16 Mac 2009

Wahai Wanita Jadilah Isteri Bukan Kuli Sampai Mati

Email : Cili Muda
(Artikel di ambil dari www.ceria.com. my)

"Inilah orang perempuan kerana terlalu takut, sayang membabi buta, akhirnya diri sendiri yang binasa. Namun tidak terlalu lewat untuk beliau bertindak sekarang, anak-anak pun dah besar, biarlah wanita lain pula mengambil alih tanggungjawab, mana tahu mungkin wanita tersebut boleh mengajar suami puan Norzie menjadi baik, dan berjaya menundukkannya, biasalah, suami terlalu kedekut dengan isteri pertama, dengan isteri kedua, barulah dia tahu langit itu rupanya tinggi. Dan biarkan dia menyesal hingga ke akhir hayat." Kata Farra lagi.

Kita lupakan sementara cerita Norzie dengan suami kedekutnya, dan Zaki teringin berpoligami, kita baca kisah puan Amalena tentang penderitaan ibu kerana sikap ayahnya langsung tidak bertanggung jawab kepada keluarga demikian ceritanya dalam emelnya kepada penulis.

Sekali tertinggal terasa amat rugi besar. Ruangan di celah-celah kehidupan banyak mengajar saya tentang erti kehidupan sebenarnya serta membekalkan topik-topik hangat untuk kami berbincang dengan kawan-kawan dan suami saya bagi memastikan rumah tangga yang kami layari selama 5 tahun ini sentiasa ceria, bahagia dan berkualiti.

"Tetapi cerita dua minggu lalu menarik hati saya dan rasa terpanggil untuk menyumbang sedikit cerita bagi renongan pembaca. Iaitu tentang betapa besar dan beratnya peranan lelaki sebagai suami menjadi ketua keluarga. Kalau nama aja suami tapi tidak berfungsi apa guna berkahwin, mungkin bahtera yang dilayari karam dilanda badai ganas. Wanita pula amat gembira bila naik pelamin jadi raja sehari, tetapi hakikatnya tanpa disedari dirinya jadi kuli sampai mati.

"Kami suami isteri sentiasa berusaha supaya bahtera kami selamat, kerana saya tidak mahu terjadi seperti bahatera ibu bapa saya, bukan menghina, tetapi saya rasa bertuah kerana kapten kedua bahtera kami iaitu ibu, seorang petugas setia, kerana peranannya kami adik beradik selamat, tidak tenggelam dilambung ombak menjadi mangsa dadah, penjahat, penyamun, kutu rayau ataupun penghuni sekolah jahat mahupun pusat pemulihan akhlak. Jadi manusia.

"Ibu gigih membesarkan dan memastikan kami hidup seperti orang lain. Ayah mengahwini ibu takkala mereka sama-sama berusia 21 tahun. Semenjak itu dugaan hidup ibu menjadi sangat tragis. Ayah sering tinggalkan ibu berbulan-bulan lamanya terutama apabila ibu hendak bersalin. Itulah sikapnya setiap kali ibu melahirkan, ayah menghilang. Alasannya mencari kerja.

"Minat ayah yang mendalam dalam dunia seni menyebabkan dia sering keluar daerah. Kami tak pasti apa tugas ayah sebenarnya. Sepanjang pemergiannya, sesen pun dia tidak tinggalkan duit kepada ibu. Ibu mengajar kami mengikat perut bila beras dalam tin sudah habis.

"Kami biasa makan nasi digaulkan gula campur air suam, bubur nasi campur gula atau bubur nasi dengan garam, dah jadi menu biasa kami berlima beradik. Ibu berusaha sedaya upaya melakukan bermacam-macam kerja. Ambil upah menjahit, memajak sawah, berniaga kecil-kecilan, ambil upah menoreh getah asalkan dapat sedikit duit.

"Kerana terlalu susah dua orang kakak saya tak pernah bersekolah. Kerana terlalu miskin orang kampung memujuk ibu membenarkan dua orang kakak bekerja sebagai orang gaji di rumah orang walaupun waktu itu mereka baru berusia 10 dan 9 tahun. Ibu terpaksa merelakan kerana hidupnya terlalu susah dan supaya kami yang tinggal boleh makan nasi bukannya bubur.

"Saya amat bertuah mempunyai kakak-kakak yang sanggup berkorban demi ibu dan kami adik-adiknya. Kak Long pernah menceritakan kepada saya betapa ibu menangis tersedu sedan, apabila tangan kecilnya menghulurkan wang gaji pertamanya kepada ibu. Mungkin hati ibu amat tersentuh kerana usia sementah itu sepatutnya riang ria bersekolah sebaliknya terpaksa membanting tulang mencari duit untuk ibu bukan banyak tak sampai pun RM40 sebulan.

"Ibu pasrah akan ketentuan illahi memberikannya suami yang sangat tidak bertanggung jawab. Sudahlah tidak bekerja tetap bila ada duit sikit dapat kerja sementara mulalah berjudi dan minum arah. Sikap itulah membuatkan ibu cepat melenting. Kerap juga kami melihat mereka perang besar terutama apabila ayah mabuk-mabuk atau sehari suntuk di meja judi.

"Walaupun mereka berperang, tapi ayah tak berani memukul ibu. Mungkin ayah sedar dia tidak menjalankan kewajipan sebagai suami. Ayah bosan duduk di rumah dia ada tempat pelarian untuk bertemu kawan-kawan seninya di bandar. Ibulah yang terpaksa menanggung anak-anak dengan apa cara sekalipun, asalkan kami tidak kebulur.

"Ayah selalu merungut pada kawannya katanya anak-anak menyusahkannya. Katanya bilalah kami nak besar boleh cari kerja boleh keluar rumah dan tidak susahkan dia lagi. Bila kedua kakak bekerja di rumah orang di bandar, tinggalkan abang, menjadi sasaran kebencian ayah. Sejak kecil lagi saya tahu ayah bencikan abang, bila balik ke rumah abang akan jadi sasarannya melepaskan marah. Ayah tak pernah menunjukkan kasihnya kepada abang.

"Ayah bencikan abang anak lelaki tunggalnya. Abang sering kena maki hamun pantang buat silap. Ringan aje mulut ayah halau abang keluar rumah. Jadi untuk elakkan ketegangan, setiap kali ayah balik abang menyendiri bawa diri, asalkan tak bersemuka dengan ayah.

"Abang rajin membantu ibu menoreh, ke sawah atau apa aja kerja yang boleh mendatangkan duit, sampaikan ambil upah jual buah-buah, panjat pokok kelapa, pendaknya apa saja kerja asalkan berduit abang akan buat, biasalah dengan orang kampung berapa sen sangat upahnya, kadang tu tak ada upah duit, buah kelapa, pisang sebagai ganti, abang ambil juga.

"Pendek kata abanglah harapan ibu membantunya mencari duit untuk beli beras, bukannya ayah. Tapi ayah tetap bencikan abang sebabnya saya tak tahu. Masa berlalu dan ayah tidak pernah berubah. Abang cuma mampu bersekolah hingga tingkatan lima dengan pangkat 3. Ringan pulak mulut ayah panggil abang bodoh. Tapi abang tak melawan, kerana ibu sering berpesan jangan mendurhaka kepada ayah. Kalau dia marah pekakkan telinga.

``Demikian juga halnya ketika sampai giliran saya melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dahulu, ayah membantah keras, katanya budak perempuan buat apa sekolah akhirnya duduk dapur juga. Syukur kepada Allah, kakak desak hantar saya ke sekolah menengah, waktu itu kakak dah berkahwin, umurnya baru 16 tahun. Mulanya saya takut juga, tapi kerana desakan kuat kakak dan abang saya beranikan diri melangkah ke sekolah menengah. Saya naik basikal ke sekolah untuk jimatkan belanja. Maklum sekolah menengah jauh dari rumah kami.

``Gembiranya tak terperi dapat sambung sekolah. Tapi bermulalah episod persekolahan yang penuh kekurangan. Belanja jarang dapat, yuran sekolah asyik tertunggak. Baju sukan tak pernah ada. Kasutku jarang berganti hinggakan budak lelaki kerap mengejek saya budak berkasut buruk. Pendek kata saya bukan sahaja menghadapi dugaan dengan ayah, malah kawan-kawan di sekolah pun sentiasa berusaha memudarkan semangat saya bersekolah, tapi emak bersemangat waja, katanya dia tak berharta, cuma pelajaran sahaja boleh mengubah nasib dan kehidupan kami, berusahalah kalau mahu hidup senang. Dalam makna nasihat ibu, cuma saya waktu itu tak faham, sekarang baru saya tahu hikmahnya.

``Walaupun miskin, tapi saya berusaha jadi budak pandai, paling tidak ada juga tempat budak-budak nak segan kat saya orang miskin ni. Nampaknya harapan ibu tak sia-sia, saya kerap dapat nombor terbaik dalam kelas, selepas SPM saya ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah ke UK. Ibu agak berat hati untuk melepaskan, almaklum anak dara pergi jauh sendirian.

``Ayah yang selama ini membenci saya bersekolah sudah terbalik, dia terkejut saya ditawarkan ke UK. Dia tak memuji saya berdepan, tetapi saban dia melepak di kedai kopi bercerita perihal kejayaan saya. Ada juga suara-suara sumbang memperlekehkan keluarga kami, sudahlah miskin merempat ada hati nak hantar anak ke luar negeri.

``Malang tidak berbau dalam saya sibuk menmbuat persiapan untuk berlepas ke luar negara, ibu terlibat dalam kemalangan, dilanggar motor semasa dalam perjalanan menoreh getah. Seminggu ibu koma kerana pendarahan dalam otak sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Hancur luluh hati ini. Niat untuk membela ibu selepas mengecapi kejayaan tak kesampaian.

``Kami adik-beradik terlalu bersedih sehingga tidak sedar terkeluar perkataan mengapa tidak ayah saja yang mati bukan ibu. Adik bongsu terkandas pelajarannya di tingkatan 3, siapa nak bantu kerana ayah menghilangkan diri tidak lama kemudian.

``Tinggalkan kami adik-beradik bagai kehilangan arah. Alhamdulillah, kak long bertindak sebagai ibu menjaga adik. Sewaktu di luar negara, saya diberitahu ayah dah kahwin lagi. Tak apalah bisik hati, sekurang-kurangnya ada orang boleh menjaganya kerana dia dah tua.

``Dipendekkan cerita kami kini semua telah berumah tangga dan beranak pinak. Pernah juga kami menziarahi ayah di rumah isteri mudanya. Semuanya kelihatan baik, tapi baru-baru ini ayah buat tabiat lamanya, dia tinggalkan isterinya dan balik duduk kampung seorang diri.

``Banyak cerita ayah mengumpat isterinya, sebab itu dia pindah duduk kampung. Tapi kami tak ambil pusing. Rupanya dalam diam dia mengharapkan bantuan kami, sebab itu dia pindah balik kampung dia dah boleh cakap besar anak-anak dah bekerja dan nampak senang sikit.

``Sebenarnya amat payah untuk kami melahirkan perasaan kasih terhadap ayah, sebab sejak kecil kami sudah renggang, ayah macam orang datang bertandang sahaja. Begitu juga kakak-kakak dan abang. Mereka merasa cukup terseksa kerana ayah. Abang bertambah lagi, sebab dialah anak yang paling ayah benci, dia dianggap musuh jadi macam mana dia nak sayangkan ayah?

``Saya tidak pernah salahkan mereka kerana berperasan sedemikian, sebab kami merasakan kesusahan dan keperitannya. Cuma adik bongsu kami sahaja yang yang kerap balik menziarah ayah serta menguruskan keperluan dan makan minumnya.

``Tapi akhir-akhir ini adik pun dah mula merungut. Dia tak berdaya menjaga ayah seorang, tambah-tambah bila ayah memintanya membelikan sebuah tv besar kerana mata ayah dah mula kabur disebabkan penyakit kencing manisnya hinggakan ayah sudah tak nampak lagi untuk menonton cerita di tv kalau tvnya kecil sangat.

``Kami adik-beradik merasa lebih pelik kerana ayah pentingkan tv, bukankah golongan orang seperti ayah sepatutnya lebih kerap beribadah dan pergi masjid. Masalah yang saya rasa sekarang ialah ayah sentiasa mengharapkan anak-anaknya datang menjenguknya di kampung, tetapi sedihnya anak-anak ayah berat hati nak pulang ke kampung kerana masih terkenangkan perbuatan lampau ayah terhadap ibu dan langsung tidak kasihkan anak-anak di samping itu kami pun sering kesibukkan dengan tugas dan mengurus keluarga sendiri. Kami tak mahu ketepikan anak-anak, kerana kami tak mahu anak-anak membenci kami apabila kami tua nanti, seperti perasaan kami terhadap ayah yang terasa amat sukar untuk dikikis.

"Kini ayah memburuk-burukkan kami terutama abang dan kak long. Panas juga telinga bila ayah kutuk abang tidak bertanggungjawab menjaga ayahnya sendiri. Tapi ayah sedarkah itulah sikapnya dahulu melupakan anak-anak." Demikian cerita Amalena tentang pengalaman pahitnya semasa kecil semoga kita mendapat iktibarnya.

Kesimpulan cerita Amalena dia mengingatkan kaum lelaki, agar lebih bertanggungjawab kepada keluarga iaitu anak-anak dan isteri, jangan marah kalau anak-anak tak kenal ayah bila dah tua nanti, hidup inikan umpama roda sentiasa berputar. Dan ingat setiap perbuatan baik ataupun jahat itu ada balasannya dari Allah, cuma lambat atau cepat sahaja datang pembalasanNya

- MAIMUNAH -

Tiada ulasan: