05 Julai 2011

Pasukan khas Barat mahu bunuh Gaddafi


3 Syaaban 1432H. [MOD] -

MOSCOW - Presiden Persekutuan Catur Dunia (FIDE), Kirsan Ilyumzhinov semalam menyatakan Barat menempatkan pasukan khas di ibu kota Libya, Tripoli untuk membunuh pemimpin berkenaan.

Ilyumzhinov berkata, maklumat itu disampaikan kepadanya oleh anak lelaki sulung Gaddafi, Muhammad Gaddafi semasa pertemuan mereka di Tripoli.

"Saya menemui Ketua Jawatankuasa Olimpik Libya, Muhammad Gaddafi, yang memberitahu saya bahawa beberapa kumpulan pasukan khas dari Barat dihantar ke ibu kota Libya untuk membunuh bapanya," kata Ilyumzhinov dalam wawancara bersama agensi berita Interfax.

"Menurut Muhammad, tiga kumpulan pasukan khas kini berada di Tripoli. Beliau berpendapat Barat serius mahu menyingkirkan bapanya," tambah Ilyumzhinov.

Kata Ilyumzhinov, Muhammad turut menegaskan bahawa Gaddafi tidak akan meninggalkan Libya.

"Ayah saya (Gadaffi) mencintai negaranya lebih daripada nyawanya," Ilyumzhinov memetik anak lelaki pemimpin Libya itu sebagai berkata.

Pada bulan lalu, stesen televisyen Rusia menyiarkan Ilyumzhinov bermain catur dengan Gaddafi dalam satu lawatannya ke Tripoli.

Beliau menyatakan melawat negara Afrika Utara itu kerana urusannya sebagai Presiden FIDE. - AFP


Tiada ulasan: