok untuk bersatu menjatuhkan pemimpin yang didakwa dilantik sebagai pemimpin yang sah dalam sistem Mesir? Padahal pihak keselamatan di Mesir jauh lebih brutal dan mudharat yang akan dihadapi oleh rakyat juga sangat tinggi bila berhimpun di Dataran Tahrir.

Ketika ulama bersatu bersama Syeikh Yusuf Qaradhawi menyertai demonstrasi untuk revolusi Mesir, mereka bersepakat bahawa rakyat bukan setakat dibolehkan turun ke Datran Tahrir malah disemboyankan wajib bersama walaupun risiko untuk berlaku pertumpahan darah amat jelas. Pokoknya mereka mempunyai hadaf yang murni iaitu merubah regim yang zalim yang menindas dan menipu rakyat.

Di Dataran Merdeka hasrat rakyat adalah jauh lebih rasional iaitu untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Tidak ada siapapun yang menimbulkan agenda mengulingkan kerajaan hanya dengan cara duduk dan bantah di Dataran Merdeka. Pernyataan mengulingkan kerajaan hanya datang dari mulut PM yang kemudian turut di iyakan sahaja oleh politikus parti dan penjaga jawatan untuk menyelamatkan periuk nasi.

Sebenarnya tidak jelas siapa yang memberi pengarahan serta siapa yang memimpin perhimpunan untuk rakyat menyatakan hasrat yang sama seperti yang berlaku di Dataran Tahrir.

Sangat naif mereka yang terlalu obses untuk mengatakan perhimpunan itu dianjur oleh seorang atau dua pengerusi. Akan tetapi pada hakikatnya ia datang dari suatu gelombang dalam sanubari rakyat yang sudah muak dengan muslihat dan manipulasi pihak yang berkuasa yang menggunakan taktik kotor dalam pilhanraya untuk menjaminkan kemenangan.

Rakyat sebenarnya tidak perlu menunggu arahan dari sesiapa. Cukup dengan satu kesapakatan untuk berhimpun dan menjelaskan apa yang dituntut, gelombang untuk berhimpun pasti akan terbina dalam memontum yang tidak dapat dibendung.

Sememangnya dalam gelombang itu pihak yang mempunyai jentera organisasi akan menggunakan jenteranya untuk hadhir bagi memberi pengarahan ditengah- tengah lautan manusia. Ada yang patuh dan ada yang tidak. Akan tetapi untuk mengatakan ada pemimpin yang mengarah dan merencana untuk tujuan menguling kerajaan sangat berbau manipulasi fakta, malah cuba merendah-rendahkan kematangan rakyat untuk berhimpun.

Jadi kenapa tiba tiba setelah perhimpunan rakyat dikucar kacir dengan provokasi yang dimulakan oleh pihak keselamatan sendiri dan berlaku kekacauan dan menunjukkan keganasan lebih banyak digerakkan oleh polis yang berpakaian seragam dan berpkaian 'Bersih', dengan tidak semena-mena dikeluarkan pula sebuah fatwa.

Sementara kami menghormati fatwa yang dikeluarkan untuk memberi panduan kepada umat Islam, namun setelah jelas ramai rakyat awam yang tidak bersenjata dan wartawan yang hanya menjalankan tugas dibelasah dengan melampau oleh pihak polis, kami juga tertanya-tanya kenapa tiba-tiba sebuah fatwa dikeluarkan.

Padahal sebelum perhimpunan diadakan dan tuntutan rakyat dikumandangkan serta asas dan bukti dikeluarkan yang menunjukkan adanya penyelewengan berlaku dalam PRU, kenapa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak bersidang untuk mengeluarkan fatwa?

Kami menuntut agar keadaan tersepit yang kini dihadapi oleh kerajaan tidak terus dikelirukan lagi dengan menghasilkan fatwa yang tidak mengambilkira keseluruhan sumber demi menjaga kehormatan Majlis yang bertanggungjawab memandu umat kepada kebenaran dan keadilan.

Mengabsahkan tindakan kerajaan hanya kerana mahu menjaga kepentingan jawatan tidak membantu untuk memandu umat Islam dan memperkukuhkan kedudukan Islam.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Teras.

Harakah Daily

Durian runtuh: Berapa Isa dapat 'lombong emas'

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas mengumumkan 'durian runtuh' kepada peneroka Felda, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengisytiharkan berapa 'lombong emas' yang diperolehi Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) mencabar Najib Tun Razak mengiytiharkan berapa banyak yang diperolehi oleh beberapa individu yang terlibat dalam merencanakan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di bursa saham.

"Rakyat hanya mendapat durian runtuh, pada hakikatnya kroni-kroni yang terlibat seperti Isa Samad mendapat lombong emas dari FGVH ini," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, jika Najib mengisytiharkan berapa 'lombong emas' yang diperolehi individu terbabit barulah rakyat boleh membuat perbandingan.

"Barulah peneroka boleh bandingkan dengan apa yang mereka perolehi dari durian runtuh dengan lombong emas yang diperolehi oleh individu terbabit," katanya.

Justeru, katanya, pengumuman itu satu isyarat jelas bahawa pilihan raya umum semakin hampir.

"Saya tidak menolak mungkin dalam beberapa hari lagi parlimen akan dibubarkan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka Felda seluruh negara.

Pemberian tersebut merupakan satu insentif bagi penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Menurut Najib, dengan penyenarian FGVH, sejumlah RM1.689 bilion akan diagihkan kepada kira-kira 112,000 peneroka.

Wang tersebut akan diagihkan dalam tiga peringkat, masing-masing RM5,000.

Najib turut mengumumkan kejutan dua setengah bulan bonus tambahan kepada semua kakitangan Felda.

Harakah Daily

Anak Mahathir syor S'jaya Diraja siasat Bersih 3.0

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial Marina Mahathir berpendapat kerajaan perlu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung insiden yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 Duduk Bantah pada 28 April lalu.

Katanya, kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya itu bagi membersihkan namanya dan rakyat akan menyokong kerana mereka mempunyai kepentingan di dalamnya.

"Saya tidak fikir sesiapa yang benar-benar akan tahu lagi yang bertanggungjawab. Kita mungkin perlu sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk sampai kepada mereka bawah ini.

"Kerajaan harus merasa insentif untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk membersihkan namanya, dan semua orang patut menyokong kerana setiap orang mempunyai kepentingan di dalamnya," katanya dipetik daripada temubual Free Malaysia Today (FMT).

Beliau yang mengikuti perhimpunan Bersih 3.0 tidak menyaksikan apa-apa provokasi dari penyokong himpunan itu.

Katanya, perhimpunan itu bertukar huru-hara apabila melihat polis menembak kanister gas pemedih mata dan meriam air ke arah orang ramai, selepas peserta himpunan merempuh penghadang di sekitar Dataran Merdeka.

"Tiada siapa yang telah menjadi provokatif. "Terdapat semangat yang tinggi, ramai orang muda dan pihak polis sangat sabar."

"Tetapi mereka tiba-tiba membawa trak, dan orang bertopi keledar dan perisai. Kami tidak benar-benar memahami mengapa. Saya fikir ia adalah satu faktor ugutan," katanya.

Rabu lepas, Persatuan bagi Penggalakan Hak Asasi Manusia (Proham) telah juga menggesa Putrajaya untuk melakukan perkara yang sama dalam laporan yang bercanggah mengenai keganasan antara polis dan peserta himpunan dalam Bersih 3.0.

Bagaimanapun, pihak polis telah mempertahankan tindakan mereka mengatakan bahawa keadaan akan bertambah buruk jika mereka hanya berdiri tepi.

"Perkara yang Dahsyat berlaku (pada hari itu) kerana mereka melemparkan gas pemedih mata. Tidak mahu orang memasuki Dataran Merdeka kemudian dilepaskan gas pemedih mata," katanya.

Harakah Daily

Pemberian durian runtuh kepada peneroka tidak ikhlas

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Najib Razak telah mengumumkan durian runtuh untuk 112,000 peneroka berupa wang sebanyak RM15,000 untuk satu keluarga. Pemberian durian runtuh itu secara berperingkat, RM5,000 untuk bapak, RM5,000 untuk isteri dan RM5,000 untuk anak-anak menelan belanja keseluruhannya RM1.689 billion. Sudah tentu kalau peneroka berkahwin dua atau tiga yang RM5,000 itu harus dibahagi.

Dalam pengumuman itu Najib tidak menjelaskan apakah wang itu merupakan nilai saham yang bakal diterima peneroka selepas Felda Golobal Vantures Holdings Berhad (FGVHB) diniagakan atau pun wang simpanan (rezab) Felda?
Serentak dengan itu juga kaki tangan Felda diberikan bonus dua bulan setengah gaji. Tujuan pemberian itu untuk menarik perhatian para peneroka agar terus menyokong UBN yang kini dikatakan mulai kurang mendapat sokongan peneroka bahkan ada peneroka yang terang-terang menentang kerajaan.

Antara faktor kenapa peneroka marah ialah berikutan berapa tindak tanduk dan langkah dibuat oleh pengurus tidak memenuhi matlamat asal penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan itu dan juga banyak wang digunakan untuk perkara tidak memberi manfaat kepada peneroka.

Perlantikan Mohd Isa Samad sebagai Pengerusi Felda juga dan pertukaran pengurus atasan yang bermotifkan politik antara sebab faktor kemarahan peneroka.

Apabila sekali lagi peneroka diberikan wang sebanyak itu, ini menunjukkan pemberian wang sebagai pancing undi dibuat sebelum ini tidak menjamin peneroka mengundi BN lantaran itu ia perlu ditambah.

Serangan oposisi kepada kerajaan UBN kerana menyenaraikan FGVHB yang didakwa menganiaya dan merugikan peneroka mungkin menyebabkan kerajaan (Najib) terpaksa mencari wang tambahan sebanyak itu. Sebelum ini cadangan Felda untuk menyenaraikan FGVHB telah menimbulkan kemarahan para peneroka kerana ia dianggap sebagai menjual harta dan kepentingan peneroka di dalam syarikat berkenaan.

Cadangan penyenaraian FGVHB itu juga katanya tanpa persetujuan peneroka keseluruhannya. Bantahan yang dibuat tidak diendahkan oleh pengurusan Felda khasnya pengerusinya Mohd Isa Samad.

Kenapa dikatakan begitu, pemberian sebelum tidak berkesan, kerana kalau pemberian sebelum ini tidak menimbulkan persoalan untuk apa kerajaan memberi durian runtuh berkenaan? Sementara kalau penyenaraian FGVHB diuruskan secara betul dan tidak ada undang di sebalik batu, kenapa menyebabkan peneroka bangkit menentangnya?

Bacaan umum apabila peneroka membangkit beberapa isu dan menimbulkan kurang senang kepada Felda ini mencerminkan Felda berbuat sesuatu yang tidak mengikut matlamat asal penubuhan Felda.

Yang menjadi persoalan kini apakah dengan wang sebanyak RM15,000 untuk seisi rumah itu UBN dapat jaminan dari peneroka agar mengundi mereka? Belum tentu lagi.

Najib jelas sekali tidak senang dan kecewa dengan sikap peneroka akhir-akhir ini yang tidak mudah untuk mendengar arahan kerajaan. Cara beliau bersikap bengis dan menyindir peneroka menunjukkan Najib diamuk rasa resah kehilangan kuasa. Kalau Najib adalah Najib sebelum ini, tidak mungkin dia menjadi bengis.

Semasa berucap mengumumkan pemberian durian runtuh itu Najib berkata wang sebanyak RM15,000 itu untuk peneroka yang jujur dan setia kepada BN. Katanya dia mahu tenguk muka para pengkritik penyenaraian FGVHB dan juga pembangkang, apakah mereka ambil atau tidak wang itu.

Cara Najib itu tidak ikhlas dan menjelaskan pemberian itu dibuat kerana kepentingan Umno dan dirinya sendiri dan bukan untuk kesejahteraan peneroka. Dengan memerhati sikap Najib itu sudah pasti kalau Najib tidak terdesak akan kalah dalam pilihan raya ke-13, dia tidak akan memberi durian runtuh berkenaan. Adalah wajar kalau peneroka tidak berterima kasih di atas pemberian itu kerana ia dibuat dengan adanya motif politik dan bukan secara jujur, bertanggungjawab dan ikhlas. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Harakah Daily

Peneroka rugi RM20,000, kebun diceroboh gajah liar

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEMAMAN – Akibat kebun pisang dan sawit diceroboh gajah liar, sepasang suami isteri kerugian lebih RM20,000 apabila sebahagian besar tanaman mereka di Felda Cerul, dekat sini, musnah dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Lebih menyedihkan, pemilik kebun berkenaan, Siti Latifah Nor Sapee, 21, hanya mampu terduduk sesudah melihat berpuluh-puluh tandan pisang yang sudah hampir masak bertaburan sementara anak pokok sawit yang berusia dua tahun ranap dikerjakan haiwan berkenaan ketika pergi ke kebun kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Ibarat malang datang bertimpa, kejadian tanaman musnah gara-gara gajah itu juga bukan musibah pertama dihadapinya malahan ia adalah kali ketiga dalam tempoh dua tahun menyebabkan dia sekeluarga mengalami kerugian besar, walaupun perkara itu telah diadukan kepada pihak berkenaan khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Saya terkedu dan rasa terlalu sebak apabila melihat sebahagian tanaman pisang dan kelapa sawit rosak bertaburan sebaik sampai di kebun sebelum memaklumkannya pada suami.

“Apabila diperiksa kami dapati ada kesan kaki gajah sedalam lebih 30 sentimeter di beberapa tempat di kawasan kebun seluas lebih dua hektar itu dan tidak syak lagi sekumpulan gajah liar itu datang semula memusnahkan kebun saya ini,” katanya ketika membersihkan sebahagian tanaman kelapa sawit yang rosak di kebun mereka itu.

Sebelum ini, Siti Latifah Nor menanam semula pokok kelapa sawit dan pisang sejurus sebahagiannya musnah awal tahun lalu akibat serangan haiwan terbabit dengan bantuan kewangan daripada bapanya.

Sementara itu, suaminya, Shaari Mamat, 26, memberitahu, impian mereka untuk menyimpan wang hasil jualan pisang yang tidak lama lagi boleh dituai musnah, kerana sebahagiannya telah dirosakkan manakala anak sawit yang berusia dua tahun pula tidak sempat mengeluarkan hasil.

“Perasaan sedih tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Siapa tidak sedih kalau sebahagian besar tanaman musnah. Paling sayu bila lihat berpuluh-puluh tandan pisang bertaburan di atas tanah.

“Kami telah mengadu masalah ini kepada beberapa pihak berkenaan seperti Perhilitan agar tindakan pencegahan dapat diambil termasuk berusaha mendapatkan bantuan anak benih dan membina pagar elektrik namun semuanya menemui jalan buntu,” katanya kesal.

Sehubungan itu, Shaari berharap masalah mereka itu mendapat perhatian dan bantuan daripada pihak berkaitan sekali gus dapat membantu mereka mencari modal untuk menanam semula sebagai sumber rezeki.

Sinar Harian

Mat Zan: 'Saya masih jurulatih'

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEMELUT pasukan bola sepak Terengganu semakin parah apabila pe­ngendalinya, Mat Zan Mat Aris didakwa akan meletakkan jawatannya berkuat kuasa 1 Jun depan.

Pun begitu, Mat Zan yang pernah membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001, enggan membicarakan mengenai masa depannya selepas khabar angin yang mengatakan beliau akan berundur daripada mengendalikan skuad Penyu itu.

Beliau yang direhatkan daripada tugas­nya bermula 2 sehingga 15 Mei ini berkata, masih banyak perkara yang perlu diselesaikannya buat masa ini, sebelum membuat sebarang keputusan berhubung hala tujunya selepas ini.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak pengurusan dan kami telah berbincang dan bersetuju dengan keputusan (untuk direhatkan).

“Jadi, buat masa ini saya hanya mahu berehat dan tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Pos Malaysia itu mengucapkan terima kasih di atas soko­ngan moral yang diberikan kepadanya.

Menurutnya, beliau masih terikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sehingga tahun depan dan keputusan me­ngenai kedudukannya selepas direhatkan akan diumumkan selepas perjanjian serta perundingan secara rasmi tidak lama lagi.

“Secara lisan, kami telah bersetuju (letak jawatan) tetapi perjanjian secara rasmi belum dibuat. Sebenarnya, saya masih memiliki kontrak sehingga 2013 dan selepas perbincangan rasmi dibuat, saya akan memikirkan langkah seterusnya.

“Keputusan ini di­buat sebagai langkah untuk memulihkan prestasi Terengganu. Saya akui sedikit tertekan, namun ini semua adalah lumrah sebagai jurulatih,” katanya.

Kelmarin, dalam satu laporan akhbar, Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh me­ngesahkan jurulatih itu me­ngambil keputusan meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Difahamkan, beberapa nama besar termasuk bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler dikaitkan mengambil alih `kerusi panas’ yang bakal dikosongkan Mat Zan nanti.

Sinar Harian

08 Mei 2012

Nik Aziz is father of kafir? Apa komen TG Nik Aziz?.. bacalah..

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Bagi aku.. tindakan bekas Ketua Polis Negara melabelkan TG Nik Aziz sebagai Bapa kepada Kafir adalah satu tindakan yang keterlaluan, tidak wajar dan juga biadab!.. tapi pendapat aku tu tak penting, yang penting ialah ulasan TG Nik Aziz sendiri.. baca kat bawah.

Sebelum itu baca apa yang telah dikatakan oleh Rahim Noor sepertimana yang dilaporkan oleh Media tunggangan UMNO/BN..

Bagi memudahkan bacaan semua Semut Malaysia dah besarkan image.. baca kat bawah ni..

Baca pula apa kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dulu..

KUALA LUMPUR, 8 Mei: PAS akan menyaman bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor dan News Straits Times (NST) atas kenyataan tidak beradab dan melampau yang dikeluarkan terhadap Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Tuduhan yang dikeluarkan oleh beliau sangat kurang ajar dan melampau batas. Sehubungan itu, PAS Pusat menggesa agar beliau memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan yang dikeluarkan itu kerana ianya tidak berasas dan fitnah semata-mata.

PAS turut akan mempertimbangkan saman terhadap akhbar NST yang sanggup menyiarkan berita fitnah tersebut tanpa usul-periksa,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata tindakan NST yang sanggup melaporkan kenyataan Rahim Noor telah merosakkan lagi imej akhbar tersebut yang baru-baru ini tercalar teruk kerana dibukti memutar-belitkan kata-kata Senator Australia Nick Xenophon berdasarkan kata-kata ahli parlimen yang tidak berwibawa.

“Latar belakang dan kisah silam Rahim Noor sudah diketahui umum dan sepatutnya sebagai suratkhabar yang berwibawa, penyelidikan dan semakan terhadap kata-kata beliau perlu dilakukan sebelum dipaparkan terutamanya yang berbentuk fitnah sebegini.

Jika fitnah terang-terang yang bersifat sampah sedemikian boleh dinilai sebagai berharga untuk digunakan sebagai berita utama, apakah nilai kualiti yang ada pada media milik kerajaan?” soal beliau.

Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa menuduh seseorang individu sebagai kafir merupakan tuduhan paling berat dalam persoalan aqidah.

“Harus difahami bahawa tuduhan terhadap peribadi tidak sama dengan menuduh kumpulan. Tambahan pula kalau dalam kumpulan tersebut, memang terdapat ahlinya yang terdiri dari kalangan orang kafir.

"Maka kaedah feqah jelas menyebut sesiapa yang mengkafirkan orang mukmin, maka tuduhan kafir itu kembali kepadanya,” terang beliau.

PAS, kata Tuan Ibrahim tidak pernah membuat sebarang tuduhan kepada mana-mana individu sebagai kafir dalam mana-mana ceramah atau ucapan.

“Apa yang PAS jelaskan ialah batas-batas iman dan kufur yang menjadi sebahagian daripada silibus pengajian aqidah. Oleh itu, fitnah Rahim Noor yang bersifat peribadi kepada Tuan Guru Nik Aziz sebagai seorang ulamak dan Mursyidul Am Parti merupakan tuduhan yang melampaui batas,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

PAS Pusat melalui Lujnah Guaman, katanya akan mengambil tindakan undang undang kepada Rahim Noor dan NST dalam masa terdekat.

“Ucapan melampau sedemikian tidak boleh disuburkan sebagai budaya di negara kita. Ahli-ahli PAS diseru fokus pada kerja pilihanraya kerana ini sebahagian mainan media untuk mengalihkan fokus utama kita, di saat menjelang PRU ke 13,” nasihat beliau - Harakahdaily

Dan apa komen TG Nik Aziz sendiri dalam hal ini..

Dipetik dari FB TG Nik Aziz.. "Saya ditunjukkan keratan akhbar muka enam NST hari ini. Saya tidak mahu memberikan apa-apa komen."

Pendek dan tidak melenting sama sekali meskipun tuduhan yang dilontarkan buatnya adalah sesuatu yang berat..

HARAKAHDAILY/-

26 maut, 100 hilang dalam banjir kilat di Afghanistan

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KABUL 8 Mei - Sekurang-kurang 26 orang maut dan lebih 100 lagi hilang dalam satu kejadian banjir kilat di utara Afghanistan di sini semalam.

Dalam kejadian tersebut, tiga buah kampung di daerah Deh Mardan di wilayah Sari Pul dilanda banjir akibat hujan lebat.

Menurut Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah, Fazlullah Sadat, pihaknya menemui 26 mayat yang kebanyakan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. - AFP

Tol Batu Tiga & Sg Rasau perlu ditutup

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ULASAN Pemuda PKR (AMK) Negeri Selangor terkesan dengan keluhan dan permasalahan rakyat khususnya warga negeri Selangor yang saban hari dibebankan dengan kutipan tol setiap kali melalui Lebuhraya Persekutuan, iaitu laluan yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur dan melibatkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau.

Lebuhraya Persekutuan yang dibuka pada tahun 1974 mulai membuka laluan bertol sepanjang 18 kilometer yang mula beroperasi pada 1992.

Kutipan tol pula mula berkuatkuasa pada 15 November 1993 iaitu melibatkan dua plaza tol; Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau dengan kutipan tol permulaan bagi kenderaan Kelas 1 seperti kereta di Plaza Tol Batu Tiga sebanyak 60 sen dan 50 sen di Plaza Tol Sungai Rasau, manakala bagi lori/treler ialah RM1.20 di Plaza Tol Batu Tiga dan RM1.00 di Plaza Tol Sungai Rasau.

Selepas hampir 20 tahun beroperasi, kadar kutipan tol di kedua-dua plaza tol ini telah mencecah hampir dua kali ganda dari kadar kutipan asal iaitu sebanyak RM1.10 bagi kenderaan Kelas 1 di Plaza Tol Batu Tiga dan RM1.00 di Plaza Tol Sungai Rasau.

Kutipan tol bagi lori/treler pula di Plaza Tol Batu Tiga adalah RM2.20 manakala RM2.00 di Plaza Tol Sungai Rasau.

Merujuk kepada Penyata Rasmi Parlimen bagi Dewan Rakyat ketika Parlimen kelapan, penggal ketiga, Jilid III, bilangan 43 bertarikh 10 November 1993 di bawah usul yang dibawa oleh ahli Parlimen Klang YB Fong Kui Lun (kini ahli Parlimen Bukit Bintang) bertajuk Kutipan Tol Di Lebuhraya Persekutuan 2 Di Antara Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau, dinyatakan bahawa kebenaran mengutip tol yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pihak PLUS adalah sehingga tahun 2018.

Jika merujuk kepada penyata rasmi Parlimen yang sama, ternyata, operasi kedua-dua plaza tol ini adalah bertujuan untuk memindahkan beban pembayaran kos pembinaan pembesaran Lebuhraya Persekutuan berjumlah RM357 juta kepada rakyat.

Ini seharusnya tidak terjadi memandangkan adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan menyediakan semua kemudahan termasuk lebuhraya untuk manfaat semua rakyat.

Jika dihitung secara terperinci keuntungan yang diperolehi oleh pihak PLUS menerusi operasi kedua-dua plaza tol ini, ternyata kos pembinaan pembesaran lebuhraya Persekutuan sepanjang 18 kilometer berjumlah RM357 juta ini mampu selesai ditampung balik menerusi kutipan tol dalam tempoh lebih kurang tiga (3) tahun sahaja.

Merujuk kepada penyata rasmi Parlimen yang sama, kos purata untuk pembinaan lebuhraya bagi jarak satu (1) kilometer menelan belanja sebanyak RM20 juta. Sekiranya lebih 160,000 kenderaan melalui (pergi dan balik) kedua-dua plaza tol ini setiap hari, bererti sebanyak RM352,000 telah berjaya dikutip.

Dalam tempoh sebulan, sebanyak RM10.56 juta akan berjaya dikumpul dan dalam tempoh lebih kurang tiga (3) tahun, nilai modal bagi kos pembinaan pembesaran lebuhraya sebanyak RM357 juta tersebut telah berjaya ditampung kembali.

Sehubungan dengan itu, memandangkan kini telah hampir 20 tahun kedua-dua tol tersebut beroperasi, adalah mustahil sekiranya kos pembinaan pembesaran lebuhraya yang siap pada 1992 ini masih belum berjaya dilunaskan.

Ini dikuatkan lagi dengan fakta bahawa kadar kutipan tol di kedua-dua plaza tol tersebut telah meningkat sebanyak dua kali ganda dari kadar kutipan asal.

Setiap hari, ratusan ribu rakyat menggunakan laluan bertol di Lebuhraya Persekutuan ini untuk pelbagai tujuan terutamanya ke tempat kerja.

Seandainya mereka menetap di Klang dan bekerja di Kuala Lumpur, maka setiap hari mereka terpaksa membelanjakan sebanyak RM4.20 bagi menampung kos bayaran tol (pergi dan balik) dari rumah ke tempat kerja.

Kos ini tidak termasuk kos minyak petrol yang turut dijual pada harga tinggi dan membebankan.

Justeru, AMK negeri Selangor merasakan telah sampai masanya untuk pihak kerajaan memansuhkan serta menutup operasi kedua-dua plaza tol ini pada kadar segera. Rakyat tidak seharusnya dibebankan lagi dengan kutipan tol di kedua-dua plaza tol ini.

AMK negeri Selangor dengan ini mendesak pihak Kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya supaya memansuhkan dan menutup operasi di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau dengan segera sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

AMK negeri Selangor dengan kerjasama parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan juga akan turut menggerakkan satu demonstrasi aman pada 13 Mei 2012 bagi menuntut pemansuhan dan penutupan kedua-dua tol ini.

AZMIZAM ZAMAN HURI naib ketua Pemuda PKR (AMK) merangkap ketua AMK Selangor. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Bayi diselamat sebelum sempat dibaham anjing

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH: Pengerusi Rukun Tetangga kawasan Bercham, Tan Swee Kong menemui seorang bayi lelaki yang masih bernyawa di dalam bungkusan plastik di hadapan rumahnya di Anjung Bercham Indah di sini malam tadi.

"Terdapat kesan gigitan anjing yang cuba mengoyakkan beg plastik itu, tapi saya sempat ambil bungkusan itu kerana bayi itu pasti menjadi habuan anjing jika saya terlambat," kata Tan kepada pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Katanya beliau membuat laporan berhubung penemuan bayi itu di Balai Polis Bercham dan pada 1 pagi tadi, bayi itu dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon yang melawat bayi tersebut menyifatkan individu yang membuang bayi tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.

"Saya kesal dengan dengan sikap pihak yang masih sanggup melakukan pembuangan bayi. Bayi itu begitu bernasib baik kerana ditemui bernyawa dan saya mengecam tindakan mereka," katanya.

Dr Mah berkata bagi mengurangkan kes pembuangan bayi, pihak hospital telah menubuhkan 'baby hatch' kepada individu yang tidak mahu memelihara bayi mereka.

"Bayi itu boleh ditinggalkan di baby hatch tersebut dan ini juga boleh mengurangkan kadar kematian dalam kes pembuangan bayi," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohad Isa Hussin berkata polis menerima panggilan berhubung kes tersebut kira-kira tengah malam tadi sebelum mengarahkan anggota ke lokasi terbabit.

"Bayi itu kita lihat berada dalam keadaan baik dan kita masih mengesan identiti bayi itu dan individu yang terbabit," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA

2.5 juta rakyat Malaysia berusia lebih 25 tahun tidak berkahwin

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sekitar 2.5 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 25 tahun dan mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini, masih belum atau tidak berkahwin, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie berkata berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, daripada jumlah itu 60.4 peratus adalah lelaki.
Bancian itu juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada tahun 2000, manakala bagi wanita pula meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun, katanya menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong.

Heng berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat pada 2004 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara, mendapati 32.1 peratus daripada responden tidak pernah berkahwin.

Daripada jumlah itu, 55.6 peratus adalah lelaki, katanya.

"Sebanyak 44.7 peratus daripada responden lelaki tidak berkahwin kerana masalah kewangan, tiada calon sesuai (19.3 peratus), kerjaya (12.8 peratus), komitmen keluarga (6.3 peratus) dan selebihnya sebab lain.

"Sebanyak 40 peratus wanita tidak berkahwin kerana tiada calon sesuai, masalah kewangan (14 peratus), kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus), komitmen keluarga (7.4 peratus) dan selebihnya sebab lain," katanya.

Heng berkata kementerian tidak bercadang mewujudkan perkhidmatan pusat temu jodoh atau perkhidmatan temu jodoh secara dalam talian kerana perkhidmatan itu telah disediakan swasta, pertubuhan bukan kerajaan badan agama dan beberapa parti politik. - BERNAMA

Bersih 3.0: Polis tanya soalan seksual

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 8 Mei: Peguam, Latheefa Koya hari ini menyatakan rasa terkejut apabila soalan yang ditanya kepada dua peserta yang ditahan polis, Khalid Mohd Ismath, seorang mahasiswa dan Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah, R.Tangam hanya tertumpu kepada soalan seksual sahaja.

Beliau yang ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat PKR turut menyatakan tidak ada soalan yang ditanya berkaitan dengan perhimpunan Bersih pada 28 April lepas.

"Saya amat terkejut apabila diberitahu oleh Khalid bahawa polis yang menyoal beliau hanya bertanya adakah beliau menyokong amalan seks sejenis iaitu homoseksual, lesbian atau liwat antara dua jantina (LGBT).

"Malah pihak polis turut menyoalkan beliau apakah beliau tidak tahu bahawa 'facebook' itu hak milik Yahudi dan setiap bulan bayaran bil internet boleh menyumbang kepada ekonomi Yahudi," jelasnya.

Tambah beliau, soalan-soalan tersebut adalah mirip kepada soalan-soalan yang pernah ditanya kepada tahanan Akta Tahanan Dalam Negeri (ISA).

"Kita ingin tahu apa sebenarnya agenda polis menyoal tahan dengan soalan-soalan sedemikian.

"Selain itu juga Khalid telah diletakkan di hadapan tahanan lain (OKT) warga asing yang tidak mendapat akses peguam dan dalam masa yang sama seorang anggota polis telah menjerit kepada OKT Bangladesh bagi tujuan menakutkan Khalid," katanya.

Katanya lagi, dalam waktu Khalid diletakkan di hadapan OKT lain, terdapat seorang anggota polis telah masuk dan mengatakan Khalid telah memukul serta membunuh polis, malah turut mengugut mengatakan 'habislah kau malam ini'.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tindakan polis menangkap Khalid ketika beliau hadir untuk memberi kerjasama adalah melanggari etika serta tidak sepatutnya berlaku.

Malah Khalid juga turut diarahkan menandatangi satu borang yang beliau sendiri tidak mengetahui apa tujuannya.

“Tetapi setelah kita telitikan ia merupakan borang yang memberi kebenaran pihak polis menyoal Khalid tanpa ditemani peguam.

Sementara itu, N. Surendran berkata keputusan pihak polis memaparkan gambar-gambar di media-media arus perdana sebenarnya telah melanggari peruntukan yang ada.

"Kalau betul pihak polis ingin meminta mereka semua hadir beri keterangan, polis sepatutnya mengeluarkan notis bukannya bertindak mengikut arahan Umno Barisan Nasional dengan memaparkan gambar-gambar.

"Bagi saya ini merupakan satu agenda yang telah dirancang oleh Umno Barisan Nasional dengan tujuan untuk menakutkan mereka serta memalukan peserta," tegasnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Khalid yang mana beliau telah ditahan lebih 24 jam walaupun mahkamah menolak permohonan polis untuk mengenakan tahanan reman selama empat hari.

harakahdaily/-