25 Oktober 2012

Tentera selatan Thai minta bantuan

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Prayuth Chan-ocha
Askar di selatan Thailand giat melakukan siasatan dalam serangan di Narathiwat, Tak Bai dan Bacho.
 
NARATHIWAT - Agensi kerajaan dipanggil menyalurkan bantuan kepada askar dan polis tempatan untuk menamatkan keganasan di wilayah selatan Thailand, semalam.

Ketua tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata, serangan terbaru pada hujung minggu lalu menyebabkan dua askar terbunuh dan lebih 10 orang lagi cedera termasuk kanak-kanak.

Prayuth berkata, sehingga kini penduduk di selatan Thailand enggan bekerjasama dengan agensi keselamatan untuk membanteras serangan kumpulan pemisah.

"Saya menghantar permintaan kepada 17 kementerian dan 66 agensi mengenai bantuan di wilayah selatan. Tentera dan polis hanya melaksanakan undang-undang tetapi jika tidak dibantu, kita tidak dapat mencapai persefahaman," kata Prayuth.

Prayuth mendakwa, puak pemisah masih melancarkan serangan untuk menunjukkan mereka masih berkuasa.
Pada masa sama, ketua polis kebangsaan, Adul Saengsingkaew dilaporkan tiba di pusat operasi polis di Muang, Yala bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai serangan di Narathiwat, Tak Bai dan Bacho.

Sementara itu, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra menyuarakan kebimbangan terhadap serangan terbaru di wilayah berkenaan. -Bangkok Post

'Murid Orang Asli ditampar tak baca doa'

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



 
Sekumpulan ibu bapa membuat laporan polis terhadap guru di SK Bihai di Pos Bihai dekat Gua Musang kerana menampar anak mereka yang tidak membaca doa makan.

Seorang bapa Atar Pedik mendakwa, anak gadis 12 tahunnya ditampar kira-kira jam 1.30 petang pada Selasa selepas disuruh membaca doa walaupun bukan Islam.

Atar bersama dua lagi bapa - Hassan Achoi and Along Pandak - yang turut mendakwa anak mereka turut ditampar, terpaksa meredah tiga jam perjalanan ke Pos Bihai untuk membuat laporan di balai polis Gua Musang.

Pos Bijai terletak di pedalaman Kelantan, berdekatan sempadan Perak. Balai berkenaan mengesahkan laporan itu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Arom Asir mendakwa, tamparan guru lelaki itu menyebabkan muka murid berkenaan lebam.

Malaysiakini cuba menghubungi SK Bihai untuk mendapatkan reaksinya.

Sementara itu Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pula ketika dihubungi berkata belum ada laporan dibuat kepada mereka dan sedang mengumpul maklumat tentang perkara itu.

malaysiakini/-

Jamuan laksa kutip dana lebuh raya rakyat

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


PASIR  MAS: Biar pun Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor meminta kerajaan Kelantan menghentikan kutipan derma dana lebuh raya rakyat, sebaliknya orang ramai tetap tampil menghulurkan sumbangan.

Semalam Masjid An-Nur Kubang Bemban menganjurkan jamuan laksa bagi mengutip derma dana lebuh raya rakyat menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai yang dirancang kerajaan negeri.

Pengerusi program tersebut, Che Pa Che Jid berkata, kira-kira 200 kilogram laksa disediakan bagi jamuan lebih kurang 1,000 orang untuk mengisi dana wakaf projek berkenaan.

“Program bermula selepas solat Zohor sehingga waktu Isya. Sambutan orang ramai Alhamdulillah begitu menggalakkan sekali.

“Adun Pengkalan Pasir, Haji Hanifa Ahmad, penghulu-penghulu mukim dan orang ramai hadir memberi sokongan terhadap usaha kerajaan negeri menyediakan kemudahan untuk rakyat.

“Orang ramai tidak putus-putus datang. Mungkin kami masjid mukim pertama di Kelantan menganjurkan program seumpama ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Menteri Kerjaraya sebelum ini dilapor meminta kerajaan Kelantan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah bekalan air bersih, berbanding mengutip derma membina lebuh raya rakyat.

Sebelum ini wat-wat Siam di seluruh Kelantan menganjurkan kutipan derma bagi mengisi dana wakaf lebuh raya rakyat. Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan di Wat Machimmaran, Tumpat.

Lebih RM60,000 dikumpul masyarakat Siam dalam bentuk pokok duit. Wakil-wakil wat kemudian menyerahkan pokok duit tersebut kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Che Pa berkata, usaha dilakukan itu sebagai aspirasi kepada pihak-pihak lain untuk turut sama mengadakan program serupa bagi sama-sama mengisi dana wakaf lebuh raya rakyat.

“Sedekah jariah digalakkan Islam terutamanya perkara yang memberi manfaat kepada orang ramai seperti lebuh raya. Projek itu dinafikan kerajaan pusat jadi kita sebagai rakyat perlu mengambil inisiatif sendiri,” ujarnya.

Menurutnya jumlah kutipan disasarkan kira-kira RM20,000. Kutipan juga akan dilakukan secara berterusan selepas ini.

Kata beliau juga wang kutipan derma itu akan diserah kepada kerajaan negeri.

Penghulu Mukim Kubang Bemban, Abdul Aziz Che Yusoff berkata, biar pun keadaan hujan dan cuaca mendung, namun orang ramai tetap datang menjamu selera sambil menderma.

harakah/-

Kondom dalam kotak rokok

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Kondom
Penguat kuasa Jaim menunjukkan kondom yang dirampas.
 
BANDARAYA MELAKA - Sembunyi kondom dalam kotak rokok bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Itu taktik digunakan sindiket pelacuran di sebuah hotel bajet di Jalan Munsyi Abdullah di sini, yang diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.

Serbuan yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, menahan tiga wanita tempatan dipercayai pelacur berusia 20 hingga 32 ditahan ketika mereka menunggu pelanggan.

Turut ditahan ialah pekerja hotel bajet berkenaan dan seorang pelanggan berusia 20-an.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 800 kondom yang belum digunakan disorok di dalam kotak rokok, celah tangga, bawah tilam dan di dalam laci.

"Kondom yang disorok dalam rokok ini akan diambil pelanggan yang melanggan pelacur di sini.

“Taktik ini mungkin digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Jika tidak melakukan pemeriksaan teliti, kotak ini akan disangka kotak kosong yang dibuang,” katanya kepada pemberita.

Rahimin berkata,pihaknya juga menemui ribuan pil hormon dan pencegah kehamilan di hotel 24 bilik itu yang beroperasi tanpa lesen.

“Pemilik premis nampaknya masih berdegil kerana masih meneruskan operasi walaupun telah diserbu beberapakali sebelum ini.

"Isnin lalu, kita menahan tujuh pelacur ketika melakukan pemantauan di kawasan ini bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 72 dan Seksyen 75, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

sinar harian/-

Dua juta kenderaan guna lebuh raya

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -




KUALA LUMPUR - Kira-kira dua juta kenderaan dijangka menggunakan laluan lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mulai hari ini berikutan cuti sempena Aidiladha pada Jumaat dan diikuti dengan cuti hujung minggu.

Ketua Komunikasi Korporat PLUS Mohd. Nizam Ismail berkata, angka itu mencatatkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari pada hari biasa.

"Kami jangkakan dua juta kenderaan ini kerana pada setiap waktu puncak dan musim-musim perayaan, jumlah kenderaan akan meningkat," katanya di sini semalam.

Mohd. Nizam berkata, data itu merangkumi jumlah trafik yang menggunakan semua lebuh raya di bawah kendalian PLUS termasuk Lebuh Raya Baru Lembah Klang, Lebuh Raya Persekutuan Laluan 2, Lebuh Raya Elite, Lebuh Raya Linkedua, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya mematuhi nasihat waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS untuk mengelak mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

sinar/-

20 tahun tiada bekalan air

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

20 tahun tiada bekalan air
Penduduk terpaksa menggunakan air telaga untuk membasuh pakaian.
 
ROMPIN - Kira-kira 20 tahun lalu, penduduk Kampung Kurnia, Setajam di sini, tidak pernah menikmati bekalan air paip, namun sejak setahun lalu bekalan air di kampung itu mula disalurkan di kawasan itu.

Bagaimanapun, kegembiraan kira-kira 30 penduduk di situ menikmati bekalan air tidak bertahan lama apabila mereka sekali lagi berdepan masalah apabila bekalan air bersih tidak sampai ke rumah penduduk sejak sebulan lalu.

Penduduk meluahkan rasa kesal berikutan masalah terputus bekalan air itu berlaku terlalu lama sekali gus menjejaskan urusan seharian.

Sehubungan itu, Pengurusan Air Pahang (Paip) Berhad digesa menangani masalah itu segera, apatah lagi hanya tinggal tiga hari saja lagi umat Islam bakal menyambut ketibaan Aidiladha.

Seorang penduduk, Siti Zaiton Husin, 43, berkata, penduduk terpaksa menadah air hujan dan menggunakan air telaga apabila bekalan asas itu tidak sampai ke rumah penduduk seperti kebiasaannya.

“Bukan sehari dua masalah bekalan air di kampung ini terputus, tetapi masalah ini berterusan sejak sebulan lamanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Zaiton berkata, penduduk naik bengang dengan masalah itu kerana mereka terpaksa mendapatkan air telaga dan menadah hujan bagi membasuh pakaian dan mencuci pinggan mangkuk.

“Sejak dahulu lagi kami memang berharap mendapatkan air bersih, sudah dapat air timbul masalah lain pula hingga kami terpaksa hidup seperti dahulu, sekali gus menyukarkan urusan harian,” katanya.
 
Alahan pada kulit

Selain itu, Siti Zaiton berkata, akibat menggunakan air tercemar, seorang anaknya mengalami alahan pada kulit selepas menggunakan air telaga yang sudah lama tidak dirawat.

“Dahulu kami memang gunakan air telaga, tetapi sejak bekalan air paip disalurkan dari rumah ke rumah penduduk, telaga air sudah lagi tidak digunakan, malah saya sendiri menimbus telaga itu.

“Kami terpaksa menumpang rumah jiran yang mempunyai telaga untuk keperluan mandi dan basuh pakaian, namun sampai bila keadaan ini akan berterusan kerana kami memerlukan sumber bekalan air bersih,” katanya.

Ropisah Mohamad, 42, berkata, jika dahulu penduduk berdepan dengan masalah tekanan air rendah, namun sejak sebulan lalu setitik air paip pun tidak sampai ke kampung itu.

“Bukan saya seorang saja berdepan masalah ini, tetapi semua penduduk di sini mengeluh kerana biasanya jika tiada air pun ia tidak berlarutan sampai dua atau tiga hari, tapi kali ini sudah sampai sebulan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa membasuh baju dan pinggan mangkuk di telaga belakang rumah sementara berharap air tangki yang dibekalkan Paip seminggu sekali bagi kegunaan makan dan minum.

“Kadang-kadang sampai seminggu baru kami peroleh bekalan air dari Paip dan keadaan ini sungguh membebankan, apatah lagi bagi kami yang mempunyai keluarga yang ramai,” katanya.

Ropisah berkata, bekalan air amat diperlukan terutama hanya tinggal beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan Aidiladha.

Sambutan raya hilang seri

Menurut Ropisah, jika tahun lalu mereka berasa lega kerana memperoleh bekalan air yang disalurkan terus ke rumah, namun untuk tahun ini mereka mungkin sekali lagi terpaksa berdepan situasi ketiadaan bekalan air seperti tahun sebelumnya.

“Kalau masalah ini berterusan sehingga Aidiladha ini mungkin sambutan raya haji kali ini hilang serinya, apatah lagi pada waktu itu anak-anak mula pulang ke kampung dan sanak saudara pastinya akan berkunjung ke rumah,” katanya.

Selain itu, katanya, penduduk yang mengadakan majlis perkahwinan anak mereka pula juga terpaksa membeli air daripada Paip bagi mendapatkan sumber bekalan air bersih.

“Mujur dalam sebulan ini tidak ada berlaku kes kematian, jika tidak sudah tentu jenazah si mati juga terpaksa dimandikan di kampung lain,” katanya.

Mohamad Amril Syafiq Mohamad Zaini, 19, berkata, masalah itu sudah lama dihadapi penduduk dan ia amat membebankan mereka.

“Saya tidak tahu punca sebenarnya, tapi masalah tiada air ini sudah lama dan selalu berlaku. Memang menyusahkan kami, jangan katakan hendak mandi, hendak menadah air segayung pun belum tentu ada,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, masalah itu perlu ditangani segera bagi memastikan penduduk kembali menikmati kemudahan itu semula.

“Tiap-tiap bulan kami bayar bil air, jadi kami berharap agar masalah ini dipandang serius kerana tidak mahu masalah ini terus berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian,” katanya.

sinar/-

Pendedahan mahkamah mengenai kekayaan anak Taib Mahmud perlu disiasat

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 Okt: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat kemewahan Tan Sri Taib Mahmud ekoran pendedahan anak lelaki Ketua Menteri Sarawak itu berbelanja tiga suka juta ringgit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Sarawak, Voon Shiak Ni, berkata perbelanjaan mewah Datuk Seri Mahmud Abu Bekir menggunakan kad caj itu dikhuatiri hasil kemewahan luar biasa keluarga Taib Mahmud melalui rasuah dan penyelewengan kuasa.

Bercakap kepada Keadilan Daily, beliau berkata, banyak laporan sudah dibuat rakyat negeri itu tetapi SPRM sehingga kini  enggan menyiasat, malah berdolak-dalik.

“Keengganan SPRM menyiasat kekayaan luar biasa Taib juga memberi petanda ketua menteri paling lama di Bumi Kenyalang itu mengamal rasuah dan salah guna kuasa.

“Lebih 30 tahun memerintah, kekayaan negeri hanya dibolot keluarga dan kroni. Majoriti rakyat Sarawak kekal miskin, malah antara termiskin di Malaysia,” katanya.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam diberitahu bil terperinci dari kad caj Platinum American Express mendedahkan perbelanjaan itu dibuat di kedai mewah seperti Harrods dan kedai Ferrari di London dan perjalanan ke Dusseldorf di Jerman serta ke Perancis.

Penyata dari Januari hingga Jun tahun ini bagi kad caj American Express dari Maybank, pula menunjukkan perbelanjaan RM782,520.55 dikemukakan di mahkamah.
Ia juga mendedahkan bahawa Bekir mempunyai RM5 juta dalam akaun CIMB dan RM3 juta lagi deposit tetap dengan bank berkenaan.

Ini didedahkan bekas isteri Bekir, Shahnaz A Majid, 49, ketika memberi keterangan di mahkamah berhubung dokumen perbankan itu, dalam tuntutan RM400 juta sebagai harta sepencarian dan hibah.

Pada 2 Oktober lalu, Shahnaz memberi keterangan mengenai kira-kira RM700 juta dalam akaun asing atas nama Bekir di Amerika Syarikat, negara Caribbean, Switzerland dan Hong Kong.
Mengikut keterangan Shahnaz, Bekir dikatakan bernilai lebih RM1 bilion.

 keadilandaily

Jelajah Merdeka Rakyat ke Tanjong Karang, Sabak Bernam 28 Oktober

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Program Jelajah Merdeka Rakyat bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke beberapa lokasi sekitar Selangor pada Ahad ini bersamaan 28 Oktober 2012.

Turut menyertai jelajah itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali dan pimpinan lain.

Berikut ialah jaduah jelajah itu:

10 pagi: Pekan Sungai Besi

12.30 tengah hari: Warung Ibu Nasi Ambeng, Kg Sungai Gulang-Gulang, Permatang, Tanjung Karang
3 petang: Padang Sepaktakraw, Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam
5 petang: Felda Sungai Tengi Selatan

7 malam: Solat & tazkirah Maghrib di Masjid Abu Bakar Ali Bashah, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
9 hingga 10 malam: Pekan Rasa

9 hingga 12 tengah malam: Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Pusat Bandar Baru Batang Kali, Ulu Selangor. Penceramah ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Tan Sri Khalid Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan N Surendran.

keadilandaily

Simpati kepada bakal haji, petugas Tabung Haji...

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Renungan  "Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)

TERSENTUH hati ini apabila mendengar khabar sejumlah bakal haji musim 1433 Hijrah (sekarang ini) yang nama mereka sudah tersenarai (ada yang sudah diberikan rantai tangan) dibatalkan pemergian mereka ke Tanah Suci. Seorang ustaz bercerita, ada seorang jemaah datang kepadanya, menangis teresak-esak menyatakan dia menerima panggilan telefon menyatakan dia tidak dapat 'lampu hijau' ke Tanah Suci sehari sebelum dia dijadualkan berlepas. Maka menangislah dia mengadu nasib.

Seminggu dua ini berdesing-desing telinga ini mendengar kisah bakal haji yang tak dapat ke Makkah dan juga kisah jemaah haji yang 'last minute' (waktu terakhir) dapat juga akhirnya ke sana.

Pelbagai pihak memberitahu 'suasana kelam-kabut' dalam mengatur jemaah ke Tanah Suci tahun ini disebabkan pihak berkuasa Malaysia gagal mendapat kuota tambahan jemaah haji. Biasanya selain kuota biasa 28,000 jemaah (1 peratus daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 28 juta orang), pihak Arab Saudi membenarkan tambahan jemaah, ada kalanya sehingga 10,000 orang.

Tahun ini tiada tambahan jemaah haji dengan pihak berkuasa Arab Saudi memberitahu hal itu disebabkan kegiatan pembangunan dan pengubahsuaian di kawasan sekitar Masjidilharam tetapi sesetengah pihak di Malaysia termasuk sesetengah pemimpinnya tidak habis-habis mempropagandakan hal itu disebabkan perhimpunan segelintir rakyat Malaysia dalam apa didakwa demonstrasi Bersih tempoh hari.

Berbual dengan bakal-bakal haji ini dan beberapa ustaz terdengarlah rintihan hati mereka yang saya celotehkan (coretkan) di sini. Kata seorang jemaah yang mendapat panggilan pengesahan ke Tanah Suci pada 'last minute' (dia sudah berangkat, didoakan dia mendapat haji mabrur): "Kenduri sudah saya buat sebulan lalu. Hampir setiap kali ke masjid, jemaah akan bertanya; 'ehh tak berangkat lagi?' Saya naik malu dibuatnya. Syukur, alhamdulillah dapat juga saya ke Tanah Suci."

Namun pada masa yang sama dia sempat menyindir dengan berkata: "Orang macam kita ini sudah lama mendaftar. Sudah dipilih dan disenaraikan untuk pergi tahun ini. Sudah ikut kursus termasuk kursus haji perdana. Namun Tabung Haji tidak mengesahkan tarikh pemergian kita sehingga 'last minute'. Ada orang tak mendaftar pun. Tak ikut kursus pun. Tak berhajat pun nak pergi haji. Tup-tup dia dapat surat suruh dia bersedia pergi haji. Ini apa hal ni?"

Jemaah ini merujuk kepada jemaah haji yang ditaja oleh pemerintah melalui kuota PM, menteri, kerajaan negeri, setiausaha kerajaan negeri dan sebagainya. Dikhabarkan PM menaja ratusan jemaah, ada pejabat setiausaha kerajaan negeri menaja 50 orang; jadi daripada semua negeri berapa ramai jemaah yang pergi secara ini? Mereka terdiri daripada imam, bilal, pengerusi JKKK, pemenang anugerah kecemerlangan dan sebagainya. Kalau satu negeri 500 orang yang pergi cara ini, daripada 13 negeri sudah ada 6,500 jemaah. Jadi baki kuota yang terbuka kepada orang awam cuma 21,500 jemaah.

Itulah sebabnya mengapa sukar benar pegawai Tabung Haji hendak 'release' nama dan tarikh jemaah yang dapat pergi haji. Kasihan petugas Tabung Haji. Mereka kena ikut arahan atasan sedangkan jemaah asyik menghubungi mereka, bertanya, "dapat ke tak dapat" atau "bila nak berangkat ni?" Pening juga petugas Tabung Haji. Ada 'tangan ghaib' lebih berkuasa yang membolehkan 6,500 jemaah pergi tanpa ikut proses biasa - mendaftar, menunggu bertahun-tahun lamanya; orang 'terpilih' ini tup-tup saja dapat pergi haji...ewah begitu mudah sekali.

Seorang jemaah lain memberi cadangan ini: "Kalau nak bagi hadiah kat orang-orang yang banyak jasa dan bakti itu, bagilah mereka buat umrah, kan umrah itu boleh dibuat bila-bila masa. Untuk haji ini bagilah orang yang benar-benar nak buat haji, mereka dah lama menunggu, kasihanilah mereka...ada lebih 900,000 orang dalam senarai menunggu. Apa pasal orang tak mendaftar haji pun boleh pergi dulu?"

harakah/-

Kes rayuan pembunuhan Altantuya ditangguh lagi

altantuya razak baginda murder 110707 sirul escorted9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


 
Mahkamah Rayuan telah sekali lagi menangguhkan pendengaran kes rayuan dua anggota polis yang dihukum mati kerana pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada Oktober 2006.

Sebelum ini, kes rayuan tersebut yang dijadual didengar pada bulan Ogos telah ditangguhkan dan tarikh baru ditetapkan pada 31 Oktober dan 1 November ini.

Peguam Hazman Ahmad yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri, ketika dihubungi semalam berkata, tiada tarikh baru yang ditetapkan.

Hazman tidak membalas SMS Malaysiakini mengenai sebab pendengaran kes rayuan tersebut ditangguhkan.

Apabila pendengaran kes rayuan tersebut yang dijadualkan pada 27
Ogos ditangguhkan pada bulan Julai, peguambela berpendapat ia disebabkan oleh sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pada April 2009, Azilah dan Lans Koperal Sirul Azhar Umar dijatuhkan dihukum mati kerana membunuh Altantuya selepas perbicaraan selama 159 hari.

Penghakiman bertulis hanya dikeluarkan pada bulan Mac tahun ini.

Penangguhan secara tiba-tiba semalam itu dilihat sebagai aneh kerana hanya minggu lepas peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican, mengesahkan pendengaran kes rayuan itu akan berjalan seperti yang dijadualkan.

Hasnal juga memberitahu Malaysiakini bahawa mahkamah telah memberi amaran kepada peguambela ketika itu bahawa tiada lagi penangguhan akan dibenarkan.

Pada masa itu, Malaysiakini juga meminta pengesahan daripada seorang timbalan pendakwaraya kanan yang terlibat mengendalikan kes tersebut, dan beliau berkata ia akan berjalan seperti yang dijadualkan, sambil berkata Pejabat Peguam Negara sedang sibuk membuat persediaan.

malaysiakini/-

Tonton aksi mati dibelasah

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Mala.
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Mala. 
 
ALOR GAJAH: Lebih 30 individu termasuk pelajar sekolah serta orang dewasa hanya menjadi penonton dan langsung tidak berusaha meleraikan pergaduhan membabitkan tiga pelajar yang berakhir dengan seorang daripadanya meninggal dunia, semalam.

Insiden menyedihkan itu berlaku di Perhentian Bas Pulau Sebang, di sini, jam 2.30 petang semalam dan mangsa K Saravannan, 14, ditumbuk bertubi-tubi selama hampir 30 minit oleh dua pelajar sebaya yang menyerangnya sehingga pengsan.

Selepas pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Pulau Sebang itu terbaring tidak sedarkan diri, lebih 30 individu yang menjadi penonton itu kelam-kabut melarikan diri dan meninggalkan mangsa terbaring sendirian di tempat kejadian.

Mangsa dikejarkan rakannya ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan dengan kereta namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan awal mendapati sebelum pergaduhan, berlaku cabar-mencabar antara mangsa dengan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mansur Shah.

metro/-

Apple perkenal iPad mini

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] 
 
SAN JOSE – Syarikat Apple Inc. yakin kehadiran iPad mini yang diperkenalkan kelmarin mampu mengatasi pasaran komputer tablet daripada beberapa pesaing terdekatnya seperti Amazon, Google dan Samsung.

“Komputer ini bukan versi mini bagi iPad, tetapi satu gajet rekaan baharu secara keseluruhannya,” kata Timbalan Presiden Pemasaran Apple, Phil Schillernya pada majlis perasmian iPad mini di sini.

Paparan skrin sentuh iPad mini lebih kecil iaitu 20 sentimeter (sm) berbanding 24 sm untuk iPad.

Sebuah iPad mini 16 gigabit (GB) dengan sambungan wi-fi dijual di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$329 (RM1,003), manakala versi dilengkapi WiFi dan keupayaan selular pula berharga AS$459 (RM1,400).

Bagi iPad mini 64GB dengan wi-fii dan keupayaan selular pula berharga AS$659 (RM2010).
IPad mini turut dilengkapi kamera hadapan dan belakang sama seperti iPad.

Tempahan iPad mini boleh dibuat bermula esok di AS.

Proses penghantaran iPad mini versi Wi-Fi akan bermula pada 2 November depan ke beberapa buah negara di rantau Asia, Eropah dan Amerika.

Pada masa yang sama Apple turut memperkenalkan komputer tablet iPad generasi keempat pada harga bermula daripada AS$499 (RM1,522) bagi model 16GB dengan sambungan wi-fi.

Apple menjual lebih 100 juta iPad sejak dua setengah tahun lalu.

Lebih 35 bilion pengguna juga telah memuat turun sebahagian daripada 275,000 aplikasi sedia ada bagi pengguna iPad.

Apple mencetuskan fenomena pasaran komputer tablet dengan mememperkenalkan iPad pertamanya pada awal 2010.

Walaupun iPad mini paling murah ditawarkan pada harga AS$329, tetapi gajet tersebut masih lagi lebih mahal daripada komputer tablet keluaran Amazon, Google dan Samsung yang dijual pada harga bermula harga AS$199 (RM607).

Mengulas berhubung produk terbaharu Apple itu, seorang penganalisis teknologi, Jeff Kagan berkata, iPad mini boleh menyebabkan iPad biasa menjadi kurang popular.

“Namun, kehadiran gajet baharu itu mampu meningkatkan lagi dari segi jumlah pelanggan yang membeli produk Apple,” katanya. – AFP

Suami cekup isteri khalwat

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Suami cekup isteri khalwat
Isteri Salman (kiri) dan lelaki dipercayai kekasihnya serta seorang lagi wanita ditahan kerana berkhalwat.
AYER KEROH - Luluh hati seorang kontraktor apabila mendengar suara isteri tersayang bergelak ketawa dengan lelaki lain di dalam bilik tidur mereka di kediamannya di sebuah pangsapuri di Ayer Keroh, di sini, lewat malam Ahad lalu.

Akibat tidak sanggup melihat kecurangan isteri, lelaki berusia 36 tahun itu menggagahkan diri ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan mengetuk pintu jabatan penguat kuasa bagi memaklumkan hal berke-naan, awal pagi kelmarin.

Dakwa suami malang itu, dia terpaksa meminta penguat kuasa Jaim mencekup kedua-dua mereka yang berusia 24 tahun apabila dipermainkan isterinya buat kali kedua selepas pernah ditangkap berkhalwat dengan lelaki lain tidak sampai setahun lalu.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salman berkata, dia yang sedang bekerja pulang ke rumah untuk mengambil pengecas telefon bimbit yang tertinggal.

“Isteri yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sekitar negeri ini biasanya bekerja pada hujung minggu, bermula jam 9 pagi hingga 11 malam.

“Tetapi sebaik sahaja tiba di luar rumah, saya dengar suara seorang perempuan dengan seorang lelaki ketawa bersama. Lebih tiga kali saya memastikan suara itu sebelum terpaksa menerima hakikat bahawa ia milik isteri saya,” katanya.

Menurutnya, dia dengan berat hati kemudian membuat laporan kepada Jaim kira-kira jam 3 pagi untuk tindakan lanjut.

"Dia pernah dicekup bersama lelaki lain tetapi saya beri peluang kedua untuk dia dan saya perbaiki kelemahan masing-masing tetapi kali ini saya tidak mampu bersabar lagi," katanya yang tidak mempunyai anak hasil perkahwinan selama empat tahun.

Salman berkata, ia adalah perkahwinan keduanya selepas isteri pertama meninggal dunia akibat barah dan empat anaknya kini tinggal bersama ibunya di Bukit Piatu, di sini.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, serbuan lima anggotanya kira-kira jam 4.15 pagi mendapati terdapat dua wanita dan seorang lelaki di dalam rumah tersebut.

“Selepas anggota kami mengetuk pintu rumah beberapa kali, seorang wanita berusia 31 tahun membuka pintu.

"Dia kemudian mengetuk dan membuka pintu bilik kedua rumah tersebut. Kami dapati ada seorang lelaki dan wanita di dalamnya," katanya.

Menurutnya, selepas disoal siasat, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jaim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu berkurung mendatangkan syak ataupun bersekediaman.

sinar/-

Mahathir sahkan 'perjanjian syaitan' Umno dan MCA

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


(Dr Mahathir sahkan 'perjanjian syaitan' antara Umno dan MCA)

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, penyataan beliau tentang wujudnya 'perjanjian syaitan' antara Umno dan MCA disahkan tidak sampai 24 jam selepas ianya didakwa.

Ia tidak lain dan tidak bukan disahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya di Universiti Malaya semalam.

"Semalam, saya secara terbuka mengatakan pemimpin MCA dan UMNO telah membuat 'perjanjian Syaitan' supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu.

"Ia dibuat dengan keyakinan bahawa politik yang sedemikian satu-satunya cara untuk mendapatkan undi kaum Cina dan Melayu buat Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Menurut Lim Kit Siang, beliau menjangkakan pemimpin Umno dan MCA serta propagandis-propagandis mereka menafikan kewujudan perjanjian jahat itu lalu cuba melarikan tumpuan daripada 'perjanjian syaitan' tersebut.

"Apa yang paling tidak saya jangkakan pendedahan saya tentang 'Perjanjian Syaitan' di antara UMNO/MCA disahkan dalam tempoh 24 jam dengan gaya penuh wibawa dan cara yang benar-benar melondehkan hipokrasi dan muslihat Umno serta MCA.

"Hanya seorang sahaja mampu melakukan tindakan sedemikian iaitu Tun Dr. Mahathir dan itulah yang beliau lakukan semalam," kata Kit Siang (gambar kanan).

Pada sidang media semalam di simposium 'Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan kelestarian' Universiti Malaya, Mahathir mengakui bahawa 'pendirian tidak bertolak ansur' MCA terhadap hukum hudud pada Perhimpunan Agung MCA minggu lepas hanyalah bertujuan 'menakut-nakutkan' komuniti Cina dan bukan ditujukan kepada kaum Melayu atau umat Islam.

“Dia (MCA) bertujuan untuk menakutkan orang Cina, bukan orang Melayu atau Islam ...Tujuan MCA nak takutkan orang Cina supaya tak sokong DAP.

"Tapi dulu pun MCA tak pernah bantah bila kita isytihar negara ini negara Islam dan kita akan amal nilai-nilai dan ajaran Islam," kata Mahathir.

Pengesahan Mahathir terhadap “Perjanjian Syaitan” Umno dan MCA supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu bagi mendapatkan undi kaum Cina dan Melayu buat Barisan Nasional seharusnya diberi perhatian serius dan dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua rakyat Malaysia, kata Kit Siang.

Dalam 'Perjanjian Syaitan' mereka, pemimpin UMNO akan terus membisu tidak kira apa juga pembohongan yang disebarkan MCA untuk “menakut-nakutkan orang Cina”.

Ia termasuklah penipuan yang pemimpin Umno sendiri tahu ia tidak berasas seperti fitnah MCA bahawa PAS dan Islam membenarkan bukan Islam dirogol atau PAS dan Islam akan membawa Malaysia kembali ke “zaman gelap”.

Begitu juga pemimpin MCA akan terus membisu walaupun mereka tidak mempercayai pembohongan dan penipuan UMNO 'untuk menakut-nakutkan kaum Melayu', bahawa DAP mahu mendirikan Negara Kristian dan menghapuskan Raja-Raja Melayu serta mendirikan Republik, kata Lim.

Menurut Li, dia teringat kepada komenter di sebuah blog milik seorang pakar bedah semalam berkenaan Perhimpunan Agung MCA ke-59, beliau menyimpulkan:

“Perhimpunan Agung MCA telah memaku keranda mereka kerana bagi kebanyakkan rakyat Malaysia, MCA tidak lagi relevan, begitu juga Gerakan, MIC dan juga UMNO.
"Kematian parti berasaskan kaum ini mungkin ada hikmahnya kerana kita memerlukan parti berbilang kaum untuk maju di dalam dunia yang semakin global dan penuh persaingan.”

Bagi beliau, ini merupakan cabaran terbesar buat semua rakyat Malaysia pada PRU13, sama ada kita mahu bergerak sebagai rakyat Malaysia dengan visi yang penuh harapan dan optimis bahawa Malaysia akan bersatu tanpa mengira kaum, agama, kelas atau kawasan.

"Ia sebagai jaminan terbaik supaya negara berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain atau kita mahu membiarkan diri kita tersangkut di dalam politik yang korup dan kebencian antara agama dan antara kaum, melalui pembohongan dan penipuan yang hanya akan menjerumuskan negara kepada kemusnahan," katanya.

Bagi beliau, Pakatan Rakyat berjuang untuk meyatupadukan rakyat Malaysia bagi bergerak maju ke arah masa depan bersama sementara Barisan Nasional pula mahu terus berjuang dengan taktik “pecah dan perintah” di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama supaya terus memperhambakan diri kepada kepentingan-kepentingan Umno-putra dan kroni-kroni mereka.

"Biarlah parti-parti berasaskan kaum ini menemui ajal pada PRU13. Pakatan Rakyat berjuang untuk masa depan manakala Barisan Nasional melambangkan masa lalu!" tegasnya.

harakah/-

Pengesan kamera AES

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



DEY MACHA!!!
HARI NI RAMAI YANG AKAN BALIK KAMPUNG
SAMADA GUNA LEBUHRAYA ATAU PUN JALANRAYA
JANGAN JADI HANTU RAYA
HARAP BERDISIPLIN SENTIASA
KAH! KAH! KAH!

INI ADA SATU APLIKASI
UNTUK SMARTPHONE ANDROID
NAMANYA AES DETECTOR
GUA DAH UJI APLIKASI NI
TENGOK SCREEN CAPTURE KAT ATAS TU
MEMANG BAGUIH SEBAB DIA BAGI ALARM
KALAU ADA KAMERA SEKITAR 1 KM
DARI KENDERAAN KITA
JADI SEMPAT LA KITA SLOW DOWN
IKUT HAD LAJU YANG HALAL
SELAMAT LA DARI KENA SAMAN
KAH! KAH! KAH!

APLIKASI NI BUKAN SAJA BOLEH GUNA KAT LEBUHRAYA
KAT JALAN LAMA,JALAN BANDAR SEMUA BOLEH
CUMA SIAP SEDIA DENGAQ ALARM SAJA
KAH! KAH! KAH!

KALAU GUNA HP SILA KE GOOGLE PLAYSTORE,KEMUDIAN SEARCH AES DETECTOR
KLIK KAT IKON MACAM KAT BAWAH NI:

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA KE BLOG AES DETECTOR

harakah/-