10 Julai 2009

Maria Hertogh (Natrah) meninggal dunia di Belanda

KUALA LUMPUR, 10 Julai : - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika dahulu, dilaporkan telah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda Rabu baru-baru ini.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, demikian menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama Khamis.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun undang-undang British / Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandung di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Dr Fauziah berkata Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya, ketika itu.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

"Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya," kata Dr Fauziah melalui emelnya kepada Bernama.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan.

Sumber : Harakahdaily.

4 ulasan:

ibn yusof berkata...

salam yb...
wanita yang bernama bertha@natrah ini masih islam ataupun sudah bertukar agama ketika meninggal? mungkin yb boleh borkongsi info ini dengan kami..wassalam

LanaBulu berkata...

Hidayah itu adalah hak Allah dan kita berdoalah agar kita semua sentiasa diberi hidayah forever and ever..

Tanpa Nama berkata...

Setelah apa yang dilaluinya, saya yakin Allah akan mengasihani umatnya. Benar, taufiq dan hidayah adalah hak Allah..kita berdoa sajalah kerana Nadrah adalah mangsa kepada ego seorang lelaki barat yang terhina dengan adanya perempuan berkulit putih di kalangan masyarakat melayu ketika itu... saya berkali-kali menangis membaca kisah duka ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

Tanpa Nama berkata...

salam..natrah telah bertukar agama Kristian ketika dibawa pulang ke Belanda..