09 Mei 2012

Malu dituduh pecah rumah

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH - “Saya rasa malu dituduh macam ni. Belum pernah lagi saya lakukan kegiatan jenayah,” Begitulah luahan seorang mekanik, Mohamad Alif Mohd Rudi, 22, yang hampir bermalam di dalam lokap selepas dituduh terlibat dalam kes pecah rumah.

Kejadian pecah rumah itu berlaku pada 5 Mei lalu di Taman Sri Rapat, di sini, dan pada ketika itu beliau berada di Kelantan sejak 3 Mei lalu menghadiri majlis tahlil arwah datuknya yang baru meninggal dunia.

Ketika dalam perjalanan balik ke Ipoh, beliau menerima panggilan daripada polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh yang memintanya pulang segera kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

“Saya terus bertemu dengan pegawai polis untuk soal siasat. Saya kemukakan segala bukti termasuk permit pengebumian datuk saya, resit tol dan barang-barang yang dibeli hari itu. “Selepas bukti-bukti itu dikemukakan, barulah saya dilepaskan. Keluarga dan kawan-kawan tahu tentang tuduhan ini. Saya tak tahu mana nak letak muka sekarang ini,” jelasnya yang cukup sedih dengan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita yang juga bekas rakan sekolahnya itu.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat ke atasnya, memang jelas namanya dinyatakan dalam laporan polis wanita itu.

Beliau kini menghadapi kesukaran untuk bekerja dan mula di padang serong oleh rakan-rakan kerana dituduh pecah rumah.

Kata Mohamad Alif lagi, pengadu langsung tidak rasa bersalah dan tidak memohon maaf atas tindakan yang menjejaskan nama baiknya.

“Saya minta selepas ini, dia (pengadu) atau mana-mana individu, janganlah buat tuduhan sembarangan tanpa ada bukti kukuh. “Disebabkan tuduhan keterlaluan itu, saya minta dia mohon maaf kepada saya dan saya juga akan memikirkan sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: