05 Julai 2011

Isteri Ahmad Sarbani yakin suami tak bunuh diri

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

Isteri kepada penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed hari ini memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa suaminya tidak mungkin membunuh diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, pada 6 April lepas.

Masiah @ Maziah Manap, 50, yang merupakan saksi pertama dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbani, berkata
suaminya adalah seorang yang tenang, bersikap rasional, penyabar dan bukan seorang yang suka bertindak melulu.

"Sebagai orang Islam yang menunaikan sembahyang lima waktu, tidak mungkin suami akan berbuat demikian," katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata pada hari kejadian suaminya ada memaklumkan kepada anak perempuan mereka bahawa dia akan pulang ke rumah tengah hari itu.

"Suami tidak cakap apa-apa pada saya tetapi arwah memaklumkan perkara itu kepada Shahirah (anak) sebelum beliau pergi ke pejabat SPRM dan ini yang meyakinkan saya bahawa dia nak balik," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohamad Abbas.

Masiah, yang mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Sarbani hampir 28 tahun, berkata pada 1 April lepas, dia menerima panggilan daripada anaknya, Shahira yang memaklumkan arwah ingin bercakap dengannya tetapi panggilan berkenaan terputus.

"Apabila saya pulang ke rumah pada 9 malam, anak saya memberitahu abah (panggilan untuk Ahmad Sarbani) tidur di SPRM dan saya kemudian cuba menghubungi beliau tetapi gagal.

"Pada keesokannya (2 April), saya cuba menghubunginya sekali lagi
namun tiada jawapan dan lebih kurang 10 pagi saya ada menghantar SMS kepadanya menyatakan: Kalau kita di pihak yang benar, Allah akan bantu... kalau boleh, balik la, hari Ahad ni (3 April) kita ada kursus haji," katanya.

Masiah, yang bekerja sebagai penyelia di Petronas, berkata arwah suaminya pernah memberitahu bahawa dia telah dianiayai oleh ejen.

"Saya pernah bertanya kepadanya, apa masalah yang berlaku sekarang ini hinggakan SPRM menahannya dan dia (Ahmad Sarbani) berkata ejen menganiayainya berkenaan baucar bernilai RM100.

"Menurut suami saya, ejen itu mengaku bahawa RM70 daripada RM100 baucer itu dia ambil manakala RM30 diberikan kepada suami saya... namun suami memaklumkan kepada saya dia tidak ambil RM30 dan tidak tandatangani baucer tersebut," katanya.

Selain itu, Masiah berkata pegawai SPRM menghubunginya dan memberitahu bahawa suaminya rebah dan telah meninggal dunia tanpa dimaklumkan bahawa Ahmad Sarbani sebenarnya telah jatuh dari tingkat tiga bangunan itu.

"Apabila saya pergi ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bersama empat anak perempuan untuk membuat pengecaman mayat suami, saya nampak muka arwah seperti dihempuk ke dinding dan mukanya penuh dengan ketulan darah beku.

"Mereka (pegawai SPRM) memberitahu saya bahawa dia (Ahmad Sarbani) rebah, tetapi saya tengok mukanya kelihatan mencurigakan," katanya.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Koroner Aizatul Akmal Maharani, yang mendengar prosiding itu, dijadual melawat ke tempat kejadian di bangunan SPRM, Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 10 pagi esok.

malayasiakini/-

1 ulasan:

man berkata...

salam untuk semua

takziah buat balu arwah dan keluarga

selalunyer naluri isteri ni betul

apa pun keadilan akan ditegakkan juga di MASYAR nanti..Insyaalahhh