5 Syaaban 1433H. [MOD] -
ILLINOIS: Apabila anak perempuan mereka yang berusia 18 bulan menangis kerana hujung jarinya putus, kelihatan seperti digigit, kedua-dua ibu bapanya mengesyaki ia angkara anjing peliharaan mereka.
Tetapi, selepas dilihat dengan teliti, polis mendedahkan ia mungkin disebabkan haiwan peliharaan yang lebih kecil dan lebih senyap, ikan pirana yang dibela oleh mereka.
Polis di Maine Township, Illinois hanya memerhatikan ikan bergigi tajam yang berenang di akuarium berdekatan dengan tempat kanak-kanak itu bermain, ketika doktor mengesahkan gigitan itu bukan disebabkan oleh anjing.
Jurucakap Pejabat Syerif Cook County, Frank Bilecki berkata, “Kami bercakap dengan ibu kanak-kanak itu dan bertanya apa lagi yang menggigit?”
“Dengan cepat, ibunya berkata, dua ekor ikan itu memang terletak dekat dengan tempat kanak-kanak itu bermain.... Kami tahu pirana boleh menggigit,” katanya.
Selepas memberitahu bapa kanak-kanak itu, yang turut berada di rumah pada waktu itu, lelaki itu terus ke akuarium dan memasukkan tangannya ke dalam air lalu mengambil seekor ikan itu dari akuarium itu.
“Dia langsung tidak takut. Itu memang naluri seorang bapa,” katanya.
“Selepas mengambil ikan itu, bapa yang panik itu terus memotong ikan itu dan hujung jari itu masih berada di dalam perutnya. Dia segera meletakkannya ke dalam ais dan membawanya ke hospital dengan segera,” katanya.
Jurucakap hospital itdak dapat mengesahkan sama ada hujung jari itu boleh disambung.
“Ibu bapa kanak-kanak itu benar-benar sedih dengan kejadian itu,” katanya dengan menambah, kanak-kanak itu adalah satu-satunya anak pasangan itu.
Jabatan Perkhidmatan Kanak-kanak dan Keluarga menyiasat rumah kanak-kanak itu dan tidak menemui bukti ibu bapanya cuba mencederakan anak mereka.
Tiada tuduhan difailkan ke atas mereka.
Pengarah Jabatan Perikanan Akuarium Shedd, George Parsons berkata, ikan pirana boleh dibeli secara sah di Illinois.
Katanya, walaupun mereka pernah mendapat satu atau dua panggilan setahun bertanyakan bagaimana merawat gigitan pirana, tetapi berita mengenai seseorang kehilangan jari kerana digigit ikan itu, amat jarang didengar. - Daily Mail
Tiada ulasan:
Catat Ulasan