18 Disember 2012

K’jaan abai 300,000 rakyat, tapi warga asing dapat IC

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 Dis: Umno BN mengabai tuntutan 300,000 rakyat yang menetap puluhan tahun di negara ini untuk mendapatkan hak kerakyatan mereka, tetapi warga asing diiktiraf sebagai warganegara.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, kerajaan ternyata tidak serius menangani masalah kewarganegaraan rakyat sendiri, malah tergamak memberi kad pengenalan (IC) kepada warga asing yang sememangnya tidak layak.


Beliau membidas sikap kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang sehingga kini masih belum membuat sebarang tindakan berhubung permohonan IC biru 308 rakyat India, minggu lalu.

“Sehingga kini masih tiada tindakan serius dari JPN. Inilah bukti kerajaan tak ambil pusing untuk menyelesaikan masalah rakyat,” kata Surendran ketika dihubungi.

“Kita juga mempersoal tindakan jahat Umno yang begitu mudah memberi kerakyatan kepada warga asing hanya untuk menang pada PRU 13,” tegasnya.

Jumaat lalu, hampir 2,000 berhimpun untuk mendapat hak kerakyatan di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

Masalah ketiadaan IC bukan sahaja membelenggu 300,000 kaum India, malah turut melibatkan orang Melayu.

Surendran berkata, semua 308 rakyat yang memohon untuk memperoleh kerakyatan itu dilahirkan di negara ini atau ada di antara ibu bapa mereka adalah warganegara.

Menurutnya, di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, ini menjadikan mereka warganegara Malaysia melalui kuatkuasa undang-undang.

Walaupun notis terlebih dahulu diberikan, JPN gagal memenuhi 500 permohonan kaum India untuk memikili IC. Hanya 308 berjaya dimasukkan ke dalam permohonan mereka setelah mengisi borang di kaunter pendaftaran yang dibuka JPN pada hari tersebut ekoran rakyat duduk bantah di situ.

“Ia merupakan perbuatan zalim apabila rakyat dipinggir, warga asing diutamakan,” kata Surendran.

MALAYSIAKINI/-



Tiada ulasan: