05 Julai 2011

Peniaga dituduh miliki baju pertubuhan haram

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang peniaga hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kerana dituduh memakai dan memiliki baju-T bertulis perkataan yang mempunyai kepentingan pertubuhan haram.

Mohd. Amizul Fazly Muhamed Sudin, 33, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Azrul Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Amizul Fazly didakwa mempamerkan pakaian yang tertera tulisan ‘BERSIH 2.0’ di sebuah kedai runcit di Kampung Permatang Piah, Bachok, pada pukul 2.40 petang, dua hari yang lalu, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki enam helai baju-T yang tertera perkataan ‘BERSIH 2.0’.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966, yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 kerana menyiar dan memiliki perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Azrul kemudiannya menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Bachok dan mengenakan jaminan RM4,000 kepada Mohd. Amizul Fazly bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Mohd. Amizul Fazly diwakili peguam Firdaus Mohd. Yusuf, Ahmad Najib Deris dan Abdul Rashid Yah manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Hussin. - Bernama

Tiada ulasan: