9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Renungan
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan
orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
TERSENTUH hati ini apabila mendengar khabar sejumlah bakal haji musim
1433 Hijrah (sekarang ini) yang nama mereka sudah tersenarai (ada yang
sudah diberikan rantai tangan) dibatalkan pemergian mereka ke Tanah
Suci. Seorang ustaz bercerita, ada seorang jemaah datang kepadanya,
menangis teresak-esak menyatakan dia menerima panggilan telefon
menyatakan dia tidak dapat 'lampu hijau' ke Tanah Suci sehari sebelum
dia dijadualkan berlepas. Maka menangislah dia mengadu nasib.
Seminggu dua ini berdesing-desing telinga ini mendengar kisah bakal
haji yang tak dapat ke Makkah dan juga kisah jemaah haji yang 'last
minute' (waktu terakhir) dapat juga akhirnya ke sana.
Pelbagai pihak memberitahu 'suasana kelam-kabut' dalam mengatur
jemaah ke Tanah Suci tahun ini disebabkan pihak berkuasa Malaysia gagal
mendapat kuota tambahan jemaah haji. Biasanya selain kuota biasa 28,000
jemaah (1 peratus daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 28 juta
orang), pihak Arab Saudi membenarkan tambahan jemaah, ada kalanya
sehingga 10,000 orang.
Tahun ini tiada tambahan jemaah haji dengan pihak berkuasa Arab Saudi
memberitahu hal itu disebabkan kegiatan pembangunan dan pengubahsuaian
di kawasan sekitar Masjidilharam tetapi sesetengah pihak di Malaysia
termasuk sesetengah pemimpinnya tidak habis-habis mempropagandakan hal
itu disebabkan perhimpunan segelintir rakyat Malaysia dalam apa didakwa
demonstrasi Bersih tempoh hari.
Berbual dengan bakal-bakal haji ini dan beberapa ustaz terdengarlah
rintihan hati mereka yang saya celotehkan (coretkan) di sini. Kata
seorang jemaah yang mendapat panggilan pengesahan ke Tanah Suci pada
'last minute' (dia sudah berangkat, didoakan dia mendapat haji mabrur):
"Kenduri sudah saya buat sebulan lalu. Hampir setiap kali ke masjid,
jemaah akan bertanya; 'ehh tak berangkat lagi?' Saya naik malu
dibuatnya. Syukur, alhamdulillah dapat juga saya ke Tanah Suci."
Namun pada masa yang sama dia sempat menyindir dengan berkata: "Orang
macam kita ini sudah lama mendaftar. Sudah dipilih dan disenaraikan
untuk pergi tahun ini. Sudah ikut kursus termasuk kursus haji perdana.
Namun Tabung Haji tidak mengesahkan tarikh pemergian kita sehingga 'last
minute'. Ada orang tak mendaftar pun. Tak ikut kursus pun. Tak berhajat
pun nak pergi haji. Tup-tup dia dapat surat suruh dia bersedia pergi
haji. Ini apa hal ni?"
Jemaah ini merujuk kepada jemaah haji yang ditaja oleh pemerintah
melalui kuota PM, menteri, kerajaan negeri, setiausaha kerajaan negeri
dan sebagainya. Dikhabarkan PM menaja ratusan jemaah, ada pejabat
setiausaha kerajaan negeri menaja 50 orang; jadi daripada semua negeri
berapa ramai jemaah yang pergi secara ini? Mereka terdiri daripada imam,
bilal, pengerusi JKKK, pemenang anugerah kecemerlangan dan sebagainya.
Kalau satu negeri 500 orang yang pergi cara ini, daripada 13 negeri
sudah ada 6,500 jemaah. Jadi baki kuota yang terbuka kepada orang awam
cuma 21,500 jemaah.
Itulah sebabnya mengapa sukar benar pegawai Tabung Haji hendak
'release' nama dan tarikh jemaah yang dapat pergi haji. Kasihan petugas
Tabung Haji. Mereka kena ikut arahan atasan sedangkan jemaah asyik
menghubungi mereka, bertanya, "dapat ke tak dapat" atau "bila nak
berangkat ni?" Pening juga petugas Tabung Haji. Ada 'tangan ghaib' lebih
berkuasa yang membolehkan 6,500 jemaah pergi tanpa ikut proses biasa -
mendaftar, menunggu bertahun-tahun lamanya; orang 'terpilih' ini tup-tup
saja dapat pergi haji...ewah begitu mudah sekali.
Seorang jemaah lain memberi cadangan ini: "Kalau nak bagi hadiah kat
orang-orang yang banyak jasa dan bakti itu, bagilah mereka buat umrah,
kan umrah itu boleh dibuat bila-bila masa. Untuk haji ini bagilah orang
yang benar-benar nak buat haji, mereka dah lama menunggu, kasihanilah
mereka...ada lebih 900,000 orang dalam senarai menunggu. Apa pasal orang
tak mendaftar haji pun boleh pergi dulu?"
harakah/-
1 ulasan:
Boleh bagi tahu hukum orang yang potong trip orang lain ke Mekah.
Catat Ulasan