3 Syaaban 1432H. [MOD] -
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (Pemuda PAS Sarawak) menyambut baik reaksi positif daripada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selaku Ketua Menteri kepada cadangan menubuhkan Tabung Amanah Bumiputera (TAB) ketika Sidang DUN Sarawak yang lalu. TAB yang dicadangkan bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera di Sarawak ini adalah satu langkah penting dalam memastikan pengagihan kekayaan negeri berlaku dengan lebih adil, merentas perbezaan kaum.
Berdasarkan statistik terkini, terdapat 55,975 buah keluarga miskin di Sarawak yang berdaftar dengan sistem e-Kasih dan 49% daripada jumlah ini pula dikategorikan sebagai golongan miskin tegar (hardcore poor). Daripada jumlah ini, lebih 80% adalah dari kalangan kaum Bumiputera dan hanya sekitar 2% - 4% dari kalangan kaum bukan Bumiputera. Perangkaan ini sebenarnya amat membimbangkan kerana ini menunjukkan pola pengagihan ekonomi yang tidak seimbang di kalangan pelbagai kaum di Sarawak.
Pemuda PAS Sarawak dalam konteks ini, ingin mencadangkan agar TAB digunakan sepenuhnya untuk membantu meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan di kalangan anak-anak dari keluarga-keluarga miskin Bumiputera seperti yang dilaporkan di atas. Ini adalah kerana hanya melalui pendidikan yang baik, mobiliti sosial golongan ini dapat berlaku dengan berkesan.
Bantuan ini tidak seharusnya ditumpukan kepada aspek penyediaan barangan keperluan sekolah semata-mata, malahan yang jauh lebih penting adalah dengan merangka program bersepadu seperti tuisyen komuniti khusus untuk mereka.
Kami melihat potensi badan-badan sukarela, NGO-NGO, persatuan-persatuan masyarakat dan institusi-institusi agama seperti masjid dan surau dalam menjadi teraju utama (driver) menjayakan program-program seumpama ini melalui geran dan pembiayaan khas dari TAB. Penumpuan khusus juga harus diberikan agar pelajar-pelajar kurang berkemampuan ini dibantu untuk menguasai subjek-subjek teknikal dan kejuruteraan dengan harapan mereka akan menjadi nadi utama memajukan sektor industri di negeri ini khususnya di SCORE yang dikatakan bakal menawarkan 1.5 juta pekerjaan menjelang 2030.
Di samping itu, Pemuda PAS Sarawak juga ingin menyarankan agar sejumlah peruntukan yang sesuai dikhususkan sebagai tabungan masa depan untuk keluarga-keluarga miskin ini. Dana ini harus diletakkan atas nama peserta-peserta dan boleh digunakan untuk dilaburkan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi yang selamat agar mereka boleh menikmati dividen tahunan yang bersesuaian.
Dana ini dicadangkan untuk ditadbir dan diurus secara profesional oleh mereka yang berkelayakan dan memiliki kecenderungan tinggi untuk membantu golongan miskin Bumiputera meningkatkan tahap ekonomi mereka. Wang tabungan ini pula hanya boleh dikeluarkan oleh peserta dalam amaun terhad selepas tempoh tertentu untuk keperluan-keperluan khas seperti pendidikan dan kesihatan.
Dengan adanya tabungan khas ini, secara tidak langsung, kita akan dapat membantu golongan miskin Bumiputera ini untuk menabung, sesuatu yang mustahil dalam suasana terhimpit mereka itu.
Dalam masa yang sama, Pemuda PAS Sarawak juga ingin menyatakan rasa tidak bersetuju kepada cadangan agar TAB digunakan sebagai wahana pemberian modal kepada pengusaha-pengusaha Bumiputera sedia-ada mendapatkan pinjaman atau pembiayaan untuk memajukan lagi perusahaan mereka. Kami berpandangan, suatu instrumen lain boleh diwujudkan untuk tujuan tersebut dan bukan melalui TAB.
Malahan, kami melihat dalam konteks sekarang, telah ada pelbagai badan-badan lain yang telah menawarkan peluang-peluang tersebut bagi mereka yang layak. Bagi Pemuda PAS Sarawak, TAB seharusnya digunakan secara khusus untuk membantu golongan miskin Bumiputera Sarawak melalui peningkatan kecemerlangan pendidikan dan penabungan masa depan.
Pemuda PAS Sarawak amat berharap agar usaha meningkatkan tahap sosio-ekonomi kaum Bumiputera ini dapat dijayakan dengan penuh komitmen oleh pihak Kerajaan Negeri. Penubuhan TAB dirasakan tepat dan amat perlu disegerakan supaya pembangunan dan kemajuan negeri ini dapat dinikmati oleh semua secara adil dan saksama.
UNIT KAJIAN POLISI
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SARAWAK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan