10 Mei 2012

Liga Europa: Simeone bangga pencapaian Atletico Madrid

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JURULATIH Atletico Madrid, Diego Simeone melahirkan rasa kegembiraan setelah berjaya membimbing pasukannya muncul juara Liga Europa - mempertahankan gelaran untuk kali kedua dalam tempoh dua tahun.

Pada perlawanan awal pagi tadi (waktu Malaysia), Atletico Madrid menewaskan rakan senegaranya, Athletic Bilbao 3-0 menerusi dua jaringan penyerang kelahiran Colombia, Radamel Falcao dan Ribas Diego pada minit ke-85 untuk memusnahkan impian kelab itu dinobatkan juara kali pertama setelah gagal melakukannya pada 1977.

"Saya gembira dengan corak permainan pemain pada pertemuan tadi sehingga kita berjaya mencapai apa yang kita inginkan selama ini.

"Pemain bermain dengan sangat bagus, Radamel pula menunjukkan peningkatan yang luar biasa sehingga membuatkan matlamat kita untuk menjulang juara tercapai," kata Simeone.

Tambah beliau, kemenangan ini juga dapat membuka mata banyak pihak di seluruh Eropah yang selama ini mempertikaikan kemampuan mereka untuk mencipta kejayaan.

"Sekarang adalah masa untuk semua orang mengingati kejayaan kami dan berharap mereka akan gembira dengan apa yang telah kami capai," katanya.

Sementara itu, bagi jurulatih Athletic Bilbao, Marcelo Bielsa, kekalahan ini merupakan satu tamparan hebat yang diterima oleh kelab itu, bagaimanapun beliau tidak akan menyalahkan pemain seratus peratus sebaliknya akan bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku.

"Saya memang kecewa, apa yang saya lihat, pemain tidak bermain dengan baik.

"Namun saya tetap berpuas hati dengan komitmen pemain yang ditunjukkan, dan saya akan bertanggungjawab kekalalahan ini dengan pihak pengurusan.

"Apa-apa pun kami terpaksa akur kerana Madrid bermain sangat baik. Mereka berjuang berhabis-habisan sehingga ke wisel penamat, dan mereka memang layak untuk mencapai kemenangan ini," kata bekas jurulatih Argentina itu.

Sinar Harian

Pesawat bawa 50 orang hilang di Indonesia

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GAMBAR kelmarin menunjukkan pesawat buatan Rusia, Sukhoi Superjet-100 berada di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta.

JAKARTA - Sebuah pesawat penumpang baharu buatan Rusia yang membawa 50 orang hilang semasa melakukan penerbangan demonstrasi di sebuah kawasan pergunungan di Indonesia.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan memberitahu, pasukan mencari dan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian di barat Indonesia.

Cuaca buruk bagaimanapun, menyebabkan sekurang-kurangnya dua buah helikopter terpaksa berpatah balik.

Pesawat berkenaan, Sukhoi Superjet-100 berlepas dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di ibu kota Indonesia di sini pada pukul 2.21 petang waktu Indonesia.

Pesawat itu tidak dapat dikesan oleh radar 12 minit kemudian, selepas seorang kru meminta kebenaran daripada pusat kawalan trafik udara untuk terbang pada ketinggian 3,000 meter ketika menghampiri Banjaran Gunung Salak.

"Saya melihat sebuah pesawat besar terbang melintasi rumah saya," kata Juanda, seorang penduduk kampung yang tinggal dekat gunung setinggi 2,200 meter itu kepada stesen televisyen tempatan, TVOne.

"Pesawat itu senget dan enjin pesawat pula seperti mengaum," tambah wanita berkenaan.

Ketika kejadian, pesawat itu membawa beberapa orang diplomat dari Kedutaan Rusia, sejumlah pegawai syarikat penerbangan Indonesia dan wartawan dalam penerbangan demonstrasi selama 50 minit. - Agensi

Yahoo siasat rekod akademik CEO

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SAN FRANCISCO: Yahoo merancang mewujudkan satu jawatankuasa khas dibantu seorang peguam dari luar syarikat itu bagi mengkaji semula kontroversi kesilapan catatan biografi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Scott Thompson ketika perkara itu menjadi sebab pihak tertentu memberi tekanan ke firma berkenaan.

Lembaga Pengarah Yahoo menyatakan, pihaknya akan mengkaji latar belakang akademik Thompson selain apa yang diketahui orang yang mengambilnya menjadi CEO.

Minggu lalu, Yahoo mengakui kesilapan tidak disengajakan dalam biografi online CEO yang menyatakan beliau memiliki ijazah sains komputer sedangkan itu tidak benar.
Langkah mewujudkan jawatankuasa khas itu disiarkan sehari selepas sebuah dana lindung nilai menggesa dokumen pengambilan kerja Thompson disiarkan dalam satu aduan kepada pihak berkuasa.

Dana Third point memfailkan aduan itu kepada Suruhanjaya Bursa Saham (SEC) selepas desakannya supaya Thompson dipecat kerana menokok tambah rekod pendidikannya melepasi tempoh akhir yang diberikannya.

Third Point yang memiliki 5.8 peratus ekuiti gergasi teknologi itu turut mengemukakan beberapa calonnya untuk menjadi ahli Lembaga Pengarah Yahoo yang dianggap satu serangan terhadap pengurusan.

Jawatankuasa khas itu dipengerusikan oleh Alfred Amoroso, seorang pengarah bebas Yahoo dan mengekalkan perunding bebas, Terry Bird, sebagai penasihat.
Bird adalah peguam dari Los Angeles yang pakar dalam saman dan siasatan dalaman.

“Jawatankuasa khas dan Lembaga Pengarah akur kepada kehendak semasa dan akan menjalankan siasatan bebas secara menyeluruh.

“Lembaga Pengarah akan membuat pendedahan sewajarnya kepada pemegang saham selepas kajian semula tamat,” menurut kenyataan Yahoo.

Yahoo juga mengumumkan, ahli bebas Lembaga Pengarah, Patti Hart memutuskan untuk tidak bertanding semula apabila mesyuarat pemegang saham bersidang. Hart juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat peralatan komputer, International Game Technology.

Hart turut menjadi sasaran Third Point yang menuduhnya menokok tambah pencapaian akademiknya.

Third Point menuduh syarikat berkenaan tidak menjelaskan bagaimana Jawatankuasa Kerja yang mengambil Thompson sebagai CEO tidak memeriksa rekod pemohon yang dikatakan pasti menunjukkan beliau tidak memiliki ijazah sains komputer. – AFP

Panel Bersih 3.0: Hanif wajar undur cara terhormat

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menolak sekeras-kerasnya perlantikan Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel bebas bagi menyiasat dakwaan insiden kekasaran dan keganasan pihak polis terhadap peserta himpunan aman Bersih 3.0 baru-baru ini.

Perlantikan beliau dan 5 orang lagi ahli panel diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin semalam.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Hanif bukanlah orang yang paling sesuai untuk mengetuai panel itu.

“Ini disebabkan beliau sendiri merupakan mantan Ketua Polis Negara dan berkemungkinan berlaku ‘bias’ terhadap sesi siasatan bebas tersebut,” kata Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya Hanif juga telah berlaku ‘bias’ apabila menyokong kenyataan pihak kerajaan yang mengatakan ada unsur-unsur untuk menggulingkan kerajaan di dalam himpunan Bersih 3.0.

Hasbullah berkata, pihaknya berpandangan panel siasatan itu sudah pasti tidak akan menemukan sebarang unsur-unsur keganasan daripada pihak polis di dalam menangani peserta Bersih 3.0 kerana pengerusi panel sudah dilihat tidak bebas dan terlalu memihak kepada kerajaan.

Maka, ujarnya skrip jawaban panel siasatan sudah dapat diagak dengan tindakan pihak polis untuk melakukan provokasi, memukul dan menangkap peserta Bersih 3.0 adalah menurut prosedur yang betul.

Oleh itu, kata beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta Hanif untuk mengundurkan diri secara terhormat daripada mengetuai panel bebas itu dan pihak kerajaan diminta untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang lebih telus untuk menyelesaikan permasalahan itu.

“Oleh kerana sikap tidak serius dan berlepas tangan pihak kerajaanlah maka orang-orang seperti Tun Hanif dilantik untuk mengetuai panel ini walaupun beliau merupakan orang yang bermasalah,” ujarnya.

Harakah Daily

Nyaris maut kereta rempuh lori

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

REMBAU – Seorang lelaki dan wanita, masing-masing berusia 63 dan 30 tahun mengalami kecederaan parah dan tersepit setelah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 21, Jalan Seremban-Tampin, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, kedua-dua mangsa yang datangnya dari arah Seremban dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori tanpa muatan yang datangnya dari arah Tampin.

Menurut pemandu lori berkenaan, Gurmeet Singh, 32, ketika kejadian, dia sangat terkejut apabila mendapati terdapat sebuah kereta masuk ke laluannya secara tiba-tiba dan dia tidak sempat mengelak.

“Saya sangat terkejut tetapi tidak sempat mengelak kerana ia berlaku begitu pantas. Ketika kejadian saya dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kuala Lumpur dan berasa sangat berdebar kerana dirempuh oleh kende­raan lain.

“Mujur saya hanya mengalami cedera ringan di kaki dan tangan sahaja. Bagaimanapun, bagi pemandu dan penumpang kereta berke­naan, mereka tersepit dan memerlukan bantuan untuk di bawa keluar,” katanya susu­lan insiden berkenaan, pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan dan bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, pihaknya berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa di bahagian hadapan tempat duduk iaitu di baha-gian pemandu dan bahagian penumpang hadapan.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dalam masa lima minit dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Sinar Harian

Nekad mogok lapar untuk kebebasan

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEJAK pencerobohan Israel di Palestin 60 tahun lalu, sekurang-kurangnya 700,000 penduduk di wilayah Islam itu didakwa tanpa usul periksa di bawah undang-undang rejim Zionis dan dibicarakan secara tidak adil di Mahkamah Tentera Israel.

Penganiayaan itu menyebabkan tahanan Palestin memulakan mogok lapar ketika dikurung di dalam penjara Zionis, seperti pejuang Khader Adnan dan Hana Al-Shalabi.

Terbaru, mogok lapar besar-besaran kali kedua diadakan selepas sambutan Hari Tahanan pada 17 April lalu dan mogok kali ini disertai ribuan tahanan Palestin sebagai protes terhadap ketidakadilan rejim Zionis.

Namun, mereka tidak berjuang sendirian apabila turut menerima sokongan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan menerusi pelancaran kempen Hunger 4 Freedom (Berlapar Untuk Kebebasan).

Sokongan itu dizahirkan melalui mesyuarat anjuran Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) untuk menandatangani deklarasi perpaduan antara tahanan Palestin dan rakyat Malaysia, Ahad lalu.

Majlis itu dihadiri wakil 12 NGO tempatan dan agensi kerajaan termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Belia Islam Malaysia, Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Mereka turut bertukar pandangan mengenai usaha untuk menyampaikan maklumat tepat ke seluruh dunia terutamanya umat Islam mengenai penderitaan dan pencabulan hak asasi yang ditanggung kira-kira 4,700 tahanan Palestin.

Menurut penjelasan Pengarah Eksekutif PCOM, Muslim Abu-Umar, ribuan tahanan Palestin menuntut pihak berkuasa Israel untuk memberikan mereka hak asasi yang diakui oleh Konvensyen Geneva dan Undang-undang Hak Asasi Antarabangsa.

Antara tuntutan termasuk menghentikan dasar gangguan harian, serangan ganas, kehilangan hak lawatan, pemeriksaan tahanan secara berbogel, pengabaian perubatan dan pengurungan berasingan.

Muslim berkata, deklarasi ditandatangani itu akan diserahkan kepada pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Damansara, pada bulan ini sebagai tanda sokongan terhadap ribuan tahanan Palestin tersebut.

Tahanan Palestin di penjara rejim Zionis sehingga kini terdiri daripada 185 kanak-kanak, 27 Ahli Parlimen dan 320 lagi ditempatkan di bawah tahanan pentadbiran.

“Krisis kemanusiaan tahanan ini tidak mendapat perhatian media antarabangsa seperti kes konflik diplomatik walaupun ada tahanan Palestin yang telah ditahan selama 25 tahun.

“Saya harap media di Malaysia dan antarabangsa boleh membuat laporan susulan perkembangan tahanan yang sanggup mengorbankan nyawa untuk memberitahu seluruh dunia, ‘Kami (tahanan Palestin) di sini ( penjara Israel) telah ditahan tanpa sebab,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Hasil perbincangan awal PCOM dan NGO negara ini menyaksikan mereka mahu lebih banyak NGO menyertai deklarasi itu dan merancang pelbagai aktiviti terutamanya melibatkan golongan pelajar termasuk di luar negara bagi menyokong perjuangan tahanan Palestin.

Tujuan utama deklarasi itu bukan untuk menggesa tahanan Palestin menamatkan mogok lapar tetapi mahu mendedahkan layanan buruk Israel terhadap tahanan Islam.

Pada masa ini, kebanyakan penduduk dan pertubuhan Islam di kebanyakan negara Arab dan di Eropah telah menujukkan sokongan menerusi kempen perpaduan dengan tahanan Palestin di negara masing-masing.

Kini, tanggungjawab kita adalah menyokong insan teraniaya itu supaya mendapat semula hak mereka.

Sinar Harian

Menteri Mesir dipenjara kerana bazirkan wang rakyat

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KAHERAH 10 Mei - Mahkamah jenayah di sini semalam menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara ke atas bekas Menteri Pertanian Mesir atas kesalahan rasuah dan pembaziran duit rakyat.

Amin Abaza yang berkhidmat di bawah Presiden yang digulingkan, Hosni Mubarak didapati bersalah menjual tanah milik kerajaan kepada usahawan, Amr Mansy pada harga di bawah pasaran.

Mansy juga menerima nasib sama selepas didapati bersalah menjual tanah milik kerajaan di Semenanjung Sinai kepada pelabur. - DPA

Warga emas kena penjara

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan menyamun seorang lelaki, dua tahun lalu.

Chong See Lai, 52, dari Taman Rasah Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah pada hari perbicaraan yang ditetapkan, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, See Lai bersama seorang lagi yang masih bebas didapati melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pisau ke atas seorang lelaki, Lee Chin Boon, 32, dan mencuri dua kad kredit EON Bank, satu kad kredit Public Bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM600 hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1,200 terhadap mangsa.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di Jalan Melaka Raya 24, Taman Melaka Raya kira-kira jam 9 pagi pada 8 Mac 2010.

See Lai didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, See Lai merayu kepada mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana mempunyai seorang anak yang masih bersekolah dan perlu menanggung keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat meminta mahkamah memberikan hukuman berat terhadap tertuduh yang merompak menggunakan senjata dan menyebabkan kerugian yang tidak dapat dikembalikan kepada mangsa.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman empat tahun bermula daripada tarikh tangkapan pada 17 Februari 2011.

Sinar Harian

Pemilik banglo disyaki mencuri air

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Dua premis banglo dua tingkat, diserbu pihak berkuasa petang kelmarin, kerana disyaki mencuri air melalui penyambungan paip haram.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, penyambungan haram itu untuk kerja pengubahsuaian premis berkenaan, sejak seminggu lalu.

Katanya operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), yang diketuai Pe­gawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Span (Bhepp Span), Mohadir Hid, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihak kami mengenai wujudnya kegiatan curi air di premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati premis itu mempunyai sambungan tanpa kebenaran atau tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 16 milimeter (mm),” katanya.

Menurutnya, hasil ujian klorin menunjukkan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

“Satu notis memaklumkan kesalahan dikeluarkan terhadap pemilik premis terbabit dan paip yang digunakan disita sebagai bahan bukti.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, jika sabit kesalahan, boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Anak bongsu tak sempat beri gaji pertama kepada arwah ayah

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – “Saya memang terkilan sangat kerana tidak dapat memasukkan RM100, gaji pertama saya bulan ini ke dalam akaun ayah seperti dijanjikan selepas saya mendapat tawaran bekerja di Bank Simpanan Nasional (BSN) di Lukut.”

Itu luahan hati Rozaimin Zulkifli 20, anak bongsu seorang pengurus pangsapuri yang maut dalam kejadian langgar lari di simpang empat, di Taman Ampangan dekat sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Zulkifli Alias, 61, yang bersendirian menunggang motosikal jenis Modenas Kris, dalam perjalanan ke Stesen Komuter di Seremban untuk ke tempat kerjanya di sekitar Petaling Jaya.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dilanggar dari arah tepi, oleh sebuah kereta jenis Proton Persona, dipercayai dipandu seorang lelaki warga asing berusia 20-an.

Akibatnya, mangsa tercampak ke bahu jalan dan kereta terbabit pula terbabas lalu melanggar lampu jalan.

Suspek meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri.

Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Makam Tuan Haji Said.

Sementara itu, Rozaimin berkata, ayahnya tidak menunjukkan apa-apa perubahan tetapi ada berpesan supaya bekerja dengan baik.

“Sebelum ini, saya berjanji dengan arwah ayah, saya akan memasukkan duit gaji pertama diterima pada bulan ini ke dalam akaunnya.

“Namun, belum pun sempat saya terima gaji pertama, ayah telah tiada. Itu yang membuatkan saya amat terkilan tetapi saya redha dengan pemergiannya,” katanya anak bongsu daripada lima beradik ini.

Menurutnya, malam kelmarin dia bersama arwah ayahnya sempat menonton perlawanan bola sepak antara pasukan Negeri Sembilan dan Selangor di rumah.

“Arwah ayah berulang-alik dari rumah ke tempat kerjanya di Petaling Jaya sejak 10 tahun lalu.

“Ayah seperti biasa keluar rumah seawal jam 5.40 pagi untuk bekerja,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan meminta suspek yang melanggar mangsa tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian berkenaan.

Sinar Harian

Mangsa selekoh tajam, 2 kereta guru bertembung

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

HULU TERENGGANU - “Sebaik mendengar bunyi dentuman, saya terus keluar dan melihat sebuah kereta sudah terbalik, manakala sebuah lagi terbabas di bahu jalan berhampiran kawasan rumah saya,” kata Osman Hamzah, 66.

Osman berkata, dia kemudian bergegas membantu mangsa dan ketika itu mangsa menyebut perkataan ‘sakit’ beberapa kali.

Osman turut membantu mangsa keluar dari kenderaan dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 13 Jalan Kuala Berang-Telemong, Kampung Nasi Dingin, kira-kira jam 7.30 pagi hingga 8 pagi kelmarin.

Kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Mazda dipandu seorang guru lelaki dari arah Kuala Telemong-Kuala Berang dengan sebuah Honda City dipandu seorang guru wanita, dipercayai dalam perjalanan ke Batu Rakit untuk mengikuti kursus.

Sebaik tiba di tempat kejadian, dua kenderaan itu dikatakan bertembung setelah salah sebuah kereta dipercayai masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan kereta dipandu guru lelaki tersebut terbalik lalu merempuh pokok, manakala Honda City pula terbabas ke bahu kiri jalan.

Menurut Osman, kemalangan seumpama itu bukan perkara asing di kawasan itu, apatah lagi terdapat satu selekoh tajam di situ yang sering menyebabkan kenderaan terbabas.

“Kemalangan di kawasan ini boleh dikatakan sering berlaku. “Pernah berlaku kenderaan terbalik di tempat sama sebelum ini. Tidak sangka, ia berulang dan syukurlah ia tidak membabitkan kemalangan maut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir ketika ditemui semalam menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan berkenaan.

Sinar Harian

Anak peniaga jadi mangsa 'lubang maut'

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GUAR CHEMPEDAK - Pengguna laluan antara Alor Setar-Sungai Petani, iaitu berhampiran simpang masuk ke kaki Gunung Jerai di sini kesal dengan kelewatan membaiki kewujudan lubang di tengah jalan raya di situ oleh pihak bertanggungjawab.

Peniaga kedai maka- nan di Arked Gurun, Norddin Hassan, 56, berkata, dia tidak menyangka anak sulungnya akan menjadi mangsa 'lubang maut' di laluan berkenaan.

Menurutnya, rutin hariannya setiap pagi adalah melalui jalan tersebut dari rumahnya di Gurun untuk membeli bahan basah seperti ikan dan sayur di Pasar Guar Chempedak.

"Ketika melalui jalan itu, saya sedar kewujudan lubang di tengah jalan dari arah Guar Chempedak ke Gurun dan pernah terlintas di hati risiko bahaya jika ada kenderaan terjatuh ke dalam lubang itu.

“Terlintas di fikiran saya setiap kali melalui jalan berlubang itu, ‘siapakah akan jadi mangsa lubang ini’. Saya tidak sangka anak sulung saya yang menjadi mangsa bila motosikal ditunggangnya melalui lubang tersebut menyebabkannya terjatuh,” katanya.

Terdahulu, mangsa, Nor Azam, 29, memberitahu kepada Sinar Harian, lebih kurang jam 11 malam Jumaat lalu, dia menunggang motosikal bersendirian dari arah Guar Chempedak untuk pulang ke rumahnya setelah menghantar adiknya untuk menaiki bas di Stesen Bas Ekspres Guar Chempedak.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian iaitu di Kilometer 32.2 Jalan Alor Setar-Sungai Petani, tayar hadapan motosikalnya terjatuh ke dalam lubang yang berada di tengah jalan berkenaan.

“Saya jatuh dari motosikal di atas jalan raya menyebabkan saya mendapat kecederaan di tangan kiri dan kanan serta luka di lutut kiri dan kanan.

“Masa itu, saya tak nampak lubang tersebut kerana keadaan hujan renyai-renyai dan agak gelap. Saya bernasib baik kerana tidak ada kenderaan lain masa itu dan orang kampung berhampiran datang membantu,” katanya.

Nor Azam berkata, dia telah dibawa ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawa- tan dan selepas itu telah membuat laporan polis berhubung kemalangan itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Yan.

Sementara itu, Norddin berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera terhadap keadaan jalan itu yang berlubang kerana bimbang memberikan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab membaik pulih keadaan jalan itu sebaik-baiknya dan dipantau kerana ia membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian kelmarin di jalan terbabit mendapati pihak bertanggungjawab telah menampal lubang itu dengan tar dan menurut sumber, jalan berlubang itu telah ditampal dua hari selepas kemalangan berlaku.

Sinar Harian

Pasangan proses dadah ditahan

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Polis menahan sepasang kekasih selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Kampung Pisang, Ayer Itam di sini yang dijadikan sebagai makmal mini memproses dadah, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kon Meng berkata, serbuan dilakukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut selepas membuat intipan selama dua minggu sebelum menyerbunya pada kira-kira jam 11.30 malam Isnin lalu.

Menurutnya, polis menahan seorang lelaki berusia 50 tahun dan kekasihnya berusia 20 tahun di dalam rumah berkenaan.

Kong Meng berkata, pasangan kekasih itu sedang berehat ketika diserbu dan pemeriksaan yang dilakukan menemui 403 gram dadah jenis heroin dan 1,388 gram dadah jenis kafien serta beberapa barangan memproses dadah.

“Kita turut menemui tong gas, besen tin berwarna kuning yang terdapat kesan serbuk yang dipercayai dadah, alat penimbang, botol berisi cecair yang disyaki dadah dan beberapa peralatan lain.

“Kita percaya dadah ini dijual untuk pasaran tempatan dan negeri berhampiran," katanya.

Sinar Harian

Saiz baju gagal selamatkan warga Iran

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang pemandu teksi warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamin seberat dua kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) Februari tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Amin Firdaus Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Majtaba Moktarighani Ali, 27, dari Teheran, Iran, atas pertuduhan mengedar 2,751,7 gram methamphetamin di Balai Ketibaan LTABL, kira-kira jam 3.15 petang, 16 Februari tahun lalu.

Majtaba Moktarighani yang diwakili peguam K Thangesvaran didakwa mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam penghakiman ringkas, Mohd Amin berkata tertuduh dalam pembelaannya menafikan bagasi berisi dadah itu miliknya kerana pakaian yang terdapat dalam bagasi itu bukan saiznya.

“Bagaimanapun, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh adalah tidak munasabah. Kini, sudah menjadi kebiasaan pengedar dadah meletakkan pakaian saiz tidak sesuai dengannya dalam bagasi untuk menafikan bagasi bukan kepunyaannya ketika ditahan.

“Jika, benar-benar bagasi itu bukan kepunyaannya, maka tentu dia memberitahu pegawai bertugas sebelum bagasi itu dibuka untuk diperiksa. Tindakan tertuduh menafikan itu bukan bagasinya selepas dibawa ke bilik khas untuk pemeriksaan lanjut, adalah penafian semata-mata,” katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam, Nur Sarah Dina Baharuddin.

Sinar Harian

Peragut bernasib malang

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA KRAI - Tindakan seorang lelaki melanggar anggota polis yang mengejarnya untuk melepaskan diri selepas melakukan jenayah ragut tidak berjaya apabila motosikalnya terjatuh dan diberkas di Jalan Batu Balai, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu berlaku apabila suspek yang menunggang motosikal Honda EX5 tanpa nombor pendaftaran meragut beg tangan seorang wanita di tepi jalan Kampung Tok Bok, dekat sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar berkata, perbuatan itu dilihat sepasukan anggota polis yang sedang melakukan Rondaan Cegah Jenayah dan orang awam di kawasan itu yang kemudian bertindak mengejar peragut terbabit.

”Sebaik menyedari dia dikejar polis, lelaki berusia awal 20-an terbabit mencampakkan beg yang diragut di tepi jalan Sungai Durian sebelum dia berjaya ditahan di Jalan Batu Balai. ”Suspek berjaya diberkas ketika cuba melarikan diri selepas terjatuh atas jalan raya kerana melanggar motosikal anggota polis yang mengejarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan amal Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah ke Hospital Kuala Krai (HKK), di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ragut.

Sementara itu, Abdul Rahman mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati berikutan banyak kes ragut berlaku di daerah ini sejak kebelakangan ini

”Bagi bulan ini (Mei) sahaja, sudah ada lima kes ragut termasuk tiga kes di tapak ekspo berhampiran Dataran Peladang dan setakat ini, polis berjaya menahan dua peragut termasuk seorang kelmarin,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki berusia 25 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, setelah didapati bersalah meragut seorang warga emas, Jumaat lalu.

Tertuduh, Nik Mohd Faizul Iman Nik Sin mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ahmeed Fahd Abdullah.

Nik Mohd Faizul Iman dituduh meragut Yatim Awang, 70, ketika mangsa berada di kebunnya di Kampung Bunut Saih, Pahi kira-kira jam 5 petang, Jumaat lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis IPD Kuala Krai, Inspektor Aizuddin Jamaludin.

Sinar Harian