5 Syaaban 1433H. [MOD] -
KLANG - Kelekaan tiga lelaki melayan aktiviti perjudian melalui internet berakhir apabila premis pejabat mereka di Jalan Pekan Baru, di sini diserbu Bahagian Perjudian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, awal pagi semalam.
Dalam serbuan pada kirakira jam 1.30 pagi itu, tiga lelaki tempatan berusia 35 hingga 65 tahun ditahan kerana dipercayai menjadi penganjur aktiviti haram terbabit.
Pegawai Turus D7, IPK Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, sindiket terbabit berurusan menggunakan telefon bimbit dan laman sesawang perjudian antarabangsa.
“Kita percaya mereka sedang berurusan dengan laman sesawang perjudian antarabangsa memandangkan urusan perjudian di laman itu sedang berfungsi.
“Perlawanan suku akhir antara Sepanyol dan Perancis dipercayai menjadi pertaruhan paling laris, mendorong aktiviti itu rancak pada malam ini (semalam),” katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah memberi kata laluan kepada pembeli dan dibayar melalui kaedah kredit.
“Wang habuan pertaruhan akan diagihkan selepas keputusan perlawanan akhir katanya.
Bagaimanapun, katanya, tempoh sindiket beroperasi dan rangkaian terlibat masih dalam siasatan polis.
“Turut ditemui ketika serbuan ini adalah lima skrin pertaruhan, modem dan wang tunai.
“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket menjadi markas pertaruhan ‘One Stop Centre’ di Selangor,” katanya.
Beliau berkata, kesemua hasil rampasan dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.
Rihan Shah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan