25 Jun 2012

‘Penjenayah sakit jiwa’

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dendam dan sakit jiwa dikenal pasti antara motif beberapa kejadian membakar kenderaan di kawasan perumahan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, perbuatan khianat itu mempunyai kemungkinan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab secara berkumpulan yang menyasarkan lokasi perumahan seperti flat dan pangsapuri untuk melakukan kerja berkenaan.

“Banyak faktor boleh menjurus pada kejadian ini termasuk antara individu yang menjadi mangsa itu berhutang dengan along. Malah, ada segelintir penjenayah ini juga berdepan masalah tekanan perasaan atau sakit jiwa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mereka yang sakit jiwa lebih menunjukkan sikap suka-suka untuk melakukan perbuatan tanpa sebarang tujuan. membalas dendam. Mereka ini dipercayai berasa puas dan seronok apabila melihat kejadian membakar kenderaan dilakukan.

Beliau mengulas laporan Harian Metro Jumaat lalu mengenai kejadian 17 kenderaan termasuk 16 motosikal dan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina hangus di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Setapak, di sini sehari sebelum itu.

“Jika dendam menjadi punca, mereka yang tidak bersalah turut terbabit sama selepas satu kenderaan terbakar kemudian merebak ke kenderaan orang lain. Begitu juga, dendam kumpulan pelumba motosikal (Mat Rempit) terhadap kumpulan lain,” katanya.

Beliau berkata, kes membabitkan kumpulan lumba motosikal ini boleh dikaitkan dengan berebut gadis antara satu sama lain. Kejadian ini tidak mustahil dilakukan golongan remaja yang berdepan masalah ketiadaan kerja.

“Individu seperti ini biasanya mengalami tekanan emosi dalam diri dan mereka yang tidak bekerja juga boleh bertindak agresif sehingga membakar kenderaan. Faktor pekerjaan seseorang individu itu perlu diambil kira sebagai punca melakukan jenayah,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro Jumaat lalu mengenai kejadian 17 kenderaan termasuk 16 motosikal dan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina hangus di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Setapak, di sini sehari sebelum itu.

metro/-

Kes pecah rumah berleluasa

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

ROMPIN – Penduduk sekitar Tanjung Gemok, di sini, bimbang ekoran kejadian pecah rumah dan samun yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Seorang penduduk, Chia Poh Hin, 60, berkata, dia terpaksa memperketat kawalan keselamatan di rumahnya berikutan rumah teres dua tingkatnya itu pernah dimasuki pencuri hingga menyebabkan dia mengalami kerugian RM10,000. Menurutnya, penduduk juga membuat aduan kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu dan berharap agar ada tindakan diambil pihak berwajib dalam membendung isu tersebut.

“Kawasan perumahan ini kerap berlaku kes pecah rumah dan saya minta pihak berwajib supaya meningkatkan lagi tahap keselamatan,” katanya.

Poh Hin berkata, jika jenayah tidak ditangani segera, penduduk akan dihantui perasaan takut berpanjangan kerana terdedah kepada risiko bahaya rumah mereka dimasuki pencuri, apatah lagi ia dilakukan dengan terancang.

“Walaupun tahap keselamatan dipertingkatkan, penjenayah terbabit sungguh licik hingga boleh membuka pintu rumah dengan mudah dan seterusnya mengambil barangan berharga milik mangsa,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Cha Chin Chew, 28, berkata, penjenayah juga semakin berani kerana mereka bukan saja masuk ke dalam rumah yang tiada penghuni, tetapi turut menyasarkan rumah yang berpenghuni. Chin Chew berkata, penduduk mengharapkan kediaman yang lebih selesa dan selamat untuk diduduki, namun kini, keselamatan mereka pula semakin terancam dengan kekerapan kes jenayah pecah rumah di kawasan itu.

Menurutnya, pihak berkuasa diminta agar dapat menjalankan rondaan dengan lebih kerap di kawasan itu terutama pada awal pagi kerana perbuatan itu sering dilakukan ketika penghuni rumah sedang nyenyak tidur.

“Kekerapan rondaan pencegahan jenayah diharap dapat mengurangkan risiko kecurian dan pecah rumah di kawasan itu selain tidak membuka peluang dan ruang kepada penjenayah untuk melakukan kegiatan tersebut,” katanya.

Sinar Harian

Besi pengadang kerap hilang

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEGAMBUT - Keselamatan orang awam yang melalui trek pejalan kaki sepanjang 800 meter di Taman Sri Segambut terancam apabila hampir 99 peratus penutup longkang dan pengadang besi hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Seorang penduduk, S Morgan berkata, ramai orang awam akan menggunakan kemudahan itu memandangkan ia laluan ke stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan hentian bas. “Laluan pejalan kaki ini sememangnya menjadi tumpuan tetapi tahap keselamatannya kurang memberangsangkan dan ketiadaan pengadang juga memungkinkan jenayah ragut berleluasa,” katanya.

Morgan berkata, dia mencadangkan supaya penutup longkang atau pengadang itu digantikan dengan alat yang tidak bernilai seperti plastik atau papan sebagai langkah penyelesaian.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, A Murugesu berkata, aktiviti tidak bermoral mencuri kemudahan awam perlu diatasi kerana semakin membimbangkan apabila tumpuan mula beralih kepada pengadang di sungai berhampiran dan rumah penduduk.

“Mereka dipercayai menjalankan kerja mencuri itu sekitar jam tiga hingga empat pagi kerana penduduk pernah menangkap individu yang mempunyai besi terpakai itu,” katanya.

Sinar Harian

'Umno nak 'mengurat' PAS, kita jawab tak nak'

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

MELAKA: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata PAS tidak akan sesekali termakan pujuk rayu Umno yang dilihat cuba 'mengurat' PAS apabila mereka kini dalam keadaan sangat lemah.

Sebaliknya, PAS akan tetap bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat bagi berjuang menentang ketidakadilan yang dilakukan pemerintah negara ini.

Menurut beliau, walaupun Umno itu parti Melayu, tetapi PAS tetap menentangnya kerana kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan mereka sejak 54 tahun memerintah.

"Walaupun Umno kata Melayu tak boleh tentang Melayu, tapi Islam ajar kita supaya menentang kezaliman walaupun datang dari kaum kita sendiri.

"Ajaran Melayu Umno, perangai hodoh tak apa, rasuah tak apa, atas nama orang Melayu, tetapi ajaran Islam tidak begitu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Melaka malam tadi.

Lebih 3,000 hadir pada ceramah di perkarangan Surau Ustaz Ali, Permatang Pasir, Alai yang turut dihadiri Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut Mustafa yang mengambil pentas sebelum Mohamad berkata, Islam juga mengajar umatnya boleh bersama siapa sahaja demi menentang kemungkaran dan menegakkan keadilan.

"Sebab itu kita bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

"Kita menentang Umno sebab mereka tidak menegakkan keadilan sebagaimana di perintah Allah," katanya.

Umno kini katanya dalam keadaan sangat lemah dan terpaksa 'mengorat' PAS untuk mengembalikan sokongan kepada mereka atas nama parti orang Melayu.

Bagaimanapun tegasnya, PAS sudah matang dengan taktik dan perangai Umno itu dan sesekali tidak akan menjalin kerjasama politik dengan parti itu.

"Abg Mat (Mohamad Sabu) berapa kali dia kena ISA siapa buat, Umno yang buat.

"Kenapa Umno buat kepada orang Melayu, sebaba waktu nak ISA dia tak kira dah Melayu, tapi sekarang bila lemah sibuk cari PAS atas nama Melayu.

"Sebab itu walaupun ada usaha Umno nak mengorat kita, kita kata no!," tegasnya.

Dalam pada itu, mengulas kehadiran malam tadi, Mustafa menyifatkan ianya suatu kebangkitan rakyat Melaka yang sangat berbeza dari sebelumnya.

Sambutan luar biasa sejak kebelakangan ini katanya bukan sahaja memeningkan Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Ali Rustam malah juga membimbangkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Harakah Daily

T-Team: Ingkar arahan, hilang semangat punca merosot

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Faktor mengingkari arahan dan hilang semangat juang dalam beberapa saingan Liga Super sejak belakangan ini antara sebab prestasi pasukan T-Team kian merosot hingga menjejaskan sasaran carta empat teratas.

Masalah membelenggu skuad penyu muda ini nyata menggusarkan jurulatih mereka, Yunus Alif dalam mengharungi enam baki perlawanan liga sebelum ia berakhir seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadan (14 Julai). Jurulatih berusia 54 tahun ini memberitahu anak buahnya itu seolah-olah berada dalam keadaan ‘tidak tenang’ ketika berada di atas padang.

“Apa yang menyedihkan, pemain tidak mematuhi arahan dan mempraktikkan apa yang diajar apabila mengekang asakan pasukan lawan. “Dari pemerhatian saya, sejak belakangan ini mereka kehilangan semangat menyebabkan mutu permainan telah merosot,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat perlawanan T-Team yang terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 bersama Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi. Dalam perlawanan malam tadi, Yunus membuat percaturan dengan menurunkan ramai pemain simpanan ekoran beberapa pemain tonggak utama mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelumnya.

Namun beliau terkilan kerana pemain simpanan idak mempamerkan aksi yang diharapkan, mungkin disebabkan terlalu lama berada di atas bangku simpanan.

T-Team kini menduduki tangga ketujuh dengan 28 mata akan bertandang ke Stadium Darul Aman menentang Kedah Selasa ini. -- Bernama

Sinar Harian

Kemalangan: Bayi antara tiga maut

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

BERA - Seorang bayi berusia lapan bulan bersama ibu bapanya maut dalam satu kemalangan apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Honda Accord dari arah bertentangan. Mangsa, Mohd Solehuddin Jaabar Ismail, 28, Nor Ashikin Ismail, 28 dan bayi itu, Ahmad Habibi yang berasal dari Felda Sebertak dikatakan dalam perjalanan pulang ke Bahau setelah menghadiri majlis perkahwinan sahabat mereka.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kemalangan itu berlaku kirakira jam 5.20 petang kelmarin di Kilometer 14, Jalan Temerloh–Bahau dekat sempadan Bera–Temerloh.

Menurutnya, kereta Honda Accord itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan hingga terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan mangsa. “Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi (Mohd Solehuddin Jabbar) dan anaknya mengalami kecederaan parah serta meninggal serta-merta.

“Isteri mangsa pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh berikutan me- ngalami pendarahan yang teruk,” katanya.

Mohd Solehuddin merupakan pegawai perangkaan di Jabatan Perangkaan Kuantan, sementara Nor Ashikin pula bekerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Papan sebagai pembantu tadbir.

Difahamkan, rempuhan kuat itu juga menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian enjin kereta mangsa, namun ia berjaya dikawal anggota bomba. Mohd Zahid berkata, kereta Honda Accord itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika cuba melepasi selekoh di jalan mempunyai garisan putih berkembar tersebut.

Katanya, pemandu Honda Accord itu, Chong Chun Yong, 33, turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hoshas.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu Honda Accord yang memandu laju di kawasan selekoh sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sehingga merempuh kenderaan mangsa.

“Saksi kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah menerusi talian 09-2502222 untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen (41) (1) APJ 1987 ini,” katanya. Difahamkan, semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Sebertak, tengah malam kelmarin.

Sinar Harian

Liga Super: Yunus kecewa aksi T-Team

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Pasukan berstatus kelab T-Team gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 ketika turun melayan kunjungan bekas juara Piala Malaysia musim lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Biarpun berkesudahan dengan sekadar berkongsi satu mata dengan Negeri Sembilan, pengendalinya, Yunus Alif masih kecewa dengan corak permainan yang dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung. Begitu pun, beliau tetap lega dengan keputusan itu dan kemunculan semula kapten pasukan daripada dibelenggu kecederaan sedikit sebanyak berjaya menyekat kemaraan skuad Rusa seterusnya dibelenggu kekalahan sebelum ini.

“Saya tengok malam ni (kelmarin) pemain-pemain saya main dalam tekanan. Jadi, bila main dalam keadaan ini memang susah untuk kita mencari ruang dalam mendahului kedudukan apatah lagi kita ketinggalan disebabkan satu kesilapan mudah pada aksi babak pertama.

“Sudah berkali-kali saya nasihatkan mereka (pemain) tak boleh bermain macam tu. Banyak pemain kalau boleh nak lepas (buang) bola saja. Nasib baiklah Faiz Subri dapat menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua,” katanya ketika ditemui sejurus perlawanan tamat.

Gagal guna keluasan padang Dalam pada itu, Yunus berkata, skuad kendaliannya itu gagal menggunakan sepenuhnya keluasan padang untuk bermain sebaliknya hanya melambungkan bola dan banyak tertumpu di posisi tengah yang bukan cara mereka (pasukannya) beraksi sebelum ini.

“Saya tidak mengajar mereka bermain macam ini. Saya juga terpaksa menenangkan pemain di tepi padang apabila melihat mereka masih berada dalam tekanan.

“Saya perlu memberi semangat kepada mereka agar tidak berfikiran negatif seolah-olah telah tewas sebaliknya mereka ini (pemain) memerlukan semangat cekal dalaman untuk mengharungi baki perlawanan,” katanya.

Sementara itu, Yunus berkata, beliau terpaksa membuat percaturan baru bagi setiap perlawanan akibat masalah kecederaan dan penggantungan yang dihadapi oleh pasukannya.

“Sebagai contoh, Zairo (Anuar Zailani). Selepas dua bulan dia tidak bermain, saya lihat dia sukar untuk beri bantuan kepada jentera serangan. Jadi, saya terpaksa tarik dia keluar.

“Begitu juga masalah yang dihadapi oleh Fazli Shaari yang mengadu mengalami sakit lutut dan akan melihat perkembangannya dalam masa beberapa hari,” katanya yang turut resah berikutan kecederaan yang melanda seorang lagi pemain import mereka iaitu Marco Tulio.

Harap pemain bangkit cepat Juster u, beliau mengharapkan pemainnya perlu keluar dari kelompok yang kurang tenang dan perlu bangkit dengan cepat bagi memantapkan pasukan semula menjelang perlawanan dengan pasukan Perak Selasa ini.

Pada pertembungan malam kelmarin menyaksikan pasukan pelawat berjaya mendahului kedudukan sebaik beberapa minit babak kedua bermua apabila skuad kendalian, Mohd Azraai Khor Abdullah bijak dalam mencari gol pembukaan menerusi sepakan deras ‘ ayam tambatan’ Effa Owan pada minit ke-53 hasil hantaran kapten pasukan, Shukor Adan.

Bagaimanapun pemain tuan rumah yang tersentak dengan jaringan itu, bangkit melancarkan serangan bertali arus dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi rembatan kencang, Mohd Faiz Subri hasil hantaran Fadzli Saari dari luar kotak penalti.

Namun pada minit ke-73, pasukan tuan rumah sekali lagi dihimpit keresahan apabila kesilapan penjaga gol tuan rumah, Mohd Syamsuri yang menangkap bola tendangan leret, Shahril Faizal dalam kotak penalti, nyaris membawa padah apabila pengadil perlawanan menghadiahkan tendangan percuma tidak langsung di dalam kotak penalti kepada Negeri Sembilan, begitu pun gagal disempurnakan Effa Owana.

Pada pertemuan sengit antara dua pasukan itu, menyaksikan tiga kad kuning dilayangkan pengadil perlawanan, Kamal Ahmad masing-masing dua kepada Negeri Sembilan (Shukor Adan, Effa Owana) dan satu kepada pemain tuan rumah (Shahril Faizal).

Sinar Harian

Dibelasah penduduk ketika sedang mencuri kelapa

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

BESUT- Tindakan seorang lelaki yang cuba mencuri buah kelapa sawit di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gong Berangan dekat Kerandang, Jabi menemui padah apabila dia dicekup sebelum dibelasah penduduk.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek berusia 29 tahun cedera di beberapa bahagian anggota badan akibat dipukul orang ramai yang berang dengan kegiatan mencuri buah kelapa sawit yang berleluasa sejak belakangan ini.

Difahamkan ketika dicekup suspek sedang mengangkut buah kelapa sawit ke dalam bonet sebuah kereta Proton Saga. Sebanyak tiga tandan buah berkenaan berada di dalam bonet kereta berkenaan manakala beberapa tandan lagi berada di tepi kereta.

Suspek yang dikatakan dari kampung berdekatan terserempak dengan penduduk kampung yang menjalankan rondaan di kawasan ladang sawit itu berikutan kekerapan kejadian kecurian buah kelapa sawit sejak belakangan ini di kawasan itu.

Penduduk mula mempergiatkan rondaan pada waktu malam apabila mendapati terdapat selonggok buah kelapa sawit di atas tanah pada siang hari dan ramai penduduk keluar sebaik mengetahui suspek berjaya ditangkap.

Dikatakan juga terdapat dua lagi lelaki yang terlibat bagaimanapun berjaya melarikan diri. Penduduk kampung kemudiannya menyerahkan suspek kepada polis sebelum pihak polis menghantar ke Hospital Besut untuk rawatan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut. Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

Sinar Harian

Tercampak tujuh meter akibat dipanah petir

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada tiga anak berdepan detik mencemaskan apabila nyaris rentung setelah terkena panahan petir dalam satu kejadian di Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga seorang warga Kemboja, Timmy Chea Choo, 35, sedang menoreh getah bersama isterinya, Chouk Ann, 32, di kawasan kebun yang berbukit.

Menceritakan detik mencemaskan itu, isteri mangsa yang kurang fasih berbahasa Melayu berkata, semasa kejadian, hujan renyai-renyai disusuli dengan angin kencang serta ribut petir.

“Ketika itu kami sedang menoreh tetapi melihatkan keadaan cuaca ketika itu, kami cepat- cepat mengemaskan barang untuk beredar. Bagaimanapun, kejadian berlaku begitu pantas.

“Sedang kami sibuk berkemas, tiba-tiba satu cahaya seperti kilat terkena pada suami dan panahan itu menyebabkan suami saya tercampak sejauh kira-kira tujuh meter ke dalam semak,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Menurut Chouk Ann, akibat kejadian itu, suaminya tidak sedarkan diri dan melihatkan keadaan itu, dia terus berlari mendapatkan bantuan penduduk setempat yang berada berdekatan. Mangsa yang turut terbakar di bahagian kaki dan belakang badan serta melecur di muka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk mendapatkan rawatan susulan.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu keluar menoreh getah seawal jam 10 pagi lagi dan tinggal di negara ini sejak dua tahun lalu.

Sinar Harian

Pengawal keselamatan cedera disamun

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang pengawal keselamatan cedera dipukul dua lelaki dalam kejadian samun di sebuah syarikat keselamatan di Seremban Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, R Balakrishnan, 59, cedera di muka, kepala dan belakang badan selepas dipukul dua lelaki tidak dikenali ketika sedang berehat di pondok keselamatan selepas melakukan rondaan keselamatan di tempatnya bekerja.

Anak mangsa, B Shanti, 37, berkata, dua lelaki tiba-tiba muncul dan memukul ayahnya yang sedang berehat menggunakan kayu.

"Mereka minta ayah serahkan dompet dan kunci motosikal. Disebabkan bimbang dipukul lebih teruk, ayah menurut sahaja arahan mereka.

"Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Modenas Kriss, milik ayah," katanya kepada Sinar Harian di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, semalam.

Menurutnya, ayahnya bernasib baik kerana rakan sekerja datang membantunya dan membawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Berikutan kejadian ini, ayah kerugian wang tunai RM500 dan juga sebuah motosikal. Laporan dibuat di Pondok Polis Hospital Tuanku Ja'afar," katanya.

Sinar Harian

Kemalangan: Seorang parah, tiga cedera ringan

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Tiga cedera ringan manakala seorang parah dalam kemalangan yang melibatkan kereta jenis Perodua Myvi, Satria Neo dan Proton Iswara di jalan Pasir Mas-Salor, di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan tiga kenderaan terbabit remuk selepas dipercayai salah sebuah kenderaan terbabit, cuba memotong antara satu sama lain dari arah yang sama dan dikatakan gagal memotong kenderaan di hadapannya ketika melalui jalan terbabit.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Radhi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kirakira jam 7.53 pagi.

“Seorang lelaki yang menaiki kereta Myvi tersepit dan kami cuba sedaya upaya mengeluarkan mangsa. Dengan kekuatan lima anggota akhirnya lelaki itu berjaya diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kaki dihantar ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

Sinar Harian

Biji nangka rupanya janin

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS - Kira-kira 30 peserta Kursus Program Kraf Kreatif di Dewan Nur Parlimen Kepala Batas, Bertam di sini pagi semalam gempar berikutan penemuan satu janin di tepi tong sampah.

Janin belum sempurna sifat tetapi mempunyai bentuk seakan-akan bayi itu dipercayai berusia lebih kurang dua bulan, dikesan baru dibuang di hadapan bangunan berkenaan.

Sewaktu ditemui janin tersebut masih mempunyai kesan darah beku tidak dibungkus atau dibalut sebaliknya tanpa sebarang alas di atas jalan oleh seorang peserta program yang tiba awal sebelum memaklumkan kepada rakannya.

Salmiah Salleh, 58, yang menemui janin berkenaan berkata, sebaik sampai di hadapan dewan itu sekitar jam 9 pagi semalam, dia meletakkan motosikalnya bersebelahan tong sampah.

“Saya terkejut lihat objek seakan biji nangka berwarna kekuningan berada di tempat parkir motosikal.

“Saya mendekatinya dan terkejut mendapatinya ialah janin yang masih mempunyai kesan darah tetapi sudah beku,” katanya.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepada pencuci kebersihan di bangunan itu dan peserta lain yang tiba kemudian mengesahkannya sebagai janin.

Salmiah melaporkan penemuan itu kepada anggota polis di Balai Polis Bertam yang terletak bersebelahan dewan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan penemuan janin berkenaan.

“Sebaik terima laporan Salmiah, anggota bertugas di balai berkenaan melakukan siasatan dan mengesahkan objek ditemui itu janin.

“Ia dihantar ke Hospital Kepala Batas dan kini berada di Unit Forensik,manakala kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pelakunya sedang dijejaki,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr Norsidah Ismail yang dihubungi mengesahkan objek ditemui berkenaan adalah janin.

Menurutnya, pihaknya hanya menyimpan janin berkenaan atas arahan pihak polis bagi melengkapkan siasatan.

Sinar Harian

Saya Presiden Mesir bagi semua, isytihar Mohammed

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Beberapa jam selepas diumumkan sebagai presiden baru, yang pertama dipilih secara demokratik, Mohammed Morsi berjanji akan mewakili keseluruhan rakyat Mesir.

Dalam ucapan sulungnya, yang disampaikan sekitar awal pagi tadi (waktu Malaysia), Mohammed menggesa rakyat negaranya agar mengetepikan segala perbezaan mereka dan berganding demi kepentingan bersama.

"Perpaduan nasional adalah satu-satunya cara bagi Mesir keluar daripada krisis," kata Mohammed dalam ucapan yang disampaikan menerusi televisyen.

Anggota lama Ikhwanul Muslimin ini memberi penghormatan kepada mereka yang mati syahid, yang membantu mengembangkan revolusi sehingga membawa kepada kejatuhan Hosni Mubarak, Presiden Mesir paling lama berkuasa, awal tahun lalu.

Bagi pihak kerajaan, beliau juga mengucapkan terima kasih dan kekagumannya kepada anggota tentera, polis, hakim dan lain-lain anggota kerajaan atas sumbangan mereka.

"Saya harus tabik mereka sebab mereka ada peranan dalam menentukan masa depan Mesir," kata Mohammed lagi.

Mohammed yang mengatasi bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafik dalam pusingan kedua pemilihan presiden, berjanji akan memelihara kesemua perjanjian kebangsaan dan antarabangsa - antara aspek yang menjadi perhatian masyarakat antarabangsa dan lokal.

Mohammed berjanji bahawa beliau akan melindungi hak wanita dan kanak-kanak, begitu juga komuniti Islam dan Kristian.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan sekitar 10.30 malam (waktu Malaysia) semalam, Mohammed memperoleh 52 peratus undi manakala Ahmed pula 48 peratus undi.

Keputusan itu sepatutnya diumumkan Khamis lalu tetapi hanya diketahui semalam.

Pengumuman itu membawa kepada suasana terharu dan kegembiraan tidak terhingga, disambut dengan tembakan ke udara, di Dataran Tahrir meskipun suhu ketika keputusan diumumkan adalah kira-ira 38 darjah Celsius.

Dataran Tahrir menjadi hab kepada kebangkitan rakyat awal tahun lalu, yang membawa kepada kejatuhan Hosni, yang memerintah negara itu selama 30 tahun.

Dipetik CNN, Abdul Mawgoud Dardery dari Ikhwanul Muslimin berkata, "kami telah menanti yang ini sejak 7,000 tahun lalu."

"Buat kali pertama dalam sejarah, kami ada presiden sendiri, dipilih oleh kami.

"Kuasa rakyat kini di tangan presiden dan presiden perlu bertindak dan pergi ke depan," katanya lagi.

Seorang lagi yang ditemui di Dataran Tahrir berkata, "apa yang kami gembira ialah rakyat Mesir boleh membuang saki-baki rejim lalu."

Di sebalik kegembiraan ini, beberapa penyokong Ahmed kelihatan kecewa dengan keputusan Mohammed dipilih sebagai presiden.

Manal Koshkani memberitahu CNN bahawa dia bimbang dengan hala tuju parti Islam itu akan menguasai Mesir.

"Saya berharap kami boleh melihat masa depan yang lebih baik," katanya sambil menambah, "saya ragui" ia akan berlaku.

Keputusan ini diumumkan beberapa hari selepas mahkamah mengarahkan pembubaran Parlimen atas alasan ada wakil rakyat dipilih secara tidak sah enam bulan lalu manakala Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) membuat deklarasi beberapa kuasa presiden ditarik sementara Mesir juga belum ada perlembagaan.

Oleh itu seorang pemuda bernama Mohamed Saleh mengetepikan pentingnya kedudukan Mohammed sebagai presiden.

"Mohammed tidak ada kuasa, Scaf miliki kuasa," katanya lagi.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan semalam, Mohammed melepaskan keahlian dalam Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan bagi membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin kepada keseluruhan rakyat Mesir.

"Kita semua adalah saksama dalam hak dan kita semua ada obligasi untuk dijalankan demi negara ini.

"Bagi diri saya, saya tidak ada hak, tetapi saya ada obligasi," katanya.

Sinar Harian

Assad bentuk semula Kabinet baru Syria

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Rusuhan dan keganasan di Syria yang meragut ratusan nyawa hanya dalam tempoh seminggu, memaksa Presiden Bashar Al-Assad membentuk sebuah Kabinet baru tetapi tidak mengubah beberapa jawatan tertinggi, semalam.

Pembentukan sebuah kerajaan baru itu diumumkan Assad kurang daripada dua bulan selepas tempoh kontroversi pilihan raya parlimen yang dipulau pembangkang dengan kedudukan Menteri Luar Negeri iaitu Walid Al-Muallem, Menteri Pertahanan, Daoud Rajha dan Menteri Dalam Negeri, Mohammad Al-Shaar, dikekalkan.

Dilaporkan, jawatan yang dipegang Rajha terpaksa dikekalkan kerana Amerika Syarikat (AS) mendakwa menteri itu berperanan dalam sekatan berbahaya pemberontakan Syria.

Namun, pemimpin Majlis Kebangsaan Syria, Abdel Basset Sayda, menyifatkan tindakan Assad sebagai penuh kepura-puraan dan langsung tiada perubahan.

Dalam pada itu, Kumpulan Pemerhati Kemanusiaan Syria mendedahkan seramai 102 orang termasuk penduduk awam, dibunuh dalam keganasan yang berlaku di negara itu kelmarin, apabila kuasa-kuasa rejim sekali lagi meningkatkan serangan ke atas beberapa bandar.

Sinar Harian

Tiga bookie judi Euro diberkas

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KLANG - Kelekaan tiga lelaki melayan aktiviti perjudian melalui internet berakhir apabila premis pejabat mereka di Jalan Pekan Baru, di sini diserbu Bahagian Perjudian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, awal pagi semalam.

Dalam serbuan pada kirakira jam 1.30 pagi itu, tiga lelaki tempatan berusia 35 hingga 65 tahun ditahan kerana dipercayai menjadi penganjur aktiviti haram terbabit.

Pegawai Turus D7, IPK Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, sindiket terbabit berurusan menggunakan telefon bimbit dan laman sesawang perjudian antarabangsa.

“Kita percaya mereka sedang berurusan dengan laman sesawang perjudian antarabangsa memandangkan urusan perjudian di laman itu sedang berfungsi.

“Perlawanan suku akhir antara Sepanyol dan Perancis dipercayai menjadi pertaruhan paling laris, mendorong aktiviti itu rancak pada malam ini (semalam),” katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah memberi kata laluan kepada pembeli dan dibayar melalui kaedah kredit.

“Wang habuan pertaruhan akan diagihkan selepas keputusan perlawanan akhir katanya.

Bagaimanapun, katanya, tempoh sindiket beroperasi dan rangkaian terlibat masih dalam siasatan polis.

“Turut ditemui ketika serbuan ini adalah lima skrin pertaruhan, modem dan wang tunai.

“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket menjadi markas pertaruhan ‘One Stop Centre’ di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, kesemua hasil rampasan dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.

Rihan Shah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan.

Sinar Harian