5 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUANTAN: Saranan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof untuk semua parti politik memberi kerjasama dan mencuba dulu sebelum mempertikai dan sangsi dalam cadangan untuk menyiarkan manifesto menerusi RTM secara rakaman telah ditempelak PAS.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa kredibiliti BN yang teruk adalah sebab utama mengapa pembangkang menolak cadangan SPR untuk menyiarkan manifesto secara rakaman.
“Rekod BN yang tidak jujur dan beramanah adalah penyumbang terbesar mengapa bermungkinan besar manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagaimana video versi polis insiden Bersih 2.0,” kata beliau.
Tuan Ibrahim berkata soalan yang berlegar di minda rakyat kini ialah apakah jaminan rakaman tersebut tidak diedit dan dipotong mengikut kehendak BN seperti video Bersih 2.0.
“Bahkan perkara ini dijangka berulang di video Bersih 3.0 versi BN,” tambah beliau.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata tindakan membentang manifesto secara rakaman membuktikan kegagalan SPR bertindak dengan tepat dan adil dan memberi tekanan kepada kerajaan BN untuk memberi ruang yang adil kepada pembangkang.
Perkara double standard inilah katanya yang menimbulkan kemarahan rakyat. Bahkan, tuntutan Himpunan Bersih 3,0 salah satunya ialah media yang adil.
“Tindakan menyiarkan rakaman menifesto parti politik tidak lebih sekadar “gincu mulut” untuk mengaburi mata rakyat bahawa kerajaan BN sudah memberi ruang keadilan yang saksama pada pembangkang.
Kenyataan itu bakal menaikkan semula kemarahan rakyat yang hanya menunggu perisytiharan para pimpinan untuk himpunan selanjutnya menuntut pilihanraya bersih dan adil, kerana jelas kerajaan BN ini pekak,” tegas Tuan Ibrahim.
PAS, kata belilau menyokong kenyataan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dua hari lepas bahawa kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR tidak menepati tuntutan Bersih 3.0.
Mustafa berkata perkara tersebut tidak menepati tuntutan Bersih 3.0 dan sekiranya perkara tersebut dilakukan, manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sebelum itu, Abdul Aziz Yusof berkata ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan penyiaran bahan yang mungkin menyentuh peribadi seseorang, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti kaum serta agama.
“Jadi, soalan yang ingin ditanya pada beliau ialah bagaimana pula SPR nak bertindak terhadap BN yang berkempen setiap hari dalam media perdana termasuk melancarkan serangan peribadi?
Sudah menjadi tradisi BN yang secara terangan melanggar akta pilihanraya yang hanya membenarkan kempen sehingga jam 12 malam hari terakhir. BN terus berkempen menggunakan alat media kerajaan sampai hari menggundi,” selar Tuan Ibrahim.
PAS, katanya tetap membantah siaran rakaman manifesto dan menuntut agar semua parti politik diberi ruang berkempen dalam media selama satu jam sehari dan membentang menifesto secara siaran langsung dan membanyakkan ruang debat dan dialog antara parti politik untuk dinilai oleh rakyat.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan