17 Julai 2009

Berikhtiar mengatasi musibah

Email Oleh : mohd naim mohd zain
Oleh : Wan Jemizan Wan Deraman


PERLINDUNGAN kewangan seperti Takaful dapat membantu kita apabila ditimpa musibah, contohnya kebakaran.Gambar hiasan

Menjadi hakikat kehidupan dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada sebarang bentuk kemungkinan terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Dan Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan secebis rasa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa serta tanam-tanaman yang tidak menjadi. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya jualah kami akan kembali. (al-Baqarah: 155)

Musibah boleh menimpa kita tanpa mengira darjat, pangkat, umur, bangsa dan warna kulit. Ia akan mendatangkan mudarat dan penderitaan kepada kita dan akhirnya kita akan menanggung pelbagai beban dan kesulitan.

Malah yang lebih malangnya, kaum keluarga kita sendiri seperti anak dan isteri kita akan turut sama menanggung penderitaan.

Seiring dengan kemajuan teknologi yang serba moden dan canggih ini, setiap hari kita semakin terdedah kepada bahaya yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan memusnahkan harta benda. Ertinya semakin maju sesebuah negara maka semakin tinggi peratusannya untuk terdedah kepada bahaya.

Pepatah Melayu ada menyebut, "malang tidak berbau, geruh tidak berbunyi". Kemalangan dan tragedi yang berlaku ini bukan sahaja mengakibatkan penderitaan dan kesusahan kepada kita sebagai mangsa tetapi turut ditanggung oleh ahli keluarga kita.

Apatah lagi seandainya kemalangan dan tragedi tersebut meragut nyawa kita sebagai ketua keluarga maka ini bermakna anak-anak dan isteri kita akan mengalami penderitaan, akibat hilang punca pendapatan mereka selama ini.

Hal ini akan menjadi bertambah buruk apabila kita tiada sebarang persiapan atau perancangan.

Kita sebagai umat Islam yang beriman dengan ketentuan qada dan qadar Allah semestinya meyakini bahawa segala bentuk musibah yang menimpa itu adalah ujian dari Allah SWT jua. Kita pula sebagai hamba-Nya yang taat hendaklah sentiasa bersedia menghadapinya dengan penuh keimanan dan kesabaran.

Oleh itu menjadi kewajipan kepada kita semua untuk berikhtiar dan berusaha sedaya upaya mengelak dan menjauhkan diri daripada kemungkinan berlakunya musibah, malapetaka atau bencana yang boleh mengancam nyawa dan juga keselamatan harta benda.

Malah Islam melarang kita daripada sengaja mendedahkan diri kepada mudarat dan kebinasaan sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu sengaja mendedahkan dirimu kepada kebinasaan. Dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (al-Baqarah: 195)

Islam menyuruh kita supaya merancang dan mencari jalan bagaimana hendak mengatasi musibah atau sekurang-kurangnya bagaimana hendak meringankan bebanan yang terpaksa dipikul oleh kita atau oleh ahli keluarga kita jika sesuatu musibah menimpa.

Pernah satu ketika seorang Arab Badwi bertanya kepada Baginda Rasulullah SAW apakah beliau perlu menambat untanya sebelum masuk ke masjid untuk bersembahyang ataupun hanya membiarkan begitu sahaja untanya tanpa perlu menambatnya terlebih dahulu.

Maka Baginda SAW bersabda kepada orang Arab Badwi itu dengan sebuah hadis sahih yang maksudnya: "Tambatlah unta kamu terlebih dahulu dan kemudian barulah bertawakal kepada Allah". (riwayat Tarmizi)

Musibah jangan dicari

Daripada hadis tersebut, Baginda SAW mendidik kita supaya musibah jangan dicari. Malah Baginda menyuruh kita mencari jalan bagaimana hendak mengatasi musibah sebelum ia menimpa.

Kesan daripada kemalangan yang menyebabkan maut atau kecederaan parah akan membuatkan penderitaan yang ditanggung oleh mangsa dan keluarganya menjadi lebih berat. Sesungguhnya kematian tidak dapat digantikan dengan wang ringgit tetapi kecederaan tubuh badan pasti memerlukan rawatan.

Dalam hal ini, bekalan wang secukupnya adalah sangat mustahak. Sekurang-kurangnya derita yang ditanggung menjadi lebih ringan. Pada masa yang sama, penderitaan kita akan bertambah jika musibah yang menimpa membawa kepada kemusnahan tempat tinggal dan kehilangan harta benda milik kita. Yang hilang perlu diganti. Yang musnah harus pula dibaiki..

Persoalan yang timbul ialah dari manakah manfaat wang atau kemudahan seumpama ini akan dapat kita perolehi bagi membantu ahli keluarga kita yang hilang tempat pergantungan? Dan dari sumber manakah untuk memperoleh manfaat kewangan bagi mengganti atau membaik pulih harta benda yang musnah atau yang hilang itu?

Jika ditakdirkan kita sebagai ketua keluarga meninggal dunia, siapakah di kalangan ahli keluarga kita yang akan menjelaskan tanggungan hutang kita sekiranya kita mempunyai hutang yang masih belum dijelaskan?

Hakikat kemungkinan berlakunya musibah atau bencana ini, sepatutnya menjadikan kita lebih bersedia menghadapinya dari awal lagi.

Antara persediaan yang terbaik ialah kita hendaklah mempunyai sejumlah wang yang mencukupi sebagai bekalan untuk menghadapi sebarang kemungkinan buruk jika ditakdirkan menimpa kita.

Dengan bekalan wang ini, bebanan ahli keluarga kita akan menjadi lebih ringan bagi meneruskan kehidupan seharian mereka selepas kematian kita yang menjadi tempat pergantungan mereka.

Bekalan wang ini juga boleh digunakan untuk membeli harta benda yang baru menggantikan harta benda yang sudah musnah. Di samping itu biarlah kita berazam untuk mempunyai sejumlah wang yang boleh digunakan semasa melalui hari-hari persaraan atau hari-hari tua kita kelak.

Antara jalan ikhtiar yang boleh dirancang dan diusahakan oleh kita bagi mencapai matlamat tersebut ialah dengan cara mendapatkan perlindungan (protection) menerusi sistem takaful atau insurans secara Islam.

Hari ini pelbagai institusi kewangan Islam telah ditubuhkan di negara kita untuk tujuan-tujuan tersebut yang selaras dengan ajaran Islam seperti perbankan Islam dan takaful untuk keperluan perlindungan.

Dengan kewujudan pengendali takaful yang kini berjumlah sembilan pengendali ke semuanya mampu menawarkan pelbagai skim dan pelan yang boleh memberikan manfaat dan menawarkan perlindungan yang amat berfaedah kepada kita umat Islam.

Dengan cara ini kita akan memperoleh perlindungan dalam bentuk kewangan sebagai bekalan untuk menghadapi musibah dan bencana yang bila-bila masa sahaja berkemungkinan menimpa kita. Di samping itu, kita juga berpeluang bermuamalat dengan sistem kewangan Islam yang bebas daripada sebarang dosa riba.

nWAN JEMIZAN WAN DERAMAN ialah Penolong Naib Presiden, Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Orang Islam bertutur baik

Email Oleh : mohd naim mohd zain
Oleh Mohd Shauki Abd Majid

DALAM Islam kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina merupakan satu perkara yang sangat tercela dan dilarang. Sesungguhnya segala sumber kata-kata kotor atau nista itu timbul daripada watak yang rendah dan jiwa yang hina.

Kerana itu ada pendapat mengatakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa: Jauhilah olehmu semua kata-kata kotor sebab Allah tidak suka kepada kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor dari orang lain.

Kata-kata kotor, nista, umpatan dan kejian menyebabkan manusia berkonflik, bergaduh dan seterusnya bersengketa sehingga berlakunya pembunuhan, pertumpahan darah dan lenyap sama sekali. Mungkin kita boleh jadikan teladan, bagaimana masyarakat Islam terus membenci bekas Presiden George W. Bush apabila beliau menyifatkan Iran dan Iraq sebagai “paksi kejahatan.”

Seluruh masyarakat Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung mengutuk pemberian gelaran itu terhadap negara-negara Islam.

Mempersendakan

Kita mungkin teringat dengan hukuman yang pernah diberikan oleh Ayatollah Khomeini apabila Salman Rushdie melukiskan perwatakan Nabi Muhamad SAW sebagai karikatur dan mempersendakan baginda. Mungkin juga kita tidak lupa dengan kata-kata pedih yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin tertentu bagi menggambarkan watak yang tidak disukainya. Dengan menggunakan kata-kata kesat, umpatan dan nista, Shahnon Ahmad telah meloyakan khalayak pembaca melalui perulangan kata-kata dalam novel Shit, dan pernah menimbulkan kontroversi kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan politik negara suatu ketika dahulu.

Mungkin kerana marah atau ada sesuatu yang terguris di hatinya, Shahnon Ahmad telah lupa bahawa Rasulullah SAW pernah memberikan peringatan bahawa: Seorang Mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah. Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya.

Dalam membuat sesuatu tuduhan, berkata-kata kita seharusnya menjadikan perilaku dan tutur kata Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat, walaupun berhadapan dengan musuhnya.

Sebaliknya baginda membalas dengan senyuman dan menasihati secara berhemah dan tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain.

Anas bin Malik r.a pernah merakamkan bahawa: Tidak pernah Rasulullah SAW melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mancaci maki. Ketika seseorang mencela baginda sebagai seorang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), baginda hanya mengatakan apa yang dia miliki.

Rasulullah SAW adalah seorang yang benar-benar memelihara lisannya. Sekalipun terhadap orang-orang kafir yang menentang dakwahnya. Baginda tidak mudah mengeluarkan kata-kata laknat atau menyakitkan hati.

Abu Hurairah berkata bahawa ia menemui seorang lelaki yang ketagihan arak. Lalu dihadapkan lelaki itu kepada Nabi Muhamad SAW agar dihukum. Di antara para sahabatnya ada mengatakan: “Saya memukul dengan tangan”, “saya memukul dengan kasut” dan “saya memukul dengan baju.”

Ketika lelaki itu berpaling (ke arah sahabat), seorang sahabat menyatakan semoga Allah SWT menghinamu! Maka bersabdalah Rasulullah SAW yang bermaksud: Janganlah kamu meminta bantuan syaitan dalam menghadapinya.

Daripada Abu Darda r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Aku memohon kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, doakanlah (kecelakaan) bagi orang-orang musyrik. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat (mengutuk), tetapi aku diutuskan untuk memberi rahmat.

Begitulah citra peribadi Rasulullah SAW, dengan akhlak yang luhur telah memberikan contoh kepada manusia agar selalu menghindari sebarang tindakan secara melulu dan selalu sabar dalam menghadapi setiap rintangan atau masalah.

Dalam konteks ini jelas sekali sikap berlebih-lebihan dalam beragama yang menjadi pegangan sesetengah orang bukanlah daripada ajaran Islam. Ini kerana Islam lebih mendahulukan sikap pertengahan atau kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Islam mengingatkan setiap umatnya agar tidak terjerumus pada dua kesesatan iaitu berlebih-lebihan atau sikap lalai. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat. (Surah Al-Fatihah: 6-7)

Di dalam masyarakat Islam tidak ada tempat bagi kaum Muslimin untuk meremehkan nilai-nilai luhur yang dijunjung oleh Islam. Masyarakat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang luhur dalam kehidupan umat manusia. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Tahukah kamu siapa yang disebut orang bankrap itu. Para sahabat menjawab: Orang yang tiada lagi mempunyai wang dan harta.” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Orang yang bankrap adalah yang datang pada hari kiamat amalan solat, puasa dan zakat, tetapi bersamaan itu juga ia telah mencaci maki, menuduh, memakan harta tidak halal, mengalirkan darah (tanpa hak) dan memukul ini dan itu.

Maka amalan baiknya dilimpahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang ia caci) dan jika amalan baiknya habis pada hal belum dapat menutup kesalahannya maka kesalahan (orang yang dicaci itu) dilimpahkan kepadanya, kemudian ia ditempatkan ke dalam neraka.

Seorang Muslim itu perlu memelihara lisan atau lidahnya daripada mencaci maki, walaupun dengan alasan yang kuat. Lebih utama memadamkan api kemarahan itu agar tidak terjadi permusuhan yang menyeret kepada perbuatan dosa.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Yang berbuat keji dan menyiarkan kekejiaan itu berada dalam keadaan sama-sama berdosa.

Firman Allah yang bunyi: Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji. (Surah Al-Humazah:1)

Dalam ayat ini, Allah SWT mengutuk perbuatan jahat iaitu menyebarkan fitnah, bercakap ataupun mengisyaratkan perkara yang jahat sama ada terhadap seorang lelaki atau perempuan dengan kata-kata ataupun secara isyarat, atau perangai, atau secara mengajuk-ajuk, ataupun sindiran atau caci maki.

Sesungguhnya Allah SWT itu pemalu, penutup (cela), menyukai malu dan tertutup, maka apabila salah seorang kamu mandi maka hendaklah ia ditutup.

Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Bukanlah tergolong daripada orang mukmin yang suka mencela, mengutuk dan mengeji. Dan bukan pula mereka yang berlidah kotor. (Surah An-Nahl: 25)

Dari ayat-ayat al-Quran serta beberapa hadis yang tersebut jelaslah membuktikan bahawa Islam melarang umatnya mencarut dan memaki hamun sesama muslim.

Ini kerana kerja-kerja mencarut adalah kegiatan dan perbuatan syaitan. Bagi mereka yang masih tegar dengan pengucapan negatif bagi mewajarkan kenyataan berbaur fitnah, nista dan cela bersandarkan pendapat bahawa Islam tidak melarang umatnya mencarut adalah satu usaha pemesongan dan bertentangan dengan budaya Islam. Mohonlah perlindungan Allah SWT daripada sifat yang buruk.

16 Julai 2009

Imam pemimpin solat dan masyarakat

Email Oleh : mohd naim mohd zain
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN


PERANAN imam tidak sekadar mengetuai solat fardu berjemaah tetapi menjadi tempat rujukan umat Islam.

HADIS Rasulullah SAW di atas menunjukkan betapa umat Islam disuruh menunaikan rukun Islam kedua ini secara berjemaah. Lagipun solat berjemaah bukan memerlukan bilangan yang ramai memadai sekurang-kurangnya dua orang, seorang imam dan seorang lagi makmum.

Berjemaah pada solat Jumaat adalah wajib atau fardu ain manakala bagi solat fardu yang lain ada yang mengatakan hukumnya sunat muakkad, fardu kifayah dan juga fardu ain. Namun, sebahagian besar ulama mengatakan hukum solat berjemaah adalah fardu kifayah.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, "Bila sahaja ada tiga orang di dalam satu kampung atau dusun tidak mendirikan solat berjemaah, mereka akan digoda oleh syaitan. Lantaran itu hendaklah kamu berjemaah, sesungguhnya serigala selalu memakan kambing liar yang terasing (yang jauh daripada kumpulannya)". (riwayat Abu Daud)

Antara individu yang berperanan penting dalam solat jemaah ialah imam. Mereka bukan sahaja mengetuai solat fardu berjemaah, tetapi juga paling dekat dengan masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila berlaku kematian, akikah, kenduri kendara, nikah kahwin dan mengetuai solat berjemaah.

Secara amnya, semua kita adalah imam iaitu pemimpin yang akan dipertanggungjawabk an di hadapan Allah kelak. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW yang maksudnya: Kamu sekelian adalah pengembala (pemimpin) dan akan diminta dipertanggungjawabk an tentang kepimpinannya. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang suami adalah pemimpin ke atas anggota keluarganya. Kamu sekelian adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. (riwayat Bukhari)

Mengikut sejarah, profesion imam telah bermula sejak zaman Nabi SAW. Baginda adalah Ketua Negara, imam solat dan juga Ketua Angkatan Perang kaum muslimin.

Pada zaman kesultanan Melayu pula, beberapa sultan seperti Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Sultan Zainal Abidin (Terengganu) dan Sultan Alaiddin (Selangor) dikatakan pernah menjadi imam solat berjemaah.

Imam juga menjadi tempat rujukan penduduk setempat apabila berhadapan sesuatu masalah atau mendapatkan nasihat berhubung sesuatu. Justeru, para imam perlu sentiasa mempamerkan sahsiah mulia serta melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi.

Ini sesuai dengan fungsi imam yang lebih luas sebagai orang bertanggungjawab mengenai bidang agama dan sosial setempat bagi melaksanakan tugas menyebar luaskan semangat keagamaan serta memenuhi khidmat kemanusiaan kepada sesiapa yang memerlukan sekadar yang termampu.

Menyedari hal ini, Pusat Latihan Pengurusan Masjid, Institut Latihan Dakwah Selangor (ILDAS) dan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menganjurkan Kursus Imam Surau Daerah Kuala Selangor pada 6 hingga 8 Julai lalu.

Kursus tiga hari yang dihadiri oleh 90 imam itu berlangsung di ILDAS, Sabak Bernam, Selangor.

Ketua Pegawai Penyelaras Masjid Bahagian Pengurusan Masjid JAIS, Ramli Sidom berkata, para imam perlu mempunyai sahsiah yang baik kerana mereka menjadi contoh kepada anak-anak kariah.

Kata beliau, para imam bukan sahaja perlu mempunyai akhlak mulia dalam percakapan, pemikiran dan perbuatan tetapi juga perlu sentiasa menjaga syariat serta menghindar daripada melakukan maksiat serta terlibat dengan perkara syubhat.

Selain itu, imam perlu mempunyai hubungan kemasyarakatan yang mesra dengan anak-anak kariah supaya dapat mengetahui masalah mereka dan anak kariah pula tidak segan untuk mengadu hal kepada imam.

"Pendek kata, imam yang ideal sentiasa kreatif menghidupkan roh Islam di masjid, surau dan di kalangan jemaahnya.

"Oleh itu, kedudukan imam sebagai pengurus dalam sektor masjid atau surau dengan jawatankuasa pengurusan mempunyai ikatan koordinasi yang saling bekerjasama dalam mentadbir kegiatan masjid sehingga berjaya," katanya.

Ramli berkata demikian semasa menyampaikan kertas kerja bertajuk, 'Sahsiah Imam yang Berwibawa'.

Pada program itu, turut diadakan Tahsin Qiraat untuk memperbaiki mutu bacaan al-Quran para imam.

Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu 45 orang satu kumpulan. Mereka diuji membaca fatihah, ayat lazim dan juga tahiyat akhir. Program ini dibimbing oleh dua guru iaitu Napiah Sahrani dan Abu Yani Omar.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor, Zainal Abidin Sulaiman pula menekankan pentingnya para imam menguasai dan memahami syarat sah, rukun, sunat dan pantang larang dalam solat.

Katanya, selain mengetahui rukun, syarat sah dan perkara yang membatalkan solat, para imam juga perlu menguasai ilmu tajwid agar bacaan fatihah dan tahiyat akhir itu dibaca dengan betul dan tepat.

"Para imam juga perlu segera muhasabah diri apabila ditegur dengan perkataan subhanallah oleh makmum dalam solat. Sudah tentu ada perkara yang tidak kena.

"Jangan pula apabila ditegur sedemikian, para imam teruskan juga solat tanpa membetulkan kesilapan sama ada tertinggal ayat, terlebih atau terkurang bilangan rakaat dan sebagainya," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja 'Fiqh Solat' pada kursus tersebut. Pada sesi yang sama, para peserta mengambil peluang melontarkan pelbagai soalan berkaitan ibadat solat.

Antaranya termasuk bagaimana imam memberitahu makmum apabila solatnya batal semasa dalam kedudukan sujud, hukum sujud sahwi apabila tertinggal doa qunut, keharusan mempercepatkan solat apabila mendengar suara anak kecil menangis di masjid dan sebagainya.

Menurut Zainal lagi, para imam harus melihat keadaan kesesuaian jemaahnya sebelum memutuskan sama ada membaca surah yang panjang atau sebaliknya semasa solat. Sebab itu antara syarat menjadi imam mestilah disukai oleh makmum.

Pendek kata, para imam perlu meraikan para jemaah iaitu jika majoriti jemaah itu golongan bekerja maka elakkan membaca surah yang terlalu panjang semasa solat subuh pada hari bekerja.

Demikian juga jika ramai jemaah golongan tua, maka imam hendaklah memilih surah yang sederhana panjangnya supaya tidak memuradatkan jemaah yang berkenaan.

Kata Zainal, apabila hak-hal sebegini diraikan, insya-Allah masjid atau surau akan lebih makmur dengan lebih ramai jemaah datang menunaikan solat berjemaah.

Tambah beliau, solat berjemaah juga melatih diri berdisiplin dan patuh kepada ketua dan melahirkan simbol perpaduan dan kerjasama di anatara sesama Muslim.

Malah, Rasulullah SAW ada bersabda yang maksudnya: Kalaulah mereka tahu tentang kelebihan pahala solat Isyak dan Subuh berjemaah, mereka akan datang sekalipun merangkak (bagi orang yang tidak boleh berjalan). (Muttafaq alaih)

Manek Urai : Satu peringatan dari Allah Taala.

Email Oleh : Mohd dasuki Mohd Lebar
oleh : tokpepijat.blogspot.



Sirah Rasulullah bagaikan sebutir mutiara perjalanan Mukmin. Amat penting bagi Gerakan Islam seperti PAS menghayati dan mengambil pengajaran dari Sirah ini.

Ghazwah Hunain adalah salah satu perjalanan Sirah Rasulullah. Peristiwa Hunain berlaku pada Syawal 8 Hijrah selepas Pembukaan Kota Mekah.

Dalam perjalanan menuju Hunain timbul 2 perkara yang amat tidak disenangi Rasulullah iaitu :

a) Seruan tentera Islam (warga Mekah yang baru masuk Islam) agar Rasulullah buat sepohon pokok Zatul Anwat buat mereka kerana mereka percaya tentang keberkatan pokok tersebut.

b) Kekaguman dan yakin dengan bilangan tentera yang ramai mampu kalahkan musuh.

Akibatnya mereka kucar kacir tatkala diserang hendap musuh di Lembah Hunain. Saat itulah Rasulullah terpaksa menyeru mereka agar kembali bersatu semula menyusun barisan perang. Akhirnya Rasulullah dan Tentera Islam berjaya mengalahkan tentera musuh pimpinan Malik bin Auf.

PAS berjaya mengekalkan kerusi Manek Urai dalam PRK dengan majoriti kecil 65 undi. Jika dulu majoritinya dalam PRU 12 adalah 1352 kini merundum kepada 65 undi. Menurun 1267 undi.

Pelbagai analisis di buat. Buat pihak UMNO tentulah suatu kejayaan kerana berjaya menurunkan majoriti PAS. Juga tanda penambahan undi mereka sebanyak 889 undi.

Peristiwa Hunain boleh di"sesuaikan" suasana di Manek Urai. Bermula dengan kata-kata "takbur, sombong dan terlalu yakin" seperti malu mata, pemimpin luar tidak diperlukan, isu lokaliti, menghalang kehadiran orang lain hinggalah kata-kata "berbaur syirik" seperti "tengok gambar tok guru dah dapat pahala".

Di saat akhir juga keluar kenyataan , "yakin menang 2,000 undi "

Apa makna ini semua ! Tarbiyyah mana kita ambil ?

Itu semua seperti "mengulangi " kelakuan tentera Islam semasa menuju Hunain dimana amat tidak disenangi Rasulullah.

Kita berharap dengan segala peristiwa " malang dan sedih" Manek Urai segera pimpinan kita bermuhasabah diri masing-masing. Ingat dalam PAS tiada tubuh badan yang maksum atau "seakan-akan" maksum !

Ingat ! PAS bukan ditubuhkan untuk berbangga-bangga dengan "semangat kenegerian" !

Apakah kita bangga dengan kemenangan Manek Urai (itupun 65 undi je) dalam keadaan kita berpuak-puak, taksub tubuh badan seseorang, taksub dengan semangat kenegerian ?

Kita rela kalah dalam sistem pilihanraya(sememangnya kita biasa kalah) tetapi jemaah kita bersatu padu, penuh semangat ukhuwwah dan bersandar sepenuhnya kepada Allah Taala !

Ingat ! Manek Urai satu amaran dari Allah Taala buat kita semua ambil pengajarannya.

India Humor...

Email Oleh : Mat Rock










Kepada yang berkenaaan : Siapa lempar Nadia , tolong hantar gambar kepada saya....

Petang kelmarin saya menerima panggilan dari seorang teman blogger memaklumkan supaya menyiarkan permohonan di atas kepada seseorang yang dikesan telah menggambil gambar kejadian kekecohan di Upu Lata Rek dan kejadian melempar batu yang menyebabkan Cik Nadia mengalami luka dibahagian dagunya.

Saya dengan rendah diri merayu kepada "hamba Allah" yang mengambil gambar itu untuk menghantar kepada saya pada email : idhamlim@yahoo.com.my kerana ianya sangat penting untuk menafikan kenyataan pihak musuh PAS yang sedang mengembar-gemburkan cerita kononnya keganasan itu bermula dari penyokong PAS.

Selain itu dengan tujuan untuk melengkapkan bukti dalam kes untuk menyeret pihak yang tidak bertanggung jawab itu kemuka pengadilan.

Drs. Khalil lawat Muslimah PAS dilempar batu di Manek Urai.


KUALA KRAI, 14 July :- Di malam kemenangan PAS Di Manek Urai yang disambut dengan kegembiraan oleh semua penyokong PAS, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim tidak melupakan rasa duka dan kesakitan yang dialami oleh seorang serikandi PAS, Cik Nadiah Mohd Kamil (24) yang dilempar bantu oleh musuh yang tidak dikenali semasa merayu undi di UPU Lata Rek.

Drs. Khalil berada sekitar 20 minit di Wad Kenari, Hospital Kuala Krai bagi mewakili Pakatan Rakyat Negeri Perak dan bertanya khabar tentang musibah yang dialami oleh muslimah PAS itu dan sempat menyampaikan sedikit sumbangan kepada magsa tersebut..

Mengikut maklumat yang diberikan kepada kami, beliau semasa sedang ingin menjawab satu panggilan talifon bimbitnya sekitar jam 12.15 tengah hari tiba-tiba seketul batu yang saiznya agak besar singgah didagunya dan menyebabkan luka yang membawa kepada 2 jahitan.

Cik Nadia yang berasal dari Kuala Kangsar dan sekarang menetap di Kuala Lumpur pada masa itu ditemani oleh keluarga angkat di Labok Machang tempat beliau menginap sejak sehari sebelum pilihanraya Manek Urai dan beliau datang khusus untuk merayu undi pada pilihanraya tersebut.




Manek Urai : Keputusan mengikut UPU

KEPUTUSAN SETIAP UPU

Peti Undi PAS kalah dengan majoriti:
1. Temalir – 27 undi
2. laloh – 66 undi
3. Manek Baru – 34 undi
4. manek Urai Lama – 184 undi
5. Manjor – 66 undi
6. Undi pos – 35 undi

Peti Undi PAS menang dengan majoriti:
1. Lata Rek – 258 undi
2. Peria – 86 undi
3. Chuchuh Puteri – 96 undi
4. Sungai sok – 66 undi.

UBN mungkin tidak tidur lena malam ini disebabkan kekalahan berlanjutannya dalam siri-siri pilihanraya kecil. Mimpi ngerinya sekali lagi berulang di Manek Urai. Tetapi alangkah kecewanya UBN kerana hanya 65 undi sahaja bezanya. Tetapi adat bertanding, walaupun hanya 1 undi beza, tetap dikira menang. Alangkah bagusnya jika berjaya kempen sebanyak 70 orang lagi, jika berjaya pengaruhi 2,3 peti undi lagi. Tetapi itu hanya boleh dilakukan sebelum pusat pengundian ditutup petang tadi. Kini semuanya sudah menjadi sejarah hitam yang patut diterimanya. Maka, bolehlah dibuat muhasabah.

Dicatat oleh Mr. President

Benarkah Manek Urai Kubu PAS?

Dari Blog Laman Nurani

Benarkah Manek Urai Kubu PAS?

Manek Urai...Seribu pengalaman suka dan duka, susah dan senang, rilek dan sibuk. Pelbagai lagilah istilah-itilah yang boleh disebut. Namun Manek Urai tetap bersinar pada pagi ini, harapan esok terus bersinar lagi. Jangan hujan di tengahari. Pengalaman Manek Urai cukup bermakna bagi sesiapa yang sedar akan hakikat sebenar sebuah perjuangan.

Biarlah dengan keputusan yang memeihak kepada PAS. Syukur alhamdulillah, kita diajar bersyukur kepada Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. Disebalik keputusan itu, jadikanlah ia pedoman yang sungguh bermakna kepada kita semua. Saya ingin mengajak pembaca semua supaya bermuhasabah dimanakah silapnya kita. Mengapa PAS hanya mendapat 65 undi majoriti sedangkan ia mendakwa, Manek Urai adalah kubunya. Jika benar kubunya, kenapa majoriti PAS telah hilang?

Sebenarnya, Manek Urai bukan kubu PAS seperti yang didakwa, tetapi ia menjadi kubu Allahyarham Hj. Ismail Yaakob (Adun Manek Urai). Berkebetulan allahyarham bertanding atas tiket PAS, maka ianya secara automatik menjadi ikon PAS di situ.

Pernyataan saya tadi berbalik kepada keputusan PRU ke-11 dimana PAS meletakkan Ustaz Zamzuri sebagai calonnya di Manek Urai, tetapi ia telah mengalami kekalahan. Kemuadian pada PRU Ke-12, PAS kemudiannya mencalonkan Allahyarham Pak Su Mail sebagai calon, majoriti kemenagan telah melonjak ke angka ribu. Adakah fenomena ini membuktikan Manek Urai kubu PAS atau kubu Pok Su Mail?

Dalam pilihanraya kecil ini, kita dapat menilai sejauh mana kebenaran pernyataan itu. PAS sememangnya terlalu yakin dengan kemenangan ekoran dakwaan Manek Urai itu menjadi kubunya dan bukan kubu Pok Su Mail. Tetapi keputusan semalam tidak memihak seperti yang didakwa. Dengan 65 undi majoriti itulah sebenarnya kekuatan PAS di Manek Urai.

Tahniah Abe Uji di atas kemenangannya di Manek Urai. Abe Uji mestilah membina satu legasi baru di Dun Manek Urai. Perhebatkan tarbiyyah dalam diri masayarakat Dun Manek Urai supaya semuanya dapat menahan diri dari godaan 'wang rasuah pilihanraya'.

Khir digantung setahun empat Adun BN enam bulan

SHAH ALAM, 15 Julai : - Dewan Negeri Selangor meluluskan usul terhadap Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo digantung berkhidmat sebagai Adun dan dipotong semua elaun serta kemudahan bulanan selama setahun.

Timbalan Speaker, Haniza Talha telah memaklumkan keputusan tersebut sekitar jam 3 petang selepas usul tersebut dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti di Dewan Negeri Selangor.

Berikutan itu, 18 Adun BN yang merupakan pembangkang di Selangor diketuai Khir Toyo bertindak keluar Dewan sebagai memprotes usul meluluskan cadangan hukuman itu telah dibuat dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan (JKHK).

Jawatankuasa itu turut menggantung empat Adun BN dengan dipotong elaun dan kemudahan bulanan selama enam bulan.

Ahli Dewan tersebut; Dato' Warno Dogo (Sabak-Umno); Mohd Isa Abdu Kasim (Batang Kali-Umno); Dato' Marsum Paing (Dengkil-Umno) dan Dato' Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam-Umno) .

Usul yang dibawa oleh Lau Weng San (Kampung Tunku-DAP) menegaskan hukuman yang dikenakan keatas lima orang Adun itu berbeza dengan hukuman yang dikenakan ke atas Adun dan Ahli Parlimen Pakatan rakyat lalu.

"Saya telah meneliti penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri telah mengetahui bahawa Jawatankuasa telah diadakan dan satu sesi pendengaran dipanggil untuk lima orang Adun terlibat membela diri," jelasnya.

Beliau berkata, semua Adun terlibat diwakili tujuh orang peguam dan mereka telah mengemukakan bantahan dan tidak mengambil keputusan untuk membela diri.

Usul tersebut disokong oleh Ng Sue Lim (Sekinchan-DAP) yang menegaskan Speaker tidak terlibat dengan cadangan memutuskan hukuman penggantungan terhadap Khir Toyo dan empat Adun BN yang lain.

Penegasan beliau itu berikutan dakwaan Khir bahawa penggantungan perkhidmatan Adun selama setahun itu dilakukan oleh Speaker dengan niat jahat dan balas dendam.

Sementara itu, Adun (Meru-PAS), Dr Rani Osman mengingatkan Khir supaya jangan bersikap mendabik dada dengan menganggap kekayaan yang diperolehi adalah hasil titik peluhnya.

Dengan kekayaan itu katanya, Khir boleh melakukan apa saja tindakan dan lebih parah menggunakan kuasa untuk menindas golongan bawahan tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Khir yang mendabik dada kewajarannya untuk tinggal di rumah besar kerana sebagai bekas Menteri Besar dan tidak sesuai tinggal di rumah pondok.

Menurut beliau, pondok itulah yang telah mengeluarkan ramai para ulama, pencinta negara dan pejuang yang telah mengorbankan jiwa mereka untuk tanah air.

Beliau turut menyelar sikap Khir yang melemparkan fitnah bahawa kerajaan Pakatan Rakyat banyak berbohong dengan rakyat dalam melaksanakan pentabdiran.

"Saya hendak tanya adakah Sungai Panjang mengetahui bahawa rakyat hari ini masih rakyat yang lama, yang tidak tahu ICT, rakyat hari ini telah berubah," tegasnya.

Bagi Shaari Sungib (Hulu Kelang-PAS) mengingatkan Khir Toyo supaya segera bertaubat kerana enggan menjadi saksi telah mengakibatan dosa besar.

Ini kerana katanya, wakil rakyat merupakan pembela hak rakyat dan menjadi saksi utama adalah fardhu ain yang sangat dituntut dalam agama Islam.

Ekoran tindakan Khir yang keluar dewan beliau menegaskan, itu membuktikan kegagalan BN mendukung prinsip Islam telah terdedah di sidang Dewan Negeri.

Menurut beliau, apabila seseorang itu enggan menjadi saksi satu penyakit lain telah timbul iaitu beliau cuba memutar belit dengan membawa keterangan yang tidak sewajarnya.

"Kita telah menyaksikan beliau (Khir) memutarbelitkan fakta walaupun beliau telah diberi peluang seluas-luasnya dengan notis pemberitahuan peguam tetapi beliau enggan datang dalam siasatan Selcat," tegasnya.

Beliau mengingatkan Khir bahawa tindakannya itu bukan saja telah melakukan penghinaan terhadap Dewan tetapi telah melakukan dosa kepada Allah kerana enggan menjadi saksi dan memutarbelitkan fakta dan berbohong.

"Saya seru beliau bertaubat dan memperbaiki diri," katanya.

Menurut beliau, 18 wakil rakyat BN yang turut keluar dewan membuktikan bahawa mereka bukan saja tidak bersedia untuk mempertahankan hak rakyat tetapi curang dan cuai terhadap rakyat. Harakahdaily/-

Tips Kurangkan Nyamuk

Email Oleh : Mann Trex

Salam alaik,

Dalam beberapa artikel yang lalu, saya telah kemukakan tips mengurangkan Lipas, Cicak dan Ulat Gonggok. Formula serupa : Kurangkan Makanan Mereka dan Kurangkan Peluang Bersarang. Kedua-duanya dengan menjaga kebersihan.

Dalam hal nyamuk, ia berbeza samasekali. Bersih manapun rumah kita, nyamuk tetap datang menyerang sebab darah kita adalah makanannya.

Jenis-jenis penyakit yang disebabkan oleh nyamuk (sebagai vektor yang sangat tekun) adalah Dengue, Malaria, 2 jenis Equine Encephalitis, Japanese Encephalitis, West Nile Virus dan Meningitis ( Yellow Fever ). Ada banyak lagi jenis kat Benua Afrika dan Amerika yang lebih mengerikan.

Bagaimana nyamuk mengesan mangsa samada manusia atau binatang? Melalui kehadiran Carbon Dioxide, CO2 atau Karbon Dioksida. Ia adalah gas yang dikeluarkan pernafasan manusia dan haiwan berdarah panas setelah menghidu udara bersih. Nyamuk boleh terbang sejauh 1.5km untuk mencari sumber CO2. Nyamuk KL pula pandai guna lift dan ada yang naik kapalterbang ke Sabah.

Bahaya ke bahan kimia dari supermarket untuk bunuh nyamuk? Saya tak suka Ubat Nyamuk ( berasap ) yang boleh menganggu pernafasan dan boleh menyebabkan penyakit. Saya juga tak suka guna INSECTICIDE kerana terdapat banyak kes-kes cancer, brain damage, leukimia, lymphoma dan kecacatan kanak-kanak baru lahir di luar negara akibat darinya. Ni pulak mereka keluarkan bahan kimia guna letrik atau bunyi anti-nyamuk. Lagi lah saya ngeri. Maklumlah sayang bini dan anak-anak, saya cari jalan natural dan agama Islam menyuruh kita menjaga kesihatan serta ekonomi.

CARA A : Bahan dapur sebagai alternatif kepada ubat nyamuk komersial.

>> Untuk Perlindungan Badan
1. Beberapa butir bunga cengkih
2. Sebatang serai dengan daun yang dipotong-potong halus
3. Satu biji limau purut atau limau nipis atau lemon atau setangkai pudina
4. Sediakan setekoh air suam
5. Perah limau ke dalam tekoh dan masukkan yang lain
6. Tutup tekoh dan biarkan beberapa jam sehingga air berbau wangi.
7. Sebelum tidur, sapukan pada bahagian badan, tangan, kaki yang mudah diserang nyamuk.
8. Tapis air tersebut dan simpan dalam botol kaca dalam fridge. Boleh guna 2 atau 3 hari.
NOTA : Saya tak simpan air wangi ni sebab bilas badan terakhir setiap hari sebelum keluar rumah untuk Aromatherapy. Saya pening kepala kalau pakai minyak wangi yang jual di kedai. Kimia pulak tu.

>> Untuk Halau Nyamuk Di Ruangan Rumah
Guna cebisan kain yang dikoyak panjang dalam 1 kaki atau kurang. Titiskan minyak kayu putih atau minyak cap kapak ( sebab ada eucalyptus ) pada kain tersebut. Gantungkan di ruang atau bilik yang tak mahu nyamuk datang. Bila nak tidur, letak lagi minyak sikit lagi.

CARA B: Minyak-minyak Essential Oil dari kedai Aromatherapy atau supermarket.

>> Untuk Perlindungan Badan
1. Minyak Serai Wangi ( Lemongrass ), Minyak Eucaplyptus ( Kayu Putih ) dan Minyak Peppermint ( Pudina ).
2. Titiskan minyak ini dalam 5 atau 6 titis setiap satu jenis ke dalam air suam setekoh dan goncang.
3. Sapukan ke bahagian badan yang tak mau digigit nyamuk. AWAS : ELAKKAN DARIPADA TERKENA MATA, KENING dan BAWAH MATA.
NOTA : saya tak mandi dengan air minyak ni.

>> Untuk Halau Nyamuk Di Ruangan Rumah
1. Titiskan minyak-minyak tersebut ke cebisan kain dalam 1 kaki atau kurang. Gantung di ruang yang tak mau ada gangguan nyamuk. ATAU
2. Bakar Lilin Serai Wangi dan Pudina di ruangan tersebut.

KURANGKAN NYAMUK DI HALAMAN RUMAH
Semua orang rasanya dah tengok dalam TV bagaimana nak kurangkan nyamuk dalam dan luar rumah. KEYWORD : Jangan ada air bertakung.

Kalau ada kolam jugak, belalah ikan atau gerakkan air tersebut dengan pump.

Saya tambah sikit kat sini. Bersihkan halaman rumah dari daun-daun, dahan-dahan jatuh dan pendekkan rumput serta rimbunan. Sila ketahui, nyamuk betina setelah bersenyawa dengan jantannya, akan cari tempat relax semalaman di celah rumput panjang atau bawah daun jatuh. Esoknya barulah ia menyerang manusia untuk dapatkan darah agar boleh bertelur dalam air. Nyamuk betina memang jahat.

Kalau kawasan tu ada burung layang-layang atau kelawar, populasi nyamuk akan berkurangan. Kedua-dua haiwan ini suka makan nyamuk. Tapi tak payahlah kita bela mereka ini kerana banyak najis. Sebagai ganti, kita tanam saja serai wangi di tempat strategik atau pokok nyamuk ( bau macam serai wangi dan dijual di nurseri ).

Jika halaman rumah kita bersih dan berbau serai wangi tapi jiran kita dok usahatani nyamuk, parah kita nanti. Kesannya berkurangan. Nasihatkan mereka baik-baik. Jika mereka degil sangat, barulah kita bela burung layang-layang kat tepi pagar menghala halaman mereka ( kalau larat lah ).

Akhirkata
Saya dah amalkan CARA A dan CARA B bertahun-tahun lamanya dan berkesan. Jika kurang berjaya, maafkan saya kerana mungkin spesis nyamuk kita berbeza atau nyamuk dah jadi mutant. Jadinya cubalah tambah dan tukar bahan-bahan sendiri untuk lihat keberkesanannya. Hanya jangan berganjak dari bahan induk, iaitu eucalyptus ( kayu putih ) dan lemon grass ( serai atau serai wangi ).

Kerajaan BN digesa terus bangunkan Manek Urai

Salmiyah Harun
Wed Jul 15, 09 9:00:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Hrkh) -Dewan Pemuda PAS mencabar BN agar menunaikan janjinya untuk membangunkan Manek Urai dengan peruntukan sebanyak RM24 juta termasuklah membina jambatan yang bernilai RM7 juta seperti mana yang diuar-uar kepada pengundi pada pilihan raya kecil lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata, selaku kerajaan yang memerintah negara ini BN sepatutnya boleh melaksanakan pembangunan di Dun itu.

Katanya, BN tidak perlu menunggu hanya dengan kemenangannya di lubuk PAS itu barulah boleh membangunkan Manek Urai.

"Tidak semestinya mereka harus menang, baru hendak melaksanakan pembangunan. Mengapa harus tunggu menang? Sebab jika menang pun BN tidak dapat menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan," tegasnya.

Jelasnya, Umno dan BN sengaja memperbodohkan rakyat dengan janji yang agak luar biasa.

"Inilah sikap BN! Kita harap dalam PRU-13 nanti rakyat tidak lagi terpedaya serta terperangkap dengan janji mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengakui tekanan meterial yang luar biasa itulah menyebabkan kemenangan tipis PAS.

Dengan janji jutaan ringgit itu, Nasruddin percaya pengundi Manek Urai mungkin terpersona dan terpedaya dengan janji BN sehingga sukar untuk membuatkan membuat keputusan bijak.

Justeru, katanya, PAS harus mengambil iktibar di atas kemenangan tipis parti itu dan menganggap ada hikmah yang perlu dijadikan pengajaran bagi setiap ahli PAS.

"Apa yang berlaku ini, semua pemimpin dan ahli parti PAS mengambil iktibar supaya kita kembali bertaut. Kemenangan itu datang daripada Allah kerana kehebatan kita," katanya. - azm-HarakahDaily.Net-

BN terus ditolak rakyat, PAS perlu kaji menang tipis

Nyza Ayob
Wed Jul 15, 09 9:08:15 am MYT


KUALA LUMPUR, 15 Julai (Hrkh)-Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah berpandangan PAS perlu melakukan post mortem serta membuat kajian secara mendalam mengenai aliran pengundi yang tidak memihak kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai pada 14 Julai lalu.

Mengulas mengenai kemenangan tipis PAS dengan majoriti 65 undi, Wan Abdul Rahim menolak faktor golongan muda yang tidak keluar mengundi yang menyebabkan kemerosotan majoriti berbanding Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Jelasnya, berdasarkan keputusan yang di perolehi di beberapa peti undi seperti Manek Urai Baru PAS menang dalam semua empat saluran kecuali saluran dua.

Justeru katanya PAS perlu membuat semakan faktor yang menyebabkan golongan berusia menolak PAS.

Dalam pada itu beliau juga tidak menolak kemungkinan kemenanganan tipis tersebut disebabkan kelemahan PAS di Kuala Krai yang baru sahaja selesai membuat perubahan kepimpinan di peringkat kawasan.

Sementara itu beliau juga berpandangan faktor calon sebelum ini, Ismail Yaakub meninggalkan suatu 'kekosongan' kepada rakyat Manek Urai.

"Pak Su Wil merupakan satu 'lagenda' yang cukup sinonim dengan rakyat Manek Urai. Walaupun pengganti beliau, Abe Uji merupakan pilihan yang terbaik beliau masih perlukan pendedahan.

"Dan saya yakin Abe Uji akan dapat meneruskan usaha serta kesinambungan yang diteruskan oleh Pak Su Wil dengan jalinan kemesraan dengan rakyat akar umbi,"katanya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim sewaktu dihubungi Harakah turut merakamkan terima kasih kepada seluruh pimpinan Pakatan Rakyat yang turut berganding bahu dalam memastikan kemenangan PAS.

Beliau menegaskan, kemenangan tersebut membantu PAS dan meneruskan kesinambungan kekuatan parti di kubu kuat PAS itu.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Barisan Nasional(BN) kerana dapat mengekalkan suasana yang 'lunak' dan 'persaudaraan' dalam tempoh berkempen tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Jelasnya dengan kemenangan tersebut, BN telah mengalami nasib ditolak oleh rakyat di semua pelusuk negara dalam siri-siri pilihan raya kecil oleh masyarakat pelbagai kaum.

"Walaupun di Manek Urai 99.9 peratus terdiri daripada kaum Melayu, nampaknya BN terus ditolak voleh rakyat. Ini memberikan peluang serta potensi yang cukup baik kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mencuba mencapai kemenangan yang lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke 13,"katanya. - azm-HarakahDaily.Net-

Terpengaruh janji manis BN, dakwa wujud politik wang

Roy Rasul
Wed Jul 15, 09 9:11:22 am MYT


KUALA LUMPUR, 15 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan kemenangan calon PAS Fauzi Abddulah dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai semalam, cukup besar ertinya.

Bagaimanapun ujarnya, di samping kemenangan tersebut banyak tanggungjawab yang bakal menanti Fauzi atau panggilan mesra Abe Uji.

Katanya, semasa dihubungi Harakah semalam, harapan rakyat kepadanya semua isu mesti diselesaikan.

Ini katanya, termasuk dalam konteks kebajikan dan juga prasarana serta menjaga kualiti kehidupan rakyat khususnya di Manek Urai.

"Saya rasa ini semua menjadi fokos kepada kepimpinan Abe Uji," katanya yang turut berkampung di Manek Urai.

Sementara itu tegasnya, kemenangan tipis dalam pilihan raya kali ini perlu dikaji dan dijadikan satu cabaran besar kepada PAS bagi memastikan penguasaan di Manek Urai dapat kita dikekalkan pada masa akan datang.

Fauzi berjaya menjadi wakil rakyat pada Selasa lalu setelah beliau menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi.

Pilihan raya tersebut diadakan setelah penyandangnya, Ismail Yaacob dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kekalahan tipis PAS di Manek Urai berkemungkinan rakyat di sana terpengaruh dengan janji-janji BN seperti pembinaan jambatan dan beberapa pembangunan yang mereka janjikan.

"Mungkin ini sedikit sebanyak mempengaruhi penduduk luar bandar ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, walaupun keputusan itu sebagai 'simple majoriti' ia membuktikan rakyat Manek Urai tetap menolak BN.

Malah dakwanya, politik wang yang diamalkan di Manek Urai berleluasa dalam kempen BN.

Dakwanya, sebagaimana diberitahu penduduk ada di antara mereka mendapat antara RM700 hingga RM1500.

"Kita mendapat maklumat daripada pengundi bahawa BN berkempen dengan mengunakan politik wang sehingga pagi hari mengundi," katanya.

Ujarnya, ini menunjukkan apa yang dirancang kerajaan BN untuk menghapuskan politik wang dan rasuah ini tidak berkesan.

Malah bidasnya ia semakin berleluasa digunakan pemimpin-pemimpin Umno untuk berdepan dengan pilihan raya kerana mereka sudah nampak jika tidak menggunakan wang mereka akan kalah.

"Saya lihat rasuah politik wang di zamaa Dato' Seri Najib Tun Razak digunakan dengan berleluasa," dakwanya lagi.

Namun katanya jika dilihat dari sudut kemenangan terebut rakyat Kelantan tetap menolak BN.

Buktinya beliau berkata apa yang dibuat dengan tawaran serta ugutan meterial, rakyat Kelantan menolak BN malah mereka kenal janji-janji kosong yang dibuat BN.

"Bagaimana janji BN jika menang dia akan membina jambatan tetapi rakyat tidak endah," katanya sambil mengucap syukur dan tahniah kepada semua jentera pilihan raya khasnya Halwa yang bertugas siang dan malam untuk memenangkan PAS. - azm-HarakahDaily.Net-

Kekalahan PAS Di Manek Urai

Email Oleh : newsforwarder®™

from Ketua Perusuh by Ketua Perusuh

PAS sebenarnya kalah di Manek Urai…

1. Kalah dari segi janji-janji pembangunan
2. Kalah dari segi taraf akademik calon
3. Kalah dari segi curahan wang ringgit secara tunai
4. Kalah dari segi sokongan media cetak dan elektronik
5. Kalah dari segi sokongan agensi kerajaan
6. Kalah dari segi bilangan undi yang merosot
7. Kalah dari segi kemudahan jentera pilihanraya

Walaupun PAS memang dengan 65 undi, sewajarnya PAS membuat satu post-mortem (muhasabah) dan kajian mendalam dalam mencari punca kalahnya PAS di Manek Urai dalam keadaan situasi UMNO/BN yang telah goyah.

PAS sepatutnya boleh menang dengan selesa, namun beberapa tindakan pimpinan yang bertelagah sesama sendiri yang telah dibuka pekungnya oleh media cetak dan elektronik secara tidak langsung berjaya di”embedded”kan kedalam otak para pengundi.

Pakatan Rakyat (PR) sepatutnya pada masa ini dalam proses pembersihan organisasinya dan meneruskan kerja keras untuk menunaikan semua janji-janji sebelum PRU12 dahulu. Ketiga-tiga komponen dalam PR (PAS, DAP dan PKR) perlu bergerak seiring dan tidak bertelagah sesama sendiri. Ujudkan satu mekanisma untuk menyaring semua maklumat dan satu jawatankuasa umum yang memantau semua perjalanan negeri-negeri yang ditadbir oleh PR.

Ini penting demi untuk kelangsungan Pakatan Rakyat dan bagaimana ianya memberikan contoh terbaik demi mencorakkan pentadbiran yang telus, cekap dan amanah.

Isu-isu seperti kes pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya dan isu perumahan di Kampung Buah Pala sepatutnya ditangani dengan baik oleh jawatankuasa umum sebelum ianya dijadikan bahan peluru oleh media massa milik UMNO/BN untuk menyerang Pakatan Rakyat.

Banyak lagi sebenarnya isu-isu yang sepatutnya dibawa kepada perhatian jawatankuasa khas Pakatan Rakyat (JKPR) untuk disiasat dan diselesaikan mengikut lunas-lunas undang-undang yang sepatutnya tanpa perlu mendapat liputan luas oleh media yang sebenarnya cuba untuk melaga-lagakan dan memerangkap PR.

ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sewajarnya digalakkan kurang memberikan komentar secara terbuka kepada mana-mana media cetak dan elektronik demi untuk mengelakkan disalah takrifkan atau disalah tafsirkan untuk kepentingan media tersebut. Adalah lebih baik sekiranya ditetapkan bahawasanya hanya jurucakap JKPR sahaja yang dibenarkan untuk memberikan komentar dan ulasan.

Kepada Pimpinan Pakatan Rakyat, saya menyeru agar anda dengan segera menubuhkan JKPR ini demi untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada dipecah belahkan oleh media milik UMNO/BN dan sekutunya.