5 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anuar ul Haq menyifatkan 1 Malaysia adalah lambang rasuah bukannya lambang perpaduan.
(Gambaran Zunar tentang sikap pemimpin kerajaan dalam membanteras rasuah)
Oleh itu, sebagai kartunis beliau menolak untuk bernaung di bawah lambang satu 1Malaysia kerana,"Semua perasuah bernaung di bawah lambang tersebut."
Zunar mengulas kenyataan Perdana Menteri supaya kartunis menyokong gagasan "1Malaysia" semalam yang menggesa para kartunis supaya menerapkan mesej "1 Malaysia" melalui karya-karya.
Datuk Seri Najib berkata demikian dalam majlis PM Bersama Kartunis di Pasar Seni semalam.
Harakahdaily difahamkan, Zunar menolak anugerah dan wang tunai sekitar RM10,000 oleh penganjur kerana program tersebut bukan program seni tetapi politik.
Ini kerana, penganjurnya adalah dua pemimpin Umno iaitu Datuk Abdul Azeez Rahim (Ketua Putra Umno) dan Datuk Suhaimi Shadan (Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda Umno).
Walau pun kenyataan Perdana Menteri itu adalah satu gesaan, tetapi sekiranya ia datang dari mulut Perdana Menteri, ia ditafsir sebagai arahan, kata Zunar.
Bagi beliau, kartunis adalah insan seni yang melahirkan karya-karya berperanan, antara yang paling besar adalah mengkritik kepincangan, rasuah, salah guna kuasa dan kezaliman pemerintah.
Kerana itu, katanya, Perdana Menteri tak perlu merendahkan martabat kartunis kepada propogandis.
"Karya-karya kartun harus dibiarkan berkembang, bukan dipandu untuk menyokong dasar kerajaan. Karya-karya kartun hanya akan tumbuh subur jika kartunis diberi kebebasan berkarya," katanya.
Selain itu, dengan mengajak kartunis menyokong gagasan 1Malaysia, PM mempamerkan sifat hipokrit kerana dalam pemerintahan Najib, kebebasan kartunis paling teruk disekat.
"Selain pengalaman saya sendiri yang ditangkap dan buku-buku diharam, semua kartunis-kartunis lain yang berkarya di media-media arus perdana dilarang dari mengkritik kerajaan," kata Zunar dalam kenyataannya.
Akta-akta yang menyekat kebebasan kartunis seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta akta Hasutan masih dipertahan PM.
Selain itu, tambah beliau, karya-karya kartun juga dilarang dalam kempen PRU akan datang.
"Secara gambarannya, ini bererti Najib mengikat tangan dan kaki kartunis dengan akta dan peraturan dan mahukan kartunis menyokong beliau?" dakwa Zunar.
Mengenai saranan supaya kartunis menyokong kerajaan menerapkan nilai-nilai perpaduan kaum melalui karya-karya mereka, ia adalah wajar tetapi pihak yang hendak disokong mesti terlebih dahulu menyuburkan perpaduan kaum.
"Perpaduan kaum unjuran Najib adalah satu 'wayang' politik kerana beliau ke sana kemari menjaja '1Malaysia', tetapi pada masa yang sama mempelopori dan mendokong NGO pemecah belah kaum seperti Perkasa, Pekida dan lain-lain," katanya.
Kerana itu, 1 Malaysia tidak dilihat lambang perpaduan kaum, sebaliknya adalah lambang rasuah.
Kerana itu, kartunis seharusnya mengkritik pentadbiran Perdana Menteri dan 1Malaysia, bukan menyokongnya! tegas Zunar.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan