09 Mei 2012

Empat disyaki terlibat culik Nayati ditahan

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR — Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, pada 27 April lepas.

Menurut sumber polis, suspek yang berusia antara 30-an dan 50-an itu ditangkap dalam operasi berasingan di Perak dan Cheras, Selangor, sejak Ahad hingga awal pagi ini.

"Polis menemui semula lebih RM100,000 iaitu sebahagian daripada wang tebusan yang dibayar oleh bapa Nayati (Sham Moodliar) dan ibunya (Janice Smith),” kata sumber itu.

Anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang melakukan tangkapan itu turut merampas peralatan seperti komputer riba dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan rundingan dan meminta wang tebusan daripada ibu bapa Nayati.

Sumber itu berkata, polis menunggu kepulangan keluarga Nayati yang dilaporkan sedang bercuti bagi membolehkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu membuat pengecaman terhadap suspek-suspek berkenaan.

Difahamkan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam penculikan itu sedang diburu polis dan dipercayai masih berada di sekitar ibu negara.

Sumber itu tidak menolak kemungkinan polis akan memberkas suspek dalam masa terdekat berdasarkan beberapa maklumat yang diperoleh hasil risikan polis. — BERNAMA

Tiada ulasan: