17 Mac 2009

Cara urus pusaka bawah RM600,000

Oleh : Mohd NoorAizan Md Idrus

BEBERAPA pihak memberi maklum balas terhadap tulisan yang disiarkan sebelum ini berkenaan harta pusaka daripada sudut syarak dan kali ini akan dikupas peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan harta pusaka di negara ini.

Pengurusan harta pusaka di Malaysia agak mengelirukan dan dianggap sukar oleh sesetengah orang kerana ada empat jabatan atau institusi yang mempunyai kuasa ke atas hal berkaitan pengurusan pusaka.

Jabatan dan institusi itu ialah Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi Sivil, Pejabat Pusaka Kecil dan Amanah Raya Berhad. Kesilapan memilih salah satu institusi di atas dalam mengurus pusaka akan menyebabkan urusan mengurus pusaka menjadi bertambah panjang dan mengambil masa.

Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhad dalam hal pengurusan pusaka di Malaysia. Ia hanya boleh membuat pengesahan siapa waris si mati yang berhak untuk mewarisi harta pusaka dan pecahan bahagiannya mengikut hukum faraid serta membuat pengesahan wasiat atau hibah sama ada bertepatan dengan hukum syarak atau tidak.

Merujuk kepada seksyen 61 (3) (b) (ix) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 yang memperuntukkan: “… dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan penentuan orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak.

Mahkamah Syariah tidak diberi bidang kuasa membuat perintah pembahagian harta pusaka secara faraid walaupun ia berkuasa mengeluarkan sijil faraid. Ini bermakna sijil faraid dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah tidak mempunyai sebarang kuasa pembahagian.

Ia hanya digunakan sebagai rujukan oleh waris atau pihak lain untuk mengetahui siapa waris sebenar harta si mati dan bahagiannya. Perkara ini mendukacitakan kerana Mahkamah Syariah sebagai mahkamah yang membicarakan hal berkaitan orang Islam tidak dapat menyelesaikan permasalahan pusaka orang Islam sendiri.

Contohnya Zain mati meninggalkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM200,000 dan warisnya ialah Ali, Bakar dan Daud. Ali sebagai penama simpanan KWSP mengeluarkan wang itu tetapi tidak membahagikan kepada Bakar dan Daud mengikut hukum faraid. Bakar dan Daud mahu Ali memberi bahagian mereka seperti diperuntukkan mengikut hukum faraid tetapi Ali enggan. Bakar dan Daud memperoleh sijil faraid yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah yang mengandungi nama waris, pecahan bahagian dan jumlah simpanan KWSP. Ironinya, Sijil Faraid itu walaupun ditunjukkan kepada Ali, ia tidak mempunyai sebarang kuasa atau kesan untuk mengarahkan Ali mengikut kandungan sijil berkenaan.

Kuasa terhad Mahkamah Syariah ini sudah diputuskan melalui dua keputusan kes rayuan iaitu Kes Hasan Arif Hafiz Ahmad lawan Hasimah Hafiz Ahmad dan Hasnah Hafiz Ahmed oleh Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Selangor dan Kes Salim Sulong lawan Yusof Sulong oleh Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu.

Dalam kedua-dua kes itu, panel Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kuasa Mahkamah Syariah hanya terhad kepada memperakukan seseorang adalah waris dan menyatakan bahagian faraid mereka saja.

Lebih mendukacitakan, kuasa terhad Mahkamah Syariah terpaksa dikongsi dengan Pejabat Pusaka Kecil. Dengan kata lain, kuasa memperaku seseorang adalah waris dan bahagian faraid mereka bukan hak eksklusif Mahkamah Syariah. Pejabat Pusaka Kecil daerah juga mempunyai kuasa sama seperti diperuntukkan Akta Pembahagian Harta Pusaka Kecil 1955 (Akta 98).

Apa yang pelik adalah Pejabat Pusaka Kecil berkuasa pula mengeluarkan surat kuasa tadbir atau perintah pembahagian yang tidak dimiliki Mahkamah Syariah. Cuma, Pejabat Pusaka Kecil Daerah hanya mempunyai kuasa dalam kes harta peninggalan si mati adalah harta tidak alih atau harta yang bercampur harta alih dan tidak alih yang nilainya tidak melebihi jumlah RM600,000. Bagi kes yang nilai hartanya melebihi jumlah RM600,000, ia perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi Sivil, walaupun si mati dan warisnya adalah orang Islam.

Selain itu, Amanah Raya Berhad juga mempunyai kuasa mengeluarkan surat kuasa tadbir ke atas harta pusaka seperti diperuntukkan Seksyen 17 Akta 532. Cuma bidang kuasa itu terhad kepada harta peninggalan si mati iaitu harta tidak alih dan tidak melebihi jumlah RM600,000. Mujur, Amanah Raya tidak mempunyai kuasa mengesahkan seseorang itu ahli waris dan bahagian faraid mereka.

Inilah hakikat yang perlu diketahui dan disedari masyarakat Islam negara ini. Dalam kita selesa dengan jaminan Perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan, tetapi dalam soal harta pusaka, Mahkamah Syariah masih terhad kuasanya jika dibandingkan dengan Pejabat Pusaka Kecil, Amanah Raya Berhad dan lebih sedih jika dibandingkan dengan Mahkamah Tinggi Sivil.

Berhadapan dengan realiti ini, mereka yang mempunyai kes pusaka dengan harta tidak melebihi RM600,000 wajar terus berurusan dengan Pejabat Pusaka Kecil Daerah tanpa perlu ke Mahkamah Syariah.

Bagi yang mempunyai nilai harta melebihi RM600,000 perlu ke Mahkamah Syariah terlebih dulu untuk mendapatkan Sijil/Perintah faraid dan kemudian ke Mahkamah Tinggi Sivil untuk memperoleh Perintah Pembahagian. Ini bagi mengelak berlaku kelewatan dalam menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka si mati dan tohmah kepada Mahkamah Syariah sendiri.

Berkaitan wasiat dan hibah pula, Mahkamah Syariah hanya mempunyai kuasa eksklusif untuk membuat perintah pengesahan sama ada wasiat atau hibah yang dibuat oleh orang Islam adalah sah atau tidak. Wasiat atau hibah perlu disahkan oleh Mahkamah Syariah jika ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan wasiat atau hibah itu.

Jika semua waris bersetuju, ia tidak memerlukan pengesahan kerana waris sendiri boleh memberi persetujuan ketika urusan pembahagian harta sama ada di Pejabat Pusaka Kecil, Amanah Raya atau Mahkamah Tinggi Sivil.

Perlu diingat, walau bagaimana sempurna sekalipun dokumen wasiat atau hibah yang dibuat si mati, sama ada disediakan oleh peguam atau firma wasiat, jika ia dipertikai kandungannya oleh waris, maka dokumen itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan.

Mahkamah Syariah akan membicarakan wasiat atau hibah itu sebelum memutuskan sama ada ia bertepatan hukum syarak atau tidak. Jika bertepatan, mahkamah akan mengisytiharkan wasiat atau hibah adalah sah dan perlu dilaksanakan terlebih dulu sebelum pembahagian secara faraid dilakukan.

Sudah sampai masanya Mahkamah Syariah dimartabatkan dan diletakkan di tempat sewajarnya dalam memutuskan semua urusan berkaitan orang Islam. Justeru, kita mendesak pihak berwajib dapat membuat pindaan kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya mempunyai bidang kuasa bukan saja memutuskan siapa waris dan bahagiannya tetapi juga mempunyai kuasa membuat perintah urusan faraid, hibah dan wasiat berjalan mengikut hukum Syarak seperti sewajarnya demi kebaikan dan kebajikan umat Islam di negara ini.
————————————-
Email dari :Sirajuddin Abbas
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar dan persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo. com.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Penting ni!!! Simpanan KWSP pekerja executive boleh cecah melebihi RM600k. Kalau dia mati sebelum pencen dan penamanya salah sorang dari anak. Boleh bergaduh ni.

Tanpa Nama berkata...

Islamic Estate Planner As salihin trustee di parit buntar sedia membantu mana mana orang Islam menyelesaikan masalah tadbir harta pusaka dan membuat wasiat serta melantik wasi , semasa masih ada hayat. Terbuka kpd penduduk Kerian, selama, bandar baru kedah dan selatan s prai hubungi hj sahri 0174147854