5 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak agar Kerajaan Malaysia segera mengiktiraf keputusan rakyat Mesir dan Dr Mohamed Morsi sebagai presiden baru negara itu.
“Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Negara Mesir setelah dapat melalui satu proses sistem pilihanraya bagi menentukan pemerintah terbaru Mesir kini,” ujar Pengerusi Lajnah Antarabangsa merangkap Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Iskandar.
Katanya, sudah tentu Pilihan Raya Umum (PRU) Mesir mencerminkan keyakinan rakyat untuk menentukan pemerintah bagi meneruskan pentadbiran Mesir yang telah bergolak satu ketika dahulu.
Beliau juga panjangkan ucapan tahniah kepada calon Ikhwanul Muslimin, Dr Mohamed Morsi yang telah diisytiharkan secara rasmi memenangi pilihan raya Presiden Negara Mesir semalam.
“Bagi kami juga, kemenangan tersebut sebagai satu titik permulaan baru bagi melalui kenangan pahit yang telah berlaku di Negara Mesir,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, dan adalah menjadi harapan DPPM ingin melihat Mesir kembali bagi mengukuhkan sistem demokrasi sedia ada.
Beliau berkata, dunia sewajarnya mengiktiraf dan menyokong keputusan pilihanaraya ini yang mengangkat Dr Morsi sebagai Presiden Mesir kini setelah melalui proses sistem demokrasi di sana.
Menurutnya, bibit-bibit campur tangan asing kini kedengaran terhadap keputusan rakyat ini dan sewajarnya perlulah dihentikan dengan segera.
“Kemenangan calon dari Ikhwanul Muslimin ini juga membuktikan rakyat Mesir sudah bosan dengan ketidakadilan dan kezaliman pemerintahan sebelum ini,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, Islam yang menjadi asas perjuangan Ikwanul Muslimin terbukti berjaya diterima oleh semua lapisan rakyat Mesir tanpa mengira agama dan warna kulit dan perlu dicontohi oleh semua negara termasuk Malaysia sendiri.
PDDM juga, katanya yakin rakyat Negara Mesir akan mendokong keputusan tersebut dan merealisasikan pemerintahan yang terbaik kelak.
“Kami juga mengharapkan Dr Morsi dapat menzahirkan kemenangan yang telah diperolehi untuk mengembalikan keamanan dan kesejahteraan rakyat di sana kelak.
“Kami juga yakin rakyat Malaysia amat bangga dengan rakyat Mesir kerana mampu keluar daripada kemelut yang lalu,” katanya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan