05 Julai 2011

Malaysia Dalam Proses Jadi Negara Polis ?

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA 5 JULAI : Sikap agresif polis menangkap rakyat membuta tuli, menjelang perhimpunan aman BERSIH 2.0 Sabtu ini memberi gambaran bahawa kerajaan membenarkan pasukan keselamatan itu membelakangi Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden PKR, N. Surendren berkata perkara itu dapat dibuktikan dengan arahan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menahan aktivis- aktivis termasuk pemimpin Pakatan Rakyat yang tentunya bercanggah dengan Artikel 10(1)(a) yang menjamin hak kebebasan bersuara.

"Jika polis mahu mengambil keterangan maka perlu ada kesalahan jenayah yang jelas baru polis boleh bertanya soalan.

"Setakat ini tiada soalan, berucap di ceramah terus dapat notis. Cakap pasal Bersih terus dapat notis. Tidak berpelembagaan dan menentang undang-undang," jelasnya.

Sejak pelancaran BERSIH 2.0 tiga minggu lalu, lebih 150 orang termasuk pemimpin Pakatan Rakyat ditahan serta disabitkan dengan pelbagai akta semata-mata mahu menafikan tuntutan rakyat yang hanya meminta agar pilihan raya diadakan dengan adil dan bersih.

Terbaru enam orang aktivis termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 kerana dipercayai terlibat dalam anasir subversif.

Walau bagaimanapun Perdana Menteri Najib Razak mempertahankan tindakan tersebut dengan alasan sebagai langkah pencegahan bertujuan memastikan ketenteraman negara dikekalkan.

Mereka sebelum ini didakwa cuba untuk menghidupkan fahaman komunis dan menentang Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Susulan kejadian itu, Surendren yang juga peguam menyifatkan polis tidak lagi menghormati perlembagaan dan cuba untuk berperanan sebagai "negara polis".

"Apabila kuasa polis digunakan tanpa mengikut undang-undang, tapi dengan hanya menggunakan anggota, senjata dan kuasa. Ini perkara yang berlaku sekarang sebab semua yang ditangkap tidak melakukan sebarang jenayah," ujarnya lagi.

tv selangor/-

Pemuda UMNO Mahu Perjuang Akses Media Bebas

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 5 JULAI : Pemuda UMNO memberi jaminan bahawa pihaknya akan membantu membersihkan nama pengundi yang sudah meninggal dari daftar pemilih semasa dan memperjuangkan akses media yang bebas dan adil kepada semua pihak.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, bukan itu sahaja Pemuda UMNO juga akan memperbetulkan hak pengundian bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

“Semua ini boleh dibincangkan. Saya selalu mengatakan bahawa kami menyokong sistem semasa tetapi penambahbaikan adalah diperlukan,” kata Khairy.

Beliau berkata semua jaminan itu hanya akan dikotakan jika Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH 2.0) sedia membatalkan himpunan aman itu yang dijadualkan 9 Julai ini.

“Kami percaya bahawa satu barisan berkecuali yang bersatu, yang (jika) kita bersetuju akan lebih efektif, jika Bersih benar-benar mahukan perubahan,” katanya lagi.

Pendirian Pemuda UMNO ini dibuat selepas Yang di- Pertuan Agong (YDPA) Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah adalah lebih baik jika himpunan aman itu dipertimbangkan semula untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Titah Tuanku Sultan juga dilihat tepat pada masanya dan menyejukkan hati rakyat yang membara saat ini dengann segala provokasi keterlaluan yang digerakan pihak berkuasa dengan izin Perdana Menteri, Najib Razak.

Baginda juga dalam ucapan yang ringkas maha padat menitahkan agar Najib dan kerajaan pimpinan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bertanggungjawab.

“Beta tidak mahu lihat rakyat bermusuhan sesama sendiri dan bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasanpun," titah Baginda.

Baginda juga menitahkan agar kabinet Najib melakukan sesi dialog bersama penganjur BERSIH 2.0 dengan seiklas hati agar permasalahan berkisar dengan masa depan negara ini ditangani dengan cara terbaik.

Tatkala Baginda Sultan bijak mendepani rakyat, Najib pula dilaporkan membuat kenyataan yang menjengkelkan dan langsung tidak mahu berkompromi dengan lapan tuntutan BERSIH 2.0.

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat . . . buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” katanya.

Lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah, bersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

tv selangor/-

4 Sasterawan Negara gesa bebas tahanan BERSIH

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

Empat sasterawan negara tampil menggesa semua yang ditahan menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadual Sabtu ini dibebaskan segera.

Dalam kenyataan bersama Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan, mereka juga berharap pintu rundingan sentiasa dibuka.

"Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan," kata mereka.

Mereka berkata, sebagai sebuah negara maju yang memilih demokrasi sebagai landasan falsafah dan amalan politik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam.

malaysiakini/-

Ancaman: Polis jangan double standard

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Julai: PAS mendakwa siri penangkapan berterusan oleh polis terhadap rakyat yang menyokong Himpunan Bersih 2.0 bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil hanya akan menambah kebencian rakyat terhadap pasukan keselamatan itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, rakyat secara jelas dapat melihat sikap double standard polis apabila hanya memberi tekanan terhadap penganjur dan penyokong Bersih 2.0, namun membiarkan sahaja pihak lain mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman.

"Tindakan double standard yang dilakukan oleh pihak polis menyebabkan imej anggota polis semakin jatuh. Rakyat tertanya-tanya kenapa kaedah pencegahan tidak dilakukan kepada Omardin yang memberi amaran 50 ribu anggota silat bersedia untuk menggempur.

"Begitu juga kenyataan Ibrahim Ali Perkasa seolah-olah tidak ada apa yang merbahaya kepada keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yakin jika kenyataan berbaur ancaman itu dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat, sudah tentu mereka akan "direhatkan" di Kemunting.

Sehingga kini, lebih seratus orang penyokong bersih telah ditahan dan disoal siasat oleh pihak polis.

Antara mereka, ada yang ditangkap kerana memakai baju Bersih 2.0, menjual baju Bersih 2.0, malah juga yang memakai baju kuning.

Lebih malang, ada di kalangan pemimpin DAP yang memakai baju merah bertulis "Ubah lah..." turut ditangkap.

Beberapa tangkapan juga khususnya anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut cuba dikaitkan dengan dakwaan cuba menghidupkan fahaman komunis di negara ini.

Sambil menyifatkan tangkapan itu melanggar perlembagaan, Idris berkata polis sebenarnya menjaga keselamatan BN, bukan keselamatan rakyat dan negara.

"Profesionalisme polis jangan dicemarkan dengan menerima arahan membabi buta kepada mereka sehingga imej polis dipandang rendah di sisi masyarakat.

"Berapa ramai polis yang bertindak secara tidak profesional ketika berkhidmat, apabila pencen malu mata dengan masyarakat," katanya.

harakahdaily/-

Remaja hilang ditemui kena kerat, bakar

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

Nurrahayu
JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan seorang remaja perempuan sejak tiga minggu lalu di Pekan Seri Alam di sini, terjawab apabila polis menemui beberapa anggota badan dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan di Masai dan Ulu Tiram, petang kelmarin.

Polis menemui anggota badan itu kira-kira jam 5 petang di sebuah perkuburan Hindu di Masai dan ladang sawit di Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini, dipercayai bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti dekat Skudai, Nurrahayu Qomarodin Bajuri, 16.

Malah, polis menemui serpihan tulang selain pakaian milik remaja perempuan itu yang hilang dari sebuah tapak pembinaan berhampiran tempat kerja bapanya di Pekan Seri Alam, selepas dihantar pulang teman lelakinya kira-kira jam 2 pagi pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat dipercayai mangsa dibunuh dengan anggota badan dikerat dan dibakar.

Katanya, polis menemui serpihan tulang terbakar serta beberapa bukti termasuk baju, seluar, selipar dan penyepit rambut dan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati ia sepadan dengan mangsa.

"Sehubungan itu, polis menahan reman suspek utama iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun mulai hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit bersalah," katanya yang enggan mengulas sama ada mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.

Sabtu lalu, media melaporkan kehilangan Nurrahayu secara misteri selepas dihantar pulang teman lelakinya. Namun, kakaknya, Wayaaliasanti, 19, mendedahkan mangsa dikatakan menjerit meminta teman lelakinya mengambilnya semula, tetapi tidak dihiraukan lelaki terbabit.

beritaharian/-

Bekas mufti cadang minggu kuning

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

Bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan agar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) melancarkan Minggu BERSIH dengan meminta rakyat memakai petanda kuning.

Katanya, petanda kuning itu tidak semestinya ditulis dengan perkataan BERSIH.

Gabungan 60 NGO itu juga dicadangkan mengibarkan bendera Malaysia pada minggu tersebut.

"Dengan itu lebih ramai rakyat yang bersetuju dapat menyatakan persetujuan mereka dengan tuntutan 'pilihan raya yang adil'. Juga mungkin mereka yang antipembaziran dan kenaikan harga barang boleh sertai.

"Lebih ramai dapat meluahkan perasaan dengan cara yang lebih selamat seperti bendera di kereta, rumah, baju dan sebagainya. Seluruh negara akan meriah," katanya.

malaysiakini/-

Isteri Ahmad Sarbani yakin suami tak bunuh diri

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

Isteri kepada penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed hari ini memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa suaminya tidak mungkin membunuh diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, pada 6 April lepas.

Masiah @ Maziah Manap, 50, yang merupakan saksi pertama dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbani, berkata
suaminya adalah seorang yang tenang, bersikap rasional, penyabar dan bukan seorang yang suka bertindak melulu.

"Sebagai orang Islam yang menunaikan sembahyang lima waktu, tidak mungkin suami akan berbuat demikian," katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata pada hari kejadian suaminya ada memaklumkan kepada anak perempuan mereka bahawa dia akan pulang ke rumah tengah hari itu.

"Suami tidak cakap apa-apa pada saya tetapi arwah memaklumkan perkara itu kepada Shahirah (anak) sebelum beliau pergi ke pejabat SPRM dan ini yang meyakinkan saya bahawa dia nak balik," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohamad Abbas.

Masiah, yang mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Sarbani hampir 28 tahun, berkata pada 1 April lepas, dia menerima panggilan daripada anaknya, Shahira yang memaklumkan arwah ingin bercakap dengannya tetapi panggilan berkenaan terputus.

"Apabila saya pulang ke rumah pada 9 malam, anak saya memberitahu abah (panggilan untuk Ahmad Sarbani) tidur di SPRM dan saya kemudian cuba menghubungi beliau tetapi gagal.

"Pada keesokannya (2 April), saya cuba menghubunginya sekali lagi
namun tiada jawapan dan lebih kurang 10 pagi saya ada menghantar SMS kepadanya menyatakan: Kalau kita di pihak yang benar, Allah akan bantu... kalau boleh, balik la, hari Ahad ni (3 April) kita ada kursus haji," katanya.

Masiah, yang bekerja sebagai penyelia di Petronas, berkata arwah suaminya pernah memberitahu bahawa dia telah dianiayai oleh ejen.

"Saya pernah bertanya kepadanya, apa masalah yang berlaku sekarang ini hinggakan SPRM menahannya dan dia (Ahmad Sarbani) berkata ejen menganiayainya berkenaan baucar bernilai RM100.

"Menurut suami saya, ejen itu mengaku bahawa RM70 daripada RM100 baucer itu dia ambil manakala RM30 diberikan kepada suami saya... namun suami memaklumkan kepada saya dia tidak ambil RM30 dan tidak tandatangani baucer tersebut," katanya.

Selain itu, Masiah berkata pegawai SPRM menghubunginya dan memberitahu bahawa suaminya rebah dan telah meninggal dunia tanpa dimaklumkan bahawa Ahmad Sarbani sebenarnya telah jatuh dari tingkat tiga bangunan itu.

"Apabila saya pergi ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bersama empat anak perempuan untuk membuat pengecaman mayat suami, saya nampak muka arwah seperti dihempuk ke dinding dan mukanya penuh dengan ketulan darah beku.

"Mereka (pegawai SPRM) memberitahu saya bahawa dia (Ahmad Sarbani) rebah, tetapi saya tengok mukanya kelihatan mencurigakan," katanya.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Koroner Aizatul Akmal Maharani, yang mendengar prosiding itu, dijadual melawat ke tempat kejadian di bangunan SPRM, Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 10 pagi esok.

malayasiakini/-

Pasukan khas Barat mahu bunuh Gaddafi


3 Syaaban 1432H. [MOD] -

MOSCOW - Presiden Persekutuan Catur Dunia (FIDE), Kirsan Ilyumzhinov semalam menyatakan Barat menempatkan pasukan khas di ibu kota Libya, Tripoli untuk membunuh pemimpin berkenaan.

Ilyumzhinov berkata, maklumat itu disampaikan kepadanya oleh anak lelaki sulung Gaddafi, Muhammad Gaddafi semasa pertemuan mereka di Tripoli.

"Saya menemui Ketua Jawatankuasa Olimpik Libya, Muhammad Gaddafi, yang memberitahu saya bahawa beberapa kumpulan pasukan khas dari Barat dihantar ke ibu kota Libya untuk membunuh bapanya," kata Ilyumzhinov dalam wawancara bersama agensi berita Interfax.

"Menurut Muhammad, tiga kumpulan pasukan khas kini berada di Tripoli. Beliau berpendapat Barat serius mahu menyingkirkan bapanya," tambah Ilyumzhinov.

Kata Ilyumzhinov, Muhammad turut menegaskan bahawa Gaddafi tidak akan meninggalkan Libya.

"Ayah saya (Gadaffi) mencintai negaranya lebih daripada nyawanya," Ilyumzhinov memetik anak lelaki pemimpin Libya itu sebagai berkata.

Pada bulan lalu, stesen televisyen Rusia menyiarkan Ilyumzhinov bermain catur dengan Gaddafi dalam satu lawatannya ke Tripoli.

Beliau menyatakan melawat negara Afrika Utara itu kerana urusannya sebagai Presiden FIDE. - AFP


Penjual baju T Bersih disambung reman


3 Syaaban 1432H. [MOD] -

TUMPAT, 4 Julai: Pemilik D’Halal Shope Zakaria Wail, yang ditahan sewaktu menjual kemeja T di Dataran Ilmu 1 Julai lalu, ditahan reman lagi di IPD Tumpat semalam selepas ditahan reman dua hari di situ.

Zakaria sekali lagi ditahan reman di IPD Tumpat bermula hari ini sebaik sahaja dibebaskan tengah hari semalam selepas diikat jamin atas kesalahan yang sama, Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Rashid Yah, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau juga melahirkan rasa kesal di atas apa yang berlaku memandangkan tiada bukti Zakaria menghasut.

“Setakat menjual kemeja T Bersih belum boleh dikategorikan sebagai penghasut. Tiada langsung bukti yang boleh disabitkan dia seorang penghasut,”ujarnya.

Tambah Rashid lagi, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk keamanan di negara ini, masaalah social, rasuah dan lain-lain perkara buruk berlaku tetapi tidak diambil tindakan.

Beliau juga turut memberitahu, pada hari pertama tangkapan dibuat, kemeja T Bersih dan sebuah van telah dirampas.

“Namun semalam kereta dan kemeja T Bersih yang ada di rumah di Wakaf Bharu juga turut dirampas,” ujarnya.

Ketika ditanya berhubung perkembangan Zakaria, Rashid memberitahu beliau sentiasa tenang dan biasa sahaja.

Beliau turut menyokong kenyataan anggota exco kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad, yang berkata setiap tangkapan merupakan satu paku keranda BN.

Menurutnya, ini kerana tangkapan yang dibuat akan membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang bakal menggulingkannya sendiri.


Pejabat PKR cuba di ceroboh

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

SITIAWAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lumut mendakwa pejabat parti itu, yang beralamat di No 6 Tingkat Atas, Taman Pegawai, di sini cuba di ceroboh sekumpulan belia pada 30 Jun lalu.

Ketua PKR Cabang Lumut, MP Shanmugam berkata, beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu pada jam 6.20 petang melalui panggilan telefon dari seorang jiran berdekatan.

“Saya dimaklumkan bahawa sekumpulan remaja atau belia bermotosikal berkumpul di hadapan Pejabat PKR Cabang Lumut, ketika itu.

“Mengikut maklumat yang saya perolehi, mereka berkumpul dan membuat bising di hadapan pejabat PKR serta terdapat percubaan untuk menceroboh ke dalam pejabat,” katanya ketika ditemui di Pejabat PKR Cabang Lumut, di sini.

Shanmugam mendakwa, kumpulan belia itu juga menunjukkan lagak ganas dan sombong serta mengeluarkan kata-kata berbaur lucah.

“Ketika mendapat perkhabaran itu saya tidak berani untuk terus ke pejabat bersendirian kerana bimbang diapa-apakan.

“Saya terus ke Balai Polis Sitiawan untuk membuat laporan bagi membolehkan polis mengambil tindakan segera,” kata Shanmugam.

Selepai membuat laporan polis, beliau ke Pejabat PKR Cabang Lumut dan mendapati dua kereta peronda polis berada di premis itu.

Katanya, kehadiran pihak polis menyebabkan kumpulan terbabit bertempiaran melarikan diri.

“Saya tidak dapat mengenal pasti atau mengecam mana-mana individu terbabit dalam kumpulan itu, malah tidak berkesempatan mengambil gambar mereka ketika itu.

“Saya melaporkan kejadian ini bukan untuk tujuan mencari populariti atau bermegah-megah, tetapi mencari keadilan demi masa hadapan rakyat di Parlimen Lumut,” katanya.

Beliau berharap polis dapat memantau perkara berkenaan sebelum berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

sianrharian/-

Ben Ali dihukum penjara lagi

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

TUNIS: Mahkamah Tunisia menjatuhkan hukuman penjara lebih 15 tahun ke atas bekas Presien, Zine al-Abidine Ben Ali, tanpa kehadiran beliau atas kesalahan memiliki dadah dan senjata.

Peguam kepada Ben Ali yang digulingkan Januari lalu dan kini berada di Arab Saudi, memboikot perbicaraan sehari itu yang disifatkan sebagai palsu.
Bulan lalu, Ben Ali dihukum penjara 35 tahun terhadap beberapa kesalahan termasuk mencuri.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam bulan ke atas Ben Ali dengan tempoh enam bulan itu ditambah kerana memiliki artifak arkeologi secara haram.

Ben Ali juga didenda 108,000 dinar (AS$79,250). - Reuters

Iktibar kepemimpinan tulen untuk Najib

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai BERSIH 2.0 memperlihatkan ketokohan dan kepemimpinan yang didahagakan oleh rakyat sekian lama.

Kematangan Seri Paduka Baginda dalam menyampaikan pendirian berhubung perhimpunan aman itu sekaligus mendinginkan hati rakyat dan menyejukkan keadaan yang semakin panas akibat kenyataan-kenyataan Perdana Menteri dan tangkapan-tangkapan polis terhadap penyokong BERSIH 2.0.

Dalam kenyataan yang ringkas tetapi padat, Tuanku Mizan menintahkan supaya adalah lebih elok perhimpunan BERSIH 2.0 dibatalkan kerana ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, walaupun niatnya baik.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda mengingati Najib dan kerajaan pimpinan beliau terhadap keperluan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bertanggungjawab.

Titah baginda: “Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasanpun.

“Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik”.

Tersasar hayati ucapan

Walaupun media arus perdana menganggap titah Tuanku sebagai tamparan kepada penganjur perhimpunan BERSIH, mereka tersasar dalam menghayati semangat ucapan Seri Paduka Baginda.

Apa yang dinyatakan oleh Baginda amat jelas: biarlah segala permasalahan diselesaikan menerusi dialog dan rundingan yang telus dan adil supaya ia tidak mencetuskan sesuatu keadaan yang tidak diingini.

Sayugia diingati BERSIH telah berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk lebih setahun sebelum memutuskan untuk menganjur perhimpunan aman pada Sabtu ini.

Namun SPR tidak melayan rungutan-rungutan 62 Pertubuhan Bukan Kerajaan yang bergabung di bawah naungan BERSIH.
Justeru, masalah seperti puluhan pengundi berlainan kaum berdaftar menggunakan alamat sama, pengundi biasa ditukar menjadi pengundi pos tanpa pengetahuan mereka hanya secebis daripada kepincangan yang dikesan dalam daftar SPR.

Apabila rundingan antara SPR dan BERSIH gagal, sepatutnya Perdana Menteri sendiri harus mengambil iktibar untuk memberikan perhatian kepada rungutan-rungutan yang dibawa oleh BERSIH.

Namun ini tidak dilakukan. Perdana Menteri sebaliknya menfitnah pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga sebagai musuh Islam semata-mata kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang peguam dalam kes murtad Lina Joy.

Mencetuskan ketegangan

PERKASA dan Pemuda Umno digerakkan untuk menganjur perarakan bagi menandingi perhimpunan BERSIH hanya untuk mencetuskan ketegangan.

Masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula diwajib membaca khutbah Jumaat yang melabelkan penganjur BERSIH sebagai pelampau yang sanggup mencederakan anggota pasukan keselamatan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam pula mendakwa beliau tidak dapat mengawal pesilat pertubuhan kebangsaan yang dipimpinnya daripada bertindak keras terhadap peserta BERSIH 2.0.

Rasanya tidak perlu mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Ibrahim Ali atau dalang-dalang yang melancarkan demostrasi jalanan di Pulau Pinang atau yang membuat laporan polis terhadap BERSIH 2.0.

Pada masa sama, polis turut dikerah untuk menangkap beramai-ramai sesiapa sahaja yang memakai baju berlogo BERSIH. Lebih 200 orang ditahan dan pejabat seketariat BERSIH diserbu dan ratusan baju T dirampas.

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyokong gerakan BERSIH disoalsiasat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan. Enam orang termasuk ahli parlimen Sungei Siput Dr D Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Rakyat terima padah

Tanpa menunggu hasil siasatan, Jeyakumar dan rakan-rakannya dituduh oleh polis sebagai cuba menghidupkan fahaman komunis menerusi BERSIH.

Siapakah yang harus bertanggungjawab kerana menimbulkan ketegangan ini?

Apakah yang dilakukan oleh BERSIH sehingga mengundang tohmahan dan tindakan polis sebegitu?

Adakah BERSIH melancarkan walaupun satu perhimpunan yang menggunakan kekerasan atau memusnahkan harta benda sebagai tindak balas? Tidak. Namun mereka yang menyokong gerakan itu menerima padah kerana terpalit dengan tohmahan yang direkayasa.

Ketika Malaysia memerlukan kebijaksanaan, kematangan dan kepemimpinan untuk menangani tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh BERSIH, Perdana Menteri memilih untuk menggalakkan budaya samseng dalam cubaan terdesak untuk menakut-nakutkan pendokong BERSIH 2,0.

Fitnah disebarkan menerusi khutbah Jumaat dan media arus perdana. Ugutan demi ugutan dibuat oleh persatuan pesilat dan “patriot-patriot” lain dengan restu Perdana Menteri dan Menteri Umno yang lain.

Amat sukar untuk meneka kenapa Najib tidak memilih untuk berdialog dengan penganjur BERSIH 2.0 tetapi bertindak untuk melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap mereka dengan menggunakan institusi media, polis dan masjid.

Aktivis tersohor

Jika beliau begitu bingkas berdialog dengan pemimpin-pemimpin Kristian tidak lama dahulu untuk meredakan kemarahan penganut agama berkenaan bersabit fitnah penubuhan negara Kristian, kenapa pula Perdana Menteri menjauhkan diri daripada penganjur BERSIH 2.0?

Harus diingati, BERSIH 2.0 bukan merangkumi Pertubuhan Bukan Kerajaan sembarangan. Ia dibarisi oleh aktivis-aktivis tersohor yang sudah lama bergiat menyuburkan proses demokrasi di negara ini dan memerangi rasuah serta mendokong keadilan.

Selain daripada bekas Presiden Majlis Peguam S Ambiga, nama-nama seperti Maria Chin Abdullah, Marina Mahathir dan Zaid Kamaruddin harus meyakinkan kita akan keikhlasan gabungan ini mahukan sebuah pilihanraya bebas dan adil demi manfaat rakyat.

Nama-nama ini juga tentunya memberi keyakinan bahawa mereka bukan golongan yang sanggup bergerak di bawah telunjuk mana-mana pihak, khususnya pembangkang.

Sayang, Najib kehilangan peluang keemasan untuk memperlihatkan kepemimpinan pada saat yang amat diperlukan.

Beliau berpeluang untuk meredakan keadaan, dan mengajak BERSIH 2.0 untuk berdialog secara ikhlas dengannya.

Tawaran jengkel

Namun beliau memilih jalan mudah untuk “melepaskan” segala aparatus kerajaan bagi menanam hasad dengki rakyat terhadap Bersih 2.0 dan menzalimi penyokong tertentu gabungan itu.

Rakyat hanya menarik nafas lega apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tampil untuk mengemudi jalan keluar daripada sebuah keadaan yang semakin gawat dengan pancaroba dan bahaya.

“Berdialog secara ikhlas dan elakkan tindakan yang boleh merugikan negara,” itu antara teras titah Tuanku Mizan.

Apa pula jawapan Najib kepada titah diRaja itu:

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah”

Kenyataan itu yang dibuat di depan pegawai-pegawai kerajaan semalam adalah tawaran yang menjengkelkan kepada penganjur BERSIH 2.0. Ia juga menyerlahkan kualiti kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia keenam Datuk Seri Najib Razak.

malaysiakini/-

Tentera terima kemenangan Pheu Thai

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

BANGKOK 4 Julai - Tentera Thailand menerima kemenangan besar yang dicapai oleh sekutu-sekutu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang digulingkan oleh tentera dalam rampasan kuasa pada 2006, kata Menteri Pertahanan, Jeneral Prawit Wongsuwon hari ini.

Penggulingan Thaksin mencetuskan pergolakan bertahun-tahun dan siri protes jalanan oleh puak-puak politik yang bersengketa.

Parti Pheu Thai yang dipimpin oleh adik perempuannya, Yingluck mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya semalam, memaksa Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva daripada Parti Demokrat mengaku kalah.

"Saya sudah berbincang dengan para pemimpin tentera, kami akan membenarkan ahli-ahli politik mencari penyelesaian dan tentera tidak akan campur tangan.

"Rakyat sudah bersuara dengan jelas, kerana itu tentera tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menerima keputusan itu," kata Prawit.

Pemerhati politik sebelum ini telah memberi amaran, kemenangan tipis dalam pilihan raya semalam boleh mencetuskan lagi protes jalanan atau campur tangan tentera.

Namun kemenangan besar pembangkang itu menyukarkan jeneral-jeneral tentera untuk mewajarkan rampasan kuasa sekali lagi.

"Biarlah ahli politik yang dipilih menjalankan tugas mereka, kami tidak boleh mengusir mereka kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan," ujar Prawit.

Satu isu penting yang dibangkitkan tentera ialah sama ada kerajaan baru Yingluck akan mengambil tindakan undang-undang atau langkah lain terhadap para jeneral kerana menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan pembangkang pada tahun lepas, sehingga menyebabkan lebih 90 orang terbunuh, kebanyakannya penduduk awam. - AFP

Harta bilion dolar ditemui di kuil

3 Syaaban 1432H. [MOD] -


Komando India menemui harta bernilai RM33.6 bilion di bilik kebal Kuil Sree Padmanabhaswamy di Thiruvananthapuram, ibu negeri Kerala di selatan India. - AFP

THIRUVANANTHAPURAM India 4 Julai - Komando India hari ini mengepung kuil Hindu zaman pertengahan di selatan India selepas menemui syiling emas dan batu permata bernilai berbilion dolar di bilik kebal kuil tersebut.

Menurut Ketua Menteri Kerala, Oommen Chandy, kira-kira 100 orang polis bersenjata mengawal Kuil Sree Padmanabhaswamy di ibu negeri Kerala, di sini.

"Harta bernilai 500 bilion rupee (RM33.6 billion) itu akan disimpan di kuil tersebut dan polis Kerala mengambil alih kawalan keselamatan daripada kakitangan kuil", katanya.

Sejumlah besar barang kemas dan duit syiling daripada emas dan perak, serta batu permata ditemui apabila lima bilik kebal dibuka minggu lepas, dan bilik kebal keenam dijadual dibuka hari ini.

Bekas hakim Mahkamah Tinggi Kerala, C.S. Rajan menganggarkan nilai harta karun itu boleh mencecah satu trilion rupee (RM66 bilion).

Rajan menganggotai sebuah panel tujuh ahli yang dilantik oleh Mahkamah Agung India untuk memantau pentaksiran harta tersebut.

Jelas beliau, bilik kebal ketujuh berdinding besi akan dibuka hanya selepas mendapat arahan baru daripada Mahkamah Agung.

Kuil itu dibina ratusan tahun silam oleh Raja Travancore dan sumbangan oleh penganut Hindu disimpan di dalam tujuh bilik kebalnya sejak itu. - AFP

04 Julai 2011

Kerajaan campuran akan dibentuk di Thailand.

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

BANGKOK 4 Julai – Pheu Thai akan membentuk kerajaan campuran dengan empat parti politik lain bagi memastikan kerajaan stabil, kata calon Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra (Gambar). Beliau akan menjadi Perdana menteri dari kaum wanita yang pertama bagi negara Thailand

Pheu Thai yang memenangi 265 kerusi pada pilihan raya umum semalam, akan bekerjasama dengan Chart Thai Pattana (19 kerusi), Chart Pattana Pueu Pandin (tujuh kerusi), Phalang Chon (tujuh kerusi) dan Mahachon (satu kerusi).

"Dengan 299 kerusi, kerajaan campuran stabil sepenuhnya untuk bekerjasama dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan parti-parti itu di sini hari ini.

Pemimpin Pheu Thai, Yongyuth Wichaidit, Penasihat Chart Thai Pattana, Mej. Jen. Sanan Kajornprasart, Pemimpin Chart Pattana Puea Pandin, Wannarat Charnnukul dan Pemimpin Phalang Chon, Chao Maneewong hadir pada mesyuarat itu.

Yingluck berkata, agenda segera kerajaan baru ialah untuk bekerja ke arah mencapai penyatuan rakyat dan menangani masalah ekonomi khasnya mengenai kenaikan harga barang dan komoditi.

Peguam, keluarga tak dibenar temu tahanan Ordinan Darurat

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

Edmund Bon cakap dengan ahli keluarga enam ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan di bawah Ordinan Darurat di-Bukit Aman Polis Station. – Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Peguam dan ahli keluarga enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat tidak dibenarkan untuk menemui mereka hari ini.

Lima peguam termasuk Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, K. Arumugam, Yudhistira Dorai (peguam cara) dan Fatima Ismail telah bertemu dengan pegawai polis yang bertanggungjawab lebih kurang satu jam untuk berunding bagi menemui tahanan itu.

“Semasa rundingan, kami memberikan alasan mengapa kami perlu menemui semua tahanan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Kod Prosedur Jenayah.

“Setiap rakyat yang ditahan mempunyai hak untuk mendapatkan pembelaan dan peguam sepatutnya dibenarkan untuk menemui mereka secepat yang mungkin,” kata Bon kepada pemberita di luar ibu pejabat polis Bukit Aman.

Bon berkata semua tahanan telah tiba di Bukit Aman pada pukul 10 malam, kelmarin.

Mereka yang ditahan adalah Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan Sarat Babu.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969 yang membolehkan ditahan selama 60 hari tanpa perbicaraan.

Minggu lalu kesemua mereka ditahan berhubung Himpunan Bersih 2.0 bersama 25 yang lain.

Suaram bersama dengan keluarga tahanan itu akan menyerahkan memorandum kepada Suhakam esok untuk menggesa kerajaan membenarkan akses kepada peguam dan keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa pembebasan segera kesemua enam tahanan terbabit.

TI-M juga mengesyorkan agar Ordinan Darurat dimansuhkan kerana ia sudah terkeluar daripada tujuan asal.

“TI-M telah berulang kali meminta agar undang-undang ini yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan dimansuhkan,” kata Presidennya Datuk Paul Low dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Undang-undang ini bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan terdedah kepada penganiayaan,” katanya.

The malaysian Insider/-

Ceramah Perdana tukar tempat.


2 Syaaban 1432H. [MOD] -Maklumat terkini TUKAR TEMPAT malam ini 4 Julai Ceramah, Munajat Ceramah Cuci peringkat Perak: oleh Tuan Hj Mat Sabu, Lim Guan Eng, Dato'Srti Nizar, Dr. mat Nur Manuty, PJ PAS Perak dll di Batu 9 BERTUKAR ke Markaz Pas Bukit Chempedah, Bukit Gantang... Su Pas Bukit Gantang.

[Fikrah Islamiah] Nikah, sunah Rasul yang abaikan

2 Syaaban 1432H. [MOD] -
Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Perkataan nikah berasal daripada bahasa Arab yang bererti cantum atau temu. Jadi, di segi bahasa apa sahaja yang dicantumkan boleh dikatakan nikah. Dalam bahasa Melayu dikenali dengan perkataan kahwin. Malah ada yang lebih suka mencantumkan menjadi nikah kahwin.

Dalam bidang pertanian kita jumpa dengan istilah durian kawin, mempelam kawin dan banyak lagi. Walaupun disebut kawin hakikatnya kahwin. Maka durian kawin ini melalui proses cantuman benih atau DNA pokok durian yang lain. Lalu dengan itu terjadilah durian 24 dan sebagainya.

Tetapi dalam kehidupan manusia, lelaki dan perempuan perlu dicantumkan dalam satu ikatan. Itulah yang dinamakan nikah kahwin. Dengan proses perkahwinan itulah akan terbentuknya keluarga yang harmoni. Namun ada juga perkahwinan yang menemui kegagalan lalu terjadilah perceraian pada pertengahan jalan. Mengapa terjadinya begitu?

Pada ruangan dan keluaran ini kita akan dalami bab nikah berdasarkan catatan kitab fiqah. Harapannya, perbincangan pada setiap edisi akan memberi jawapan bagaimana membina keluarga harmoni. Pembaca boleh mengikuti bahasannya pada setiap keluaran dengan teliti.

Nikah pada syara’

Nikah atau kahwin dalam konteks agama Islam ialah suatu akad yang mengandungi jaminan hubungan dua insan lalu menghalalkan persetubuhan.

Islam meletakkan perkahwinan suatu yang penting dalam membina hubungan kemasyarakatan. Firman Allah:

Maksudnya: “dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dalam kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dalam kalangan hamba-hamba kamu baik lelaki mahu perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.

“dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya;” (Surah Al-Nur : 32-33)

Dengan perkahwinan hubungan manusia yang terlarang menjadi halal, dan dengan perkahwinan bercambah biak lagi umat manusia di muka bumi ini. Dengan perkahwinan juga mereka yang miskin boleh menjadi kaya dan dimurahkan rezeki. Dan pada masa yang sama, umat Islam akan berada dalam keadaan aman daripada gangguan lelaki yang jahat.

Selain itu, Rasulullah sendiri berkahwin dan beranak pinak. Atas dasar itu, perkahwinan sudah dikira sebagai sunah rasulullah. Banyak hadis yang menjelaskan hal ini yang antaranya ialah:

مَنْ أَحَبَّ فِطْرَتِي فَلْيَسْتَسِنَّ بِسُنَّتِي وَمِنْ سُنَّتِي الْنِكَاحُ

Maksudnya: Sesiapa yang sukakan fitrahku maka contohilah sunahku, dan sebahagian daripada sunahku ialah bernikah.

Dalam hadis yang lain rasulullah bersabda:

اَلنِّكَاحُ سُنَّتِي فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيسَ مِنِّي

Maksudnya: Nikah adalah sunahku, maka sesiapa yang membenci sunahku maka dia bukanlah dalam golongan umatku.

Berdasarkan itu, tiada alasan lagi bagi umat Islam yang tidak mahu berkahwin. Dalam masyarakat kita ada sesetengah lelaki dan perempuan yang kerana gagal dalam percintaan, bertindak tidak mahu berkahwin walaupun mereka mampu. Ingatlah peringatan hadis rasulullah ini adalah serius, apakah golongaan ini sanggup tidak dianggap umat rasulullah.

Mereka yang gagal dalam percintaan sama adalah ditipu kekasih atau setelah berkahwin kemudiannya dikecewakan suami atau setelah bertunang kemudiannya dibatalkan semula, janganlah kegagalan itu menutup segala peluang yang terbuka di hadapan. Sedarlah semua itu bukan jodoh anda, dan dia tidak sesuai dengan anda. Bukankah Allah itu adil.

Oleh sebab itu, setelah gagal satu perkahwinan, cari lagi. Wanita boleh cari lelaki dan lelaki memang patutlah mencari perempuan. Dengan cara ini mereka akan selamat daripada dibenci Rasulullah. Mereka tetap akan dikira sebagai umat Muhammad.

Sunah Rasulullah dalam rumah tangga

Selain berkahwin untuk memperoleh sunah rasulullah, kehidupan rasulullah dalam keluarga juga perlu dicontohi. Maknanya tidak cukup dengan berkahwin, beroleh pahala ikut sunah, sedangkan mereka tidak mengikut perjalanan rasulullah dalam rumah tangga Baginda. Dalam hal ini, setiap pasangan yang berkahwin perlu tahu sikap rasulullah sebagai suami, bagaimana rasulullah menyelesaikan masalah rumah tangga, dan bagaimana baginda mendidik isteri dan anak-anak.

1. Rasulullah sebagai suami; Rasulullah amat baik terhadap isterinya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berbuat baiklah bahkan berbuat baik terhadap isteri kamu, sesungguhnya aku (Rasulullah) lebih bersikap baik terhadap isteri berbanding kamu.”

Sunat Rasulullah ini sering diabaikan oleh suami. Banyak yang kita lihat suami mendera isterinya, tidak adil terhadap isteri, dan tidak memberi nafkah yang sepatutnya.

2. Rasulullah dalam rumah tangga; sebagai pemimpin baginda mendidik dan membimbing isteri dan anak-anak. Baginda membantu isteri dengan tidak menyusahkannya. Inilah juga sunah yang sering diabaikan oleh suami.

3. Penyelesai masalah; jika berlaku masalah dalam kalangan isteri baginda segera menyelesaikannya dengan memanggil secara bersemuka. Baginda tidak membiarkan isu itu berlarutan hingga menimbulkan fitnah. Tindakan bijak itu menjadikan baginda disegani oleh isteri dan Sahabat. Di manakah kita dalam hal ini?

Umat Islam yang boleh mengamalkan sunah rasulullah ini, mereka akan hidup bahagia. Hal kerana mereka tetap sebagai umat Rasulullah. Berdasarkan ini jugalah, kita lihat pada hari ini umat Islam sering berhadapan masalah yang tidak sudah-sudah. Hakikatnya mereka sudah tidak mengikut sunah rasulullah sekali gus telah dikeluarkan daripada senarai umat Rasulullah.

Hukum nikah

Nikah berdasarkan perintah Allah dalam ayat 32 surah al-Nur, adalah harus. Walaupun perkahwinan dianggap penting tetapi masih diberi peluang kepada mereka sama ada hendak berkahwin atau tidak. Siapa yang hendak berkahwin, silakan, dan siapa yang tidak mahu berkahwin, silakan. Tepuk dada tanya selera.

Walau bagaimanapun setiap yang harus itu kekadang boleh berubah kepada empat hukum lain mengikut keperluan manusia.

1. Wajib; wajib berkahwin mereka yang nafsu syahwatnya tidak dapat dikawal, dan boleh bila-bila masa untuk melakukan dosa zina.

2. Sunat; Sunat berkahwin pada orang yang ad keinginan kepada wanita, dan dia pula cukup berkemampuan belanja untuk isteri. Jika dia tidak berkemampuan haruslah ditangguhkan dahulu, pilihan ini lebih daripada terus berkahwin. Jika nafsu syahwatnya mendesak bolehlah dipejamkan atau dilemahkan dengan berpuasa.

3. Makruh; makruh berkahwin pada orang yang tidak berkeinginan kepada isteri sejak awal kejadiannya atau sebab penyakit atau kerana sudah tua atau mati pucuk.

4. Haram; haram berkahwin mereka yang berkahwin dengan niat untuk merosakkan maruah isterinya.

Dengan lima hukum ini, umat Islam harus menilai diri sendiri apakah mereka tergolongan dalam golongan pertama, atau kedua, atau ketiga atau keempat. Jika termasuk dalam pertama dan kedua, teruskan niat itu. Mereka pasti diberi pahala yang berlipat kali ganda.

Tetapi jika mereka tergolong dalam golongan ketiga dan keempat, jauhilah daripada diri kita. Kalau makruh dilakukan akan menyebabkan seseorang itu terjebak dalam haram. Oleh sebab itu, jangan cuba melakukannya hanya atas alasan makruh. Ingalah makruh adalah perkara yang dibenci oleh Allah dan rasul-Nya. Sanggupkan anda dibenci orang ramai?

"Makan Malam Bersama Presiden PAS: Miri Go Green With PAS"

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

MIRI, 4 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menjadi tetamu khas PAS kawasan Miri, Sarawak dalam satu majlis makan malam 6 Julai ini.

Majlis ini akan diadakan di Park City Everly Hotel Miri bermula jam 7.45 malam dengan tema "Miri Go Green With PAS".

Majlis ini adalah antara program yang dibuat PAS Miri untuk mempersiapkan mereka menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, PAS Miri terlepas untuk menyertainya apabila PAS tidak jadi bertanding di Dun Senadin.

Ekoran itu dalam Muktamar PAS Kawasan Miri baru-baru ini, perwakilan membuat ketetapan melalui usul agar PAS bertanding di Parlimen Miri mewakili Pakatan Rakyat.

Tiket-tiket makan malam boleh didapati melalui saudara Arifiriazul (0138377505) atau saudara Azwani (0133603290) dengan harga RM50 setiap
satu.

Selain Abdul Hadi, turut serta menjadi tetamu majlis makan malam ini adalah Mazlan Aliman, AJK PAS Pusat yang mendapat undi paling tinggi dalam muktamar PAS ke 57 baru-baru ini.

Marina Mahathir kritik sekatan BERSIH

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA: Marina Mahathir, anak perempuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - bernada toleransi - dan mengkritik sekatan ke atas penyokong Bersih 2.0.

Bercakap bagi pihak Sisters In Islam, salah satu daripada 62 NGO yang membentuk gabungan Bersih, beliau berkata tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa adalah sama seperti yang digunakan oleh diktator dunia ketiga.

"Hanya mereka yang takut akan mengambil jalan keluar dengan perkara-perkara itu ... dan kita berkelakuan seperti negara dunia ketiga atau kurang," katanya pada sidang akhbar di sini yang penuh sesak sambil diapit oleh beberapa wakil dari Bersih.

Lebih daripada 150 orang ditahan, kebanyakannya kerana memakai kuning kemeja-T dengan perkataan "Bersih" yang berkaitan dengan perhimpunan yang dirancang pihak pemantau pilihan raya itu pada 9 Julai.

Pemimpin pembangkang dan beberapa orang telah ditahan untuk disoal siasat kerana menyokong Bersih yang berhimpun untuk menuntut reformasi pilihan raya. Beliau berkata tangkapan besar-besaran adalah satu daripada tindakan paling keras dalam sejarah politik negara.



Marina berkata tindakan keras kerajaan tidak mencerminkan usaha-usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Kami sebuah negara membangun, kita perlu bertindak sepertinya dan bangkit di atas (semua ini) dan yakin dengan rakyat," katanya.

Marina juga mengutuk serangan peribadi ke atas Pengerusi Bersih S Ambiga, yang dipujinya kerana mempunyai rekod yang cemerlang dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

"Serangan peribadi adalah tidak wajar. Mereka sepatutnya menggunakan hujah-hujah yang lebih baik untuk menyelesaikan isu itu dan tidak mengambil jalan keluar dengan serangan peribadi," katanya.

Najib telah memanggil Ambiga, bekas Presiden Majlis Peguam dan penyokong daripada Pakatan Rakyat.

Pendirian Marina mengenai isu ini bertentangan dengan kedudukan ayahnya. Yang kali terakhir menyokong pendirian Najib bahawa perhimpunan yang dirancang ini sebenarnya bukan untuk menuntut reformasi pilihan raya tetapi untuk mewujudkan satu lagi "tsunami politik" untuk merampas kuasa.

Pada sidang akhbar hari ini, wakil-wakil Bersih menafikan bahawa perhimpunan tersebut mempunyai sebarang agenda tersembunyi politik dan mengulangi bahawa ia adalah aman.

Mereka juga menggesa pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian secara baik tanpa membatalkan perhimpunan tersebut. FMT/-

Bersih 2.0: PAS junjung tinggi titah Agong

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Julai: PAS menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Ahad, 3 Julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman Bersih 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini.

“Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini,” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia PAS menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 Julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman Bersih 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini.

Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.

Titah Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihan raya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.

Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan Bersih 2.0 dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini.

Kesan dari salah faham ini telah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi oleh pihak berkuasa.

PAS percaya bahawa asas penyebab utama bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini.

Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana.

Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihan raya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik.

Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihan raya umum diadakan.

Sejak sekian lama ini, kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.

Asri: Terima tawaran PM sedia stadium, adakan Minggu Bersih

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Sambil meminta sekretariat Bersih 2.0 menerima tawaran perdana menteri stadium sebagai lokasi perhimpunan, bekas mufti Perlis mengesyorkan penganjur menggantikan program 9 Julai dengan kempen Minggu Bersih supaya efektif.

“Bersih mungkin boleh ganti dengan melancarkan Minggu Bersih dengan meminta rakyat mengibarkan bendera Malaysia dalam minggu tersebut atau memakai petanda kuning atau selainnya-tidak semestinya ditulis Bersih,” kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Putrajaya telah memutuskan Bersih 2.0 sebagai satu pertubuhan haram sejak 1 Julai.

Asri (gambar) berkata kempen Minggu Bersih akan membolehkan lebih ramai rakyat yang bersetuju dapat menyatakan persetujuan mereka dengan tuntutan “pilihan raya yang adil”.

“Juga mungkin mereka yang antipembaziran dan kenaikan harga barang boleh sertai.

“Lebih ramai dapat meluahkan perasaan dengan cara yang lebih selamat seperti bendera di kereta, rumah, baju dan sebagainya. Seluruh negara akan meriah,” katanya.

Ahli ademik ini menambah, “jika buat perhimpunan dan polis larang hadir, lalu jumlah yang diharapkan tidak diperoleh, maka itu ‘defeat the purpose’.”

Asri menambah pihak sekretariat Bersih 2.0 menerima sahaja tawaran Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan perhimpunan di stadium dengan meminta wakil Yang di-Pertuan Agong hadir menerima surat bantahan tersebut dan boleh berceramah lagi di stadium tersebut.

“Berikan syarat bahawa jika melimpah, orang ramai boleh duduk di luar stadium tanpa gangguan,” katanya.

malaysianinsider/-




PAS hantar wakil sertai BERSIH jumpa Agong

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

PAS akan menghantar wakil dalam jawatankuasa pemandu BERSIH bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan tuntutannya untuk pilihan raya bersih dan adil.

Namun rancangannya untuk berhimpun pada 9 Julai akan diteruskan, kata timbalan presiden Mohamad Sabu.

"(Batalkan perhimpunan) itu tidak berbangkit sebab BERSIH tidak batalkan," katanya lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, PAS bagaimanapun akan tetap menyokong keputusan yang akan diambil oleh BERSIH berhubung perhimpunan berkenaan, katanya lagi ketika ditanya.

Katanya lagi, PAS akan mempersembahkan antara lainnya isu berhubung tindakan melampau yang dilakukan polis dalam usaha pasukan berkenaan untuk menghalang perhimpunan BERSIH.

Mohamad yang turut membacakan kenyataan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pertemuan dengan baginda tuanku juga bagi "menjelaskan kekeliruan yang timbul hasi dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini."

"Kesan dari salah faham ini telah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi oleh pihak berkuasa," katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu menyelidik sebab bantahan berkenaan dengan "terbuka dan penuh keikhlasan", selari dengan titah baginda supaya kerajaan "melaksana amanah dengan adil dan bijaksana."

Dalam kenyataan berkenaan, Abdul Hadi turut menjelaskan bahawa bantahan berkenaan dicetuskan ke atas kelemahan dalam pilihan raya "dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik."

Dalam pada itu, naib presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata polis perlu menghentikan penangkapan terhadap individu kerana Yang Di-Pertuan Agong telahpun menyarankan supaya rundingan diadakan.

"BERSIH sedia berunding tetapi polis yang menutup pintu rundingan," katanya lagi dalam sidang media sama.

Tambahnya, Titah Yang di-Pertuan Agong itu juga merupakan satu pengiktirafan terhadap BERSIH kerana baginda "tidak kata apa-apa yang negatif terhadap BERSIH".

"Malah (baginda menyeru) kerajaan supaya bertindak secara adil. Ini satu pengiktirafan kepada BERSIH," katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah seorang lagi naib presiden, Salahuddin Ayub serta setiausaha agung Datuk Mustafa Ali. MK/-

Budak perempuan nyaris kudung dibaham jerung

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

TOPSAIL BEACH (Carolina Utara): Seorang budak perempuan hampir hilang sebelah kakinya selepas dia dibaham jerung dalam perairan cetek, semalam.

Jerung itu dilaporkan menyerang Cassidy Cartwright, 10, walaupun ketika itu mangsa berada di air sedalam satu meter.

Disebabkan gigitan itu, doktor terpaksa membuang satu daripada gigi jerung berkenaan dari kaki Cassidy.

Insiden itu berlaku sehari selepas Cassidy dan keluarganya tiba dari Pennsylvania untuk bercuti.

Cassidy berkata, dia sedang bermain dengan papan luncur apabila tiba-tiba terasa ada sesuatu menarik kakinya.

Dia menyangka ada sesiapa yang cuba bergurau dengannya.

“Saya tidak sakit pada awalnya.

“Apabila tarikan itu semakin kuat, barulah saya berasa sakit,” katanya.

Ketika itu, kata Cassidy, dia terkejut melihat jerung yang menyerangnya.

Selepas menyerang kali pertama, ikan itu melepaskan kaki Cassidy seketika sebelum kembali lagi.

Ketika itu ibu Cassidy, Carolyn, ternampak air bertukar menjadi merah.

Dengan bantuan seorang rakan, Carolyn bergegas ke air dan menarik anaknya ke darat.

“Luka pada kaki Cassidy sangat besar dan darah keluar membuak-buak,” katanya. - DM

Berganti laki kikis wang

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

KESAL...Alaa menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

KUALA LUMPUR: Menggunakan taktik tipu, kahwin, curi dan menghilangkan diri, seorang wanita dikatakan mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada beberapa ‘suaminya’ dengan mangsa terbaru seorang ahli perniagaan Palestin yang mendakwa kerugian hampir RM1 juta.

Alaa A M Aldunna, 32, berkata perkahwinannya dengan wanita tempatan berusia 29 tahun itu berlangsung November tahun lalu selepas berkenalan dengannya di sebuah hotel, di sini.

“Selepas ditipu dan wang saya dicuri, saya dimaklumkan pihak tertentu, rupa-rupanya saya suaminya yang ketujuh. Enam lagi suaminya sebelum ini warga Malaysia dan mereka juga ditipu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Alaa berkata, ketika berkenalan, wanita itu memperkenalkan diri Datuk Nazatul, malah turut mendakwa dia seorang kerabat diraja.

“Saya percaya dia menggunakan ilmu hitam kerana selepas berkenalan saya mengikut segala kata-katanya. Perkahwinan saya dengannya juga dilakukan tergesa-gesa dan segala-galanya diuruskannya.

“Kami berkahwin di bilik hotel. Jurunikah dan saksi semuanya dibawa Nazatul, malah ibu dan abangnya bersubahat untuk menipu saya,” katanya.

metro/-

Ahli Keluarga Enam Ditahan Hanya Boleh Datang Ke Bukit Aman Pada Isnin

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli keluarga enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan semula tengah hari ini mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dibenarkan datang ke Bukit Aman dan menemui mereka pada Isnin.

Jurucakap Bukit Aman yang enggan dikenali berkata ini kerana keenam-enamindividu berkenaan termasuk Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj masih lagi disoal siasat dan tidak boleh dibebaskan.

"Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman masihlagi menjalankan siasatan.

"Sesiapa sahaja tidak dibenarkan mengganggu siasatan atau berjumpa merekatanpa keperluan. Kamu perlu datang pada Isnin dan bukannya malam ini " katanya kepada pemberita dan sekumpulan individu, dipercayai mempunyai kaitan keluarga dengan enam yang ditahan itu di pekarangan luar Bukit Aman di sini malam Sabtu.

Keenam-enam mereka adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditahan di PlazaTol Sungai Dua, Kepala Batas, pada Sabtu lepas, ketika menaiki bas menuju kePulau Pinang. Tempoh reman mereka mengikut Seksyen 122, Kanun Keseksaan kerana berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong tamat hari ini.

Kesemua anggota PSM itu dikatakan terlibat dengan pihak dari luar negara dantelah diresapi oleh anasir-anasir subversif.

Terdahulu, di pekarangan luar Bukit Aman, kira-kira 50 individu yangmempunyai kaitan dengan keenam-enam yang ditahan itu berkumpul diketuai peguam mereka, K. Arumugam menuntut untuk mengetahui status penahanan mereka.

Mereka tiba kira-kira pukul 9 malam dan bersurai satu jam kemudian selepasdiberitahu untuk datang ke Bukit Aman pada Isnin bagi mengetahui status lanjut kes berkenaan. - BERNAMA

Guru silat jangan campur isu politik- Cikgu Majid Mat Isa

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Guru Utama Seni Silat Gayung Pusaka Malaysia, Cikgu Majid Mat Isa hari ini menyeru pertubuhan silat tidak mencampuri urusan politik demi menjaga nama baik persilatan.

Seruan itu dibuat Cikgu Majid respon kenyataan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Seri Ali Rustam yang mengancam melakukan kekacauan seperti ’13 Mei 1969′, jika himpunan Bersih 9 Julai ini diteruskan.

Ali Rustam dipetik membuat kenyataan itu bersama pengasas Silat Lincah, Datuk Omardin Mauju pada satu sidang media di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru 2 Julai lalu.

Omardin sebelum ini turut mengancam akan mengerah pesilat dari perguruannya untuk ‘bertempur’ dengan peserta himpunan aman Bersih jika ia diteruskan.
Menurut Cikgu Majid, beliau sendiri mengambil pendirian yang berbeza sama sekali dengan Ali Rustam dan Omardin.

“(Ali Rustam) dia memang tahu dia ahli politik. Kalau boleh dia mahu orang silat semua sokong dia. Kita orang silat terdiri daripada pahlawan-pahlawan Melayu bukan orang politik.

“Silat dahulu dimulakan oleh Hang Tuah lima bersaudara dan kemudian diteruskan oleh pendekar seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, dan Tok Gajah untuk membela tanah air daripada musuh luar.

“Tetapi hari ini, jangan campur politik dan persilatan,” katanya.
Malah, tambah Cikgu Majid lagi, beliau sendiri mahu pun mana-mana wakil Silat Gayung Pusaka tidak pernah menerima sebarang notis tentang mesyuarat Sabtu lalu.

Sewaktu ditanya samada pendirian Omardin yang memberi amaran kepada Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga mewakili pendirian kesemua pendekar Melayu, Cikgu Majid menegaskan Omardin bercakap mewakili dirinya semata-mata.

“Masalahnya, dia ikut pendapat dia seorang sahaja. Malam kelmarin saya dah sebutkan dalam blog yang kita persatuan silat jangan campur.

“Kita bukan nak bergaduh dengan Cina, Melayu, atau India. Kita tak hormat orang yang mahu berbangga-bangga dengan ilmu silatnya,” kata Cikgu Majid.

Beliau juga berpendapat bahawa Omardin dan Ali Rustam sebenarnya tidak perlu berbuat demikian.

“Pihak kerajaan kan ada, bolehlah dibawa berunding.

“Kita tak boleh tunjuk kekerasan kita. Semuanya boleh dibawa berbincang. Itu semangat pendekar Melayu yang sebenar,” kata Cikgu Majid.

keadilan/-

Inkues kematian Ahmad Sarbani bermula

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Prosiding inkues untuk menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed bermula di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Prosiding itu yang didengar di hadapan koroner Aizatul Akmal Maharani, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abas dan Hanim Mohd Rashid.

Turut serta peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Fadzillah Mohd Osman yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta peguam Awtar Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Allahyarham.

Selain itu, peguam Salim Bashir, Roger Than dan Halim Asghar daripada Majlis Peguam turut bertindak sebagai peguam pemerhati.

Seramai 30 saksi, termasuk isteri Allahyarham, pegawai penyiasat tempat kejadian, pegawai SPRM, pegawai Kastam, pakar forensik dan pakar patalogi akan dipanggil memberi keterangan.

metro/-