25 Oktober 2012

Azizan kata beliau berjaya tadbir Kedah

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Azizan Abdul Razak
Azizan Abdul Razak 
 
ALOR SETAR - Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau telah berjaya mentadbir Kedah tanpa banyak masalah dan berharap untuk terus mentadbir negeri ini sehingga pilihan raya akan datang.
  
"Syukur kerana saya dah pertahan Kedah tanpa sebarang kegagalan. Saya dapat ketuai bala tentera saya untuk memerangi musuh, musuh politik saya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
  
Azizan berkata Kedah juga merupakan negeri dikuasai pembangkang yang paling kurang "diganggu".
  
"Saya tengok surat khabar, di Kelantan, Selangor hampir setiap hari orang dok usik. Di Pulau Pinang dulu pun selalu. Saya takde masalah. Saya harap semua projek kerajaan negeri terlaksana dengan baik," katanya yang akan berusia 68 tahun esok.
  
Sementara itu, Azizan berkata kerajaan negeri akan membina lebih banyak projek perumahan selain projek perumahan oleh kerajaan pusat yang merancang membina 2,000 rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu 1,000 di Changlun dan 1,000 lagi di Kota Setar.
  
"Di peringkat negeri BDB (anak syarikat kerajaan negeri Bina Darulaman Berhad) akan mula bina (rumah) di Sungai Petani dan Kuala Ketil. Di Pokok Sena pula oleh Seri Temin (satu lagi anak syarikat). Di Kubang Pasu pun ada tetapi lambat sikit kerana kita kena buat perancangan baharu," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: