09 Mei 2012

Lembu punya pasal, 2 sahabat bergaduh

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Niat murni seorang pekerja kontrak membantu menjual lima ekor lembu milik rakannya kepada pelanggan, bertukar menjadi episod huru-hara setelah dia dituduh mencuri semua lembu terbabit dalam satu kejadian di Kampung Batu Rakit, di sini, seminggu lalu. (Gambar Hiasan)

Lebih malang, suspek berusia 26 tahun dan berasal dari Bukit Payong, Marang itu, dituduh oleh rakannya sendiri melarikan kesemua lembu miliknya, walaupun pada masa sama, dia mendakwa telah menyerahkan wang hasil jualan kepada rakannya itu.

Bagaimanapun, rakannya mendakwa tidak menerima wang berkenaan berjumlah kira-kira RM7,600 dan disebabkan itulah, rakannya enggan memberikan wang upah seperti yang dijanjikan sebelum itu.

Suspek yang ‘naik hantu’ dengan tuduhan itu nekad membelasah mangsa, namun mangsa sempat melarikan diri dan dikejar suspek.

Malang bagi suspek kerana semasa sedang mengejar mangsa, dia tergelincir dan terjatuh di dalam semak sehingga menyebabkan kakinya patah.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perbuatan suspek mengambil keputusan membuat laporan polis berhubung kehilangan lembunya dan susulan laporan dibuat, suspek ditahan di rumahnya malam semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan menerima laporan.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Agency

Tiada ulasan: