5 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - Pasukan berstatus kelab T-Team gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 ketika turun melayan kunjungan bekas juara Piala Malaysia musim lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.
Biarpun berkesudahan dengan sekadar berkongsi satu mata dengan Negeri Sembilan, pengendalinya, Yunus Alif masih kecewa dengan corak permainan yang dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung. Begitu pun, beliau tetap lega dengan keputusan itu dan kemunculan semula kapten pasukan daripada dibelenggu kecederaan sedikit sebanyak berjaya menyekat kemaraan skuad Rusa seterusnya dibelenggu kekalahan sebelum ini.
“Saya tengok malam ni (kelmarin) pemain-pemain saya main dalam tekanan. Jadi, bila main dalam keadaan ini memang susah untuk kita mencari ruang dalam mendahului kedudukan apatah lagi kita ketinggalan disebabkan satu kesilapan mudah pada aksi babak pertama.
“Sudah berkali-kali saya nasihatkan mereka (pemain) tak boleh bermain macam tu. Banyak pemain kalau boleh nak lepas (buang) bola saja. Nasib baiklah Faiz Subri dapat menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua,” katanya ketika ditemui sejurus perlawanan tamat.
Gagal guna keluasan padang Dalam pada itu, Yunus berkata, skuad kendaliannya itu gagal menggunakan sepenuhnya keluasan padang untuk bermain sebaliknya hanya melambungkan bola dan banyak tertumpu di posisi tengah yang bukan cara mereka (pasukannya) beraksi sebelum ini.
“Saya tidak mengajar mereka bermain macam ini. Saya juga terpaksa menenangkan pemain di tepi padang apabila melihat mereka masih berada dalam tekanan.
“Saya perlu memberi semangat kepada mereka agar tidak berfikiran negatif seolah-olah telah tewas sebaliknya mereka ini (pemain) memerlukan semangat cekal dalaman untuk mengharungi baki perlawanan,” katanya.
Sementara itu, Yunus berkata, beliau terpaksa membuat percaturan baru bagi setiap perlawanan akibat masalah kecederaan dan penggantungan yang dihadapi oleh pasukannya.
“Sebagai contoh, Zairo (Anuar Zailani). Selepas dua bulan dia tidak bermain, saya lihat dia sukar untuk beri bantuan kepada jentera serangan. Jadi, saya terpaksa tarik dia keluar.
“Begitu juga masalah yang dihadapi oleh Fazli Shaari yang mengadu mengalami sakit lutut dan akan melihat perkembangannya dalam masa beberapa hari,” katanya yang turut resah berikutan kecederaan yang melanda seorang lagi pemain import mereka iaitu Marco Tulio.
Harap pemain bangkit cepat Juster u, beliau mengharapkan pemainnya perlu keluar dari kelompok yang kurang tenang dan perlu bangkit dengan cepat bagi memantapkan pasukan semula menjelang perlawanan dengan pasukan Perak Selasa ini.
Pada pertembungan malam kelmarin menyaksikan pasukan pelawat berjaya mendahului kedudukan sebaik beberapa minit babak kedua bermua apabila skuad kendalian, Mohd Azraai Khor Abdullah bijak dalam mencari gol pembukaan menerusi sepakan deras ‘ ayam tambatan’ Effa Owan pada minit ke-53 hasil hantaran kapten pasukan, Shukor Adan.
Bagaimanapun pemain tuan rumah yang tersentak dengan jaringan itu, bangkit melancarkan serangan bertali arus dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi rembatan kencang, Mohd Faiz Subri hasil hantaran Fadzli Saari dari luar kotak penalti.
Namun pada minit ke-73, pasukan tuan rumah sekali lagi dihimpit keresahan apabila kesilapan penjaga gol tuan rumah, Mohd Syamsuri yang menangkap bola tendangan leret, Shahril Faizal dalam kotak penalti, nyaris membawa padah apabila pengadil perlawanan menghadiahkan tendangan percuma tidak langsung di dalam kotak penalti kepada Negeri Sembilan, begitu pun gagal disempurnakan Effa Owana.
Pada pertemuan sengit antara dua pasukan itu, menyaksikan tiga kad kuning dilayangkan pengadil perlawanan, Kamal Ahmad masing-masing dua kepada Negeri Sembilan (Shukor Adan, Effa Owana) dan satu kepada pemain tuan rumah (Shahril Faizal).
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan