2 Syaaban 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM 5 JULAI : Pemuda UMNO memberi jaminan bahawa pihaknya akan membantu membersihkan nama pengundi yang sudah meninggal dari daftar pemilih semasa dan memperjuangkan akses media yang bebas dan adil kepada semua pihak.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, bukan itu sahaja Pemuda UMNO juga akan memperbetulkan hak pengundian bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
“Semua ini boleh dibincangkan. Saya selalu mengatakan bahawa kami menyokong sistem semasa tetapi penambahbaikan adalah diperlukan,” kata Khairy.
Beliau berkata semua jaminan itu hanya akan dikotakan jika Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH 2.0) sedia membatalkan himpunan aman itu yang dijadualkan 9 Julai ini.
“Kami percaya bahawa satu barisan berkecuali yang bersatu, yang (jika) kita bersetuju akan lebih efektif, jika Bersih benar-benar mahukan perubahan,” katanya lagi.
Pendirian Pemuda UMNO ini dibuat selepas Yang di- Pertuan Agong (YDPA) Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah adalah lebih baik jika himpunan aman itu dipertimbangkan semula untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Titah Tuanku Sultan juga dilihat tepat pada masanya dan menyejukkan hati rakyat yang membara saat ini dengann segala provokasi keterlaluan yang digerakan pihak berkuasa dengan izin Perdana Menteri, Najib Razak.
Baginda juga dalam ucapan yang ringkas maha padat menitahkan agar Najib dan kerajaan pimpinan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bertanggungjawab.
“Beta tidak mahu lihat rakyat bermusuhan sesama sendiri dan bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasanpun," titah Baginda.
Baginda juga menitahkan agar kabinet Najib melakukan sesi dialog bersama penganjur BERSIH 2.0 dengan seiklas hati agar permasalahan berkisar dengan masa depan negara ini ditangani dengan cara terbaik.
Tatkala Baginda Sultan bijak mendepani rakyat, Najib pula dilaporkan membuat kenyataan yang menjengkelkan dan langsung tidak mahu berkompromi dengan lapan tuntutan BERSIH 2.0.
“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat . . . buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” katanya.
Lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah, bersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
tv selangor/-
1 ulasan:
Apakah benar janji Khairy? Apa kata jika himpunan 'bersih'dibatalkan, tapi Najib dan kuncu2nya menolak cadangan pembincangan itu.
Jika begitu, adakah Khairy sanggup berjuang bermati-matian bersama pembangkang menuntut kebebasan media2 itu? sedangkan realitinya media2 itu adalah talian hayat UMNO-BN.
Persepsi saya hanya janji-janji politik yang tidak boleh diguna pakai sebagaimana janji-janji dongeng dan projek dalam setiap kali pilihan raya untuk meraih undi dan simpati. Buktinya, Sampai sekarang masih banyak janji-janji itu hanya tinggal janji tanpa pembelaan dari Khairy.
Catat Ulasan