18 Disember 2012

Leher berdarah

4 Safar 1433H. [MOD] -

MAUT...mangsa ditemui mati di tempat duduk kereta dengan kesan kelar pada leher.
MAUT...mangsa ditemui mati di tempat duduk kereta dengan kesan kelar pada leher. 
 
PETALING JAYA: “Saya lihat sekumpulan tujuh hingga lapan anjing berkerumun di sebuah kereta dengan pintu depan terbuka sebelum mendapati seorang wanita berlumuran darah pada leher dan dadanya di tempat duduk pemandu.” 

Demikian kata peniaga, Kamaruzaman Sanusi, 30, yang menemui mayat seorang wanita mati dibunuh dengan kesan kelar di leher di Jalan PJS5/16, berhampiran Flat Desa Mentari, di sini, tengah malam kelmarin.

Kamaruzaman berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam, dia dan keluarga baru tiba dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang sedang mencari tempat parkir kenderaan untuk ke rumah adik ipar, Rozaidi Mat Amin, 28, di flat berkenaan.

“Ketika mencari tempat parkir, saya terserempak sekumpulan anjing berhampiran sebuah kereta. Saya berhenti seketika dan menunggu kumpulan anjing itu beredar kerana haiwan itu menghalang laluan saya.

“Selepas anjing itu pergi, saya teruskan pemanduan dan ketika melepasi kereta berkenaan saya ternampak seorang wanita di tempat duduk pemandu seperti sedang tidur.

“Namun, saya hairan kerana pintu keretanya dibiarkan terbuka dan mengesyaki dia pengsan sebelum saya turun untuk memeriksa,” katanya.
Menurutnya, sebaik menghampiri wanita berkenaan, dia terkejut melihat darah pada leher dan dada sehingga ke bawah kenderaan sebelum segera menghubungi adik iparnya itu untuk meminta bantuan menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, selepas menerima panggilan jam 1.15 pagi, sepasukan polis dengan bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K-9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bergegas ke lokasi kejadian bagi menyiasat.

“Siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai S Suntarambhal berusia 33 tahun dan sudah berumahtangga. Mangsa dipercayai sudah mati satu hingga dua jam sebelum mayatnya ditemui.

“Mangsa yang menetap di Cheras juga dilaporkan hilang oleh suaminya sebelum kejadian apabila dipercayai tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam,” katanya.

Arjunaidi berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan setakat ini, polis menolak ia kejadian samun berikutan barangan berharga milik mangsa tidak diambil, manakala kereta yang didaftar atas nama suaminya juga berkeadaan baik.

“Malah, mangsa juga dipercayai tidak dirogol berikutan berpakaian lengkap iaitu blaus dan skirt berwarna gelap.

“Polis juga tidak menemui senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran.

“Suami mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan polis juga sudah mengambil keterangannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, mangsa baru saja berhenti menjual daripada bunga malai bulan lalu dan kini membantu suaminya yang berusia 36 tahun mengusahakan pusat jagaan orang tua di Cheras.

Suami mangsa melaporkan kehilangan isterinya kepada polis apabila wanita itu yang keluar dengan memandu sendirian kira-kira jam 10 malam tidak pulang ke rumah selepas beberapa jam, manakala telefon bimbitnya tidak dijawab. 

metro/-

Tragedi main air

4 Safar 1433H. [MOD] -

SERIUS...Md Affendi (baju biru berdiri) menceritakan kejadian kepada ayah mangsa, Anuar  (duduk dua dari kanan).
SERIUS...Md Affendi (baju biru berdiri) menceritakan kejadian kepada ayah mangsa, Anuar (duduk dua dari kanan). 
 
KUALA KEDAH: “Selepas terjun, saya sempat capai seorang saja anak saudara, tapi sedih tak dapat selamatkan dua lagi kerana arus deras,” kata Md Affendi Ismail, 27, bapa saudara kepada dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot gentian kaca dinaiki mereka di muara Sungai Kuala Kedah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua kanak-kanak iaitu Mohd Hafiz Anuar, 4, dan abangnya, Mohd Nashrik, 9, hilang selepas tercampak dari bot dinaiki mereka manakala pasangan kembar, Mohd Nashrik iaitu Mohd Ashraf, 9, sempat diselamatkan Md Affendi.

Md Affendi berkata, selepas menyelamatkan Mohd Ashraf, dia berenang sejauh 50 meter dari tempat kejadian sebelum diselamatkan rakan yang menaiki bot lain.

“Sebelum kejadian, mereka mendesak saya untuk bawa mereka bersiar-siar menaiki bot dan menunggu kepulangan saya dari laut sejak jam 8 pagi,” katanya.

Menurutnya, dia membawa tiga anak saudaranya bersiar-siar di sekitar muara berkenaan sebelum berpatah balik selepas perjalanan sejauh 500 meter berhampiran Jambatan Tok Pasai, di sini.

Md Affendi yang juga nelayan berkata, dia tidak menyangka berlaku tragedi kerana ini kali pertama dia membawa tiga bersaudara berkenaan kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendesak sehingga sanggup menunggu di rumahnya di Taman Nelayan, di sini.

“Selain membawa mereka bersiar di muara, pasangan kembar itu mendesak saya membawa mereka lebih jauh kerana memaklumkan tidak puas menaiki bot bersama.

“Sejurus sebelum kejadian, saya melihat dua anak saudara bermain air dengan meletakkan tangan dalam laut di bahagian hadapan bot, namun tidak menyangka tindakan itu mengakibatkan bot hilang keseimbangan ketika saya cuba membelok. “Akibatnya, mereka tercampak dalam laut menyebabkan saya terjun untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Md Affendi berkata, sebelum ini, mereka mendesaknya supaya membawa bersiar-siar menaiki bot di kawasan muara sungai, namun dia tidak mengendahkan kata-kata anak saudaranya itu dan mereka pulang ke rumah masing-masing tanpa menunggunya.

Katanya, dia tidak menyangka tindakannya menunaikan desakan pasangan kembar terbabit bertukar insiden memilukan memandangkan sebelum ini dia sering membawa Mohd Hafiz ke laut.

“Namun, hari ini (semalam) mereka benar-benar mendesak saya supaya membawa turun ke laut. Selalunya, mereka akan pulang jika saya tidak mengendahkan desakan mereka, tetapi kejadian hari ini (semalam) sebaliknya.

“Mereka sanggup mengejutkan saya daripada tidur, petang tadi (semalam) bagi menunaikan permintaan itu, namun perkara tidak diingini pula berlaku,” katanya.

Bapa dua beradik terbabit, Anuar Ismail, 31, terpaksa ditenangkan ahli keluarga selepas sukar menerima hakikat dan menyalahkan Md Affendi di atas apa yang berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Izham Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung pada jam 5.07 petang sebelum melaksanakan gerakan mencari dan menyelamat serta-merta.

“Setakat ini, kami melakukan operasi mencari di permukaan air saja sementara menunggu Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani. Operasi mencari dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di samping beberapa bot nelayan,” katanya.

Menurutnya, setakat jam 8 malam tadi, kedua-dua mangsa masih gagal dikesan.

KOSMO/-

Mati terkulai dalam kereta

4 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Tanda-tanya seorang suami mengenai isterinya yang gagal dihubungi terjawab apabila wanita itu ditemui mati dibunuh di dalam kereta jenis Honda City miliknya di tepi jalan berdekatan kawasan perumahan Desa Mentari di sini semalam.

Mayat S. Suntarambhal, 33, ditemui dengan lehernya dikelar pada pukul 1.15 pagi oleh orang awam.
Mengimbau semula kejadian itu, suami mangsa yang ingin dikenali sebagai Durairaju, 36, berkata, sebelum kejadian, isterinya ada memberitahu ingin keluar ke kawasan berdekatan rumah kira-kira pukul 10 malam atas urusan perniagaan. Rumah mereka terletak di Taman Damai Perdana, Cheras.

Katanya, tidak lama kemudian, dia hairan apabila gagal menghubungi telefon bimbit isterinya sebelum membuat laporan di Balai Polis Damai Perdana pada pukul 4 pagi.

"Saya kemudian diarahkan pergi ke Balai Polis Sungai Way dan sebaik tiba saya terkejut apabila dimaklumkan isteri saya telah dibunuh," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur.
 
KOSMO/-
 

K’jaan abai 300,000 rakyat, tapi warga asing dapat IC

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 Dis: Umno BN mengabai tuntutan 300,000 rakyat yang menetap puluhan tahun di negara ini untuk mendapatkan hak kerakyatan mereka, tetapi warga asing diiktiraf sebagai warganegara.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, kerajaan ternyata tidak serius menangani masalah kewarganegaraan rakyat sendiri, malah tergamak memberi kad pengenalan (IC) kepada warga asing yang sememangnya tidak layak.


Beliau membidas sikap kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang sehingga kini masih belum membuat sebarang tindakan berhubung permohonan IC biru 308 rakyat India, minggu lalu.

“Sehingga kini masih tiada tindakan serius dari JPN. Inilah bukti kerajaan tak ambil pusing untuk menyelesaikan masalah rakyat,” kata Surendran ketika dihubungi.

“Kita juga mempersoal tindakan jahat Umno yang begitu mudah memberi kerakyatan kepada warga asing hanya untuk menang pada PRU 13,” tegasnya.

Jumaat lalu, hampir 2,000 berhimpun untuk mendapat hak kerakyatan di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

Masalah ketiadaan IC bukan sahaja membelenggu 300,000 kaum India, malah turut melibatkan orang Melayu.

Surendran berkata, semua 308 rakyat yang memohon untuk memperoleh kerakyatan itu dilahirkan di negara ini atau ada di antara ibu bapa mereka adalah warganegara.

Menurutnya, di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, ini menjadikan mereka warganegara Malaysia melalui kuatkuasa undang-undang.

Walaupun notis terlebih dahulu diberikan, JPN gagal memenuhi 500 permohonan kaum India untuk memikili IC. Hanya 308 berjaya dimasukkan ke dalam permohonan mereka setelah mengisi borang di kaunter pendaftaran yang dibuka JPN pada hari tersebut ekoran rakyat duduk bantah di situ.

“Ia merupakan perbuatan zalim apabila rakyat dipinggir, warga asing diutamakan,” kata Surendran.

MALAYSIAKINI/-



Lawan taktik jahat Umno pindah pengundi di S’ngor

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengalaman Terengganu berjaya ditawan semula oleh BN pada 2004 menerusi penipuan pilihan raya dan bukan atas kehendak rakyat menjadikan PKR Selangor bersedia melawan taktik jahat Umno untuk merampas negeri itu.

Lebih dari itu, Timbalan Pengerusi PKR Negeri Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, Selangor malah akan ‘mematahkan’ serangan pembangkang negeri untuk memenangi pilihan raya.

“Memang ada usaha kerja-kerja kotor Umno BN di Selangor. Kita akan berdepan tanpa membiarkan taktik jahat mereka memenangi PRU akan datang.

“Petugas-petugas setiap kawasan akan diberikan penerangan dengan jelas bagi mendedahkan mereka berhubung taktik ini,” kata Ahli Parlimen Ampang itu ketika dihubungi.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR berkata, jentera parti akan mencari pengundi yang dipindahkan itu bagi mendapatkan butiran dan pengesahan bahawa mereka bukan orang tempatan yang layak mengundi kawasan tersebut.

“Bagi nama pemilih terbaru yang akan diterima penghujung tahun ini, kita akan teliti sehabis baik. Jika terdapat kekeliruan pada nama mereka, kita lapor kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. Mereka nak terima atau tidak terpulang. Tapi kita akan rekodkan semuanya sebagai bukti,” katanya dipetik KeadilanDaily.

Tambah Zuraida, negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat khususnya Selangor bakal berhadapan pengundi baru yang mencurigakan.

Kata beliau, pemindahan pengundi adalah antara perkara yang perlu diperangi habis-habisan.

“Ini adalah taktik yang kita kenal pasti bakal memberikan kesan jika tidak dikaji daripada awal. Sebagai parti mempertahankan sistem demokrasi yang adil, kita akan patahkan usaha jahat Umno,” ujarnya.

Semasa berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Dungun, Terengganu Jumaat lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendedahkan, Umno BN sedang berusaha membawa pengundi Terengganu ke Selangor bagi membantu parti itu menawan semula Selangor dalam PRU13.

HARAKAHDAILY/-

Duit RM2 juta lesap

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUCHING - Seramai 20 penduduk Kampung Menjau, Batu 21 dekat sini mendakwa kerugian wang tunai hampir RM2 juta selepas 

terperdaya dengan tawaran dividen lumayan sindiket skim pelaburan beras yang dianjurkan oleh seorang lelaki tempatan sejak dua bulan lalu.

Kesemua mangsa menyedari ditipu dalam skim berkenaan selepas mereka tidak menerima bayaran dividen dalam tempoh dua bulan sebagaimana dijanjikan oleh syarikat berkenaan.

Mangsa yang tidak berpuas hati tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Maong di sini semalam.
Sebelum ini, seorang lelaki dikenali sebagai Zeplin Uteh Jacob, 33, mendakwa menjalankan skim pelaburan beras menggunakan nama syarikat Dynamic Wira Marketing di Kota Padawan.

Menerusi skim itu, Zeplin menawarkan pulangan wang tunai atau dividen antara 50 hingga 90 peratus kepada mana-mana individu yang melabur dalam syarikat itu.

Lebih menarik mangsa tidak perlu membeli beras berkenaan iaitu beras jenama Lim Guan Seng seberat 10 kilogram (kg) sekampit.

KOSMO/-

Aliran modal haram, M'sia di tempat ke-2 di dunia

4 Safar 1433H. [MOD] -



 
Hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari Malaysia pada tahun 2010 - meletakkan negara ini di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.

azlanBadan pemantau - Global Finandial Integrity (GFI) yang berpangkalan di Washington - dalam laporan terbarunya yang
menjejaki pengaliran modal, berkata tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

GFI telah memperkenalkan kaedah baru dan lebih konservatif dalam membuat anggaran aliran keluar wang haram, yang membantu untuk memberi tumpuan ekslusif terhadap wang kotor. Oleh itu, anggaran dari laporan terdahulu telah disemak semula.

Tahun lepas, GFI telah meletakkan angka aliran keluar wang haram bagi Malaysia pada tahun 2009 ialah AS$46.86 bilion (RM143.3 bilion). Ini telah diubah kepada AS$30.41 bilion (RM93 bilion).

Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia - dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38  bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.

GFI belum memperolehi data untuk 2011 dan 2012, tetapi ini akan dimasukkan ke dalam laporan yang akan datang.

Pemantau kewangan global itu telah memberi amaran bahawa pengaliran modal di Malaysia adalah "pada skala yang dilihat di beberapa negara Asia".

Laporan GFI - 'Aliran Kewangan Haram Dari Negara Membangun: 2001-2010' -  dihasilkan bersama oleh ahli ekonomi GFI, Sarah Freitas dan Dev Kar, yang merupakan bekas ahli ekonomi kanan di Tabung Kewangan Antarabangsa  (IMF).

azlan
Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul
sepanjang lebih 10 tahun - dari 2001-2010 - Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico.

Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion, dan Mexico, AS$476 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mempertikaikan angka GFI dan memaklumkan kepada Parlimen tahun lepas angka yang lebih rendah sebanyak RM135.3 bilion bagi aliran keluar modal haram 2000-2009.

Bagaimanapun, data GFI disokong oleh penyelidikan yang berbeza awal tahun ini oleh organisasi lain - Tax  Justice Network yang berpangkalan  di London - yang mendapati Malaysia adalah antara negara teratas di dunia dalam aliran modal.

MALAYSIAKINI/-

Alamat besar pembubaran parlimen sudah muncul!

4 Safar 1433H. [MOD] -

Hari ini satu alamat besar telah muncul tentang berlaku pembubaran parlimen.Jika dalam agama islam selalu kita belajar tentang alamat kecil atau alamat besar bila akan berlakunya kiamat .Maka hari ini tanda tanda besar berlakunya pembubaran parlimen telah muncul.
 
Hari ini saya terkejut bila tiba tiba dua mufti  membuka balik cerita lapuk dimana dua orang mufti iaitu Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh telah menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.
 
Pelik saya memikirkan kenapa isu amanat Haji Hadi tiba tiba boleh muncul tak kala semua orang sudah melupakan tentang amanat ini. Kedatangan dua mufti berjumpa dengan Ketua Penerangan Umno Dato Ahmad Maslan di PWTC  pun menjadi tanda tanya  dan misteri? seperti ada sesuatu agenda  yang tersembunyi.
 
Cukup menghairankan apa pasai amanat Haji Hadi yang berusia 31 tahun ini dihidupkan kembali ? Saya yakin  semua orang terutama generasi baru telah melupakan amanat ini dan tak mengambil kisah pun tentang amanat ini .Tetapi hari ini isu ini sengaja ditimbulkan kembali melalui Mufti  seolah olah ada satu agenda yang tersembunyi yang cuba di bangkitkan oleh Umno dengan memperkudakan kedua dua mufti.
 
Terus terang  dengan tanpa berselindung saya mengatakan Mufti Perak ini cakap tak serupa bikin. Baru semalam ada terbaca satu didalam satu akhbar[gambar] konun beliau  tidak cenderung dengan mana mana parti politik atau badan NGO.
 
Tetapi hari ini beliau dengan egonya melangkah ke PWTC berjumpa dengan ketua Penerangan Umno untuk bercakap pasai Amanat yang sudah basi  isunya .Kenapa dia menjadi jurucakap Umno sedang mulutnya berkata tidak mahu bersekongkol dengan mana mana parti politik. Pelik pelik !! saya memikirkan bila mana mufti ini  duduk semeja bersama Ketua penerangan Umno di PWTC bercakap dan  menyerang Haji Hadi  atau Pas.
 
"Selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan amalan, bagaimana boleh dikatakan kafir. "Itu hanya pendapat melulu dan tidak berasas," kata Mufti Perak.
 
Sebagai seorang yang berilmu adakah dia  lupa  tentang perkara perkara yang boleh membatalkan syahadah? Saya tak kata Umno ...tapi untuk semua  yang bergama islam kena tau apakah  perbuatan atau tingkah laku yang boleh membawa tergelincirnya akidah manusia.
 
Sebenarnya, dalam ucapan Haji Hadi di Banggol Peradong, Kuala Terenggan pada 1981 yang dimomokkan sebagai amanat oleh UMNO, Haji Hadi hanya tolong menyampaikan maksud beberapa Ayat al-Quran, antaranya Ayat 44 - 49 daripada Surah al-Maidah yang membawa maksud bahawa "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu kafir (44), zalim (45), fasiq (47).
 
Oleh sebab kerajaan UMNO tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan oleh Allah, tetapi berhukum dengan hukum yang direka cipta oleh manusia [sekular], maka UMNO yang  terasa pedasnya akibat sindiran dari ayat itu.
 
Kesimpulannya, bukan Haji Hadi yang mengkafirkan UMNO, tetapi Haji Hadi hanya menyampaikan mesej al-Quran.Dengan kata lain, Ayat ayat Allah SWT yang mengecap manusia itu sama ada kafir atau zalim atau paling minimum, fasiq.
 
Maka isunya disini kenapa Umno terdesak memangggil kedua orang mufti ini ke PWTC hanya untuk bercakap dan menghidupkan kembali tentang AMANAT HAJI HADI ?tak lain tak bukan hanya untuk menjadi senjata pilihan raya untuk Umno.
 
Saya jamin media talibarut Umno akan memainkan isu AMANAT HAJI Hadi yang telah di lontak oleh dua mufti ini semaksimun yang boleh mulai dari hari ini sehingga ke tarikh mengundi.

Umno sebenarnya ketandusan isu untuk menyerang Pas maka Amanat ini di hidupkan kembali untuk dimomokkan kepada pengundi melayu.~ ayuh kita tolak sekular

Lancar kapal TLDM: Rosmah lebih sudu dari kuah – Kobat

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 17 Disember: Kor Bekas Anggota Tentera/Perajurit (Kobat) KEADILAN Pahang mempersoal  pelancaran Kapal Latihan Gagah Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Pengerusinya, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, pelancaran tersebut patut disempurnakan seorang yang berjawatan dalam kabinet, ataupun mengikut protokol kerajaan, bukannya oleh isteri Perdana Menteri.

“Siapa yang jadi Perdana Menteri, Najib ke Rosmah? Sepatutnya diberikan kepada Agong ataupun Permaisurinya. Paling tidak, ia harus ikut protokol. Bukannya kepada isteri Perdana Menteri yang baru empat tahun mentadbir.

“Dia (Rosmah) memang ‘muka tebal’, tak tahu malu. Ini akan buatkan rakyat bertambah meluat dengan sikap beliau yang akhirnya memberi kesan kepada Najib (Razak),” katanya ketika dihubungi.

Kapal tersebut diberi nama Gagah Samudera sebagai kesinambungan kepada Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera. ‘Samudera’ merupakan identiti bagi kapal latihan milik TLDM.

Turut hadir pada majlis penamaan dan pelancaran kapal latihan tersebut di Kampung Sijangkang, Kuala Langat pada Jumaat lalu adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Kalau nak dibandingkan Rosmah dengan isteri mantan Perdana Menteri lain, jauh sekali berbeza. Malah Tun Siti Hasmah isteri yang berwibawa.

“Inilah yang dikatakan lebih sudu daripada kuah. Rosmah suka buat perkara yang tak patut. Adakah dia Menteri Pertahanan, Perdana Menteri atau Permaisuri Agong?” soal Fauzi yang juga Pengerusi KEADILAN Pahang.

keadilandaily/-

Kes Altantuya Ditangguh Lepas PRU, BN Takut Pekung Terbongkar

4 Safar 1433H. [MOD] -

Penangguhan mahkamah selama enam bulan untuk mendengar rayuan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang dihukum gantung sampai mati kerana membunuh wanita Mongolia, 

Altantuya Shaariibuu sehingga selepas pilihan raya umum (PRU), membayangkan ketakutan Umno BN.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu menetapkan 11 Jun tahun depan bagi mendengar rayuan Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri.

Altantuya adalah penterjemah kepada Abdul Razak Baginda dalam pembelian kapal selam Scorpene dan turut dikait mempunyai hubungan dengan Razak Baginda dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau dibunuh secara kejam apabila diletup menggunakan bom C4 di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam antara malam 18 Oktober dan 19 Oktober 2006.

Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 selepas didapati bersalah membunuh Altantuya, 28.

Mengulas penangguhan itu, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran bertegas, kes rayuan tersebut sepatutnya didengar secepat mungkin dan tiada sebab perlu ditunda.

“Saya turut terkejut mendengar berita bahawa kedua-dua mereka masih berada dalam tahanan, menunggu untuk buat rayuan, sedangkan keputusan kes telah lama dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Surendran, ia menimbulkan persoalan adakah keputusan untuk mendengar rayuan itu sengaja dibuat selepas pilihan raya agar rahsia mereka yang terlibat tidak terbongkar.


“Kita tak nampak apa-apa sebab munasabah untuk menunda kes itu sehingga tahun depan, apatah lagi bulan Jun, yang umum tahu pada waktu itu, pilihan raya telah selesai,” katanya.

“Kita tuntut penjelasan berhubung kelewatan pendengaran rayuan tersebut dan desak agar dijalankan segera,” tegas Surendran lagi.

kelab grenboc/-

Media diharap lapor berdasarkan fakta, kebenaran – Lim Guan Eng

4 Safar 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap Kongres Kebangsaan DAP ke-16 bermula esok adalah penting kepada parti terutama dalam memilih barisan kepimpinan baru, selain memulakan kiraan detik 100 hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Katanya, pemilihan barisan kepimpinan kali ini mencatat rekod tersendiri apabila seramai 2,576 perwakilan layak mengundi pada pemilihan yang akan berlangsung esok.

Kongres bertemakan ‘Perubahan Ditangani’ ini akan menyaksikan 68 calon bertanding merebut 20 kerusi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti.

“Ia adalah kongres parti DAP yang akan memilih barisan kepimpinan baru untuk tiga tahun yang akan datang. Kongres ini penting secara dalaman dan luaran.

“Pada aspek dalaman, ini adalah urusan dan satu proses demokrasi yang penting bagi parti DAP yang akan ditentukan ahli,” katanya ketika meninjau persiapan kongres di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), hari ini.

Tidak halang media buat liputan

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tiada halangan kepada mana-mana media untuk membuat liputan pada kongres dua hari itu yang diadakan di PISA bermula esok.

“Kita berikan ruang kepada semua media utama untuk buat liputan. Tapi kita lahirkan harapan biarlah (laporan) berdasarkan kebenaran dan fakta. Kita berharap media memberi laporan yang betul mengenai apa yang berlaku sepanjang kongres itu.

“Kami tidak larang media…mereka dibenar membuat liputan, Tiada sebarang sekatan dikenakan. Ini terbuka kepada semua,” katanya.- Roketkini.com

Putrajaya: Adil boleh, kalau kecoh tak boleh

4 Safar 1433H. [MOD] -


KANGAR: “Boleh ke kita ambil Putrajaya,” tanya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perlis di sini, malam tadi.

“Boleh!” jawab para hadirin.

Lantas, Mohamad berkata: “Kalau pilihan raya adil, boleh, kalau kecoh, tak boleh”.

Dengan sebab, katanya diadakan himpunan aman Bersih 1, 2 dan 3 untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata Bersih 4 tidak diadakan kerana telah ‘dicuri’ oleh Umno yang mengadakan ‘tarian punggung’ di hadapan rumah Datuk S Ambiga.

Beliau menegaskan walaupun pilihan raya lalu berlangsung dalam keadaan yang tidak bersih, namun parti pembangkang dapat memenangi lima buah negeri.

Dengan sebab itu, katanya, terdapat pemimpin Umno BN yang mempersoalkan Pakatan Rakyat yang mendakwa perjalanan pilihan raya tidak bersih sedangkan mencapai kejayaan di negeri-negeri berkenaan.

“Mereka kata, pasal apa kamu (Pakatan Rakyat) menang lima negeri, kata (pilihan raya) tak adil.

“Kalau pilihan raya bersih, lama dah kita perintah. Kalau adil, dah lama kamu jadi pembangkang,” ujarnya pada majlis yang diadakan di Kompleks PAS Perlis, Kampung Pondok. Turut berucap ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Sehubungan itu, beliau yakin akan berlaku perubahan dalam pilihan raya umum nanti ekoran sambutan puluhan ribu yang menyertai siri jelajah Himpunan Kebangkitan Rakyat di seluruh negara.

Beliau selanjutnya mengulangi jemputan kepada semua rakyat Malaysia ke Himpunan 1 Juta Rakyat yang akan diadakan di ibu negara pada 12 Januari hadapan.

harakahdaily/-

17 Disember 2012

Cermin bas Merdeka Rakyat pecah dibaling samseng Umno

3 Safar 1433H. [MOD] -



TAPAH 17 Dis: Bas Jelajah Merdeka Rakyat sekali lagi diserang samseng Umno ketika menuju ke ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perak semalam, menyebabkan cermin sisi penumpang di tingkat atas retak dan berlubang.

Semasa kejadian, Ketua Umum KEADILAN tidak mengikuti rombongan, sebaliknya hanya lapan kakitangan pejabat parti yang berada dalam bas.

Menurut saksi yang juga Setiausaha Pengelola KEADILAN, Raden Shamsul Akmar Raden Shamsuddin, insiden itu berlaku antara 6.30 petang hingga 6.45 petang, selepas bas bergerak melepasi kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah menuju ke Bandar Seri Iskandar.


“Kejadian berlaku ketika bas berada di lebuh raya. Kami sendiri tak sedar. Tiba-tiba ada bunyi kuat di cermin.
“Cermin retak dan ada satu lubang kecil. Saya syak mungkin ia dibaling objek dari atas kerana berdasarkan kerosakan, ia bukan dibaling dari bawah dengan kereta atau motosikal. Mungkin dilastik, kerana atas lebuh raya itu ada satu jambatan,” katanya ketika dihubungi.

Berikutan insiden itu, menurut Raden, Timbalan Ketua Cabang Tapah memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Tapah, berkenaan perkara tersebut.

“Kita tidak buat laporan polis. Apa pun kita akan perbaiki dan tukar cermin baru. Lagi pun tiada sebarang kecederaan dan kerosakan lain dalam bas.

“Tiada apa-apa pun respon dari polis. Mereka hanya berkawal seperti biasa di tapak ceramah  dan bas dibiarkan tanpa iringan,” ujarnya.

keadilandaily/-

Dirempuh hingga terpelanting 50m

3 Safar 1433H. [MOD] -
Mayat Mohd. Zudilman dibawa masuk ke dalam bilik mayat di Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

PASIR MAS – Tindakan seorang lelaki menggunakan landasan sebagai jalan pintas untuk ke rumahnya sambil memegang telefon bimbit mengundang padah apabila dia dilanggar kereta api dalam kejadian di Kampung Chenok, Slow Machang di sini petang semalam.

Lebih mengharukan, penduduk di kampung berkenaan sempat menjerit ke arah mangsa, Mohd. Zudilman Che Ismail, 34, mengenai bahaya yang menantinya malah kereta api tersebut juga sudah membunyikan siren.
Malang sekali pekerja sambilan Telekom Malaysia itu tidak mengendahkannya menyebabkan kereta api tersebut merempuh mangsa sehingga dia terpelanting 50 meter.

Mangsa cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa dikatakan cuba melintas landasan itu sebelum dirempuh kereta api yang datang dari arah Pasir Mas ke Tumpat.

“Pekerja sambilan Telekom itu cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, saksi kejadian, Zulkifli Mohamad, 42, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke landasan untuk mengambil anaknya yang bermain di sekitar kawasan di seberang landasan.

“Sebelum kejadian, saya melihat mangsa baru sahaja turun dari kereta rakannya, kemudian mahu melintas landasan untuk ke rumahnya sambil memegang telefon bimbit.

“Semua penduduk kampung menjerit malah siren kereta api turut berbunyi beberapa kali, namun tiada tanda dia mahu mengelak sebaliknya mangsa meneruskan perjalanan,” ujarnya.

Tambahnya, sejurus tiba di tengah landasan mangsa dilanggar kereta api dan melambung hampir 50 meter(m) dari lokasi perlanggaran.

Kosmo


Bertam PM 307: Pertahan kedaultan Terengganu

3 Safar 1433H. [MOD] -

Soalan lisan saya di Persidangan Dewan Undangan Neegeri Terengganu berhubung dengan status hak milik kerajaan Terengganu ke atas penemuan kawasan minyak di medan minyak Bertam PM 307 akhirnya di jawab oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Jawapan yang diberikan oleh beliau amat memeranjatkan banyak pihak. Tanpa berselindung, beliau telah memberikan beberapa fakta penting mengenai penemuan hasil minyak di kawasan tersebut.

Beliau menyatakan bahawa;

"Kita (Kerajaan Terengganu) menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu...

Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran."

Berpandukan jawapan ini, kawasan medan minyak yang baru di temui di Blok PM 307 Bertam yang terletak di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang kini sah menjadi milik rakyat Terengganu.

Medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan sempadan Terengganu dan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Ahmad Said juga turut mengesahkan bahawa kerajaan negeri ada menulis surat kepada Petronas mengenai status penemuan minyak itu, namun sehingga kini belum lagi menerima jawapan.

Namun pendedahan terbuka Menteri Besar Terengganu ini mempunyai implikasi undang-undang dan kedaulatan sesebauh negeri yang bernaung di bawah sistem Persekutuan.

Yang paling penting adalah tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang terlebih dahulu mengistiharkan pada  30 Oktober lalu bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti di medan minyak Bertam tersebut.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Pengumuman ‘anugerah royalti minyak’ oleh Perdana Menteri kepada negeri Pahang ini telah membuka kembali terlalu banyak persoalan besar.

Ia jelas menafikan hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu yang berpegang teguh kepada semangat Federalisma dan keluhuran perlembagaan negara.

Begitu juga dengan kedudukan Akta Perjanjian Petrolium yang ditandatangani pada tahun 1975 antara kerajaan negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan bersama Petronas.

Perjanjajian ini jelas menjamin hak royalti sebanyak 5 peratus kepada negeri-negeri yang ditemui hasil minyak dan gas di perairan sempadan negeri masing-masing.

Persoalan besar adalah, apakah perjanjian asal diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975 itu sudah tidak diterima-pakai lagi?

Dan apakah setiap penemuan hasil minyak termasuk di Sabah dan Sarawak kini boleh di agih-agihkan kemana-mana sahaja negeri hanya dengan kuasa mutlak Perdana Menteri?

Isu royalti minyak kepada negeri-negeri mula timbul sebaik sahaja Pas berjaya menawan negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke 11 tahun 1999.

Pada 5 September 2000, di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed, Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu.

Beliau menyatakan bahawa “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan dan hanya MOU semata-mata’.

Jadi dimanakah maruah dan hak negeri Terengganu  Darul Iman sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan negeri yang berpayungkan Tuanku Al-Sultan, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud?

ni ditambah lagi dengan tindakan ‘mengehsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan yang jelas menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.

Bagi saya apa yang berlaku bukanlah isu hasil minyak yang diperolehi itu berada samada di dalam atau diluar tiga nautika dari persisir pantai negeri.

Kenapa ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak? Apa yang dilakukan adalah kerana dendam dan diskriminasi politik yang berjalan sejak berpuluh-puluh tahun.

Lebih parah lagi mereka sanggup menghina dan menghukum negeri yang 96 peratus penduduknya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Amat wajar diamati kembali sikap pengasas pertama Petronas, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menunjukkan sifat seorang negarawan tulen.

Beliau berani berdiri dipersada politik tanahair bagi membetulkan fakta yang diselewengkan khususnya dalam perkara pembayaran royalti pertoleum kepada negeri Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain.
Beliau dengan tegas menyatakan hak royalti kepada mana-mana negeri termasuk Terengganu dan Kelantan mesti ditunaikan oleh Petronas berpandukan kepada perjanjian asal pada tahun 1975.

Isu hak royalti minyak Bertam kepada negeri Terengganu adalah persoalan kedaulatan dan maruah negeri yang berdaulat.

Setiap rakyat Terengganu biarpun berbeza pandangan politik dan parti, semestinya mempertahankan hak ini demi kebaikan negeri Darul Iman ini.

Semua rakyat Terengganu yang sayangkan negerinya harus bersatu dalam mempertahankan hak negeri daripada diambil oleh negeri lain.

harakahdaILY/-