15 April 2013

Hutan terbakar di Korea Selatan

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




GOSEONG, Korea Selatan - Beberapa buah helikopter daripada Perkhidmatan Perhutanan Korea Selatan memadamkan kebakaran hutan di Zon Bebas Tentera di sini, 330 kilometer ke timur laut Seoul semalam.
Kebakaran itu mula dikesan di bahagian utara zon tersebut kelmarin sebelum ia merebak dalam lingkungan 100 meter dari sebuah pos kawasan pihak berkuasa negara ini.

Punca sebenar kebakaran tersebut masih belum diketahui.
Bagaimanapun, agensi berita Yonhap kelmarin menyatakan, kebakaran itu berjaya dikawal oleh pihak berkuasa Korea Selatan.

Kira-kira 18 jam selepas kebakaran itu dikesan, askar-askar Korea Selatan yang dibantu anggota-anggota bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut daripada terus merebak. Kawasan Zon Bebas Tentera itu memisahkan negara Korea Utara dengan Korea Selatan.

Beberapa pegawai menyatakan, seramai 80 anggota bomba dan sembilan jentera bomba diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk memberikan bantuan tambahan jika diperlukan.

Kebakaran hutan itu berlaku ketika Korea Utara membuat ancaman untuk melakukan serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan Jepun.

Ancaman itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat sekatan pengimportan barang-barang mewah ke Korea Utara.

Sekatan itu dibuat setelah Korea Utara melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu. - Agensi

4 janji Pakatan Rakyat kepada anak muda

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


4 janji Pakatan Rakyat kepada anak muda

Rafizi (tiga, kanan) bersama anak muda Pakatan Rakyat.
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) dalam manifesto kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menggariskan empat janji kepada anak muda sekiranya berjaya merampas tampuk pemerintahan negara.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata,  PR komited berjanji sekiranya menang dan menjadi Kerajaan Persekutuan  dalam tempoh sebulan dari sekarang kita akan kurangkan bebanan kewangan golongan muda.

Rafizi dalam  Ceramah Perdana Himpunan Anak Muda Bangkit 13 kelmarin yakin memaklumkan seandainya pakatan menang dalam PRU13 hari pertama sahaja harga minyak akan diturunkan.

“Sekiranya harga minyak turun maka kesemua harga barang lain turun menurun kerana kos pengangkutan yang menjadi beban kita selama ini.

“Masalah orang muda terutamanya yang baru memulakan kehidupan berkeluarga sangat terbeban dengan kos sara hidup tinggi seumpama ini. Oleh itu, PR komited akan mengurangkan bebanan mereka dengan menurunkan harga minyak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rafizi mendakwa selain harga minyak kos pengangkutan lain yang wajar dihapuskan ialah tol.

“Tol yang telah membawa pulangan modal harus dibatalkan kerana ini menzalimi rakyat. Kalau PR menang hari itu juga tol dihapuskan,” katanya.

Sementara itu, anak muda turut dijanjikan penurunan harga kereta dengan menghapuskan cukai eksais dan jualan yang membebankan rakyat.

“Rakyat tidak tahu mereka terpaksa menanggung beban cukai sebanyak 100 peratus dalam perjanjian selama sembilan tahun. Cukai sebanyak satu kali ganda ini sangat menzalimi rakyat.

“Sebab itu kalau nak bantu rakyat bukannya dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), caranya adalah potong cukai tersembunyi seperti ini ” katanya.

Menurut Rafizi, PR berjanji sekiranya berjaya merampas negara daripada Barisan Nasional (BN) rakyat hanya akan membayar harga kereta bukan lagi cukai tersembunyi seperti sekarang.
Sinar/-

Pekerja kilang maut nahas

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pekerja kilang maut nahas

Keadaan motosikal mangsa selepas bertembung Honda City.
BENTONG - Seorang pekerja kilang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja maut setelah motosikal ditungganginya terlibat kemalangan di Kilometer 4 Jalan Bentong-Karak, kira-kira jam 5.20 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa, Saifullah Jazuli, 21, beralamat di Kampung Benus menaiki motosikal jenis Kawasaki Ninja dalam perjalanan dari arah Karak ke Bentong.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian bertembung secara hadapan dengan sebuah kereta Honda City dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu mangsa tercampak ke bahagian belakang kenderaan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar/-

12 kanak-kanak maut serangan udara di Syria

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 12 kanak-kanak terbunuh dalam dua serangan udara oleh rejim tentera Presiden Bashar Assad, hari ini. 

Serangan itu mensasarkan perkampungan masyarakat Kurdish di timur laut Syria serta sebuah daerah lain di Damsyik. 

Dalam satu lagi serangan, tentera rejim turut memusnahkan menara masjid bersejarah Omaei di selatan Daraa, iaitu kubu kuat pemberontak. 

"Enam belas penduduk termasuk sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak dan dua wanita mati syahid selepas jet pejuang melancarkan serangan di perkampungan Haddad yang majoritinya masyarakat Kurdish," kata Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria. 

Rakaman video di laman YouTube menunjukkan beberapa wanita bertempiaran lari membawa kanak-kanak keluar dari kediaman yang rosak teruk akibat serangan di Wilayah Hasakeh. - AFP

AS, China cuba redakan keputusan Korea Utara

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kerry

Kerry bertemu Xi Jinping untuk berbincang bagi meredakan ketegangan di Semenanjung Korea.
BEIJING - Hari ini menjadi penentu sama ada Korea Utara bertindak nekad melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dan sekutunya atau terus bermain teka-teki.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry dan China Presiden China, Xi Jinping menanti tindakan itu dengan penuh debaran selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un memberikan gambaran akan melakukan kejutan pada ulang tahun kelahiran datuknya yang juga pengasas Korea Utara, mendiang Kim Il Sung.

Kerry berkata, AS kini meningkatkan kerjasama dengan China untuk mendesak Korea Utara supaya menghentikan provokasi tersebut.

“AS dan China mahu perkara ini diselesaikan secara aman dan bukannya dengan ancaman, “ katanya.

AS sebelum ini, turut bekerjasama dengan Jepun dan Filipina serta Korea Selatan dalam meningkatkan kawalan keselamatan di pangkalan tentera AS di Guam sekiranya perang tercetus.

Sementara itu, penganalisis perang Frida Ghitis berpendapat, Korea Utara berjaya melakukan provokasi sungguhpun belum melakukan sebarang serangan, laporan dipetik daripada Reuters.

“Pyongyang berjaya membuka mata dunia tentang kekuatan mereka untuk muncul sebagai kuasa besar nuklear di rantau ini dan perkara itu sebenarnya yang diinginkan oleh Korea Utara,” katanya.

Sinar/-

Enam rumah kongsi musnah

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Enam rumah kongsi musnah

Anggota bomba memadamkan sisa kebakaran rumah kongsi pekerja kilang papan dalam kejadian di Paya Berenjut, Chukai, malam kelmarin.
KEMAMAN – “Kalau jiran tak kejutkan, mungkin saya dah jadi arwah,” demikian kata pemotong kayu, Wan Suhaimi Wan Ali, 43, yang nyaris rentung dalam kebakaran yang menyebabkan enam keluarga tinggal sehelai sepinggang, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30  malam itu, enam rumah kongsi pekerja dalam kilang papan Paya Berenjut, Chukai musnah.

Wan Suhaimi yang bekerja di situ sejak lapan bulan lalu berkata, dia tersedar daripada tidur apabila mendengar namanya dijerit jiran depan rumah, Mohd Hisham Ismail, 33, yang memberitahu rumah terbakar.

“Saya segera dukung dua anak dan redah api yang membakar pintu dapur untuk keluar. Tiada cara lain untuk keluar,” katanya yang melecur kecil di lengan dan belakang badan.

Bagaimanapun, kedua-dua anaknya, Wan Amyza Nadia, 8, dan Wan Amyza Najwa, 7, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, ketika kejadian isterinya pulang ke rumah ibu mentua dan yang tinggal di rumah hanya dia serta dua anak.

“Sebelum tidur saya dah gosokkan baju sekolah anak-anak tapi sekarang semuanya musnah.

“Selepas redah api, saya sempat menolak kereta Kancil di depan rumah dan nasib baik kereta tidak terbakar. Patutlah dua, tiga hari kebelakangan ini saya rasa tidak sedap hati, rupanya akan ditimpa malang seperti ini,” katanya.

Api merebak dengan cepat.

Sementara itu, Nurul Mardiana Mohd Nor, 31, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila suaminya, Mohd Hisham menjerit beritahu rumah jiran di belakang rumah terbakar.

“Kami mahu simbah air tapi tidak sempat. Api turut merebak ke rumah kami. Dalam keadaan cemas,  saya dan suami sempat usung peti ais keluar,” kata ibu dua anak ini.

Susulan itu, semua enam keluarga terbabit membabitkan 18 mangsa terpaksa tumpang berteduh di Balai Raya Kampung Paya Berenjut.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman kira-kira jam 1.50 pagi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Pegawai Bomba Kanan II, Mokhtar Musa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.50 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 12.03 tengah malam dengan kekuatan seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan bantuan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman.

“Ketika pihak kami tiba, kira-kira 80 peratus deretan rumah kongsi yang dibuat daripada kayu ini sudah musnah dijilat api.

“Anggaran kerugian dan punca kebakaran berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar/-

Mangsa Ribut: Berpaut pada mangkuk tandas

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


ribut

Keadaan rumah Jefri di Kampung Permata selepas dilanda ribut awal pagi semalam. Gambar kecil: Jefri.
PONTIAN - “Saya berpaut pada mangkuk tandas dan lihat seluruh atap rumah diterbangkan angin kencang,” kata mangsa ribut Jefri Agong, 38.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dia sedang tidur dan hanya tersedar selepas serpihan siling jatuh terkena kepalanya.

“Mujur saya tidak cedera kerana serpihan siling yang hempap kepala saya tidak besar,“ katanya ketika ditemui di Kampung Permata, dekat sini, semalam.

Dia yang tinggal seorang diri, kemudiannya segera menghubungi kakak angkat yang tinggal berhampiran bagi meminta bantuan, namun talian terputus.

Kata Jefri, angin ribut yang semakin kencang menyebabkan seluruh bahagian rumahnya bergegar seperti di dalam bot.

“Saya terus keluar dari bilik bagi mencari tempat perlindungan kerana semakin banyak siling yang runtuh.

“Saya cuba berpaut pada tiang rumah tetapi keadaan rumah bergegar ketika itu, saya pun terus berpaut pada mangkuk tandas bagi selamatkan diri,” katanya.

Jelasnya, tubuhnya menggigil melihat bumbung rumah diterbangkan angin.

“Ribut dan angin kencang itu terus berlarutan kira-kira setengah jam sebelum keadaan menjadi reda.

“Dua penduduk kampung datang ke rumah saya selepas ribut reda bagi memberikan bantuan,” katanya.

Dalam kejadian ribut awal pagi semalam, enam rumah di kampung tersebut serta sebuah rumah di Kampung Sri Dungun mengalami kerosakan.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan 1 Mukim Pontian, Kamiden Abd Salam berkata, bencana ribut itu adalah pertama kali dialami penduduk di situ.

“Kesemua rumah yang terjejas mengalami kerosakan pada bumbung rumah, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

“Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah datang untuk buat penilaian jumlah kerosakan yang dialami.

“Keluarga yang terjejas menerima sumbangan daripada Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang turut mengadakan tinjauan,” katanya.

Sinar/-

Kit Siang tunggu tindakan polis ke atas Mahathir

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kit Siang tunggu tindakan polis ke atas Mahathir

Kit Siang bersama pemimpin DAP lain selepas sidang media, semalam.
JOHOR BAHRU - DAP kini menunggu tindakan PDRM dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail  ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa mengeluarkan kenyataan hasutan dalam blognya.

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, beliau kini lebih percaya Dr Mahathir merupakan dalang yang mereka-reka penipuan menerusi artikel ‘Gelang Patah’ dalam blog chedet.cc.
Malah katanya, Dr Mahathir sebelum ini pernah menggunakan taktik sama ketika zaman pemerintahannya dengan mewujudkan politic of fear dan ugutan pada Pilihan Raya Umum tahun 1990.

“Ketika itu dia mengatakan Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengkhianat agama dalam media apabila pemimpin terbabit memakai penutup kepala masyarakat Kadazan kononnya terdapat simbol salib ketika berkunjung ke Sabah.

“Kemudian, terdapat iklan pada media arus perdana yang mewujudkan ketakutan dan panik dalam kalangan pengundi dalam sebuah akhbar Melayu dengan tajuk ‘Sokong Membawa Rebah’ diselitkan beberapa gambar ganas.

“Terkini, Dr Mahathir dalam blognya guna taktik sama apabila menuduh saya mahu masyarakat Cina di Gelang Patah dan Johor menolak kerjasama dan perkongsian bersama Melayu; menggesa masyarakat Cina Johor tidak menyukai dan membenci Melayu bagi mewujudkan konflik antagonis antara kaum dan mewujudkan suasana tidak baik antara Cina-Melayu,” katanya, semalam.

Kit Siang berkata, ketiga-tiga dakwaan Dr Mahathir dalam blog itu merupakan satu penipuan dan kepalsuan kerana dirinya tidak pernah sesekali mengucapkan kenyataan tidak baik sebaik sahaja dipilih menjadi calon Parlimen Gelang Patah serta sepanjang 47 tahun berkecimpung dalam politik.

“Apa yang saya lakukan adalah memupuk kepercayaan yang lebih besar antara kaum sekali gus bekerjasama untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu.

“Saya sudah beri beliau peluang untuk mengakui dan memohon maaf atas kenyataan dikeluarkan kerana apa dinyatakan menjadikan PRU13 sebagai pilihan raya umum paling kotor dalam sejarah tanah air, namun dia enggan buat sedemikian,” katanya.

Mengulas mengenai isu video seks yang didakwa melibatkan pemimpin Pas, Kit Siang berkata, tindakan itu disifatkan sebagai kempen politik kotor.

Katanya, ia bukan satu perkara baru di tanah air, malah ia pernah dilakukan ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir.

Sinar/-

Perdana Menteri Palestin rasmi letak jawatan

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Salam Fayyad

Salam Fayyad
RAMALLAH - Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Presiden Mahmud Abbas, semalam.

Jurucakap kerajaan berkata, Fayyad bertemu Abbas selama setengah jam di ibu pejabat presiden di Ramallah, Tebing Barat dan secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatannya.

“Fayyad memutuskan untuk meninggalkan pentadbiran negara itu, walaupun diminta untuk memegang jawatan itu buat sementara waktu,” katanya.

Agensi media Wafa melaporkan, Abbas dan Fayyad bermusuh berikutan kritikan terhadap dasar ekonomi perdana menteri terbabit yang dilaksanakan dalam pergerakan Fatah tetapi Washington mendesak supaya ekonomi berasaskan Amerika Syarikat kekal di situ.

Khabar angin menyatakan Fayyad akan meletak jawatan atau diarah supaya meletak jawatan oleh Abbas bertiup kencang sejak minggu lalu selepas berlaku perselisihan faham sekian lama membabitkan portfolio kewangan.

Kemelut dalaman pentadbiran Palestin bermula apabila Menteri Kewangan, Nabil Qassis mengumumkan pada 2 Mac lalu untuk meletak jawatan.

Menurut laporan AFP, Fayyad bagaimanapun bersetuju dengan tindakan tersebut tetapi Abbas yang berada di luar negara ketika itu menolak permohonan beliau.

Sinar/-

Ribut melanda empat kawasan, 30 rumah rosak

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


ribut

Kamsiah menunjukkan atap bumbung sebahagian besar rumahnya yang ranap selepas diterbangkan angin.
ribut

Keadaan bahagian dapur rumah didiami Rahimah bersama keluarganya dan kedua ibu bapa musnah teruk.
ribut

Tiang elektrik dan khemah yang tumbang dan diterbangkan hingga ke atas bumbung dalam kejadian di Port Dickson, semalam.
ribut

Pengerusi JKKK Tehel, Rahim Selamat (kiri) turun padang melihat bumbung rumah penduduk yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Tehel, semalam.
PORT DICKSON - Lebih 30 rumah penduduk rosak dalam kejadian ribut yang melanda di empat kawasan sekitar Port Dickson, Jasin, Alor Gajah dan Duyong, awal pagi semalam.

Dalam kejadian di Port Dickson, sekurang-kurangnya 31 rumah dan 20 kenderaan rosak akibat kejadian ribut yang berlaku di daerah ini, dekat sini.

Penduduk, Ahmad Ibrahim, 62, berkata, kejadian berlaku sekitar 1.30 pagi ketika dia baru selesai mengemas rumah kerana pada siang harinya diadakan majlis perkahwinan anak buahnya.

Menurutnya, dia mendengar ribut kuat dan terlihat kanopi di depan rumah sudah tumbang selain bunyi tiang patah menghempap bumbung.

"Ketika itu juga seorang jiran melaungkan azan dan semua jiran keluar mengalihkan kenderaan masing-masing ke kawasan lapang," katanya.  

Terpaksa batalkan kenduri

Dalam kejadian di Kampung Permatang Duyong, Melaka, sebuah keluarga terpaksa membatalkan hasrat mengadakan kenduri doa selamat selepas bumbung rumah mereka diterbangkan puting beliung.

Kamsiah Said, 55, berkata, kejadian kira-kira 2 pagi itu, dia dan suami, Majid Hashim, 60, bersama tiga anak serta dua cucu berusia 3 bulan dan 10 tahun berada di rumah.

Menurutnya, sebelum kejadian mereka terdengar bunyi deruan angin kuat di belakang rumah.

"Tidak lama kemudian angin terus menerbangkan bumbung rumah sehingga terhumban ke halaman sejauh 10 meter," katanya.

Dapur musnah dihempap pokok

Sementara di Alor Gajah, Melaka, bahagian dapur rumah pusaka milik seorang penduduk musnah dihempap pokok sentul di Lubok China.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, Rahimah Rehan, 42, terdengar bunyi rekahan kuat di luar rumahnya.

Menurutnya, pokok yang terletak 20 meter dari dapur rumahnya bergoyang kuat sebelum rebah ke arah rumahnya.

"Saya tergamam lihat pokok menghempap bahagian dapur rumah dan terus menjerit meminta mak, Awa Sidin dan ayah, Mohd Fisal Mohd keluar dari bilik.

"Sejurus kejadian semua ahli keluarga keluar berkumpul di ruang tamu dan suami, Zamri Osman memutuskan bekalan elektrik kerana bimbang berlaku litar pintas," katanya.

Hujan lebat dan angin kencang

Di Taman Bemban Baru pula, hujan lebat diikuti angin kencang selama lima minit yang melanda Dun Bemban menyebabkan lebih 10 rumah dilanda ribut.

Maruwan Endun, 49, berkata, dia tinggal di situ sejak 10 tahun lalu dan ini pertama kali kejadian seperti itu berlaku.

"Ketika kejadian saya dan keluarga sedang tidur dikejutkan dengan dentuman kuat," katanya.

Sinar/-

Lelaki maut kena tetak

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.
Rumah yang didiami mangsa di Kampung Pasir, Rantau.

Rumah yang didiami mangsa di Kampung Pasir, Rantau.
SEREMBAN – Seorang lelaki maut selepas ditetak dengan senjata tajam dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Pasir, Rantau, dekat sini, kelmarin.

Mangsa, R Muthaiya, 48, yang bekerja sebagai penggembala lembu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah oleh anak majikannya kira-kira jam 6 petang.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum mayatnya dijumpai.

“Mangsa cedera parah di kepala dan juga di lengan kiri dipercayai akibat ditetak dengan senjata tajam.

“Bagaimanapun, tiada barangan berharga milik mangsa dilaporkan hilang,” katanya, semalam.

Anak kepada majikan mangsa yang mahu dikenali sebagai Subramaniam, 30-an, berkata, bapanya mengambil lelaki itu bekerja sebagai penggembala lembu sejak tiga bulan lalu.

“Saya datang ke rumahnya untuk melihat sama ada dia bekerja atau tidak, tapi saya lihat rumahnya tutup dan bergelap.

“Apabila saya buka pintu, saya terkejut melihat ada kesan darah sebelum melihat mangsa sudah terbaring,” katanya.

Subramaniam berkata, terkejut melihat keadaan itu, dia segera memaklumkan kejadian kepada bapanya sebelum menghubungi pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian itu berkata, motif sebenar pembunuhan masih lagi dalam siasatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sinar/-

Bekas timbalan SUK Kedah calon PKR bagi Parlimen Langkawi

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


LANGKAWI — Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Ahmad Abdullah, 64, hari ini diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menamakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kedah Datuk Ahmad Kassim, 50, sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah.
Pakatan pembangkang memperuntukkan satu lagi kerusi DUN dalam Parlimen Langkawi iaitu Ayer Hangat, kepada PAS yang dijangka mempertaruhkan Yang Dipertua PAS Langkawi Zubir Ahmad, 50.
Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Langkawi dan dua kerusi DUN pada PRU 2008.
Pada PRU 2008, PKR bertanding bagi tujuh kerusi dan menang lima kerusi.
Mereka kalah di kawasan Parlimen Alor Setar dan Langkawi.
PKR sebelum ini mengumumkan nama calon bagi enam kerusi Parlimen yang mereka tandingi pada PRU 2008.
Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Machang, Kelantan, akan bertanding di kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu manakala Naib Presiden parti N. Surendran pula akan bertanding bagi kerusi Parlimen Padang Serai.
Calon lain ialah Ketua Wanita Cabang Sungai Petani Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah (Parlimen Merbok) dan Ketua PKR Cabang Kuala Kedah Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), manakala Datuk Johari Abdul kekal bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Petani.
Ketua Biro Perundangan PKR Kedah Gooi Hsiao Leung pula sekali lagi akan bertanding bagi kerusi Parlimen Alor Setar setelah kalah pada 2008. – Bernama

Timb Pengarah Hospital antara calon PAS di Melaka

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Calon-calon PAS di Melaka diperkenalkan malam tadi)

MELAKA: PAS Melaka mengumumkan calon-calonnya  di Kg Tedong Pekan, Jasin malam tadi yang disempurnakan oleh  Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Kira-kira 70 peratus calon yang dikemukakan adalah muka baru yang kali pertama bertanding. 

Mengetuai senarai calon-calon tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari (gambar kiri) yang akan bertanding di N09 Durian Tunggal.

Dua orang Pesuruhjaya PAS Melaka iaitu Ustaz Kamaruddin Sidek kekal bertanding di  N26 Serkam manakala Ustaz Mohd Nor Omar bertanding di N12 Pantai Kundur buat kali pertama. 

Manakala bekas Timbalan Pengarah Hospital Melaka, Dr Mohd Khalid Kassim (gambar kanan) diletakkan sebagai calon di N17 Bukit Baru.

PAS Melaka juga buat kali pertama meletakkan  calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS iaitu Richard Wong dan calon muslimat iaitu Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Kintan Man di N28 Sungai Rambai.

Senarai calon-calon PAS Melaka :

N01 - Kuala Linggi -  Julasapiyah Kassim (Calon lama)
N02 - Tg Bidara - Imran Abdul Rahman (Calon lama)
N 04- Lendu - Asri Shaik Abdul Aziz (Calon baru)
N 05 -Taboh Naning - Abdul Halim Abdul Jalil (Calon baru)
N09 - Durian Tunggal - Adly Zahari. (Calon Baru)
N10 - Asahan - Richard Wong - (Calon baru)
N12 - Pantai Kundor - Mohd Nor Oma (Calon baru)
N17 - Bukit Baru - Dr Mohd Khalid Kassim (Calon baru)
N18 - Ayer Molek - Mohd Khairi Abdul Aziz (Calon baru)
N23 - Telok Mas - Harun Mohamed (Calon baru)
N26 - Serkam - Kamaruddin Sedik (Calon lama)
N27 - Merlimau - Yuhaizad Abdullah (Calon lama)
N28 - Sg Rambai - Kintan Man (Calon baru).
P134 - Masjid Tanah - Mohd Nasaie Ismail (Calon baru)

Harakahdaily/-

Pas cabar calon BN berdebat

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pas cabar calon BN berdebat

Kamarol (kiri) dan Rosli ketika ditemui sempena Majlis Sidang Media di Markas Pas DUN Chembong, di Kampung Mulia, kelmarin.
REMBAU – Pas mencabar kesemua calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) khususnya di Parlimen Rembau untuk berdebat dengan calon Pakatan Rakyat (PR) selepas hari penamaan calon.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakop berkata, langkah itu akan memberikan satu dimensi baru buat sistem demokrasi pilihan raya di sesebuah parlimen yang mana secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat menilai pemimpin yang bakal dipilih dalam PRU nanti.

Menurutnya, langkah berkenaan amat wajar dipertimbangkan, lebih-lebih lagi ia membabitkan kepentingan rakyat untuk melihat hala tuju pemimpin yang bakal membela nasib mereka.

“Kita cabar calon BN untuk berdebat dengan kita. Jika Dewan Sri Rembau tidak mampu menampung kegunaan untuk berdebat, kita syor untuk adakan di kawasan padang di daerah ini untuk menarik lebih ramai lagi penonton debat.

“Malah, kita yakin dengan amalan debat ini, kita akan memulakan tradisi baru dalam suasana pilihan raya di negara ini yang mana ia memberikan keuntungan buat pengundi menilai calon pilihan mereka,” katanya pada majlis sidang media di Markas Pas Dun Chembong, di Kampung Mulia, kelmarin.

Turut hadir calon Pas kerusi Dun Chembong, Kamarol Ridzuan Mohd Zin.

Sementara itu, Rosli ketika ditanya mengenai perpindahannya ke kerusi Dun Kuala Klawang berkata, keputusan berkenaan dibuat setelah kepimpinan pas pusat dan negeri menjalankan majlis syura.

“Bagi kesemua ahli Pas, keputusan secara sistem syura adalah merupakan yang terbaik kerana kita menganggap ada hikmah, berkat dan kelebihan dalam keputusan berkenaan.  Oleh itu, kita harap agar semua pihak dapat memberikan sokongan padu kepada calon Pas dan PR di kawasan masing-masing,” katanya.

Sinar/-

PKR umum senarai penuh calonnya di Selangor

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Barisan calon PKR Selangor ketika diperkenalkan kepada umum malam tadi)

 GOMBAK: Bertempat di Padang Bola, Jalan AU2 Keramat, Datuk Seri Anwar mengumumkan senarai calon PKR bagi Parlimen dan DUN Selangor. 

Sebahagian besar calon terdiri dari muka-muka lama terutamanya yang menang dalam pilihan raya yang lalu. Namun terdapat juga calon yang digugurkan walaupun menang pada PRU12 2008.

Majlis dimulakan dengan nyanyian oleh Yasin, diikuti ucapan Azmin Ali, Tan Sri Khalid Ibrahim dan seterusnya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Padang bola tersebut sesak dengan para penyokong Pakatan Rakyat yang datang untuk mengetahui bakal wakil rakyat masing-masing. Tiga khemah besar disediakan sebagai persiapan jika berlaku hujan.


(Persembahan Yasin memberikan semangat kepada orang ramai yang datang)

Walaupun pembahagian kerusi di Selangor antara komponen PR telah selesai, keputusan bagi DUN Kota Damansara masih lagi belum diputuskan kerana menunggu rundingan dengan PSM. 

Yang berikut senarai penuh calon parlimen dan DUN PKR di Selangor.

Calon Parlimen

1. Sabak Bernam : Dr Abdul Aziz Bari

2. Hulu Selangor : Khalid Jaafar

3. Selayang : William Leong Jee Keen

4. Ampang : Zuraida Kamaruddin

5. Pandan : Mohd Rafizi Ramli

6. Kelana Jaya : Wong Chen

7. Petaling Jaya Selatan : Hee Loy Sian

8. Subang : Sivarasa K. Rasiah

9. Kapar : G. Manivannan Gowindasamy

10. Kuala Langat : Abdullah Sani Abdul Hamid

11. Gombak : Mohamed Azmin Ali


Dewan Undangan Negeri (DUN)

1) Pelabuhan Klang - Tan Sri Khalid Ibrahim

2) Bukit Antarabangsa - Azmin Ali

3) Batang Kali - Ramachandran a/l Kandasamy

4) Permatang - Mohd Yahya Mohd Sahri

5) Bukit Melawati - S Manikavasagam

6) Ijok - Dr Idris Ahmad

7) Kuang - Tengku Marziah Tengku Sulaiman

8) Rawang - Gan Pei Nei

9) Batu Caves - Amirudin Shari

10) Semenyih - Hamidi A Hassan

11) Kajang - Lee Chin Chen

12) Seri Setia - Nik Nazmi

13) Taman Medan - Haniza Talha

14) Bukit Lanjan - Elizabeth Wong

15) Kota Damansara - Tangguh

16) Kota Anggerik - Dr Yaakob Sapari

17) Batu Tiga - Rodziah Ismail

18) Sementa - Dr Daroyah Ali

19) Sri Andalas - Dr Xavier Jayakumar

20) Seri Muda - Shuhaimi Shafie

21) Dengkil - Borhan Aman Shah


Harakahdaily/-