09 Mei 2012

Suami isteri maut dalam kemalangan

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Sepasang suami isteri maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Rasah, di sini, malam kelmarin.

Phang Ching Wah, 55, dan isterinya, Chong May Chin, 49, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta anggota badan.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Rasah dari Seremban.

“Kenderaan pelbagai guna dipercayai dipandu laju merempuh mangsa yang membuat pusingan U di lorong kanan. “Akibatnya, mangsa terpelanting hampir 100 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemandu kenderaan melarikan diri tetapi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, tengah malam kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Assistan Ko­misioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian tersebut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: