21 April 2009

BN TARIK DIRI SEPERTIMANA ROM MENARIK DIRI DARI PERANG TABUK

Dr Fikrah

Berita semalam (19 April) telah menyiarkan bahawa Barisan Nasional telah menarik diri dari bertanding di kawasan Penanti, Pulau Pinang. Kenapa ya? Tidak mengapa, mungkin Barisan Nasional mempunyai strateginya yang tertentu, tetapi, mungkin juga mereka sudah berputus asa. Atau adakah kemungkinan Najib dirasuah oleh Pakatan Rakyat supaya tidak bertanding? Inilah tanggapan yang lucu, dan tidak perlu difikirkan rasionalnya.

Tetapi, walaubagaimanapun, saya tertarik untuk menceritakan Sirah Nabi Muhammad SAW, yang menunjukkan perkara yang sama. Memang tidak dinafikan, musuh-musuh Allah SWT pernah menarik diri daripada menyertai peperangan bersama Muslimin, walaupun pada mulanya mereka gah untuk menunjukkan kehebatan mereka. Mungkin ia sedikit sebanyak boleh dilihat pada apa yang terjadi hari ini di Pulau Pinang.

Perang Tabuk telah berlaku selepas pembukaan Kota Mekah. Umat Islam ketika itu sudah berduyun-duyun memeluk Agama Islam dan Islam dapat berkembang dengan baik di Mekah. Mekah telah pun menjadi pusat pemerintahan Nabi Muhammad SAW, walaupun pada mulanya Madinah. Perang Tabuk berlaku susulan daripada Perang Mu’tah.

Perang Mu’tah tercetus akibat daripada pembunuhan al Harits bin Umair, seorang utusan daripada Nabi Muhammad SAW kepada Pemerintah Busra. Al Harits telah dihalang oleh Syurabil bin Amru al Ghassani, seorang Gabenor Kaisar di Wilayah Balqa, Syam. Beliau telah menangkap al Harits, mengikatnya kemudian memancung lehernya.

Apabila berita ini disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, Rasulullah SAW mengisytiharkan perang terhadap Rom yang merupakan kuasa besar ketika itu. Di dalam Perang Mu’tah, ramai umat Islam terbunuh, dan pimpinan-pimpinan hebat orang Islam turut sama terbunuh. Begitu juga dengan tentera Rom sendiri.

Tentera Rom melihat bahawa kerajaan Nabi Muhammad SAW di Kota Mekah itu sangat memberi ancaman kepada Rom. Mereka bimbangkan kuasa kerajaan Islam akan menyaingi mereka. Manakala di pihak Islam pula, misi untuk menuntut bela terhadap pembunuhan utusan dan beberapa tentera Islam dilihat masih gagal.

Lalu, setelah menerima berita bahawa Rom sedang membuat persiapan untuk menentang Islam, maka Nabi Muhammad SAW pun segera meminta supaya semua orang Islam bersiap untuk bertempur sekali lagi dengan mereka. Orang Arab sendiri mengetahui bahawa tentera Rom adalah kuasa besar, dan banyak membantai tentera Islam semasa Mu’tah.

Di Malaysia pula, Barisan Nasional sudah lama menggunakan taktik kotor untuk menentang PAS setelah mereka melihat beberapa ulama’ “membahayakan” mereka. Dahulu mereka melihat PAS bakal menjadi penyaing mereka, lalu mereka telah mengadakan sekatan-sekatan lebih awal supaya dapat menghapuskan PAS. Mereka menangkap ulama’-ulama’ dan menyumbat di dalam ISA, tidak membenarkan mereka bercakap di siaran, dan sebagainya.

Berbalik kepada Perang Tabuk. Setelah kedua-dua pihak membuat persiapan, lalu masing-masing menuju ke Tabuk untuk berperang di sana. Di Malaysia hari ini, masing-masing sedang menuju ke mana-mana Dun yang kosong untuk menguatkan jentera masing-masing.

Tabuk adalah kawasan yang begitu jauh dengan Mekah, dan persiapan ketenteraan Islam agak kurang. Umat Islam yang keluar menuju ke Tabuk, seramai 30 000 orang, dan menyebabkan kelengkapan perang berkurangan. Seekor unta ditunggangi oleh 18 orang secara bergilir, dan unta-unta tersebut ada yang disembelih di pertengahan jalan, sebagai bekalan.

Berbeza dengan tentera Rom. Mereka mempunyai kelengkapan yang cukup, seperti baju besi, kuda dan sebagainya. Manakala Islam pula, terpaksa menuju ke Tabuk yang sangat jauh kedudukannya dari Kota Mekah. Sekiranya diukur dengan akal, kita akan berkata “agak susah bagi Islam untuk menang kerana mereka terpaksa berjalan jauh dalam keadaan kekurangan bekalan. Apabila sampai, sudah pasti ada di kalangan Islam yang lemah”….

Inilah ukuran akal kita. Sama sahaja sekiranya kita mengatakan “PAS terpaksa mengutip dana daripada sumbangan ahli-ahli mereka. PAS payah untuk mendapat permit ceramah untuk menguatkan kedudukan…” Ini juga ukuran mata kita. Tetapi hakikatnya Allah sahaja yang tahu.

Ketika Baginda SAW sampai di Tabuk, mereka berpusat di kawasan berhampiran. Mereka bersiap sedia di situ untuk menentang Rom. Baginda sempat memberi ucapan kepada tentera Islam supaya tidak melihat kepada material semata-mata. PAS hari ini juga diingatkan supaya tidak berjuang untuk merebut material seperti duit, pangkat dan sebagainya.

Setelah mendengar berita ketibaan tentera Islam, Kerajaan Rom agak takut. Mereka takut disebabkan takjub dengan kesungguhan umat Islam. Sudah lah berjalan kaki berbatu-batu, kekurangan makanan, kelengkapan perang tidak mencukupi, tetapi masih sanggup menentang Kerajaan Rom, yang besar itu.

Mereka tidak berani untuk mara ke hadapan kerana bimbang bertembung dengan Islam. Lalu mereka berpecah-pecah ke sempadan negeri. Mereka merasakan bahawa menarik diri itu lebih menyelamatkan keadaan mereka daripada ribuan tentera mereka terbunuh. Seorang pimpinan Rom datang berjumpa Rasulullah SAW untuk memeterai perjanjian (tidak berperang) dan bersetuju untuk mebayar jizyah.

Di Malaysia juga berlaku perkara yang sama. Barisan Nasional telah menarik diri daripada peperangan pilihanraya Penanti. Apakah sebabnya? Adakah mereka takut dengan kesungguhan PAS atau mereka tidak ingin untuk melihat PR mengamuk lagi di Penanti sepertimana yang berlaku di Bukit Gantang? Mungkin juga mereka tidak ingin melihat kemenangan PR di Penanti sebagai satu “menang mewah”.

Salam Perjuangan.

2 ulasan:

Suhaimi Said berkata...

UMNO/BN dah tak ada......

Kekacang berkata...

Makin banyak pilihanraya, maka makin banyak terbongkar keaiban dan perangai sebenar pemimpin dan ahli UMNO.