10 Julai 2009

HADITH HARIAN: Syura Dan Kepentingannya

Email Oleh : Amier


Tajuk :
Syura Dan Kepentingannya

BAB: Akhlak
Hadith : Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Sesiapa yang hendak melakukan sesuatu urusan umat Islam hendaklah bermesyuarat nescaya Allah memberikan taufiq bagi memperelokkan urusan mereka.” [Riwayat at-Tabrani]

Huraian:
Pengajaran hadis:
i) Dalam proses membuat keputusan, perkara yang paling asas ialah membuat perbincangan yang mengambil kira tentang nilai, matlamat dan sumber untuk melaksanakan sesuatu tindakan.

ii) Mengambil keputusan menerusi syura adalah lebih terjamin ketetapan dan kewajarannya. Ia berbeza daripada keputusan yang dibuat bersendirian di mana keputusan yang dibuat sering kali menimbulkan kesilapan dan sukar pula mendapat kerjasama yang ikhlas daripada orang yang terlibat.

iii) Dalam sesuatu amalan syura, kebenaran tidak diukur daripada suara ramai sahaja. Ini berbeza dengan pilihan raya di mana syura adalah interaksi pemikiran di kalangan orang yang berkeahlian bagi menghasilkan sesuatu pendapat dan pandangan yang benar. Sedangkan pilihan raya ialah proses bagi menentukan keinginan dan sokongan daripada kalangan rakyat terhadap sesuatu perkara atau seseorang yang dicalonkan untuk mewakili mereka. Oleh itu dalam syura suara majoriti bukanlah mutlak, tetapi yang diambil kira adalah hujah berdasarkan ilmu yang menzahirkan sesuatu kebenaran.

iv) Kebenaran yang mutlak datangnya daripada Allah. Oleh itu sekiranya manusia yang mengamalkan syura dalam lingkungan petunjuk Allah dan Rasul-Nya iaitu bermusyawarah serta menggunakan kaedah yang ditentukan Allah keputusan mereka akan lebih hampir kepada kebenaran. Ia cukup selamat dijadikan landasan untuk bertindak dan beramal.

Tiada ulasan: