25 Jun 2012

Saya Presiden Mesir bagi semua, isytihar Mohammed

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Beberapa jam selepas diumumkan sebagai presiden baru, yang pertama dipilih secara demokratik, Mohammed Morsi berjanji akan mewakili keseluruhan rakyat Mesir.

Dalam ucapan sulungnya, yang disampaikan sekitar awal pagi tadi (waktu Malaysia), Mohammed menggesa rakyat negaranya agar mengetepikan segala perbezaan mereka dan berganding demi kepentingan bersama.

"Perpaduan nasional adalah satu-satunya cara bagi Mesir keluar daripada krisis," kata Mohammed dalam ucapan yang disampaikan menerusi televisyen.

Anggota lama Ikhwanul Muslimin ini memberi penghormatan kepada mereka yang mati syahid, yang membantu mengembangkan revolusi sehingga membawa kepada kejatuhan Hosni Mubarak, Presiden Mesir paling lama berkuasa, awal tahun lalu.

Bagi pihak kerajaan, beliau juga mengucapkan terima kasih dan kekagumannya kepada anggota tentera, polis, hakim dan lain-lain anggota kerajaan atas sumbangan mereka.

"Saya harus tabik mereka sebab mereka ada peranan dalam menentukan masa depan Mesir," kata Mohammed lagi.

Mohammed yang mengatasi bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafik dalam pusingan kedua pemilihan presiden, berjanji akan memelihara kesemua perjanjian kebangsaan dan antarabangsa - antara aspek yang menjadi perhatian masyarakat antarabangsa dan lokal.

Mohammed berjanji bahawa beliau akan melindungi hak wanita dan kanak-kanak, begitu juga komuniti Islam dan Kristian.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan sekitar 10.30 malam (waktu Malaysia) semalam, Mohammed memperoleh 52 peratus undi manakala Ahmed pula 48 peratus undi.

Keputusan itu sepatutnya diumumkan Khamis lalu tetapi hanya diketahui semalam.

Pengumuman itu membawa kepada suasana terharu dan kegembiraan tidak terhingga, disambut dengan tembakan ke udara, di Dataran Tahrir meskipun suhu ketika keputusan diumumkan adalah kira-ira 38 darjah Celsius.

Dataran Tahrir menjadi hab kepada kebangkitan rakyat awal tahun lalu, yang membawa kepada kejatuhan Hosni, yang memerintah negara itu selama 30 tahun.

Dipetik CNN, Abdul Mawgoud Dardery dari Ikhwanul Muslimin berkata, "kami telah menanti yang ini sejak 7,000 tahun lalu."

"Buat kali pertama dalam sejarah, kami ada presiden sendiri, dipilih oleh kami.

"Kuasa rakyat kini di tangan presiden dan presiden perlu bertindak dan pergi ke depan," katanya lagi.

Seorang lagi yang ditemui di Dataran Tahrir berkata, "apa yang kami gembira ialah rakyat Mesir boleh membuang saki-baki rejim lalu."

Di sebalik kegembiraan ini, beberapa penyokong Ahmed kelihatan kecewa dengan keputusan Mohammed dipilih sebagai presiden.

Manal Koshkani memberitahu CNN bahawa dia bimbang dengan hala tuju parti Islam itu akan menguasai Mesir.

"Saya berharap kami boleh melihat masa depan yang lebih baik," katanya sambil menambah, "saya ragui" ia akan berlaku.

Keputusan ini diumumkan beberapa hari selepas mahkamah mengarahkan pembubaran Parlimen atas alasan ada wakil rakyat dipilih secara tidak sah enam bulan lalu manakala Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) membuat deklarasi beberapa kuasa presiden ditarik sementara Mesir juga belum ada perlembagaan.

Oleh itu seorang pemuda bernama Mohamed Saleh mengetepikan pentingnya kedudukan Mohammed sebagai presiden.

"Mohammed tidak ada kuasa, Scaf miliki kuasa," katanya lagi.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan semalam, Mohammed melepaskan keahlian dalam Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan bagi membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin kepada keseluruhan rakyat Mesir.

"Kita semua adalah saksama dalam hak dan kita semua ada obligasi untuk dijalankan demi negara ini.

"Bagi diri saya, saya tidak ada hak, tetapi saya ada obligasi," katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: