25 Jun 2012

Dibelasah penduduk ketika sedang mencuri kelapa

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

BESUT- Tindakan seorang lelaki yang cuba mencuri buah kelapa sawit di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gong Berangan dekat Kerandang, Jabi menemui padah apabila dia dicekup sebelum dibelasah penduduk.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek berusia 29 tahun cedera di beberapa bahagian anggota badan akibat dipukul orang ramai yang berang dengan kegiatan mencuri buah kelapa sawit yang berleluasa sejak belakangan ini.

Difahamkan ketika dicekup suspek sedang mengangkut buah kelapa sawit ke dalam bonet sebuah kereta Proton Saga. Sebanyak tiga tandan buah berkenaan berada di dalam bonet kereta berkenaan manakala beberapa tandan lagi berada di tepi kereta.

Suspek yang dikatakan dari kampung berdekatan terserempak dengan penduduk kampung yang menjalankan rondaan di kawasan ladang sawit itu berikutan kekerapan kejadian kecurian buah kelapa sawit sejak belakangan ini di kawasan itu.

Penduduk mula mempergiatkan rondaan pada waktu malam apabila mendapati terdapat selonggok buah kelapa sawit di atas tanah pada siang hari dan ramai penduduk keluar sebaik mengetahui suspek berjaya ditangkap.

Dikatakan juga terdapat dua lagi lelaki yang terlibat bagaimanapun berjaya melarikan diri. Penduduk kampung kemudiannya menyerahkan suspek kepada polis sebelum pihak polis menghantar ke Hospital Besut untuk rawatan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut. Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

Sinar Harian

Tiada ulasan: