5 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: “Kenyataan media pertama Datuk Dr Ali Hamsa setelah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) amat dikesali dan dibantah,” ujar Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).
Katanya, kenyataan Ali untuk penjawat awam setia kepada kerajaan yang ada dan menolak janji pembangkang sudah menunjukkan bahawa beliau bukan orang yang tepat menjawat jawatan KSN.
“Belum pernah mana-mana KSN sebelum ini secara terang-terangan menyatakan sikap politik kepada penjawat awam dan meminta semua penjawat awam menyokong kerajaan yang ada dan menolak pembangkang,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Teras berpendirian jika KSN dipilih kerana sikap politik dan bukan atas merit professionalisme maka sendi kestabilan negara iaitu pentadbiran awam akan runtuh.
“Kami percaya beliau sepatutnya faham betul etika penjawat awam sebelum memegang jawatan KSN. Tidak faham atau sengaja tidak faham menggugurkan kelayakannya untuk dilantik sebagai KSN,” ujarnya.
Beliau berkata, jika seorang ketua pentadbiran awam menggugurkan etika utama dalam pentadbiran awam iaitu bersikap neutral dan bertindak adil kepada semua rakyat di negara , maka dia tidak boleh memimpin jentera pentadbiran awam lagi.
Katanya, Teras membantah keras dan mengutuk jika pentadbiran awam dicemari oleh manipulasi politik tidak berertika yang boleh memporak-peranda pengurusan awam.
“Adakah hak beliau untuk menyatakan kakitangan awam mesti hanya menyokong kerajaan yang ada?” soalnya.
Beliau menambah, di manakah tercatat dalam Perintah Am bahawa penjawat awam mesti hanya menyokong kerajaan.
“Jika persoalan asas ini tidak diketahui kami berpendapat jawatan KSN tidak boleh diserah kepada beliau. Sebabnya jelas, jawatan tersebut tidak boleh diberi kepada orang yang didapati bias dari segi politik,” katanya.
Ini, ujar beliau kesannya amat jauh kerana sistem pemisahan kuasa esksekutif, kehakiman dan legistatif dalam sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan akan runtuh kerana jentera kerajaan diketuai oleh KSN yang berkhidmat kepada parti politik bukan kepada rakyat.
“Teras menggesa Datuk Dr Ali Hamsa menarik balik kenyataan beliau jika rakyat mahu diyakini bahawa pentadbiran awam tidak berfungsi di bawah arahan parti politik,” ujarnya.
Mohd Azmi berkata, rakyat tidak akan menghormati KSN jika beliau dilihat orang yang dilantik kerana kecenderungan parti politik.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan