09 Mei 2012

Pemuda PAS kecam hantar peluru, nota ugutan

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Mei: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk dan mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menghantar peluru dan nota ugutan bunuh sebagai ancaman kepada Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Juhari Osman di rumah beliau semalam.

Justeru, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan tindakan terdesak itu adalah sebagai satu penghinaan yang membelakangkan undang-undang negara.

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, sebagai sebuah negara yang sedang menuju kemajuan di dalam pelbagai sektor namun masih ada lagi orang-orang yang berfikiran sempit dan jumud yang merasakan diri mereka lebih berkuasa dan tinggi daripada undang-undang negara.

“Inilah nilai pemikiran masyarakat yang telah diwujudkan oleh Umno dan Barisan Nasional selama ini, masyarakat yang sentiasa mencari peluang untuk menindas, mengancam bahkan sehingga ke tahap membunuh orang lain sekiranya perlu untuk memuaskan hati mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat keberanian puak-puak sebegini adalah hasil daripada kurangnya ketegasan pihak berkuasa di dalam menangani kes-kes sebegini dan hanya menganggap sebagai kes terpencil.

Oleh itu, ujar beliau Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta supaya pihak berkuasa yang bertanggungjawab di atas keselamatan rakyat di dalam negara ini melakukan siasatan menyeluruh dengan kadar segera di atas perkara itu dan mengambil tindakan yang tegas terhadap pelaku dan pesalah yang dilihat ‘cukup berani’ untuk mengambil tindakan di luar konteks undang-undang negara.

Harakah Daily

Tiada ulasan: