11 Julai 2009

Teknik menulis pantun dan bahasa berirama

Email Oleh : studioperintis@perintis.com.my

Pantun dan bahasa berirama sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam apa-apa jua majlis. Pada zaman dahulu, pantun dan bahasa berirama dituturkan oleh masyarakat Melayu pada setiap masa tidak kira di mana-mana sahaja. Bahasanya yang indah, lembut dan tersusun menyebabkan masyarakat menggemarinya. Sememangnya, pantun dan bahasa berirama merupakan unsur keindahan bahasa yang amat sesuai digunakan dalam apa-apa jua teks. Penggunaan pantun dan bahasa berirama dalam teks pengacara majlis sudah tentu dapat menarik perhatian dan tumpuan hadirin agar terus bersama-sama menjayakan majlis tersebut dengan jayanya. Oleh itu, di sini diberikan sedikit panduan tentang teknik mencipta pantun dan bahasa berirama agar teks pengacara yang dihasilkan tidak terlalu sterotaip dan hambar.

Mencipta Pantun

Pantun ialah puisi berirama yang berangkap. Pantun boleh dibahagikan kepada pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan berkait. Dalam penulisan teks pengacara majlis, pantun yang kerap digunakan ialah pantun empat kerat. Hal ini kerana pantun empat kerat lebih mudah untuk dicipta. Sebelum mencipta pantun, kita harus mengetahui dengan jelas ciri-ciri pantun. Yang berikut merupakan ciri-ciri pantun yang perlu dipatuhi agar pantun yang terhasil tidak kedengaran sumbang.

1. Binaan pantun terdiri daripada pembayang dan maksud. Dalam pantun empat kerat, dua baris di atas ialah pembayang dan dua baris di bawah ialah maksud.

2. Rima akhir pantun empat kerat ialah ab ab, iaitu jika dalam baris pertama suku kata akhir ialah –kan (a) maka suka kata akhir dalam baris ketiga juga ialah –kan (a). Begitu juga jika suku kata akhir bagi baris kedua ialah –ri (b) maka suku kata akhir keempat juga semestinya –ri (b).

3. Setiap satu baris terdiri daripada tiga hingga enam patah perkataan sahaja.

4. Suku kata dalam sebaris pula antara lapan hingga 12 suku kata.

Pantun yang ingin dicipta pula harus bergantung kepada agenda sesuatu acara. Jika pantun yang ingin dicipta adalah untuk tujuan alu-aluan maka dalam maksud pantun harus disebut ucapan selamat datang. Pembayang pantun pula lebih baik menggunakan unsur keindahan alam. Jika tidak mampu, anda boleh menggunakan apa-apa sahaja unsur yang dirasakan sesuai dan menarik.

Contoh pantun:

Memasang pukat terkena lo
kan,
Lokan dibawa ke Tanjung Pu
ri; } Pembayang
Selamat datang kami ucap
kan,
Ke Majlis Anugerah Guru Besta
ri. } Maksud

Mencipta Bahasa Berirama

Bahasa berirama ialah kata-kata ibarat yang mempunyai rentak dan keindahannya yang tersendiri. Selalunya, kata-kata berirama ini diambil daripada ungkapan atau peribahasa yang digubah menjadi bahasa yang menarik.

Bahasa berirama sebenarnya tidak terikat seperti penciptaan pantun. Rima akhir bahasa berirama boleh berbentuk bebas atau terikat, iaitu aaaa. Yang penting dalam bahasa berirama, kata-kata yang digunakan harus indah dan sesuai dengan acara.

Contoh:

Benar kata orang, jika tak kenal maka tak cinta,
Kalau dah cinta, ingin pula bertentang mata,
Pabila bertentang mata, ingin pula mendengar suara.

Namun begitu, bahasa berirama tidak semestinya dicipta seperti di atas. Anda juga boleh menggunakan frasa-frasa menarik seperti meluah rasa mengungkap bicara, segera ditampilkan, namun apakan daya, kita telah di penghujung acara dan sebagainya.

Artikel di atas dipetik daripada Bahagian 2: Teknik Penulisan dalam buku Aneka Contoh Teks Pengacara Majlis. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di www.books.perintis. com.my.

Tiada ulasan: