25 Jun 2012

Pengawal keselamatan cedera disamun

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang pengawal keselamatan cedera dipukul dua lelaki dalam kejadian samun di sebuah syarikat keselamatan di Seremban Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, R Balakrishnan, 59, cedera di muka, kepala dan belakang badan selepas dipukul dua lelaki tidak dikenali ketika sedang berehat di pondok keselamatan selepas melakukan rondaan keselamatan di tempatnya bekerja.

Anak mangsa, B Shanti, 37, berkata, dua lelaki tiba-tiba muncul dan memukul ayahnya yang sedang berehat menggunakan kayu.

"Mereka minta ayah serahkan dompet dan kunci motosikal. Disebabkan bimbang dipukul lebih teruk, ayah menurut sahaja arahan mereka.

"Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Modenas Kriss, milik ayah," katanya kepada Sinar Harian di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, semalam.

Menurutnya, ayahnya bernasib baik kerana rakan sekerja datang membantunya dan membawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Berikutan kejadian ini, ayah kerugian wang tunai RM500 dan juga sebuah motosikal. Laporan dibuat di Pondok Polis Hospital Tuanku Ja'afar," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: