3 Syaaban 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 5 Julai: Para wartawan dan jurugambar yang hadir bagi membuat liputan lawatan Pasukan inkues menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed ke lokasi kejadian, tidak dibenarkan masuk.
Larangan menyertai lawatan pasukan inkues untuk masuk ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane itu difahamkan arahan dari pihak atasan.
Lawatan pagi ini disertai Koroner Aizatul Akmal Maharani, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas; peguam pemerhati, Datuk Seri Dr. Mohammad Shafee Abdullah dan Awtar Singh.
Turut serta ialah pakar forensik Makmal Bukit Aman, Deputi Supritendan Shahrul Othman Mansor dan ahli keluarga Ahmad Sarbani.
Lawatan tersebut bagi mendapat gambaran lebih jelas berhubung kematian Allahyarham Ahmad Sarbini.
Sementara itu, bernama semalam melaporkan isteri Ahmad Sarbani, Masiah @ Maziah Manap, 50 semalam memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa suaminya tidak mungkin membunuh diri pada 6 April lepas.
Beliau yang merupakan saksi pertama dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbani, berkata suaminya adalah seorang yang tenang, bersikap rasional, penyabar dan bukan seorang yang suka bertindak melulu.
"Sebagai orang Islam yang menunaikan sembahyang lima waktu, tidak mungkin suami akan berbuat demikian," katanya.
Masiah, yang mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Sarbani hampir 28 tahun, berkata pada 1 April lepas, dia menerima panggilan daripada anaknya, Shahira yang memaklumkan arwah ingin bercakap dengannya tetapi panggilan berkenaan terputus.
"Apabila saya pulang ke rumah pada 9 malam, anak saya memberitahu abah (panggilan untuk Ahmad Sarbani) tidur di SPRM dan saya kemudian cuba menghubungi beliau tetapi gagal.
"Pada keesokannya (2 April), saya cuba menghubunginya sekali lagi namun tiada jawapan dan lebih kurang 10 pagi saya ada menghantar SMS kepadanya menyatakan: Kalau kita di pihak yang benar, Allah akan bantu... kalau boleh, balik la, hari Ahad ni (3 April) kita ada kursus haji," katanya.
Masiah, yang bekerja sebagai penyelia di Petronas, berkata arwah suaminya pernah memberitahu bahawa dia telah dianiayai oleh ejen.
"Saya pernah bertanya kepadanya, apa masalah yang berlaku sekarang ini hinggakan SPRM menahannya dan dia (Ahmad Sarbani) berkata ejen menganiayainya berkenaan baucar bernilai RM100.
"Menurut suami saya, ejen itu mengaku bahawa RM70 daripada RM100 baucer itu dia ambil manakala RM30 diberikan kepada suami saya... namun suami memaklumkan kepada saya dia tidak ambil RM30 dan tidak tandatangani baucer tersebut," katanya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan