18 Disember 2012

Selangor buka peluang bina rumah mampu milik

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selangor membuka peluang kepada pemaju mengemukakan permohonan membina rumah mampu milik untuk menggantikan rumah kos rendah bagi memenuhi permintaan rumah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata kelulusan kepada pemaju tertakluk mengikut syarat yang mesti dipenuhi dan diluluskan oleh Mesyuarat Exco.

Katanya, permohonan akan diluluskan sekiranya kurang permintaan atau kurang permintaan untuk rumah kos rendah di sesuatu kawasan itu.

“Permohonan juga boleh diluluskan jika terdapat masih banyak Rumah Kos Rendah yang masih tidak terjual di kawasan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mesyuarat Exco akan mengambil kira laporan teknikal daripada Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor (JPBD), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) mengenai sesuatu permohonan.

Berdasarkan ulasan-ulasan teknikal itu, jelasnya Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan permohonan tersebut.

“Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak-pihak yang terlibat,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Sri Cempaka berkata, jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS sekalipun, ia masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco yang dibuat secara collective dan bukan berdasarkan keputusan exco perumahan sahaja.

Rumah mampu milik Selangor dijual pada harga sekitar RM85,000 hingga RM120,000 dengan keluasan antara 850 hingga 1,000 kaki persegi di samping reka bentuk berkonsepkan green building.

Pemaju juga perlu mengambil kira penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi termasuk untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), mengenakan kos penyelenggaraan yang murah dan keuntungan yang tidak melebihi sepuluh peratus.

harakah/-

Tiada ulasan: