5 Syaaban 1433H. [MOD] -
PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli hari ini menegaskan perletakan jawatannya dalam kerajaan Selangor adalah tindakan biasa yang dilandaskan pada asas moral.
Ini, katanya kerana seorang ahli politik tidak wajar dibayar gaji dari wang rakyat apabila tumpuannya cenderung kepada aktiviti politik partinya.
Malah menurutnya keputusan itu telah lama dirancang demi menumpukan perhatiannya kepada usaha PKR dan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional.
"Saya telah mula menyatakan hasrat untuk menarik diri dari pentadbiran Kerajaan Selangor sejak bulan Oktober tahun lepas lagi semasa PKR mula menumpukan perhatian serius membongkarkan penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC).
"Pembubaran Dewan Rakyat yang makin hampir dan keputusan ini akan memberi peluang saya untuk menumpukan kepada usaha merancang kempen PKR dan menyusun strategi hadapi pilihanraya," katanya.
Tambahnya, PKR adalah sebuah parti reformasi, budaya politik berbeza dan beliau cukup tidak selesa menerima gaji dari tabung rakyat apabila tumpuan lebih kepada kerja politik.
"Selain mahu menumpukan sepenuhnya kepada usaha menumbangkan Umno BN, saya juga mahu terus kekal dengan perjuangan reformasi yang memisahkan kerja politik dari dana rakyat.
"Rakyat akan dapat menghakimi sendiri putar belit Umno-BN ini apabia saya makin lantang membongkarkan rasuah dan penyelewengan mereka," sambungnya.
Rafizi menyatakan, beliau akan duduk berbincang dengan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin bagi meneliti semula fail-fail penyelewengan yang berlaku di Selangor semasa pentadbiran Umno.
"Tindakan ini sebagai menyahut seruan pimpinan Umno agar saya membongkarkan penyelewengan yang berlaku di Selangor," ujarnya lagi.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan