25 Jun 2012

'Umno nak 'mengurat' PAS, kita jawab tak nak'

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

MELAKA: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata PAS tidak akan sesekali termakan pujuk rayu Umno yang dilihat cuba 'mengurat' PAS apabila mereka kini dalam keadaan sangat lemah.

Sebaliknya, PAS akan tetap bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat bagi berjuang menentang ketidakadilan yang dilakukan pemerintah negara ini.

Menurut beliau, walaupun Umno itu parti Melayu, tetapi PAS tetap menentangnya kerana kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan mereka sejak 54 tahun memerintah.

"Walaupun Umno kata Melayu tak boleh tentang Melayu, tapi Islam ajar kita supaya menentang kezaliman walaupun datang dari kaum kita sendiri.

"Ajaran Melayu Umno, perangai hodoh tak apa, rasuah tak apa, atas nama orang Melayu, tetapi ajaran Islam tidak begitu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Melaka malam tadi.

Lebih 3,000 hadir pada ceramah di perkarangan Surau Ustaz Ali, Permatang Pasir, Alai yang turut dihadiri Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut Mustafa yang mengambil pentas sebelum Mohamad berkata, Islam juga mengajar umatnya boleh bersama siapa sahaja demi menentang kemungkaran dan menegakkan keadilan.

"Sebab itu kita bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

"Kita menentang Umno sebab mereka tidak menegakkan keadilan sebagaimana di perintah Allah," katanya.

Umno kini katanya dalam keadaan sangat lemah dan terpaksa 'mengorat' PAS untuk mengembalikan sokongan kepada mereka atas nama parti orang Melayu.

Bagaimanapun tegasnya, PAS sudah matang dengan taktik dan perangai Umno itu dan sesekali tidak akan menjalin kerjasama politik dengan parti itu.

"Abg Mat (Mohamad Sabu) berapa kali dia kena ISA siapa buat, Umno yang buat.

"Kenapa Umno buat kepada orang Melayu, sebaba waktu nak ISA dia tak kira dah Melayu, tapi sekarang bila lemah sibuk cari PAS atas nama Melayu.

"Sebab itu walaupun ada usaha Umno nak mengorat kita, kita kata no!," tegasnya.

Dalam pada itu, mengulas kehadiran malam tadi, Mustafa menyifatkan ianya suatu kebangkitan rakyat Melaka yang sangat berbeza dari sebelumnya.

Sambutan luar biasa sejak kebelakangan ini katanya bukan sahaja memeningkan Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Ali Rustam malah juga membimbangkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Harakah Daily

Tiada ulasan: