PETALING JAYA, 5 Julai: Sebagai lambang junjung kasih ke atas titah Yang Dipertuan Agung, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa semua pihak menghentikan pendekatan konfrantasi, ugutan, mengadu domba dan menimbulkan permusuhan antara pelbagai kelompok agama dan kaum di kalangan rakyat. Gesaan itu khasnya ditujukan kepada kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya khasnya pasukan polis. Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) dalam kenyataannya berkata, partinya menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, atas titah khas kepada rakyat mengenai isu perhimpunan Bersih. "Keprihatinan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya amat tepat pada masanya serta disanjung tinggi oleh rakyat," kata beliau. Seruan Seri Paduka Baginda Tuanku agar pihak kerajaan melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil, bijaksana, mengelakkan permusuhan serta mengekalkan semangat mesyuwarah dan muafakat dalam menyelesaikan keadaan perlulah diberikan perhatian serius, katanya. Menurut beliau, menjadi keinginan rakyat sekian lama hanyalah mahu melihat terlaksananya keadilan dalam sistem pilihanraya negara. "Perhimpunan tidak diperlukan lagi jika Suruhanjaya Pilihanraya memang melaksanakan tugasnya secara amanah, adil dan bijaksana," tegas beliau. PKR, katanya, berpendirian bahawa kisah kebijaksanaan dan keadilan Nabi Muhammad SAW dalam menyelesaikan konflik antara kabilah-kabilah dalam isu perletakkan batu hitam (al hajar al aswad), hendaklah dijadikan rujukan. Hanya pilihanraya yang benar-benar adil dan saksama dapat mempastikan kepimpinan negara diserahkan kepada mereka yang berhak dan amanah, tambah beliau. “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat (An Nisa: 58), petik beliau. |
05 Julai 2011
Henti adu domba, patuhi titah Tuanku - PKR
3 Syaaban 1432H. [MOD] -
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan