09 Mei 2012

Mat Zan: 'Saya masih jurulatih'

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEMELUT pasukan bola sepak Terengganu semakin parah apabila pe­ngendalinya, Mat Zan Mat Aris didakwa akan meletakkan jawatannya berkuat kuasa 1 Jun depan.

Pun begitu, Mat Zan yang pernah membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001, enggan membicarakan mengenai masa depannya selepas khabar angin yang mengatakan beliau akan berundur daripada mengendalikan skuad Penyu itu.

Beliau yang direhatkan daripada tugas­nya bermula 2 sehingga 15 Mei ini berkata, masih banyak perkara yang perlu diselesaikannya buat masa ini, sebelum membuat sebarang keputusan berhubung hala tujunya selepas ini.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak pengurusan dan kami telah berbincang dan bersetuju dengan keputusan (untuk direhatkan).

“Jadi, buat masa ini saya hanya mahu berehat dan tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Pos Malaysia itu mengucapkan terima kasih di atas soko­ngan moral yang diberikan kepadanya.

Menurutnya, beliau masih terikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sehingga tahun depan dan keputusan me­ngenai kedudukannya selepas direhatkan akan diumumkan selepas perjanjian serta perundingan secara rasmi tidak lama lagi.

“Secara lisan, kami telah bersetuju (letak jawatan) tetapi perjanjian secara rasmi belum dibuat. Sebenarnya, saya masih memiliki kontrak sehingga 2013 dan selepas perbincangan rasmi dibuat, saya akan memikirkan langkah seterusnya.

“Keputusan ini di­buat sebagai langkah untuk memulihkan prestasi Terengganu. Saya akui sedikit tertekan, namun ini semua adalah lumrah sebagai jurulatih,” katanya.

Kelmarin, dalam satu laporan akhbar, Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh me­ngesahkan jurulatih itu me­ngambil keputusan meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Difahamkan, beberapa nama besar termasuk bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler dikaitkan mengambil alih `kerusi panas’ yang bakal dikosongkan Mat Zan nanti.

Sinar Harian

Tiada ulasan: