18 Disember 2012

Leher berdarah

4 Safar 1433H. [MOD] -

MAUT...mangsa ditemui mati di tempat duduk kereta dengan kesan kelar pada leher.
MAUT...mangsa ditemui mati di tempat duduk kereta dengan kesan kelar pada leher. 
 
PETALING JAYA: “Saya lihat sekumpulan tujuh hingga lapan anjing berkerumun di sebuah kereta dengan pintu depan terbuka sebelum mendapati seorang wanita berlumuran darah pada leher dan dadanya di tempat duduk pemandu.” 

Demikian kata peniaga, Kamaruzaman Sanusi, 30, yang menemui mayat seorang wanita mati dibunuh dengan kesan kelar di leher di Jalan PJS5/16, berhampiran Flat Desa Mentari, di sini, tengah malam kelmarin.

Kamaruzaman berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam, dia dan keluarga baru tiba dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang sedang mencari tempat parkir kenderaan untuk ke rumah adik ipar, Rozaidi Mat Amin, 28, di flat berkenaan.

“Ketika mencari tempat parkir, saya terserempak sekumpulan anjing berhampiran sebuah kereta. Saya berhenti seketika dan menunggu kumpulan anjing itu beredar kerana haiwan itu menghalang laluan saya.

“Selepas anjing itu pergi, saya teruskan pemanduan dan ketika melepasi kereta berkenaan saya ternampak seorang wanita di tempat duduk pemandu seperti sedang tidur.

“Namun, saya hairan kerana pintu keretanya dibiarkan terbuka dan mengesyaki dia pengsan sebelum saya turun untuk memeriksa,” katanya.
Menurutnya, sebaik menghampiri wanita berkenaan, dia terkejut melihat darah pada leher dan dada sehingga ke bawah kenderaan sebelum segera menghubungi adik iparnya itu untuk meminta bantuan menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, selepas menerima panggilan jam 1.15 pagi, sepasukan polis dengan bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K-9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bergegas ke lokasi kejadian bagi menyiasat.

“Siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai S Suntarambhal berusia 33 tahun dan sudah berumahtangga. Mangsa dipercayai sudah mati satu hingga dua jam sebelum mayatnya ditemui.

“Mangsa yang menetap di Cheras juga dilaporkan hilang oleh suaminya sebelum kejadian apabila dipercayai tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam,” katanya.

Arjunaidi berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan setakat ini, polis menolak ia kejadian samun berikutan barangan berharga milik mangsa tidak diambil, manakala kereta yang didaftar atas nama suaminya juga berkeadaan baik.

“Malah, mangsa juga dipercayai tidak dirogol berikutan berpakaian lengkap iaitu blaus dan skirt berwarna gelap.

“Polis juga tidak menemui senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran.

“Suami mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan polis juga sudah mengambil keterangannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, mangsa baru saja berhenti menjual daripada bunga malai bulan lalu dan kini membantu suaminya yang berusia 36 tahun mengusahakan pusat jagaan orang tua di Cheras.

Suami mangsa melaporkan kehilangan isterinya kepada polis apabila wanita itu yang keluar dengan memandu sendirian kira-kira jam 10 malam tidak pulang ke rumah selepas beberapa jam, manakala telefon bimbitnya tidak dijawab. 

metro/-

Tiada ulasan: