11 Julai 2009

HADITH HARIAN: Menjauhi Segala Bentuk Syirik

Email Oleh : Amier


Tajuk :
Menjauhi Segala Bentuk Syirik

BAB: Akidah

Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik.”
[Riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad]

Huraian:
Pengajaran hadis:
i) Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram di sisi Islam sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir, memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang mengandungi benda-benda najis dan kotor.
ii) Perbuatan ini adalah termasuk dalam perbuatan ‘syirik yang tersembunyi’ yang diertikan sebagai mengiktiqadkan sesuatu sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan yang baik atau buruk, contohnya disebabkan tangkal azimat yang digunakan itu maka seseorang itu terselamat daripada bahaya dan sebagainya.
iii) Kecuali jika ia menggunakan ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah atau sifat-Nya atau yang berbentuk zikrullah maka yang demikian tidaklah diharamkan.
iv) Di antara perbuatan syirik tersembunyi yang lain adalah seperti;
a) Menanamkan perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.
b) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain daripada Allah.
c) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.
d) Mengatakan:” Kalaulah tidak kerana pertolongan dia, tentulah aku tidak berjaya” dan sebagainya.
e) Mengatakan:” Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda dan sebagainya tentulah rumahku dimasuki pencuri”.
f) Melakukan sesuatu amal ibadat atau membuat sesuatu pengorbanan, perjuangan, bukan kerana menjunjung perintah Allah tetapi untuk suatu tujuan yang lain.
v) Selaku umat Islam hendaklah kita menjauhi segala bentuk perbuatan yang mensyirikkan Allah kerana dosa syirik adalah dosa yang paling besar. Sebaliknya hendaklah meletakkan keyakinan bahawa segala sesuatu itu adalah bergantung pada takdir Allah dan keizinan-Nya jua.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bagaimana dgn konsep tawasul. perkara khilaf dikalangan ulama nusantara/kitab tua dgn ulama yg menganunti fahami salafi. pada zahirnya, disebabkan polis meronda, maka selamatler umah ku, hakikatnya Allah jua yg menyelamatkan. Makan nasi kenyang tapi hakikatnya Allah yg memberi kenyang. so nak sebut lagu mana, sure pada adab zahir akan sebut, kenyang aku hari ini sebab makan nasi, bukankan ini lebih beradab dan bersopan. tak kan nak sebut kanyang aku hari ni sebab Allah bagi kenyang. namun pada hakikatnya Allah jua. Antara ucapan yg syirik tersembunyi adalah "memangler Allah berkuasa tetapi kita perlu berusaha" <- ayat ini bercanggah dgn konsep nafi dan isbat, ayat yg betul adalah "kita perlu berusaha namun Allah yg menentukan kejayaan kita", maka mariler kita mentauhidkan Allah pada Af'alNya, SifatNya, AsmaNya dan DzatNya yang Maha Esa. wallahualam