13 Jun 2012

Pasang lampu elak nahas

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA ROMPIN – Kerajaan diminta menyalurkan peruntukan tambahan untuk memasang lampu jalan di sepanjang Jalan Kuantan-Seremban yang dianggap sebagai laluan ‘maut’.

Penduduk, Azizul Ibrahim, 30, berkata, pemasangan lampu di sepanjang jalan yang sentiasa sesak dengan pelbagai jenis kenderaan itu dapat mengurangkan kadar kemalangan di kawasan terbabit.

Menurutnya, ia berikutan keadaan jalan gelap dan sunyi itu membahayakan pengguna yang menggunakan laluan tersebut untuk ke Seremban serta Kuala Lumpur.

“Jalan utama ini sepatutnya mempunyai lampu jalan terutama di beberapa kawasan berisiko untukmengurangkan kadar kemalangan,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua kenderaan remuk selepas merempuh seekor babi hutan di Kilometer 132 Jalan Kuantan-Seremban, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu, bahagian bamper depan sebuah kereta Perodua Kancil remuk, manakala sebuah lagi kereta jenis Proton Exora remuk pada bahagian bonet dan cermin depan penumpang.

Azizul berkata, ketiadaan lampu jalan juga menyukarkan pengguna menghadapi kes kecemasan seperti kerosakan kenderaan yang bimbang untuk berhenti memandangkan kawasan itu gelap dan sunyi.

“Lampu jalan amat penting bukan saja untuk mengurangkan risiko kemalangan, malah mampu memastikan keselamatan pengguna terutama jika berlaku sebarang kes kecemasan,” katanya.

Selain itu katanya, pemilik haiwan ternakan juga diminta tidak melepaskan ternakan pada waktu malam kerana ia boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita harap penternak dapat mengawal haiwan ternakan mereka. ”Hal ini berikutan banyak kes kemalangan berlaku akibat kecuaian penternak yang sengaja membiarkan haiwan ternakan mereka keluar dari kandang pada waktu malam,” katanya.

Sinar Harian

OKU rayu hukuman ringan

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - “Saya merayu hukuman diringankan kerana masih memerlukan rawatan susulan kaki dan tangan serta dalam masa sama, isteri baru saja selesai menjalani pembedahan jantung.

“Saya yakin dia teramat memerlukan saya di sisinya sekarang,” demikian rayu seorang orang kurang upaya (OKU) kategori tempang selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan membabitkan dadah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Berikutan pengakuan bersalah tertuduh, Jariza@Jalil Sulong, 38, dari Kampung Kubur Timah, Jalan Merang, di sini, terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, dia dijatuhi hukuman denda sejumlah RM6,100 atau penjara selama lima bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didenda RM1,800 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki methampethamine seberat 0.03 gram di sebuah rumah di Kampung Kubur Timah, Jalan Merang, di sini, 2 Januari lalu kira-kira jam 9.20 malam.

Selain itu, bagi pertuduhan kedua, Jariza yang bekerja sebagai buruh itu didenda RM2,500 atau lima bulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki methampethamine seberat 0.23 gram di lokasi, waktu dan tarikh yang sama seperti pertuduhan pertama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3), akta sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,

Bagi satu lagi pertuduhan,Jariza didenda RM1,800 atautiga bulan penjara dengan dua tahun pengawasan polis selepas dia mengaku bersalah melakukan pemberian diri sendiri dadah jenis methamphetamine, di pejabat siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (pindaan 2003) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) (b) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 38b akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dua tahun pengawasan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, bertindak atas maklumat, anggota Narkotik IPK telah membuat serbuan di kediaman berkenaan dan tertuduh cuba melarikan diri menggunakan pintu belakang sejurus menyedari kehadiran polis.

Bagaimanapun, cubaannya gagal dan dia berjaya ditangkap di dalam tandas rumah berkenaan. Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga batang straw di dalam poket seluarnya yang
setiap straw terdapat sebiji pil dipercayai methampethamine.

Setelah disoal siasat, tertuduh menunjukkan 18 straw lagi yang disorokkan di dalam tandas kediaman terbabit dan selepas semua barang kes dirampas, tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian

Wanita dikelar anak saudara

23 Rejab 1433H. [MOD] -

TAMPIN: Seorang wanita parah dikelar di leher oleh anak saudaranya menggunakan pisau rambo selepas bertengkar dalam kejadian di Gemencheh, di sini, petang kelmarin.

Kejadian pada jam 5.30 petang itu berlaku dalam kereta pembantu am sekolah, Azizah Isa, 50, sebelum dia ditinggalkan di tepi jalan oleh suspek yang juga anak bongsu abangnya.

Anak mangsa, Nurul Aishah Johari, 17, berkata dia mengetahui kejadian itu sebaik dimaklumkan jiran mengatakan ibunya dimasukkan ke hospital selepas dikelar sepupunya yang berusia 26 tahun.

Katanya, dia terkejut dengan kejadian itu kerana keluarganya dan keluarga suspek tiada masalah walaupun mereka baru dipertemukan tahun lalu.

“Saya tidak tahu punca kejadian ini kerana tidak sempat bertanya lebih lanjut memandangkan ibu saya masih mendapatkan rawatan,” katanya ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.

berita harian/-

Ibu berdepan hukuman penjara seumur hidup

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu kepada tiga anak berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas didakwa memiliki heroin seberat 6.82 gram di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, Anis Juliana Abdullah, 34, dipercayai memiliki dadah berkenaan selepas bergiat aktif mengedar dadah di beberapa daerah di negeri ini sejak dua tahun lalu.

Dia difahamkan melakukan kegiatan itu untuk menampung kehidupan selepas suaminya dipenjarakan selama tiga tahun juga atas kesalahan dadah.

Bagaimanapun, dia yang beralamat di Kampung Batu 23, Kuala Berang itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, Anis Juliana didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 6.82 gram di sebuah rumah di Taman Binjai, Jalan Dewan Sivik, Rumah Awam Kos Rendah Binjai Rendah,Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 3.30 pagi, 29 Febuari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi di hadapan hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Seterusnya Zainal Abidin menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ibu ditahan ketika sedang tidur bersama tiga anak lelakinya masing-masing berusia 10, 15 dan 17 tahun di Taman Sri Binjai, Bukit Payong, Marang kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dalam satu operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri hasil risikan dan maklumat yang menemui heroin serta pil kuda yang disorokkan di dalam beg tangan miliknya.

Suspek yang tidak bekerja itu dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu selepas suaminya ditahan atas kesalahan mengedar dadah pada April 2009 dan dipenjarakan selama tiga tahun.

Sinar Harian

Leher Pegawai Penerangan diacu pisau

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang Pegawai Penerangan Daerah Besut berdepan detik mencemaskan apabila lehernya diacu dengan pisau lipat oleh satu lembaga ‘hijau’ dalam kejadian samun bersenjata di tandas wanita, tingkat tiga, Wisma Persekutuan di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Halimah Awang Cik, 50-an, sedang membasuh pinggan di sink tandas berkenaan sebelum dikejutkan dengan kehadiran lembaga berbaju hijau yang terus memaut lehernya dari belakang.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Halimah berkata, pada awalnya dia cuba melawan, namun apabila terpandangkan sebilah pisau dipercayai pisau lipat berada di lehernya, dia tergamam dan mengikut sahaja apa yang diarahkan.

“Pada mulanya, lembaga itu meminta saya menyerahkan wang kepadanya namun saya kata, sekarang tidak ada, jika hendak, ikut saya ke pejabat.

“Bagaimanapun, lembaga hijau itu enggan dan semasa itulah, dia ternampak gelang di tangan lalu memaksa saya menyerahkan kepadanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Terengganu, semalam.

Halimah berkata, sementara menunggu dia membuka gelang yang dipakai, lembaga itu mengheret dia masuk ke dalam stor yang terletak berhampiran mungkin dikhuatiri kakitangan lainkan masuk ke dalam tandas tersebut.

“Semasa di dalam stor itulah, mulut saya ditampal dengan pita pelekat dan tuala kecil kerana sebelum itu, saya terlalu takut dan cuba menjerit meminta tolong.

“Bagi mengelakkan dia bertindak lebih liar lagi, saya cepat-cepat menyerahkan gelang itu kepadanya dan ketika saya mencuri untuk melihat wajahnya, lembaga itu menghentak belakang dengan siku lalu beredar meninggalkan saya,” katanya.

Kata Halimah, daripada pemerhatiannya, lembaga hijau itu disyaki lelaki berdasarkan suara garau dan mungkin warga tempatan kerana percakapannya menggunakan bahasa standard.

"Berdasarkan saiz tangannya, saya rasa lembaga hijau itu berusia 20-an dengan saiz badan sederhana dan memakai baju T berwarna hijau serta berseluar jeans," katanya.

Kata Halimah, dia difahamkan itu kejadian pertama berlaku di bangunan berkenaan.

Berikutan kejadian, Halimah mengalami luka ringan di bahagian leher dan tangan serta terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM12,000 setelah seutas gelang emasnya berjaya dilarikan suspek.

Sinar Harian

MB: Bekas Menteri Umno-BN Juga Setuju Perjanjian Air Dahulu Berat Sebelah

23 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 13 JUN: Bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Dr Lim Keng Yaik pernah menyatakan perjanjian tarif air yang dibuat sebelum 2006 berat sebelah.

Demikian menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan Forum Air Negeri Selangor 2012 yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre semalam.

“Pada 2006, selepas menandatangani perjanjian ini, Kerajaan Persekutuan di bawah bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Dr Lim Keng Yaik berpendapat perjanjian-perjanjian yang dibuat sebelum 2006 adalah amat berat sebelah kepada konsesi bukan pengguna.

“Oleh sebab itu satu undang-undang telah diluluskan oleh parlimen pada 2006 dan undang-undang tersebut memberi ruang untuk penstrukturan semula industri air di semua negeri termasuk Selangor.

“Itu sebab undang-undang ini dikeluarkan dalam penyusunan semula industri air di Negeri Selangor,” ucap Khalid.

Menurut Khalid, setiap tindakan yang diambil beliau sebagai ketua pentadbiran Kerajaan Selangor dalam isu air ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Keengganan pentadbiran Umno-BN untuk menstruktur semula industri air Selangor merupakan satu keputusan yang mengkhianati keputusan yang dibuat oleh gagasan itu sendiri.

“Ini lagi satu fakta, pada Januari 2008 terdapat satu keputusan kabinet yang menyatakan industri air di Selangor dibenarkan distruktur semula di mana Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) sebagai anak syarikat milikan penuh Kerajaan Selangor mengambil alih semua operasi air di Selangor.

“Saudara tahu pada Mac 2008, pentadbiran Negeri Selangor bertukar dari Umno-BN kepada Pakatan Rakyat.

“Pertukaran inilah menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak mahu melaksanakan skim yang dipersetujui kabinet pada Januari 2008 itu.

Selain itu menurut Khalid, sekiranya perjanjian kadar kenaikan tarif air yang ditandatangani oleh Kerajaan Pusat, Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pada 2004 diteruskan, harga air akan dinaikkan sebanyak 62 peratus.

“Kalau kita teruskan perjanjian 2004 yang ditandatangani antara Syabas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bermakna tarif air dinaikkan 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus pada 2015.

“Ini bererti kalau sekarang kita setuju, tarif air sekarang dah naik sehingga 62 peratus,” ujar beliau.

selangorku/-

100 dikhuatiri terkorban di Afganistan

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KABUL - Sekurang-kurangnya 100 penduduk dikhuatiri terkorban akibat terperangkap susulan daripada kejadian gempa dan tanah runtuh yang telah menimbus lebih 20 rumah di utara Afghanistan, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Gabenor wilayah Baghlan, Abdul Majid berkata, setakat ini pasukan mencari dan menyelamat telah menemui tiga mayat manakala enam mangsa berjaya diselamatkan.

Runtuhan batu besar yang menimbus sebahagian kawasan didakwa menyukarkan lagi operasi menggali untuk mencari mangsa yang mungkin terselamat. Gempa berkekuatan 5.4 dan gempa susulan 5.7 skala Richter menggegar rantau Hindu Kush, pagi kelmarin.

Difahamkan, lebih 2,000 terbunuh dalam kejadian gempa di lokasi sama pada 2002.

Sinar Harian

Rumah pusaka terbakar

23 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR MAS - Seorang pemandu lori tidak menyangka, akan kehilangan rumah pusaka berusia 80 tahun, dalam kebakaran di Kampung Hutan Cengal, jam 11 pagi, kelmarin.

Mangsa, Jamaludin Abd Rahman, 45, berkata, dia hampir pengsan selepas dihubungi jirannya, mengenai kejadian itu.

“Ketika itu, saya berada di tempat kerja dan segera memandu pulang, namun kira-kira 100 meter dari rumah, saya lihat asap hitam keluar dengan banyak.

“Saya berasa terlalu sedih dan tidak mampu untuk membawa lori kerana saya sedar, rumah saya tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia dan keluarga bukan sahaja kehilangan tempat berteduh, malah mengalami kerugian sehingga RM120,000.

Jamaludin berkata, rumah pusaka ini, menjadi kebanggaan mereka sekeluarga, kerana ia dibina ketika arwah bapa mentuanya berkhidmat sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan Bukit Bunga.

Namun katanya, meskipun kehilangan harta benda, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Ketika kejadian, isteri saya, Rohana Harun, 50, tiada di rumah kerana bekerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Tendong sebagai kerani.

“Anak sulung saya pula berada di Terengganu kerana masih menuntut di Kolej Komuniti manakala dua lagi anak saya berada di sekolah,” katanya, semalam.

Jamaludin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin, dalam mengurangkan kesulitan yang dihadapi ketika ini.

Sementara itu, Ketua Operasi dan Penyelamat Bomba Pasir Mas, Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.21 pagi dan bergegas ke tempat kejadian menggunakan satu jentera dengan kekuatan enam anggota.

“Tiba di tempat kejadian, kita dapati rumah terbakar hampir 100 peratus dan kita berjaya mengawal api, satu jam kemudian.

“Punca dan kerugian yang dihadapi, masih disiasat,” katanya, semalam.

Sinar Harian

Askar Syria guna budak jadi perisai manusia

23 Rejab 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam mendakwa pasukan tentera Syria menggunakan kanak-kanak sekecil lapan tahun sebagai 'perisai manusia' semasa bertempur dengan kumpulan pemberontak.

Dalam laporan itu, PBB turut menyenaraikan kerajaan Presiden Bashar al- Assad sebagai negara bergolak paling teruk kerana krisis yang semakin meruncing tersebut telah meragut ribuan nyawa budak tidak berdosa.

"Golongan kanak-kanak berterusan menjadi mangsa keganasan di Syria. Mereka didera, dibunuh dan turut dijadikan perisai manusia oleh pasukan keselamatan pro-Assad termasuk gerakan shabiha," kata wakil khas PBB, Radhika Coomaraswamy.

Difahamkan, laporan itu dilengkapkan sebelum tragedi pembunuhan beramairamai di Houla pada 25 Mei lalu yang menyaksikan 49 daripada 108 mangsa kezaliman rejim Assad adalah budak. Dalam satu kenyataan, kumpulan hak asasi manusia berpusat di New York (HRW) menyatakan Majlis Keselamatan PBB seharusnya mengenakan sekatan senjata ke atas Syria kerana mereka kini menyasarkan golongan lemah seperti kanak-kanak dan wanita sebagai sasaran keganasan.

Menurut HRW lagi, ada pihak mendakwa Tentera Bebas Syria (FSA) turut merekrut kanak-kanak untuk menentang kerajaan Assad.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 1,176 kanak-kanak telah terbunuh akibat konflik di negara tersebut yang bermula sejak Februari tahun lalu.

Sinar Harian

‘Haji’ bagi nombor ekor

23 Rejab 1433H. [MOD] -

ADU...John (kanan) membuat aduan kepada Dr Izham, semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Haji dan dikatakan mendalami ilmu agama bukan saja memperdaya kenalannya untuk mendapatkan keuntungan mudah, malah dia menggunakan kesempatan itu untuk memberikan nombor ramalan enam angka kepada mangsa sebagai umpan.

Akibatnya, mangsa, bekas tentera yang dikenalinya di sebuah kafe Internet kerugian RM20,000 selepas terpedaya dengan kemampuan Haji terbabit membawa perubahan dalam hidup selain sebagai ‘bantuan kecemasan’ untuk keluar daripada masalah kewangan.

Mangsa, John Salam, 62, (bukan nama sebenar) berkata, pada mulanya dia beranggapan lelaki terbabit berniat baik mahu mengubah tabiatnya yang suka bermain mesin judi, namun lama-kelamaan Haji terbabit meminta wang kononnya sebagai upah untuk mendapatkan nombor ramalan.

“Semuanya bermula selepas saya ketagih bermain mesin judi di kafe siber pertengahan tahun lalu. Awalnya, saya menang beberapa kali, tetapi selepas itu tak ada ‘tuah’ menyebabkan saya mengeluarkan wang simpanan.

metro/-

Curi kambing: Penganggur dijel empat bulan

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Padah mencuri kambing! Seorang penganggur terpaksa meringkuk dalam penjara selama empat bulan selepas didapati bersalah atas pertuduhan, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly, menjatuhkan hukuman itu terhadap Ibrahim Dollah, 47, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Ibrahim serta tiga rakannya, yang masih bebas melakukan perbuatan itu pada 5 April lalu kira-kira jam 12.30 tengah hari di Kampung Puteh dengan niat mencuri haiwan terbabit milik Siti Fatimah Mat bernilai RM500.

Atas kesalahan terbabit, Ibrahim dijatuhkan hukuman di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Ibrahim disoal oleh Mohd Fazaly sama ada, dia mencuri kambing itu untuk dimakan sendiri atau dijual.

Tertuduh hanya menggeleng-gelengkan kepala dan menundukkan ketika berada dalam kamar mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad dan menurutnya, hukuman itu diharap dapat memberi pengajaran kepada Ibrahim dan menjadi teladan kepada masyarakat.

Sinar Harian

Pekerja mati ditikam

23 Rejab 1433H. [MOD] -

TUMPAT – Percutian seorang pekerja kilang di kampung halamannya bertukar tragedi apabila dia maut ditikam senjata tajam dipercayai sebilah keris ketika cuba menyelesaikan kes pergaduhan melibatkan saudaranya di Kampung Laut di sini, malam kelmarin.

(Di sinilah lokasi mangsa terjatuh daripada motosikalnya selepas ditikam oleh seorang remaja di Kampung Laut, malam kelmarin)

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa, Mohd Al-Serena Mat Rahim, 26, ditikam oleh seorang remaja lelaki berusia 19 tahun akibat cuba masuk campur menyelesaikan kes saudaranya ditampar berkaitan kejadian menunggang motosikal laju.

Mangsa yang berasal dari Kampung Berlian di sini mengalami kecederaan parah di dada kanan akibat terkena tikaman itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tumpat.

Bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital terbabit.

Bapa mangsa, Mat Rahim Junoh, 58 berkata, anak ketiganya itu daripada lapan beradik baru pulang bercuti dua minggu lalu selepas hampir lapan bulan tidak pulang kerana sibuk bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur.

Katanya, menurut cerita anaknya merupakan adik mangsa, Mohd Faiz, 22, yang turut berada di tempat kejadian, selepas mangsa terkena tikaman itu, dia mengarahkan adiknya dan kawan-kawannya pulang.

“Mangsa menunggang motosikal untuk pulang tetapi selang beberapa langkah motosikal yang ditungganginya itu terbalik,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tumpat.

Menurutnya, Faiz terus mendapatkan abangnya yang terbaring di atas jalan dan panik seketika kerana darah memancut keluar di bahagian dada.

“Terdengar arwah mengerang kesakitan menyebut 'sakit…sakit…'. Selepas itu arwah terus kaku dan dikejarkan ke hospital menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk di situ yang kebetulan melalui kawasan kejadian,” katanya.

Mat Rahim berkata, anaknya ke tempat kejadian di simpang empat berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Sri Kampung Laut bersama lima rakannya menaiki tiga buah motosikal termasuk adiknya itu, Faiz.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang petanda yang pelik, cuma sebelah petang di hari kejadian itu, arwah tidak mahu naik ke rumah. Selepas itu dia tidak pulang ke rumah sehinggalah saya menerima panggilan daripada Faiz mengatakan arwah meninggal dunia,” katanya.

Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Berlian di sini, petang semalam.

Sementara itu , Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan, suspek yang berasal dari Kampung Laut melarikan diri ketika serbuan dilakukan di rumahnya.

Katanya, kejadian itu berlaku apabila mangsa ke rumah suspek di Kampung Laut untuk menyelesaikan kes saudaranya yang ditampar oleh suspek.

“Bagaimanapun, suspek meminta mangsa menunggu di simpang empat berdekatan rumahnya itu," katanya.

Jalaluddin berkata, ketika mereka bertemu di simpang itu, mangsa menampar suspek dan berlaku pergelutan.

“Suspek mengeluarkan senjata dipercayai sebilah keris dan terus menikam mangsa terkenadi bahagian dada sebelah kanan,” katanya.

Menurutnya, suspek terus melarikan diri dengan menaiki motosikal berhampiran tempat kejadian yang ditunggangi oleh seorang lelaki.

Sinar Harian

Peluang pertahan Piala Suzuki AFF cerah

23 Rejab 1433H. [MOD] -

Jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal gembira dengan persembahan anak buahnya ketika mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Singapura malam tadi pada aksi perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam.

Ia sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Singapura ke atas Malaysia selama lapan tahun lalu.

''Pada perlawanan pertama Jumaat lalu, kami memang nak menang. Apabila keputusan menjadi seri, semangat ini kami bawa pada malam ini (tadi). Kami umpama 'harimau yang kelaparan'.'' jelas Rajagobal kepada pemberita ketika sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Beliau juga memuji gandingan jentera tengah yang diterajui oleh Safiq Rahim dan K.Gurusamy yang semakin serasi.

"Saya lihat prestasi Gurusamy semakin meningkat dan untuk perlawanan tadi saya tidak menganggap permainan Singapura teruk, permainan kami juga baik," katanya.

Jurulatih Singapura, Radojko Avramovic memberitahu beliau tidak berasa kecewa dan mempunyai alasannya tersendiri.

"Saya tidak berasa terlalu kecewa kerana banyak pemain saya tidak beraksi. Saya tak terkejut dan sudah menjangka Malaysia akan menyerang tetapi tidak sangka akan jadi begini.

"Tetapi ia bagus untuk kedua-dua pasukan," jelas beliau.

Sementara itu, penjaring gol pertama Malaysia, Ahmad Shakir Md Ali mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan jurulatih.

"Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan dan jurulatih kerana berjuang sehingga tamat perlawanan.

"Kami bermain mengikut arahan jurulatih dan saya tekad untuk memberikan aksi terbaik kerana diberi peluang bermain.

"Gol pertama tadi memberi semangat kepada kami untuk memberikan aksi lebih mantap," ujarnya.

Dalam masa yang sama, kapten skuad negara, Safiq Rahim selaku penjaring kedua, mahu rakan sepasukan bekerja dengan lebih keras.

Perancang utama Selangor itu menegaskan meskipun berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Singapura selama lapan tahun tetapi Safiq tidak mahu dijadikan alasan untuk mendabik dada dengan kemenangan itu.

"Saya akui kami gembira dengan kemenangan tersebut tetapi kami tidak boleh cepat berpuas hati.

"Kami harus bekerja lebih keras sebagai usaha untuk mempertahankan status juara Piala Suzuki AFF yang mana skuad negara perlu konsisten untuk mengekalkan persembahan mantap.'' katanya.

Selepas ini, skuad negara akan menentang dua kelab gergasi England, Arsenal dan Manchester City pada 27 dan 30 Julai sebagai persiapan terakhir sebelum misi mempertahankan Piala Suzuki AFF selaku tuan rumah bersama Thailand pada November ini.

Sinar Harian

Najib Perlu Umum Awal Tarikh Pilihan Raya

23 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 13 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lebih awal bagi mengelakkan masalah kepada pengundi beragama Islam yang akan menunaikan ibadah haji.

Saranan itu dinyatakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob sebagai respon kepada media pro Umno-BN yang mendakwa Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru agar ahli parti itu membatalkan ibadah haji untuk menghadapi PRU-13 jika dibuat ketika musim haji.

Tetapi sebenarnya, Tuan Ibrahim hanya meminta ahli parti yang terlibat secara langsung sahaja untuk menangguh ibadah haji sekiranya PRU-13 berlangsung pada tarikh tersebut.

“Untuk mengelakkan konflik atau sebarang masalah kepada umat Islam adalah lebih baik Najib umumkan dengan segera tarikh PRU-13 supaya ia menjadi satu kemudahan kepada rakyat khususnya umat Islam untuk menunaikan ibadah haji,” kata Salahuddin.

Namun jelasnya, Najib berkemungkinan tidak akan mengadakan PRU-13 semasa musim haji.

Bagi Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, kenyataan yang disuarakan Tuan Ibrahim itu sekaligus menolak dakwaan media pro Umno-BN yang mengatakan kononnya tindakan parti itu adalah tidak berlandaskan Islam dan seolah-olah mempermainkan hukum agama.

Beliau berkata, jika pilihan raya diadakan pada musim haji ia akan mendatangkan kesukaran bagi pengundi yang dipilih untuk pergi ke Makkah.

Malah tegasnya, tindakan itu seolah-olah menunjukkan Kerajaan Pusat meletakkan rakyat dalam situasi serba salah dan menafikan hak pengundi.

selangorku/-

PAS sampai bantuan pertama kepada pelarian Syria

23 Rejab 1433H. [MOD] -

ANTAKYA (Syria): PAS menghulurkan bantuan pertamanya kepada pelarian Syria yang sedang berlindung di bandar sempadan Turki dan Syria ini akibat konflik politik di negara itu.

(Dr Syed Azman menyampaikan sumbangan kepada Abu Ahmad, wakil Ikhwan Syria)

Penolong Setiausaha Agong PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad berada di sempadan Turki dengan Syria semalam untuk menghulurkan bantuan segera kepada ribuan pelarian Syria yang terpaksa melarikan diri ke Turki selepas konflik politik berdarah yang sedang melanda di negara mereka.

Ini adalah merupakan bantuan terus yang pertama dari PAS yang disampaikan kepada rakyat Syria yang terperangkap dalam konflik berdarah yang masih tidak menampakkan jalan penyelesaian itu.

Dr. Syed Azman telah berjaya sampai ke bandar Antakya yang terletak di sempadan Turki-Syria bagi membantu pelarian Syria di sana.

Berbekalkan sedikit bantuan dari rakyat Malaysia sebagai mewakili seluruh kepimpinan PAS, bantuan telah berjaya di laksanakan di Perkhemahan Yei Dardar dan Perkhemahan Bonyor Yolan kepada wakil Ikhwan Muslimin Syria.

Bantuan tersebut berbentuk dana untuk membeli bahan-bahan perubatan, makanan dan pendidikan anak-anak di kem pelarian di sempadan Turki-Syria.

Kedua-dua perkhemahan pelarian tersebut kini dikendalikan oleh pihak Bulan Sabit Turki.

Sementara itu anak-anak kecil yang terpaksa menjadi pelarian amat bergembira apabila sedikit buah tangan dalam bentuk buah-buah dan cokelat telah di sampaikan kepada mereka.

Begitu juga dengan golongan dewasa yang berterima kasih di atas usaha yang telah di ambil oleh PAS dan seluruh rakyat Malaysia bagi meringankan bebanan yang di hadapi oleh mereka.

Adalah dianggarkan kini lebih dari 30,000 pelarian terpaksa tinggal di khemah pelarian di sempadan Turki-Syria sejak meletusnya konflik berdarah ke atas rakyat Syria pada awal tahun 2011.

Begitu juga dengan bantuan kepada pelarian di sempadan Jordan-Syria terutamanya pelarian yang kini tinggal di Mafraq dan Ramsa.
Berdasarkan fakta yang diperolehi daripada NGO yang beroperasi di sempadan, bantuan sangat diperlukan di kem-kem pelarian di Turki, Lubnan dan Jordan.

Walaupun seluruh kepimpinan PAS kini amat sibuk dengan persediaan pilihanraya, namun penderitaan dan bebanan yang sedang dihadapi oleh ribuan pelarian Syria ini tetap tidak dilupakan oleh keseluruhan pimpinan PAS.

Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sentiasa mengikuti dengan teliti setiap perkembangan yang sedang berlaku disana, beritahu Syed Azman kepada Harakahdaily.

PAS, katanya juga, Insyallah melalui NGOnya akan menghantar satu Misi Kemanusiaan Pelarian seberapa segera bgi terus membantu pelarian yang amat memerlukan bantuan kemanusiaan itu.

"Semoga sedikit bantuan yang disalurkanini akan dapat mengubat kepedihan pelarian Syria di sempadan Turki seterusnya memastikan generasi muda mereka tidak terpinggir daripada pendidikan," katanya lagi.

Sumbangan kepada rakyat Syria boleh terus disalurkan kepada akaun Maybank atas nama Parti Islam SeMalaysia nombor 564070703248.

Harakah Daily