18 Disember 2012

Putrajaya: Adil boleh, kalau kecoh tak boleh

4 Safar 1433H. [MOD] -


KANGAR: “Boleh ke kita ambil Putrajaya,” tanya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perlis di sini, malam tadi.

“Boleh!” jawab para hadirin.

Lantas, Mohamad berkata: “Kalau pilihan raya adil, boleh, kalau kecoh, tak boleh”.

Dengan sebab, katanya diadakan himpunan aman Bersih 1, 2 dan 3 untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata Bersih 4 tidak diadakan kerana telah ‘dicuri’ oleh Umno yang mengadakan ‘tarian punggung’ di hadapan rumah Datuk S Ambiga.

Beliau menegaskan walaupun pilihan raya lalu berlangsung dalam keadaan yang tidak bersih, namun parti pembangkang dapat memenangi lima buah negeri.

Dengan sebab itu, katanya, terdapat pemimpin Umno BN yang mempersoalkan Pakatan Rakyat yang mendakwa perjalanan pilihan raya tidak bersih sedangkan mencapai kejayaan di negeri-negeri berkenaan.

“Mereka kata, pasal apa kamu (Pakatan Rakyat) menang lima negeri, kata (pilihan raya) tak adil.

“Kalau pilihan raya bersih, lama dah kita perintah. Kalau adil, dah lama kamu jadi pembangkang,” ujarnya pada majlis yang diadakan di Kompleks PAS Perlis, Kampung Pondok. Turut berucap ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Sehubungan itu, beliau yakin akan berlaku perubahan dalam pilihan raya umum nanti ekoran sambutan puluhan ribu yang menyertai siri jelajah Himpunan Kebangkitan Rakyat di seluruh negara.

Beliau selanjutnya mengulangi jemputan kepada semua rakyat Malaysia ke Himpunan 1 Juta Rakyat yang akan diadakan di ibu negara pada 12 Januari hadapan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: