09 Mei 2012

Peneroka rugi RM20,000, kebun diceroboh gajah liar

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEMAMAN – Akibat kebun pisang dan sawit diceroboh gajah liar, sepasang suami isteri kerugian lebih RM20,000 apabila sebahagian besar tanaman mereka di Felda Cerul, dekat sini, musnah dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Lebih menyedihkan, pemilik kebun berkenaan, Siti Latifah Nor Sapee, 21, hanya mampu terduduk sesudah melihat berpuluh-puluh tandan pisang yang sudah hampir masak bertaburan sementara anak pokok sawit yang berusia dua tahun ranap dikerjakan haiwan berkenaan ketika pergi ke kebun kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Ibarat malang datang bertimpa, kejadian tanaman musnah gara-gara gajah itu juga bukan musibah pertama dihadapinya malahan ia adalah kali ketiga dalam tempoh dua tahun menyebabkan dia sekeluarga mengalami kerugian besar, walaupun perkara itu telah diadukan kepada pihak berkenaan khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Saya terkedu dan rasa terlalu sebak apabila melihat sebahagian tanaman pisang dan kelapa sawit rosak bertaburan sebaik sampai di kebun sebelum memaklumkannya pada suami.

“Apabila diperiksa kami dapati ada kesan kaki gajah sedalam lebih 30 sentimeter di beberapa tempat di kawasan kebun seluas lebih dua hektar itu dan tidak syak lagi sekumpulan gajah liar itu datang semula memusnahkan kebun saya ini,” katanya ketika membersihkan sebahagian tanaman kelapa sawit yang rosak di kebun mereka itu.

Sebelum ini, Siti Latifah Nor menanam semula pokok kelapa sawit dan pisang sejurus sebahagiannya musnah awal tahun lalu akibat serangan haiwan terbabit dengan bantuan kewangan daripada bapanya.

Sementara itu, suaminya, Shaari Mamat, 26, memberitahu, impian mereka untuk menyimpan wang hasil jualan pisang yang tidak lama lagi boleh dituai musnah, kerana sebahagiannya telah dirosakkan manakala anak sawit yang berusia dua tahun pula tidak sempat mengeluarkan hasil.

“Perasaan sedih tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Siapa tidak sedih kalau sebahagian besar tanaman musnah. Paling sayu bila lihat berpuluh-puluh tandan pisang bertaburan di atas tanah.

“Kami telah mengadu masalah ini kepada beberapa pihak berkenaan seperti Perhilitan agar tindakan pencegahan dapat diambil termasuk berusaha mendapatkan bantuan anak benih dan membina pagar elektrik namun semuanya menemui jalan buntu,” katanya kesal.

Sehubungan itu, Shaari berharap masalah mereka itu mendapat perhatian dan bantuan daripada pihak berkaitan sekali gus dapat membantu mereka mencari modal untuk menanam semula sebagai sumber rezeki.

Sinar Harian

Tiada ulasan: