5 Syaaban 1433H. [MOD] -
SIBUTI - Rh Sengkabang yang terletak dalam kawasan parlimen Sibuti yang mengambil masa satu jam lebih perjalanan dari bandaraya Miri. Kebanyakan penduduk disitu berbangsa Iban dan bekerja sebagai petani. Jalan masuk ke rumah panjang Sengkabang agar teruk dimana apabila musim hujan jalannya berlumpur, licin dan sukar untuk kenderaan kecil bergerak.
Selain masalah jalanraya, bekalan air bersih juga antara masalah yang dihadapi oleh penduduk Rh Sengkabang dan mereka terpaksa menggunakan air sungai dan air hujan untuk kegunaan harian. Kerajaan Malaysia baru-baru ini menyumbang tangki air 1Malaysia kepada penduduk di rumah panjang tersebut.
Baru-baru ini PAS Miri juga telah berkunjung ke Rh Sengkabang dan bertemu dengan masyarakat Iban di situ. Mereka menyambut kedatangan rombongan PAS dengan baik dan mesra sekali. Mereka menceritakan keadaan nasib hidup mereka setelah rumah panjang asal mereka terbakar kira-kira 5 tahun yang lalu.
Sehingga kini tiada sebarang bantuan dari pihak pemerintah untuk membantu mereka membina semula rumah panjang mereka yang terbakar itu. Mereka terpaksa membina sendiri dalam keadaan yang serba daif semata-mata untuk melindungi mereka dari hujan dan panas.
Penduduk asal tiada memiliki pengenalan diri
Disamping masalah infrastuktur, ramai juga penduduk di Rh Sengkabang tidak mempunyai surat beranak dan juga kad pengenalan atau Mykad. Mereka mengadu kepada PAS untuk membawa perkara ini kepada pihak kerajaan agar dapat membantu menyelesaikan masalah mereka ini dengan segera. Hidup mereka yang tidak memiliki pengenalan diri ini ibarat pendatang asing tanpa izin.
Diantara nama-nama penduduk asal Rh Sengkabang yang tiada memiliki dokumen pengenalan diri adalah Linda Anak Renggie, 32 tahun, Connylia Bunga Anak Kubong, 7 tahun , Degeles Ingkie Anak Kubong, 6 tahun dan ramai lagi keluarga yang tidak memiliki surat beranak dan juga MyKad di Rh Sengkabang.
Antara masalah yang dihadapi oleh penduduk asal tanpa dokumen pengenalan diri adalah:-
-
Tidak dibenar melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi
-
Tidak dibenar bekerja atau memegang jawatan dalam perkhidmatan awam dengan kerajaan atau pun syarikat swasta
-
Tidak dibenar menuntut hak mereka sekiranya tanah mereka di rampas
-
Tidak diberi bantuan oleh Jabatan kebajikan masyarakat
-
Tidak diberi wang tunai Rm500.00 Borang Bantuan 1Malaysia (BR1M) seperti rakyat Malaysia yang layak
-
Tidak diberi subsidi atau pun kemudahan kebajikan seperti penduduk yang memiliki dokumen pengenalan diri
Begitulah nasib yang menimpa mereka yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, mereka dianggap sebagai pendatang asing sedangkan asal usul keturunan mereka adalah peribumi Sarawak.
Diantara punca terjadinya mereka ini tidak memiliki dokumen pengenalan diri seperti surat beranak dan kad pengenalan adalah disebabkan jalan perhubungan negeri Sarawak yang sukar dihubungi dan terpaksa melalui jalan yang berliku-liku dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke bandar atau pekan yang berdekatan untuk memproses membuat surat beranak dan kad pengenalan.
Ini sepatutnya tanggungjawab pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara untuk turun ke kampung-kampung atau rumah panjang untuk melakukan pendaftaran kelahiran dan seterusnya memproseskan kad pengenalan.
Penduduk yang tinggal jauh di pedalaman memang tidak semua yang mampu keluar ke bandar untuk membuat surat beranak dan kad pengenalan disebabkan kos perjalanan yang tinggi serta jalan perhubungan yang teruk sehingga sekarang masih lagi jalanraya masuk ke pedalaman Sarawak terlalu sukar ditembusi.
Kita mendesak agar pihak kerajaan memandang serious masalah penduduk asal yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ini kerana mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang tersisih dari arus pembangunan dan peluang mereka untuk mendapat hak sebagai rakyat juga perlu diberi pertimbangan.
Jangan pula ada kita dengar pendatang asing pula diberi kemudahan dan mendapatkan hak kerakyatan sedangkan penduduk asal tersingkir dari memiliki hak serta kemudahan yang sepatutnya. Jangan seperti kata pepatah “Anak di rumah mati kelaparan, kera di hutan disusukan.”
Berlaku adillah kepada rakyat sendiri, jangan memandang ringan masalah ini kerana penduduk asal yang berhak keatas tanah air mereka sendiri bukannya pendatang asing yang berkuasa merampas hak mereka.
Kerajaan yang adil dan bertanggungjawab saja akan berusaha mengatasi masalah ini tanpa mengira bangsa dan agama.
Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan